Sunday, September 6, 2015

Harga sebuah perjuangan



 Oleh: Rossem

Seorang kawan dengan separuh cemas bertanya.  Bagaimana dengan bai’ah Ahli Parlimen Pas dari Kuala Krai setelah beliau mengistiharkan menyertai Parti Amanah Nasional (Amanah) sekaligus menggotai jawatankuasa parti itu?.  Jatuhkah talak tiga sebagaimana dilafaz dalam bai’ah ketika   mengisi borang untuk bertanding calon PAS pada PRU ke 13 dulu. Saya bertanya beliau  “ kalau kereta anda rosak, anda panggil posmen atau pomen?” beliau menjawab “tentulah panggil pomen”. Begitu juga dengan urusan hukum hakam agama, biarlah orang alim mengulas. Serahkan kepada pihak yang berautoriti menentukan hukum. Orang jahil diam saja” Saya tak dapat menjawab pertanyaan anda, kerana bukan bidang saya.

Gambaran itu, dalam konteks Pas memperlihatkan, betapa cemas dan kalutnya rakyat memikirkan  masalah politik yang berlaku di Malaysia.  Dari satu babak ke satu babak, dari satu episod ke satu episod tak berhenti seperti air di pacuran.  Yang paling cemas ialah isu bai’ah dilakukan Pas kepada setiap calon yang bertanding mewakili parti itu  pada pilihan raya umum atau kecil.

Bai’ah yang disyaratkan kepada calon-calon Pas yang dipilih bertanding mewakili parti Islam itu ada dua, iaitu bai’ah bersumpah, kalau menang tak akan meninggalkan parti, kalau meninggalkan parti maka Allah, malaikat, dan seluruh pelaknat akan melaknat calon itu. Namun bagi calon yang bertanding di negeri Kelantan, selain dari sumpah laknat ada lagi tambahannya iaitu taklik; kalau meninggalkan parti, maka tercerai talak tiga dengan isteri. Dr Mohd Hatta Ramli antara Ahli Parlimen Pas yang dibai’ahkan dan bertaklik. Beliau  bertanding di Kelantan iaitu Parlimen Kuala Krai dan menang. Bagaimana Dr  Hatta menghadapi situasi getir ini, hanya beliau yang tahu. Isteri dan anak-anak beliau pasti terbungkam. Itulah harga sebuah perjuangan!

Bai’ah wakil rakyat  Pas kepada parti (Pas) bermaksud calon atau wakil rakyat menerima amanah daripada Pas sebagai wakil rakyat mewakili  Parti itu  dengan janji setia memegang amanah, melentang  menirap, jatuh bangun  bersama Pas. Bai’ah ini tak boleh dilanggar, jika dilanggar segala apa yang terkandung dalam bai’ah  akan terkena kepada si pelanggar. Termasuk taklik bercerai talak tiga dengan isteri, itu pun kalau ada isteri. Kalau ada dua isteri, kedua-duanya sekali terlibat, kerana dalam bai’ah  dinyatakan isteri dan isteri-isteri. Seperti sudah mengetahui, calon Pas sebahagiannya ada isteri-isteri.

Meninggalkan Pas sedangkan mereka menang dulu atas tiket Pas memanglah agak janggal.  Seperti pasukan pemanah tentera Islam  meninggalkan bukit Uhud kerana terpedaya dengan kilauan rampasan perang, akhirnya menyesal. Khuatir mereka yang gopoh itu juga akan menyesal kemudian  hari di atas tindak tanduk  mereka yang mungkin sebelum membuat keputusan tak terlintas akan berlaku masalah sehingga serumit ini.  Namun, seperti kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, itu urusannya dengan Allah SWT.

Bagi Ahli Parlimen Shah Alam  itu, menurutnya, hukuman  melanggar sumpah bisa  ditebus dengan membayar kifarat dengan memberi makan sejumlah fakir miskin. Khalid dan Dr Mariah Mahmud (Parlimen Kota Raja) sudah pun menyempunakan kifarat dengan menjamu fakir miskin dalam kawasan Parlimen yang diwakili mereka.

