“Mulai tahun depan, beras Nasional naik harga” Kata penjual
runcit beras di kedai Beras dan Padi Negara (Bernas) depan rumahku ketika kelmarin
datang membeli sekampit beras Malaysia. Harga sekampit seberat 10 kilo RM17.
Berbanding dengan beras lain harganya sehingga RM30, justeru beras Nasional satu-satu
beras paling murah di Malaysia, sesuai untuk makanan golongan berpendapatan
rendah, walaupun rasanya kurang enak.
“Mulai 2016 kerajaan
menarik balik subsidi untuk beras Nasional, maka pengilang terpaksa menaikkan
harga jualan” kata si penjual beras. “Namun harganya belum ditetapkan. Masih
ada sebulan lagi”. Sambung penjual
beras. Sambil melangkah keluar dari
kedai, teringat kata-kata yang pernah diucapkan seseorang, pemimpin Malaysia memang tanpa telinga. Justeru tak mendengar rintihan
rakyat. Kenaikan harga barang tak sepadan dengan kenaikan pendapatan harian
atau bulanan isi rumah.
Beras adalah makanan asasi rakyat Malaysia. Terdapat
pelbagai gred beras di pasaran dengan harga yang berbeza. Dipekkan dalam dua katogeri, seberat 5 kilo dan 10
kilo. Orang Kelantan kurang tertarik
dengan beras tempatan sebaliknya memilih beras impot dari Thailand yang kononnya lebih baik. Pelbagai
nama dan cap dilebalkan antaranya Burung Serindit, Arnab dan Naga. Naga ada dua jenis, naga senyum dan naga
selamba.
Peniaga beras Siam amat pintar. Beras yang baru
diperkenalkan sedap dimakan. Bila sudah popular pelangan pun ramai, sedikit demi
sedkit beras itu dicampur dengan beras hancur yang kurang bermutu. Tujuannya
mahu mengaut untung lebih. Bagi pelangan pula,
olehkerana sudah terbiasa dengan
jenama itu hendak atau tidak terpaksa belikan juga.
Saya pun faham, sejak dulu orang Kelantan berbangga dapat
makan beras Siam. Tetapi mereka tak sedar, beras Siam yang dijual di Kelantan
rendah mutunya. Saya pernah makan nasi di restoran-restoran Selatan Thai
seperti Narathiwat, Pattani dan Hatnyai mendapati rasa nasinya berbeza dengan nasi beras siam yang
didapati di Kelantan. Nasi beras siam di
Thailand keenakannya aduhai!. Andai tanpa lauk pun bisa ditelan kerana cukup
rasa lemak manisnya.
Cuti sekolah sudah bermula. Saya diajak anak-anak
beristirahat semalaman di resort tepian
pantai Laut Cina Selatan. Lokasinya tak sampai 200 meter dari gigi pantai,
olehkerana kawasan itu telah dibina tembok konkrit anti hakisan, justeru hilang
rasa takut akan ganasnya ombak
menghempas pantai di musim tangkujuh. Alangkah terperanjatnya bila mendapati pekerja-pekerja
resort terutama barisan depannya terdiri
orang Banggladesh. Lalu terbayang, betapa sukarnya anak-anak bangsaku untuk
mendapat pekerjaan. Kera di hutan disusui, anak sendiri kelaparan. Bijak orang
tua-tua dulu mencipta pepatah petitih!
Tahun 2015 hanya tinggal
sebulan, kemudian 2016 pula akan menyusul. Bulan Disember setiap tahun
banyak mencatat sejarah duka. Antaranya bah kuning menengelamkan separuh bumi Kelantan. Rumah, ternakan,
tanaman rosak dan musnah. Kesannya masih boleh dilihat sehingga sekarang. Di Gua Musang dan Manek Urai ada lagi rumah yang masih belum dibaiki.
Mereka yang mahu membantu berlumba-lumba datang menghulur
bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Kain baju, selimut, khemah serta
makanan melimpah ruah. Yang membayai pembinan rumah baru mengantikan rumah yang
hilang dihayut air atau rosak teruk juga ramai. Antaranya datang membina rumah
tanpa memaklumkan kepada Kerajaan Negeri. Mereka yang suka membuat kerja tak
beradat ini seringnya dilakukan kelompok politik tertentu dengan tujuan
tertentu dan kita pun tahu.
Musibah banjir yang digelar bah kuning disifatkan paling teruk pernah melanda
Kelantan selepas bah merah (air ulu merah) awal abad ke 19 dan bah tanpa nama
tahun 1967. Ramai warga menjadi mangsa dan kemusnahan harta benda tak dapat
diungkap dengan kata-kata.
Tanggal 25 November, di majlis Anugerah Sasterawan Negeri
Kelantan 2015 yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu, saya diberikan
sebuah buku antologi puisi dan cerpen berjudul “Bah Kuning”. Buku setebal 250
muka surat diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka memuatkan karya 70 penyair dan
cerpenis Kelantan dan Terengganu.
Puisi pertama pembuka kata karya sasterawan budayaan tak
asing lagi Datuk A. Aziz Deraman, mantan Pengarah DBP;
Bencana dalam malapetaka
mungkin di bumi manusia
ada aneka rupa derhaka
hamba lupa akan tuannya
tiada amal tiada ibadat
cara bersaudara putus adat
hubungan dengan Yang Esa
jalinan sesama manusia
bungkam di kaki masa
buruk baik dosa pahala
tanda dua pohon berbeza
tidak teguh akar iman
akidah pun ikut hilang
akhlak tiada dijaga
ukhwah tidak berupa
kerana bercekah berbalah
bangsa berpecah
agama terbelah
ketika banjir besar
manusia jadi nanar
apakah luarbiasa itu bala
kerana bala itu milik-NYA
boleh ada boleh tiada
rahmat disebaliknya.
Dr Fatimah Busu dinobatkan sebagai penerima Anugerah
Sastera Negeri Kelantan 2015. Anak
Kelantan jati berasal dari Kg. Pasir Pekan lahir 1 Januari 1943 pernah
berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Penulisan beliau tertumpu pada genre puisi, cerpen, novel, drama dan kajian
teks.
Cerpen dan novel yang dihasilkan sarat dengan kritikan
pedas tentang kepincangan kaum kuasawan
dalam memimpin bangsa. Bahkan dalam ucapan yang ringkas di majlis itu, beliau
menyebut; kita bangsa yang sudah kehilangan Melayu. Sekarang Melayu sudah
menjadi “mantan”. Tanah Melayu menjadi Malaysia, Bahasa Melayu menjadi bahasa
Kebangsaan, Sekolah Melayu menjadi sekolah kebangsaan. Hanya yang masih kekal;
askar Melayu, baju Melayu, butang baju Melayu. Penghakisan itu angkara
elit-elit politik Melayu juga.
Sekarang memasuki wilayah bulan Disember, di Kelantan
hujan mula turun, hanya tak selebat Disember
2014. Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato Haji Ahmad Yakob menyeru rakyat
Kelantan mengadakan solat hajat, mohon kepada Allah SWT, agar bah kuning tak
datang lagi.
No comments:
Post a Comment