Sunday, March 13, 2011

Ombak Tsunami dan Tsunami Politik


Oleh: Rossem

Kehidupan santai di Jepun diragut secara tiba-tiba. Kawasan pesisir pantai wilayah Miyagi dilibas tsunami paling dahsyat dalam tempoh 140 tahun. Warga setempat panik dan terkejut. Yang selamat melarikan diri ke tempat selamat dengan meninggalkan lebih 2000 ribu korban jiwa dengan kerosakan harta benda yang parah. Sementara mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan dipercayai masih ramai dan belum dikira.

Tsunami yang berukuran 8.9 skala richter dengan ketinggian ombak 10 meter itu tidak dapat diramal kedatangannya walhal negara matahari terbit itu punya teknologi pengesan tsunami tercanggih.

Tujuh tahun dulu (2004), tsunami yang sama menerjah pantai Acheh, Indonesia dengan ukuran 9.1 skala richter. Menelan korban lebih besar sehingga kurang lebih 200 ribu jiwa mati. Rumah dan bangunan runtuh beratakan. Kota pesisir pantai itu jadi padang jarak padang tekukur. Bencana di Acheh juga di luar ramalan manusia.

Semuanya berlaku atas kehendak Allah SWT. Bila Allah SWT mahu sesuatu itu berlaku, tiada siapa dapat menahannya. Pastinya ada hikmah disebalik musibah itu.

Perkataan tsunami asalnya dari bahasa Jepun, namun kepopularannya sehingga ke seluruh dunia. Bila berlaku letupan gunung berapi dasar laut yang membentuk ombak besar maka tsunamilah nama paling tepat dan sinonim serta mudah digambarkan dalam benak bahawa tragedi itu kekuatannya seakan -akan mini kiamat. Sangat ditakuti.

Namun di Malaysia ada dua istilah tsunami yang sering digunapakai bahkan menjadi popular. Selain tsunami ombak akibat dari letusan gunung berapi dasar laut seperti berlaku di Jepun dan Acheh, satu lagi ialah tsunami politik. Politikus menggunakan istilah ini saat menulis atau berbicara di depan umum merujuk kepada berlakunya kejutan politik berdasarkan keputusan pilihan raya umum yang memenangkan sesebuah parti yang bertanding dengan cara mendadak dan tidak diduga.

Sejarah yang pernah dicatat, selepas tsunami ombak seringnya diikuti dengan tsunami politik, kalau tidak di negara berkenaan, di negara yang paling hampir dengan lokasi tsunami berlaku. Maklum, kesan tsunami itu sehingga ribuan batu jauhnya.

Contohnya, tiga tahun setelah tsunami Acheh, tsunami politik berlaku di Malaysia. Pada Pilihan Raya Umum ke -12 (2008) parti-parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) menang besar. Dapat membentuk kerajaan di lima buah negeri, Pulau Pinang, Kedah, Perak, selain mengekalkan Kelantan serta berjaya merebut banyak kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumur.

Tsunami politik juga sama dengan tsunami ombak, yakni tidak dapat diramalkan sebelumnya oleh mana-mana pihak, sama ada BN atau PR, hatta BN menggunakan kepakaran Cawangan Khas (SB), interligen tentera dan pengintip parti sekalipun. BN tidak menduga parti mereka dipukul teruk oleh lawanya, PR juga tidak menduga akan menang besar. Sehingga wakil rakyat PR antaranya digelar sebagai wakil rakyat tsunami.

Selepas tsunami ombak di Jepun tanggal 10 Mac 2011, kemungkinan satu lagi tsunami politik akan berlaku di Malaysia. Kalau tepat seperti perkiraan itu, parti manakah yang bakal dilanda tsunami pada PRU ke 13 yang dijangka berlangsung tahun ini. Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional?

Mesin perang kempen berputar seperti tidak pernah istirahat. Sekarang semakin laju. Olehkerana media massa arus perdana, sama ada media cetak atau media elektronik milik BN maka yang tampak di mata umum hanya BN yang berkempen. Sementara PR yang lebih mengharapkan ceramah umum untuk menyampaikan pesan-pesan tertentu kepada pengundi tidak dapat melakukannya disebabkan permit ceramah dibekukan oleh pihak polis.

Akhbar berbahasa Melayu dan Mandarin milik BN melancarkan serangan hebat ke atas Pakatan Rakyat dari dua penjuru bertujuan untuk mengelirukan rakyat seterusnya membenci PR. Akhbar berbahasa Cina mengatakan “DAP telah menjadi kuda tunggangan PAS” sementara akhbar berbahasa Melayu pula mengatakan “PAS menjadi kuda tunggangan DAP” Tujuannya tiada lain untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu agar tidak mengundi PR.

Namun pengundi sekarang sudah masak dengan permainan seperti ini, terutama pengundi muda Cina. Walaupun PR di calarkan imegnya saban hari dengan pelbagai isu yang diciptakan namun peningkatan sokongan kepada PR tidak berkurang. Hanya dikalangan golongan muda Melayu masih tidak memberangsangkan.

Pilihan Raya Umum ke 13 ini diramalkan paling hebat dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Kalau UMNO mengalami kemerosotan undi pada kali ini bererti harapan parti itu untuk bangkit semula sangat tipis. Sesuai dengan usianya yang sudah “warga emas” parti itu hakikatnya sudah kehilangan banyak energi dan stamina, atau dengan kata lain, sudah tidak releven lagi dengan zaman.

Makanya inilah cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh Datuk Seri Najib pada pilihan raya pertama setelah ia menerajui kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kekhuatiran itu sehingga ia menyebut; akan mempertahankan Petrajaya dengan apa cara sekalipun. Maklum, Pakatan Rakyat hanya memerlukan peningkatan 7 peratus saja untuk menawan Putrajaya.

Tsunami politik juga melanda negara-negara Arab. Rakyat Tunisia, Mesir, Libya melakukan demonstrasi besar-besaran meminta pemimpin mereka turun tahkta. Ben Ali dari Tunisa lari membawa bersama jongkong emas ke luar negara, menyusul kemudian Hosni Mubarak, sementara si degil dari Libya, Muammar Gaddafi masih bertahan dalam negeri.

Apa yang berlaku kepada diktator Arab itu semuanya di luar ramalan akal mereka. Seperti juga tsunami yang melanda Jepun, pun di luar jangkaan mereka. tsunami. Bila Allah SWT mahu sesuatu kejutan berlaku tahun ini, maka tiada siapa dapat mengubahnya.

1 comment:

  1. assalamualaikum,
    cabaran selepas tsunami politik juga semacam cabaran selepas tsunami ombak.
    government of the day terpaksa menanggung dan menjawab untuk semua kebobrokan lepas-lepas.

    ReplyDelete