Senario yang berlaku itu adalah bertitik tolak  dari sikap  wakil-wakil  rakyat yang  tak amanah kepada parti, membelakangi parti  yang mereka sendiri perjuangkan sekian lama. Kata  pemimpin Pas yang baru menang bila melihat ramai wakil-wakil rakyat dan pendokong parti telah  terbatal sebagai ahli Pas (secara otomatik)  kerana menyertai parti lain. Seorang non -Muslim bertanya “ Bagaimana dengan kami orang-orang Cina DAP yang mengundi Pas pada PRU13, setelah Pas menang, kami  dimusuhi...itu kira tak amanah”. Seorang lagi non-Muslim melontar opini agak kasar tentang pecah amanah “contoh amalan yang mencemarkan imej jamaah Islam ialah khianat kepada rakan parti dalam Pakatan Rakyat dengan meletakkan calon Pas bertanding di kawasan pilihan raya yang telah dijanjikan kepada calon parti rakan.

Kes bai’ah bukan perkara kecil, ia merupakan akurjanji secara langsung dengan Allah SWT. Beranikah melanggarnya?. Saya percaya, andai ditawarkan  satu juta kepada wakil rakyat terlibat untuk keluar dari Pas menyertai parti lain, saya percaya mereka tak akan berbuat demikian. Pendokong Pas sudah kenal siapa mereka. Kalau mereka  mengejar material dari dulu lagi mereka tak akan menyertai perjuangan Pas. Terjadinya demikian adalah kerana  keinginan yang berbuak-buak untuk menumbangkan  Umno/BN dalam pilihan raya umum mendatang. Mereka yakin hanya melalui kesepakatan bersama dengan Pakatan Rakyat, cita-cita untuk menguasai Putrajaya berhasil.  Sebaliknya Pas, terutama dibawah kepimpian Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang dilihat tak serius ke  arah itu.

Terbongkarnya isu bai’ah talak tiga membawa Kesan yang mendalam kepada masyarakat Malaysia, selama ini isu bai’ah cuba disembunyikan dari pengetahuan umum, walaupun ramai mengetahui dan faham situasi dan kondisi yang berlaku di Kelantan terutama selepas PRU11. Bai’ah dikatakan telah menyelamatkan Pas daripada santapan rakus Umno/BN. Pas ketika itu memerintah Kelantan  dengan majoriti satu kerusi dua  undi.  Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri cuba menyembunyikan bai’ah ini dari diketahui umum. Almarhum   penah ditanya wartawan “Benda ni tak ada dalam kepala saya, tidak ada bai’ah (talak tiga) ni, tidak ada bunyi khabar pun benda ni di Kelantan”. Jawab Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Inilah bahayanya pergaduhan dalam parti. Ibarat suami isteri, ketika berkasih sayang semua indah belaka. Yang tak baik ditutup rapat-rapat.  Bila bergaduh, apalagi setelah bercerai berai, terbongkar segala rahsia.  Kurap panau, kudis, bisul semua diceritakan kepada  umum , samada dalam keadaan sedar atau terpaksa didedahkan seperti kes bai’ah talak ini.




Wednesday, August 12, 2015

Malaysiaku lucu




Oleh: Rossem

Benarkan Malaysia sebuah negara lucu?  Teringat sebuah anekdot tentang seorang menteri di negara jiran di zaman orde baru. Menteri itu masuk hospital selama dua minggu. Selama di katil hospital kelas satu, tak banyak dapat dilakukan selain makan ubat menonton TV.  Menteri itu menonton TV terus sampai ia keluar hospital. Kembali di rumahnya, ia menulis surat kepada Menteri kabinet yang menjaga radio dan TV iaitu menteri Penerangan. “Yang berhormat, selama dua minggu kelmarin  saya bertambah bodoh”   Menteri penerangan membalas surat dengan mengatakan “ Yang Berhormat, jangan buat-buat tak tahu, kita tak mengharapkan  rakyat jadi pandai. Yang penting ialah patuh, taat  dan pasif”. 

Suatu hari saya bercakap dengan seorang lelaki lewat 40an. Saya tahu akademiknya tak seberapa, namun hujah politiknya hebat  mengalahkan mereka yang mengambil jurusan politik. Saya bertanya, apakah anda seorang yang gemar menonton TV. “Saya tak suka menonton TV, hanya  sesekali bola sepak”.  

Di Malaysia menurut kajian ramai yang tak menonton TV walupun saluran TV banyak. Mungkin kerana itulah  ramai orang Malaysia menjadi  cerdik. Bila diberitahu wang sebasar RM2.6 bilion daripada sumber derma, mereka tidak terus mempercayainya. Malah mempersoalkan; siapa dari langit yang sanggup berderma wang sebesar itu kepada Perdana Menteri. Tak dinafikan, ada manfaatnya TV, setiap masuk waktu solat, azan berkumandang sentiasa tepat, tak pernah bohong. tak lewat dan tak kurang walau seminit. Sepanjang Ramadhan kelmarin umat Islam menunggu azan maghrib dari TV untuk berbuka.

Bulan Ogos, majalah kartun Apo dan Ujang diberhentikan penerbitannya setelah beroperasi lebih 10 tahun (Apo sehingga bil. 399). Penerbitnya Moy terpaksa mengambil keputsuan yang pastinya menghiris perasaan kartunis- kartunis yang bernaung di bawahnya. Antara sebab-sebah Moy terpaksa gulung tikar ialah  kerana ekonomi semakin gawat, penurunan nilai ringgit yang ketara dan GST yang mencekek darah.

Namun alasan yang lebih sesuai ialah, rakyat Malaysia sejak mutakhir ini  sudah tak berminat kepada majalah berbentuk humour atau kelakar, kerana Malaysia sendiri sudah menjadi negara kelakar di mata rakyat, demikian kata Zunar.  Buat apa membeli majalah seperti itu, kerana setiap hari rakyat dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kelakar daripada  menteri-menteri kabinet. Rakyat sudah cukup terhibur dengan telatah mereka. 

“Jangan hantar anak ke sekolah kerajaan, jika tak suka kerajaan BN” Kata  Menteri Pendidikan II, Datuk  Seri Idris Jusoh. Kalau beliau itu Timbalan Menteri, dengan kenyataan seperti  itu pasti dinaikan pangkat menjadi  menteri penuh. Idris Jusoh sudah pun menteri penuh, tak perlu bersusah payah memikirkan kata-kata lucu untuk hidangan   khalayak.

“Umno sekarang dalam kondisi lemah, bagaimana pendapat tuan sekiranya pilihan raya umum diadakan besok?” tanya seseorang kepada Ahmad Maslan….., beliau menjawab dengan selamba “Pilihan raya umum bukan besok, dua tiga tahun lagu”. Kelakarnya mengalahkan kelakar yang dihidangkan  dalam majalah humor seperti Apo, Ujang dan Gila-Gila. 

Jawapan itu dibalas dengan kelakar oleh menteri yang digugurkan “ Kalau guru-guru bertanya anak murid mereka, besok mahu jadi apa?” jawab murid “ besok  saya kecil lagi cikgu”. Bagaimana perasaan cikgu ketika itu. 

Kata Shafie Apdal, seorang lagi menteri kabinet yang keguguran (maaf, digugurkan)  “Sesiapa (pemimpin Umno) yang yes saja, confirm menteri” . Yang banyak bertanya sesuatu yang ia tak tahu seperti Tan Sri Muhyiddin Yasin akan digugurkan dari jawatannya,.

Teringat sebuah anekdot, suatu hari seorang guru agama memberi kuliah kepada anak-anak muridnya tentang cara-cara mengambil wudud berdasarkan sebuah kitab lama bertulisan jawi. Kata sang guru “ Ketika membasuh tangan, pergelangan tangan sehinggu siku seseorang itu wajib  meratakan air segenap bulu rom” Salah seorang anak muridnya tak faham tentang maksud bulu rom lalu bertanya “ Bulu rom itu apa guru?”. 

Guru tadi menjawab pertanyaan  murid dengan mengatakan “bulu rom itu sejenis bulu burung dari syurga”. Anak murid  bertambah bingung dengan jawapan gurunya. “Apa kena mengena mengambil wudud dengan burung dari syurga?” anak muridnya meberanikan diri bertanya. “ Maka orang yang banyak bertanya itu tak berkatlah segala ilmunya” kata guru sebagai melepaskan diri kerana tak dapat menjawab pertanyaan anak muridnya. Memang,  dalam kitab zaman dahulu  bertulisan jawi lama, bulu roma itu ditulis bulu rom.

Ahmad Maslan telah berjaya dalam siri  “jawapan kelakar” sepanjang menjadi Timbalan Menteri, sehingga dilantik menteri penuh pada rombakan  kabinet kelmarin. Dunia terus  mentertawakan kita; negara melantik pegawai penyiasat, kemudian pegawai penyiasat pula disiasat. Kelakarnya mengalahkan majalah Apo dan Ujang.  Ini betul-betul lawat antarabangsa!



Sunday, July 19, 2015

Aidilfitri hari kemenangan



Aidilfitri hari kemenangan
Oleh: Rossem

Aidilfitri adalah hari kemenangan. Orang-orang yang beriman yang berhasil melepasi Ramadhan dengan baik seperti seorang bayi yang baru dilahirkan . Sayangnya kebanyakan orang Islam masih menganggap,  Aidilfitri merupakan hari kebebasan. Bebas dari lapar dan haus, bebas daripada menahan hawa nafsu, umpat keji dan bebas dari mengerjakan tarawih.

            Aidulfitri bersal daripada kata led “kembali”dan “fitri” kesucian. Pada hari itu Allah SWT menghapuskan segala dosa hamba-hambaNya yang ikhlas melaksanakan ibadat Ramadhan. Dosa yang langsung diampuni adalah dosa yang dilakukan terhadap Allah SWT, sementara dosa seseorang manusia terhadap manusia lain, akan diampuni ketika orang yang dizalimi telah memaafkan. Dan waktu terbaik untuk saling   memaafkan ialah Aidilfitri.

            Namun,  kedatangan Aidilfitri bererti pemergian Ramadhan. Rasulullah saw dan para sahabat merasa sangat sedih kerana tidak tahu, Ramadhan  tahun hadapan dapat bertemu lagi atau tidak. Sebagai orang Islam, seharusnnya kita pun menangisi pemergian bulan penuh rahmat dan maghfirah itu, bukan justeru menganggap berakhirnya sebuah “penderitaan”. 

            Ada baiknya jika di hari Aidilfitri kita menghisab diri dan amalan-amalan yang selama ini telah kita lakukan. Mohonlah kelak agar dijauhi dari api neraka.

            Banyak hal penting yang sering dilupakan oleh sebahagian kita. Banyak perilaku Ramadhan yang ditinggal begitu saja selepas bulan suci tersebut berlalu. Amat baik jika kita berusaha agar nilai-nilai dan kebiasaan Ramadhan terus kekal dan dipraktikkan  pada hari-hari selanjutnya, sehingga kehidupan kita lebih bermakna dan perilaku kita akan terbina dengan baik. Sangat indah jika kita terus berikhtiar untuk menjadi insan yang berhati dan berperilaku Ramadhan setiap hari. 

            Kembali kepada fitrah, bukan bererti, tidak melakukan kesalahan lagi, tapi kita bertekad dan berusaha, bagaimana mengurangkan setiap kesalahan itu semaksimum mungkin. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Meredah samudera - Dari kapal besar pindah ke perahu



Meredah samudera - Dari kapal besar pindah ke perahu
Oleh: Rossem

“Selepas kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ada lagikah ulama seperti itu di Malaysia?” Tiba-tiba satu soalan diajukan kepada saya dipagi hari 1 Syawal 1436. Soalan yang sukar dijawab. Dan saya mengaku tak betah menjawabnya, lalu saya meminta orang yang   bertanya tadi menjawabnya sendiri, saya mahu mendengarnya saja. Kalau argumantasinya  bisa menyakinkan, barangkali bisa menerima. 

Antara ciri-ciri ulama ialah memiliki sifat-sifat yang dimiliki Rasulullah saw.  Sabar dalam berdakwah, tidak cepat mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesama jamaah seperti menyebut perkataan barua, calon pil kuda dan sebagainya  semata-mata disebabkan perbezaan pendapat antara sesama saf perjuangan. Kata orang yang bertanya itu.

Barulah saya faham, rupanya ada udang di sebalik mee, ada perkara yang terbuku di hatinya mahu diceritakan. Pertanyaan itu hanya mukadimah. Hujung jatuhnya ialah oipininya  tentang sikap seorang pemimpin parti yang bergelar ulama tetapi ciri-ciri keulamakannya kurang lengkap. Demikian apa yang saya fahami dari tutur katanya. Selebihnya wallahualam bisawab. Biarlah ia dengan pandangannya. Noktah!

Peluang bertemu keluarga, sahabat taulan.

Di hari raya aidilfitri, peluang bertemu sanak saudara dan sahabat taulan  begitu mudah. Boleh ditemui di masjid, surau, di rumah, di jalanan.  Bersalaman, bermaafan sambil senyum melebar. Peluang bertemu anak-anak perantau yang pulang berhari raya di kampung setahun sekali, sehingga tak kenal anak siapa, setelah diberitahu nama bapanya, baru tahu, rupanya ada pertalian keluarga. 

Ibubapa sekarang “berat mulut”  untuk memperkenalkan anak-anak mereka terutama yang mencari rezeki di perantauan kepada warga tua asal sekampung, sehingga masing-masing tak mengenali satu sama lain.  Berselisih bahu  tak bertegur sapa. Tidak seperti ibubapa zaman saya kecil-kecil dahulu,   mengambil berat hablumminannas.

Bagi  kaki politik, mereka membawa pulang bersama cerita-cerita politik  yang berlaku di tempat mereka mencari rezeki. Justeru banyaklah cerita-cerita politik semasa tersebar di kampung-kampung, disamping cerita-cerita yang dikutip daripada fecebook, twiter atau blog. Perantau yang pulang dari  Selangor antara paling banyak cerita politik. Ada yang  “sebak” takala  menceritakan perpecahan yang berlaku dalam PAS hari ini. Pendokong PAS Selangor amat khuatir dengan situasi dan kondisi yang berlaku.  Kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) boleh tumbang jika tersilap langkah.  

Bagaimana kedudukan tiga komponen parti (PR) yang mentadbir Selangor bila berlaku sidang DUN nanti. Bolehkah PAS dan DAP duduk satu baris. Tak malukan PAS yang tak sukakan DAP dan DAP tak sukakan PAS  berada dalam satu posisi. Kemungkinan   PAS dan DAP akan bertikam lidah sesama sendiri tetap ada, dan jika ini berlaku, BN ketawa Kah kah kah.

Sembang-sembang santai ketika   pertemuan hari raya dengan kawan-kawan ramai melahirkan rasa “terkilan” dengan apa yang terjadi. Seorang ustaz bahkan mengatakan; kalah total  calon-calon  “progresif” dalam muktamar baru-baru ini adalah agenda  golongan ustaz-ustaz muda (konservatif)  untuk menghalang golongan progresif   menguasai parti. Bagi kelompok ustaz muda, Inilah peluang  paling  sesuai untuk merealisasikannya, iaitu ketika  Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang masih di tampuk kuasa. 

Ustaz itu  terus  berkomentar; sepatutnya  sebahagian golongan progresif yang bertanding dimenangkan. Mohamad Sabu kekal, memandangkan beliau antara tokoh paling lama berjuang dalam PAS. Andainya Mohamad Sabu  itu Syiah, Majlis Syura Ulama harus tunjukkan bukti untuk mensabitkan beliau dengan fahaman itu. Seterusnya ustaz itu mengatakan; Jika pemilihan kelamrin berimbang, pepecahan tak mungkin terjadi. Keghirahan ustaz-ustaz muda menjadi punca segala pemasalahan.  Kebijaksanaan berpolitik tidak ada. Sementara kesungguhan dan keikhlasan  untuk mencari akar perpecahan sebenar dilihat tidak wujud  pada  Presiden dan Mursyidul Am. 

Nasi sudah menjadi bubur. Parti serpihan PAS bakal muncul. Amaran demi amaran, bahkan ugutan dilontarkan pemimpin PAS kepada ahli PAS yang akan menyertai parti Gerakan Harapan Baru (GBH) melepaskan semua jawatan termasuk Ahli Parlimen dan Adun. Dipulaukan oleh rakan-rakan yang dahulunya sama-sama berjuang dalam parti. Disindir dengan kata-kata kesat dan mencarut.  Lebih memeranjatkan, saya terbaca sebuah iklan rumah terbuka aidilfitri seorang mantan Adun “ Kami mengadakan rumah terbuka pada 2 Syawal, dijemput semua hadir,  kecuali puak-puak  Gerakan Harapan Baru” .  Kemuliaan dan kesucian aidilfitri telah dirosakkan oleh tangan-tangan yang dahulunya kawan akrab, atau hanya gurauan saja.

Ceramah pertama Gerakan Harapan Baru di bumi Kelantan, malam 19 Julai 2015 di Dewan Perniagaan Cina, Kota Bharu,  sempena jamuan hari raya aidilfitri (3 Syawal 1436). Kehadiran orangramai di luar jangkaan, kurang lebih 3 ribu membanjiri dewan dan luar dewan, berbilang kaum, namun majoritinya orang Melayu. Kehadiran mereka jangan dipandang  sebelah mata sambil melontar kata-kata sinis. Jangan samakan dengan ribuan hadir di majlis  jamuan hari raya anjuran  PAS yang dibuat di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV. Di Dewan Perniagaan Cina ini mereka datang untuk mendengar ceramah sulung sambil melihat dari dekat wajah-wajah yang tak sehaluan dengan golongan konservatif dalam PAS, bukan  untuk menikmati juadah  hari raya yang juga disediakan. 

Apapun alasannya ia perjuangan yang bermula dengan sebuah rasa.. Yakni " kecewa", tulis seorang politikus muda dalam akaun facebooknya. Benar, saya bersetuju dengan opini itu.  Semua bermula dari kekecewaan. Bangsa Palestin bangkit menentang Israel kerana kecewa buminya dirampas Zionis, bahkan PAS lahir juga kerana kecewa dengan sikap Umno yang sedemikian rupa (PAS parti serpihan Umno dari sayap/biro agama Umno-1950an).

Yang berlaku sekarang, ibarat sebuah kapal besar, di dalamnya ada kapal kecil yang dipanggil perahu penyelamat, bila berlaku kebocoran pada kapal besar dan dikhuatiri akan tengelam, penumpang nekad membuat keputusan. Sebahagiannya akan tetap berada di kapal induk itu dan sebahagiannya (yang tak sabar)   berpindah ke kapal kecil, justeru kapal kecil harus siap siaga mengambil tanggungjawab ini. Sedikit saja kesilapan, ia  akan tenggelam. Kapal induk pula tak tenggelam.

Balik kampung,  balik akhirat

Pulang kampung atau balik kampung setiap kali  tibanya hari raya aidilfitri bagi mereka yang merantau mencari rezeki di tempat orang, adalah hal lumrah sejak berzaman.  Hari-hari terakhir Ramadhan kenderaan seperti bas, mobil, motosikal bertali arus, siang malam, menjadikan jalanraya di Malaysia macet berat. Masing-masing bergerak dengan satu tujuan;  menuju kampung halaman. Tak hairan,   kota-kota besar, seperti Kuala Lumpur bertukar manjdi lengang ditinggalkan sebahagian penghuninya. Teringat kartun Lat suatu masa dulu, tikus boleh melintas jalanraya tanpa dilanggar mobil. 

Balik kampung atau Indonesia menyebutnya- mudik mengingatkan manusia bahwa segala sesuatu akan kembali ketempat asal.  Dunia fana ini akan ditinggalkan, kita semua akan kembali berpusat kepada Dzat Yang Maha Kuasa Pencipta dari tidak ada menjadi ada. Jagat raya beserta isi hakikatnya milik Allah Subhanahu Wata’ala. Segala kenikmatan yang bisa dirasa oleh manusia berupa rezeki  hanyalah titipan sementara. Harta, rumah, perhiasan, anak, kenderaan, kesihatan, bahkan umur titipan semata. Adakalanya Allah Subhanahu Wata’ala mengambilnya barang sementara atau bahkan selamanya. 

Hakikatnya, balik kampung adalah sebuah gambaran perpindahan seseorang individu dari tempat sementara ke tempat asal kelahiran. Dan selepas ini kita akan menemui lagi perpindahan yang sebenar iaitu dari alam dunia ke alam kubur / akhirat. Balik kampung kali kedua ini tidak  akan pulang lagi ke tempat  dulu mencari rezeki.  Di wilayah baru ini, setiap orang akan berdepan dengan mahkamah Allah Subhanahu Wata’ala, jika baik keputusannya, syurga menunggu, sebaliknya jika buruk keputusannya, neraka- nauzubillah!.