Oleh: Rossem
Kanser pembunuh dalam senyap. Kata pakar penyakit. Mereka merumuskan sedemikian kerana kanser pada awal serangannya, mangsa tidak mengalami rasa sakit yang ketara, hanya setelah penyakitnya matang, barulah diketahui, namun ketika itu segala-galanya sudah terlambat, ubat tidak lagi berkesan.
Kekecewaan rakyat juga seperti kanser, ia pembunuh senyap yang sangat ditakuti pemerintah, lebih-lebih lagi kekecwaan itu tidak pernah diluahkan. Sehingga tiba saatnya ia meletup seperti gunung berapi mengeluarkan debu panas lantas membaham apa saja yang berada disekitarnya. Ketika itu tiada lagi upaya pemerintah menahannya selain pasarah kepada takdir.
Banyak pemerintah di dunia ini ditumbangkan akibat dari tindakan rakyat yang gelisah dan kecewa oleh sesuatu tindakan pemimpinnya yang berterusan. Kesabaran rakyat tidak selamanya bertahan, ada batas waktu. Sampai saat rakyat akan membuat keputusan sendiri secara drastik.
Apa yang berlaku di Tunisia menarik perhatian kita dan seharusnya menjadi pengajaran kepada setiap kerajaan di dunia, termasuk Kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN). Protes rakyat di negara Arab Tunisia itu bertolak dari kegelisahan rakyat yang dihimpit rasa kekecewaan mendalam kepada pemerintah negaranya yang dipimpin Presiden Zine El Abidin Ben Ali kerana kegagalan elit-elit politiknya menanggangi masalah kenaikan harga barang mutakhir ini, sehingga dengan kenaikan berterusan itu membebankan rakyat yang rata-rata miskin.
Pemerintah awalnya memandang remeh terhadap protes rakyat. Kerana rakyat Tunisia sebelum ini tidak pernah menunjukkan reaksi sedemikian rupa. Tapi Ben Ali dengan keegoannya tidak cuba membaiki kondisi rakyat negaranya yang sudah bertahun-tahun hidup dihimpit kegelisahan, kekecewaan dan kesusahan akibat kenaikan harga barang setiap masa. Akhirnya rakyat memutuskan keluar ke jalan raya, berdemontrasi, bertempur dengan tentera dan polis.
Demonstrasi besar-besaran dicetuskan sebulan lalu apabila seorang pemuda, Mohamed Bouazizi, cuba membunuh diri selepas polis menghalangnya daripada menjaja buah dan sayur-sayuran di sekitar kota untuk menyara hidup.
Akhirnya kuasa rakyat menjadi pemenang, sang Presiden melarikan diri ke Arab Saudi. Menamatkan pemerintahan kukubesinya selama 23 tahun.
Lalu tukang-tukang tulis lucuan di Mesir pun menulis “Pesawat Ben Ali menghampiri Sharm el-Sheikh (kediaman Presiden Hosni Mubarak di pusat percutian Laut Merah), bukan untuk menurunkan penumpang, tapi mengambil seorang lagi penumpang”. Penumpang yang dimaksudkan ialah Presiden Hosni Mubarak. Kerana kondisi yang sama (kenaikan harga barang) juga berlaku di Mesir.
Nasib baik di Malaysia tidak ramai penulis lucuan secara spontan seperti itu. Kalau ada, pasti ayatnya ditambah menjadi “ Pesawat itu kemudiannya terbang ke Timur, singgah di Putrajaya, mengambil seorang lagi penumpang”.
Kerana apa yang dialami majoriti rakyat Tunisia itu sebenarnya sama dengan apa yang dirasai majoriti rakyat Malaysia yang rata-rata gelisah dan kecewa dengan kenaikan harga barang keperluan asas sejak mutakhir ini. Daripada bahan bakar (minyak) hingga keperluan dapur seperti gula, bawang, susu, sabun, minyak masak dan lain-lain. Sedang hal ini tidak dirasai elit-elit politik kerana mereka punya banyak wang.
“Rakyat dapat menerima kenaikan harga barang ini kerana ia berlaku di seluruh dunia”. Hujah elit-elit pemerintah (BN) bila ditanya puak oposisi di Dewan Rakyat.
Kerajaan BN senang sekali kerana rakyat umumnya tidak mempedulikan kenaikan itu, sebaliknya menjalani kehidupan seperti biasa. Rasa kekhuatiran rakyat akan keluar ke jalan raya memprotes besar-besaran, bahkan tidak terlintas langsung di fikiran mereka yang berada di Putrajaya.
Realitinya kerajaan BN merasakan berada dalam posisi selamat dengan isu ini. Seperti juga tanggapan elit-elit pemerintah Tunisia pimpinan Ben Ali sebelum ditumbangkan rakyat 15 Januari 2011. Yang yakin dan percaya isu kenaikan harga tidak mungkin mengugat posisi pemerintahannya. Namun harus diingat, kegelisahan dan kekecewaan rakyat yang disembunyikan di dalam hati itu lebih berbahaya kerana akhirnya akan pecah jua, seperti kanser, pembunuh mangsa dalam senyap.
Mungkin pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti!
No comments:
Post a Comment