Oleh: Rossem
Kali terakhir bertemu Allahyarham kurang lebih tiga tahun
dulu, ketika pilahan raya kecil Bagan Pinang, Port Dickson, 11 Oktober 2009. Ketika itu saya ikut
berkempen mewakili PAS negeri Kelantan dan beliau mewakili PAS kawasan Rembau,
Negeri Sembilan.
Bertemu sahabat lama di lokasi kempen yang sedang rancak dan panas pasti
banyak kenangan pahit manis yang
dikongsi bersama. Ironisnya walupun kami
datang dari tempat berbeza tapi punya
matlamat yang satu; berkempen
memenangkan calon PAS yang berdepan dengan calon Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad
ketika itu. Itulah kehebatannya.
Sejak itu tak bertemu
lagi, namun hubungan kami tak pernah putus,
sering berkomunikasi lewat telefon dan
facebook.
Keakraban antara kami adalah bertitik tolak dari denyut rasa, rentak bicara
yang berteraskan persamaan warna politik,
selebihnya kami kebetulan memiliki minat yang sama yakni kartun, puisi dan penulisan.
Sewaktu saya merencanakan mahu menerbitkan buku “Sajaktun
dan Khutbah Burung” lantas saya menghubungi beliau lewat facebook, meminta beliau menulis kata pengantar. Saya susuli
kemudiannya dengan telefon dan beliau bersetuju bahkan melahirkan rasa bangga
kerana diberi peluang menulis kata pengantar. Sebelum itu pada tahun 2008
beliau pernah menulis dua kata pengantar
untuk komik dakwah karya saya masing-masing
berjudul; Anakku-Kenalilah Allah dan Menuju Jalan Allah, yang diterbitkan
penerbitan tempat beliau berkerja.
Keesokan harinya, sebuah kata pengantar yang saya minta dititipkan
lewat dinding pesan facebook saya. Bahasanya puitis.
Membacanya terasa seperti air
sungai yang mengalir deras. Saya kaget sungguh dengan kepantasan beliau menulis demi memenuhi
permintaan seorang sahabat, walhal saya tahu, saban hari beliau sibuk dengan bisnis capal yang
diusahakan sejak berhenti kerja sebagai editor di sebuah penerbitan di Kajang,
Selangor.
Sehari selepas Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban, 2
November 2012 saya bertanya beliau lewat pesan facebook; benarkah jumlah yang hadir sehingga mencerceh
30 ribu seperti dilaporkan media, sedang suratkhabar Berita Harian mengatakan sambutan
menghampakan, 10 ribu saja hadir. Saya
bertanya demikian kerana beliau tinggal di Negeri Sembilan, kemungkinannya
beliau ikut sama. Namun jawapan beliau
ringkas “Saya di KL, tak dapat info” .
Empat hari selepas
itu, pada 7 November 2012, Rabu, juga lewat
pesan di facebook, seorang teman kartunis Azmie Taha mengkhabarkan “Azim Salleh telah
kembali kerahmatullah jam 11.00 malam tadi dalam tidur yang tenang- Alfatihah”.
Azim Saleh atau nama sebenarnya Salehuddin Ghazali seorang
penyair, penulis bahkan dalam bidang
kartun juga beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang suka membantu serta
memberi galakan dan motivasi kepada kartunis. Walaupun beliau bukan seorang kartunis, namun ramai dari
kalangan kartunis mengenali beliau
secara dekat diatas sifatnya seperti itu.
Allahyarham menutup
usia jam 11.00 malam, 7 November 2012
ketika berusia 53 tahun ( 30.10.1959 – 7. 11. 2012) Al-Fatihah.
Foto: Penulis bersama Penyair Azim Saleh (Allahyarham) ketika
di Kota Bharu.
No comments:
Post a Comment