Tuesday, July 26, 2011
Pak Samad - Tak mahu demokrasi yang kasar dan sombong
Oleh: Rossem
Beberapa waktu yang lalu, tokoh hebat itu pernah menulis dalam bukunya “Ilham Di Tepi Tasik” (2006); pada setiap dekad atau setiap era memang mempunyai suara tertentu daripada masyarakatnya. Dan dalam seni tentu suara itu lebih kuat datangnya daripada hati nurani seniman. Terkadang-kadang seniman terdorong menjadi begitu berani oleh keresahan batinnya.
Keadaan atau peristiwa-peristiwa penting diperiksanya dalam diam untuk beberapa lama sehingga dirinya tidak tertahan. Dan apakala ledakan batinya itu bermula ia terus saja menganggu. Niat seniman, pada dasarnya, amat jelas, malah amat jujur. Tapi seperti biasa, kejelasan memerlukan khalayak yang turut damai juga. Dan kejujuran pun, seperti selalu, memerlukan khalayak yang murni. Tidak ada khalayak yang serentak begitu. Makanya, seniman seperti mengundang musibah. Tapi sang seniman wajar tetap bersedia, tanpa kebenaran yang waras, maksud saya, seniman tidak akan berhak memakai label “seniman” nya itu.
Apa yang diungkapkan Sasterawan Negara suatu ketika dulu telah terjadi tanggal 9 Julai lalu. Mungkin saat menulis kata-kata itu, ia sendiri tidak menjangka akan berlaku begitu pantas. Namun, begitulah bila seorang memiliki kecerdasan yang tinggi membaca linggang lingguk alam akan cepat menangkap sesuatu yang akan lahir dari pergerakan alam seperti halnya seorang pakar gunung berapi mengetahui saat bila akan metetup.
Setiap dekad atau setiap era akan berlaku perubahan besar kepada masyarakat adalah kata-kata yang menimbulkan kekhuatiran terutama penguasa yang lama bertahkta. Hikmah dari kata-kata itu sudah diterjemahkan menjadi realiti yang tak boleh disanggah, ia berlaku di mana-mana. Natijah dari kata-kata itu kita melihat ramai penguasa yang rakus kuasa telah tumbang seperti Zine El Abidin Ben Ali (Tunisia), Abdullah Saleh (Yamen), Hosni Mubarak (Mesir) dan lain-lain.
Rakyat tidak akan selamanya hanya menahan jeritan batin di dalam rumah. Akan tiba saatnya akan menjengok ke luar jendela. Dan apa yang berlaku kepada perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, rakyat bukan sekadar mengintai lewat jendela, malah berani turun ke jalan raya beramai-ramai, meskipun mereka tahu, di sana mereka akan disambut dengan semburan air asid, gas pemedih mata, belantan, tangkapan dan mahkamah.
Dan salah seorang daripada puluhan ribu pemberani meredah sekatan polis, menahan pedihnya mata lantaran semburan gas pemedih mata dan air berasid ialah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said. Tokoh sasterawan yang meniti usia 70an itu masih tampak gagah berjalan bertongkatkan semangat membara, tanpa sepatu (tercicir), demi menyuarakan sesuatu yang dirasanya “tidak adil” dilakukan oleh pemerintah terkait dengan pengendalian pilihan raya oleh SPR yang dikatakan tidak telus.
Kenapa tokoh yang satu ini sanggup berbuat demikian, apakah kerana berjaya “diperalatkan” kelompok tetentu dari kaum oposisi demi agenda politik mereka sehingga sang sasterawan tersohor itu sanggup menyarung jesi kuning dan keluar ke lapangan? Barangkali ada yang beranggapan demikian. Tapi bagi sesiapa yang mengenali Pak Samad Said, pastinya tak akan berani menuduh demikian. Pak Samad punya prinsip seutuh gunung. Pak Samad tahu Bersih 2.0 adalah gerakan rakyat yang aman dan bukannya gerakan keganasan.
Seperti pernah diucapkan pada malam pelancaran Bersih 19 Jun 2011: “Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.
Tokoh itu menyambung lagi: Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani. Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.
Namun lain pula jawapan pemerintah: Kami khuatir kerana sejarah mencatatkan, dalam demokrasi, yang elit, jeneral, ahli korporat, bangsawan sentiasa akan tewas, jika mereka memilih melawan rakyat terutama di jalanan. Menyedari itulah maka kami seperti berada di persimpangan. Membiarkan kalah tanpa melawan atau melawan rakyat. Lalu kami pilih melawan rakyat!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment