Wednesday, July 20, 2011

Kota Bharu- Surabaya dan media





Oleh: Rossem
Kota Surabaya pertengahan Julai 2011 agak panas, jalan raya sedikit berdebu terutama bila melewati kawasan bangunan baru sedang dibangun. Papan tanda “Berhati-hati di musim kemarau banyak asap (debu)” dipasang di pinggir jalan yang kondisinya berdebu dan boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan pengguna jalan raya.

Papan tanda dengan bahasa yang melucukan banyak ditemuai di kota Surabaya yang berpenghuni 4 juta waktu siang dan 3 juta waktu malam ( Satu juta pekerja dari luar Surabaya yang mencari rezeki pulang ke rumah masing- masing di luar kota waktu malam). Di tepi sebatang sungai yang merentasi kota di tulis kata-kata amaran “ Jangan buang sebarang benda ke dalam sungai” Ternyata sangat berbeza dengan di Malaysia yang menggunakan istilah “Dilarang buang sampah ke dalam sungai”.

Yang paling melucukan, saat saya ke sebuah pasar raya di tengah kota Surabaya. Papan tanda di salah sebuah kedai ditulis “Menjual perlatan rumah tangga dan pecah belah” Peralatan rumah tangga boleh difahami, iaitu segala jenis perabut di jual di situ, tapi maksud pecah belah tidak dapat difahami, sehingga teman-teman yang ikut bersama mengatakan pecah belah itu mungkin bermaksud rumah tangga yang beratakan- suami isteri bercerai. Setelah bercerai harus membeli peralatan rumah yang baru.

Maksud sebenar dari perkataan itu ialah; peralatan rumah terpakai. Itupun setelah bertanya orang Indonesia.

Berkunjung ke Surabaya, Indonesia, bukan hanya mahu menulis yang remah dan temeh, seputar kesesakan lalu lintas yang serius, warga kota yang berkerja keras membanting tulang mencari rezeki, atau melihat orang ramai dengan jumlah yang besar berdoa di kuburan Sunan Ampel yang lokasinya kurang lebih satu kolometer dari hotel Quds Royal, tempat saya tinggal.

Tapi ke Surabaya kali ini dengan misi yang lebih besar, menyambung silaturahim Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kelompok Media Hidayatullah yang berpusat di Kota Surabaya.

Kunjungan saya tak lebih sebagai pengiring kepada Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dr Mohamed Fadzli Haji Hassan ke pejabat Media Hidayatullah, di Surabaya, Indonesia tanggal 14 Julai 2011 bukan sekadar ziarah silaturahim antara dua badan informasi terpenting, Urusetia Penerangan dan media dakwah terbesar Indonesia Hidayatullah, bahkan pada kesempatan itu turut termeteri Perjanjian Pesefahaman (MOU) antara keduanya.

Inti MOU antara lain menjalin kerjasama dalam konteks pertukaran maklumat informasi antara Urusetia Penerangan (UPKN) dengan Kelompok Media Hidayatullah (KMH), memandangkan sebelum ini pun KMH sering memberi liputan tentang Negeri Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1990 melalui majalah Suara Hidayatullah dan media on line Hidayatullah.com. Dengan termetrinya MOU itu, kerjasama dijangka bertambah mudah dan mantap.

Media Suara Hidayatullah pernah mengirim wartawan mewawancara Tuan Guru pada 1998, 2003 dan baru-baru ini wartawannya di Kelantan menulis panjang lebar tentang perkembangan Islam di Negeri Serambi Mekah, khususnya kejayaan kepimpinan Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan dengan dasar Islam. Suatu pencapaian yang sangat dikagumi umat Islam di Indonesia.

UPKN dan KMH dinilai memiliki persamaan matlamatnya perjuangannya iaitu menyebarkan Islam kepada umum. Seperti diungkapkan YB Dr Mohamed Fadzli saat menyampaikan ucapan pengenalan yang berlangsung dalam suasana santai tapi akrab di ruang mesyuarat pejabat Hidayatullah di Jalan Kejawan Putih Tambak, Kota Surabaya. “Kita menjalin kejasama kerana antara kita memiliki misi yang sama- menyebarkan maklumat Islam kepada umum”

Sebelumnya, dalam ucapan takruf, pemimpin KMH, Hamim Thohari mengatakan, jalinan kerjasama ini bermula dari silaturrahim yang telah dibangun atas dasar iman dan Islam.

“Kami berbesar hati di atas kunjungan yang sangat bermakna dari pemerintah Kelantan yang sebelum ini kami hanya mengetahui tentang Membangun Bersama Islam yang dipraktikkan dari jauh lewat tulisan, tapi hari ini dapat bertemu langsung dengan rombongan yang kepalai YB exco penerangan sendiri” katanya.

Selanjutnya beliau menjelaskan tentang perjalanan panjang media Hidayatullah yang berawal dengan secara kecilan, yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah media Muslim yang terkenal di seluruh Indonesia. Pembacanya terdiri semula golongan, bahkan pengedarannya menjangkau Malaysia.

Selain media cetak Suara Hidayatullah (SH), SH juga boleh dicapai lewat on line yang dikemaskini setiap saat. KMH juga memiliki percetakan sendiri, sekaligus mencetak al-Quran. Sebuah stesen radio juga dibangun. Radio yang dikenali dengan Radio Suara Muslim Surabaya 93.8 FM beroperasi sejak setahun lalu dan boleh didengar seluruh Jawa Timur yang berpenduduk 38 juta.

Pengurus Radio Muslim Surabaya, Mushin Toyib Abas menjelaskan kewujudan radio ini bertujuan menegakkan kalimah Allah, tepatnya dakwah di luar masjid. “Suara penyampai radio kami yang semuanya hafiz akan menusuk setiap telinga pendengar di mana-mana saja mereka berada, kedatangannya ibarat tetamu tak diundang tapi berkesan” katanya.

“Dibina dengan modal yang sangat minimum. Dengan seramai 14 orang dengan staf, namun oleh kerana matlamat kami semata-mata menyebarkan kalimah Allah SWT, disertai dengan keikhlasan para pendukung, maka Allah memberi kelapangan dada sehingga mampu mendari. Dan insyaallah projek kami selepas ini ialah membangun stesen televisyen dan seterusnya setalit Islam.” tutur M.T Abas.

Exco YB Dr Mohamed Fadzli selanjutnya menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai KMH itu bukan hanya kejayaan pihak KMH dan umat Islam Indonesia sahaja, tapi kejayaan umat Islam seluruh dunia.

Selama tiga hari menjadi tetamu KMH, YB Dr Mohamed Fadzli diberi peluag menyampaikan ucapan tentang kejayaan Islam di Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di masjid Pesanteran (pondok) Hidayatullah, Surabaya, di hadapan santeri seusai solat Zohor. Kemudiannya diskusi dengan mudir dan tenaga pengajar Sekolah Lokman Hakim kepunyaan Pesantren tersebut.

Selama empat hari di Kota Surabaya, saya tak akan lupa kemerduan suara bacaan al-Quran iman masjid Al-Irshad di kawasan permukimam warga Arab yang lokasi masjidnya beberapa meter dari hotel Quds Royal tempat saya menginap. Setiap dini pagi saya bersama teman Ustaz Haji Rosli Ismail, Mudir Mahaad Tahfiz Pulau Chondong, Machang, ke masjid itu untuk solat Subuh berjamaah yang diimamkan khatib berketurunan Arab (melihat wajahnya) tanpa membaca qunut seperti kelaziman di Malaysia.

Terima kasih yang sebesar-besarnya kepada teman seperjuangan Cholis Akbar, sosok yang mempertautkan hubungan silaturahim antara dua badan informasi dan dakwah- Kelantan dan Kelompok Media Hidayatullah, Indonesia. Apa yang berlaku dengan kehendak Allah SWT jua, kita hanya merancang, Allah yang merealitaskannya. Syukron untuk Pembina KMH dan para karyawan yang budiman. Semoga diberkati Allah SWT.

No comments:

Post a Comment