Friday, November 2, 2012

Senang sekali bertemu sutradara dakwah Chaerul Umam

Bersama aktor Ketika Cinta Bertasbih, Kholidi Ashadil Alam


Oleh: Rossem
 Sekitar tahun 60an filem-filem Hindustan  menghantui orang Melayu. Aktor dan atres  seperti Shammi Kapoor, Rejendra, Dev Anand, Hemma Malini dan pelawak Mehmood menjadi sebutan anak-anak muda, bahkan potongan rambut, fesyen pakaian mereka menjadi ikutan. Itulah  kemuncak zaman kegemilangan filem bollywood bagi orang Melayu.

Awal  80an,  filem-filem  Hindustan mula  diketepikan, sebaliknya filem-filem  Indonesia  mengambil tempat di Malayisa khususnya bagi orang Melayu. Filem-filem seperti Si Pitung, Si Pitung Benteng Betawi, Saimun Dasima, Pahlawan Sembilan, filem  bercorak remaja seperti Daun-Daun Berguguran, filem perang seperti Mereka Kembali dan  filem penyiasatan ala bond seperti Jakarta, Hong Kong,  Macau menjadi kegemaran orang Melayu. Penguasa bioskop  untung besar.

Filem boleh menyatukan bangsa yang berpecah. Filem boleh mendekatkan yang jauh. Hubungan yang retak antara dua negara serumpun Indonesia- Malaysia suatu masa dulu dirapatkan kembali lewat budaya. 

Setelah  konfrantsi tamat sekitar  tahun 1963, pertama-tama  yang dikirimkan ke Malaysia oleh Indonesia ialah rombongan kebudayaan yang terdiri dari penyanyi dan penari.  Kalau tak salah, artis   Titik Puspa bersama  pelawak terkenal Bing Slamet. Mereka  mengadakan  konsert  di Kuala Lumpur dengan Radio- Televisyen Malaysia-Indonesia (RTM-TVRI) membuat lintas  langsung.  Diikuti kemudianya rombongan budaya  dari Malaysia terbang  ke negara tetangga Indonesia untuk mengadakan persembahan yang serupa di sana.

Penulis bersama Sutradara Bapak Chaerul Umam di Jakarta
Peminat filem-filem Indonesia di Malaysia waktu itu dapat menghafal  satu persatu nama-nama aktor dan aktres terkenal  seperti Sandy Swardy Hassan, Dicky Zulkarnian, Rahmat Kartolo, Maruli Si Tompel, Widyawati, Rohayu Afendy dan lain-lain.  

Waktu itu majoriti  filem-filem Indonesia berkisah tentang  tokoh perjuangan bangsa menuntut kemerdekaan dari Belanda, namun filem-filem percintaan, kisah   masyarakat dan remaja juga banyak.

Penyebab  utama peminat filem di Malaysia tertarik dengan filem-filem Indonesia ketika itu ialah, filem -filem dari seberang dibikin dalam warna, sebaliknya filem-filem lokal masih berkira-kira dari hitam putih kepada warna. Dalam bab ini, Indonesia mendahului Malaysia setapak ke depan.

 Sementara filem  Islami atau dakwah belum galak seperti sekarang, namun  pada penghujung era kegemilangan  filem layar lebar Indonesia di Malaysia, filem  Al-Kautsar, iaitu satu-satunya filem dakwah sudah ditayangkan di pawagam Malaysia (1977).

filem tersebut  dianggap sebagai filem dakwah yang berjaya dan pernah menerima  penghargaan khusus di Festival Film Asia di Thailand. Al-Kautsar juga dibikin dalam bentuk sinetron (drama bersiri) dan pernah ditayangkan di televsyen Malaysia berbayar pada 2010 berbulan-bulan lamanya.

Menonton sinetron Al-Kautsar membuat    kelopak mata tak mahu berkelip. Perhatian terfokus hanya pada layar televisyen kerana sang sutradara bijak bermain suspensinya sehingga penonton tak sabar untuk menunggu klimik cerita. Demikian setiap malam selama siri itu dimainkan di televsyen  Malaysia.  

Sutradara filem Al-Kautsar tak lain ialah Chaerul Umam,  salah  seorang sutradara senior Indonesia yang banyak menerima  penghargaan baik di dalam mahupun luar negara kerana mutu filem yang dihasilnya amat berkualiti. Beliau  merupakan murid dari sutradara terkenal Indonesia, Asrul Sani, sememangnya terkenal dengan  menyutradarai filem-filem  bernafas Islami  seperti   'Titian Serambut Dibelah Tujuh' dan 'Nada dan Dakwah'. 

Menerima pendidikan dari fakulti  psikologi Universiti Gadjah Mada Yogyakarta. Sebelum ke filem aktif jadi aktor teater di Teater Amatir (1964-1966), lalu ikut Bengkel Teater Rendra (1966-1970). Pindah ke Jakarta pada 1970 dan bergabung dengan Teater Kecil pimpinan Arifin C. Noer (almarhum).

Saat dunia filem Indonesia koma, bahkan ketika sinetron (drama) negara itu dipenuhi dengan cerita-cerita bertema hantu,  lelaki  kelahiran Tegal, Jawa Tengah, 4 April 1943 itu, tetap istiqamah dengan sinetron Islami dengan menampilkan presepsi 'dakwah'-nya.
seperti ,'Maha Kasih', 'Jalan Takwa', 'Jalan Lain ke Sana', 'Astagfirullah'.  Dan tahun-tahun kebelakangan ini menyutradarai filem  boxoffice, baik di negaranya Indonesia mahupun Malaysia iaitu filem 'Ketika Cinta Bertasbih'  yang diangkat dari novel karya Habiburrahman El Shirazy dan terbaru “Suci Cinta Zahrana”.

Pertemuan singkat dengan beliau di Jakarta, 23 Oktober 2012 lalu amat bermakna. Setelah berpuluh tahun mengenali sang sutradara perfileman senior Indonesia itu hanya lewat tulisan yang tertera pada layar lebar atau skrim televisyen, maka pada malam itu, melalui  Program Silaturahim Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin Penolong Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah bersama  Selberiti Islami Indonesia,  di sebuah majlis makan malam di Jakarta,  saya  berpeluang  bertemu beliau.

Ikut hadir pada pertemuan itu ialah aktor dan aktres  “Ketika Cinta Bertasbih”(KCB)  yang memegang peranan sebagai Mass Azzam dalam filem KCB iaitu aktor tinggi lampai, Kholidi Ashadil Alam dan Oki Setiana Dewi.

 Sehari sebelum itu, di Bandung bertemu dengan aktres Medya Sefira dalam sebuah majlis makan malam bersama. Medya Sefira membintangi filem “Suci Cinta Zahrana” juga disutradarai Chaerul Umam. Ustaz Ahmad Baihaki menjemput beliau ke Kelantan sebagai panelis Program Bicara Selebriti yang direncanakan akan berlangsung 30 November 2012.

Kegembiraan terpancar di wajah Kholodi Ashadil Alam bila saya memberitahu beliau, saya yang melakar karikatur yang dihadiahkan penganjur HAI kepadanya saat
mengambil bahagian sebagai panelis Bicara Selberiti  yang berlangsung di Dewan Kelantan Trade Centre tiga bulan lalu. “Alhamdulillah, tak sangka dapat bertemu kartunisnya. Karikatur itu saya simpan baik-baik, malah saya paparkan di wall facebook” tutur beliau.

Benarlah kata orang; filem boleh menyatukan bangsa yang berpecah. Filem boleh mendekatkan yang jauh!




No comments:

Post a Comment