Monday, April 25, 2011

Kesihan orang Melayu…Tak habis-habis ditakut-takutkan

Oleh:Rossem

40 tahun dulu dalam masyarakat Melayu, ibu bapa sering menakut-nakutkan anak-anak mereka dengan hantu. Sehingga “hantu” menjadi ego dan bangga diri lantaran dirinya diangkat oleh manusia sebagai lambang kekuatan yang tiada bandingan. Walhal hantu sebenarnya makluk biasa yang tidak perlu ditakutkan.

Bahkan tanpa disedari perbuatan menakut-menakutkan anak-anak dengan hantu oleh ibu bapa telah memberi efek buruk kepada minda anak-anak. Sehingga anak-anak menjadi seorang yang lemah semangat, penakut, hilang kekuatan spiritual, takut untuk berdepan dengan situasi yang lebih mencabar dan umum.

Bahkan yang lebih parah, disebabkan salah asuhan ini sehinggakan anak-anak lebih takutkan hantu daripada Allah SWT, yakni Tuhan yang menjadikan hantu, manusia dan sekalian mahkluk itu sendiri.

Menakut-nakutkan seseorang dengan sesuatu imej yang diciptakan, sebenarnya sudah sinonim dengan masyarakat Melayu. Hanya masa saja berbeza. Kalau 40 atau 50 tahun dulu dengan imej hantu, pokok-pokok besar, pokok yang dipanah petir, hujan panas, pelangi dan sebagainya, maka sekarang bertukar imej, sesesuai dengan peredaran zaman, namum motif dan tujuannya adalah sama, yakni untuk menakut-nakutkan individu, kelompok atau rakyat seperti diagendakan.

Yang boleh menakut-nakutkan seseorang atau publik dengan imej tertentu yang jelek pastinya sosok yang gagah dan gedebe. Ibu bapa kepada anak-anak. Penguasa kepada rakyat. Kerana tanpa memilki kekuasaan pasti tidak menjadi. Misalnya anak -anak yang masih kecil tidak pantas menakut-nakutkan orang tua mereka.

Menakut-menakutkan rakyat untuk tujuan politk menjadi suatu tradisi yang kemas keming dalam masyarakat Melayu sejak dulu. Praktik buruk ini barangkali warisan turun temurun yang dipunyai bangsa Melayu, seperti halnya ibu bapa menakut-nakutkan anak-anak dengan hantu. Rupanya budaya ini masih belum tercabut dari dalam diri sebahagian besar orang Melayu. Orang Melayu belum berubah, padahal dunia sudah berubah.

UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu, dengan dasar nasionalis Melayu merupakan penyumbang kepada kelangsungan budaya “menakut-nakutkan” ini. Pemimpin-pemimpin UMNO sering menggunakan pendekatan “menakut-menakutkan” rakyat bertujuan supaya rakyat tidak mengundi parti yang menjadi saingan mereka.

Sekarang UMNO memburuk-burukkan DAP. Pemimpin-pemimpin parti Melayu itu lewat media milik mereka mengambarkan DAP adalah sebuah parti rasis yang sangat berbahaya kepada orang Melayu. Bahkan kolumis akhbar Utusan Malaysia milik UMNO melempar opini; harus ditegakkan 1 Melayu 1 Bumi bagi mengantikan 1 Malaysia yang menurutnya gagal.

Tembakan meriam ke atas DAP melebihi sebelumnya, kerana UMNO melihat parti yang didokong majoriti orang Cina itu meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak mengatasi parti komponen mereka dalam BN iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang ahlinya juga orang Cina.

Pada PRN tanggal 16 April itu, DAP memenangi 12 kerusi terutama kawasan bandar yang majoritinya Cina.

Walhal tiada apa yang perlu dikhuatirkan dengan kemenangan DAP kerana kemenangannya dilakukan lewat proses sistem demokrasi yang didokong bersama. Yakni sebuah sistem yang sudah dipersetujui bersama lebih 60 tahun dulu, bahawa hanya sistem ini saja digunapakai di Malaysia dalam memilih parti untuk memerintah negara.

Saya tertarik dengan komentar seorang teman yang kebetulan berjumpa saat sama-sama membelibelah di pasaraya. “Saya mahu pemerintah yang baik, bijak mentadbir dan tidak menzalimi rakyat, tidak korupsi, tak kira sama ada Cina, Melayu atau lain-lain kaum.”

Selanjutnya teman saya berujaran “ Kalau berikan kepada orang Melayu, tapi Melayu jual Melayu pun tak guna. Tengok sekarang berapa banyak tanak rizab Melayu yang hilang. Pulau Pinang dikuasai BN berpuluh-puluh tahun, tapi nasib orang Melayu di Tanjung bagaimana?” Tampak bicara teman saya pada pagi itu bersemangat sekali bercampur geram dalam melahirkan kekecewannya kepada BN/UMNO.

Sosok yang tersenarai paling banyak dijelek dan diaibkan dengan tujuan agar dibenci publik ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di Malaysia beliau adalah juara dalam kategori imej buruk sehingga tiada individu lain yang dapat menandinginya.

Namun peliknya, dengan imejnya yang digambarkan sedemikian rupa oleh UMNO/BN, parti pimpinannya berjaya memenangi tiga kerusi DUN dalam PRN Sarawak baru-baru ini, sedang pada PRN 2006 cuma satu kerusi.

Seperti orang tua zaman dulu yang menakut-nakutkan anak mereka dengan hantu, maka menakut-nakutkan Anwar dengan kejelekan periabdinya adalah perbuatan yang sama. Barangkali itulah sifat orang Melayu yang sukar diubah.

No comments:

Post a Comment