Sunday, December 19, 2010

Pak Majid, Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam

Oleh: Rossem

Betisnya semakin mengecut lantaran dimamah usia. Parut-parut hitam semakin jelas. Parut itu adalah tanda bekas gigitan lintah sawah yang banyak terdapat di bendang yang diusahakannya sekian lama.

Pak Majid, usianya hampir 70 tahun, sudah tersangat uzur terutama selepas mengalami serangan stroke ringan kira-kira setahun lalu, namun, kesetiaanya kepada sawah tidak menghalangkanya untuk meneruskan kerja-kerja sawah, menaman padi dua kali setahun. Cuma sejak keuzurannya, sang isteri yang setia banyak membantu.

Sawah itu luasnya kurang lebih satu ekar, terletak tidak jauh dari rumahnya, adalah kepunyaan saya, iaitu peninggalan dari Almarhum ayah. Saya memberikan kepada Pak Majid untuk diusahakan sejak 20 tahun dulu dengan cara sewa atau “pawah” mengikut istilah orang Kelantan. Hasil pendapatan dari menjual padi dibahagi dua. Biasanya semusim dapat satu ribu ringgit, maka Pak Majid dapat lima ratus ringgit dan saya dapat lima ratus.

Tetapi kos membajak sawah ditanggung tuan tanah. Bajak menggunakan traktor. Olehkerana kos menyewa traktor mahal. Maka selepas ditolak upah membajak, satu sen pun tidak melekat pada saku baju tuan tanah.

Suatu sore saya bersilaturahim ke rumahnya. Kebetulan ia sedang beristirahat di anjung rumahnya yang mengadap sawah yang luas terbentang. Melihat saya dari jauh Pak Majid melempar senyum, kemudian menjemput saya naik ke rumahnya. Namun, saya seperti biasa hanya bertenggek di anjung dengan kedua-dua kaki terjuntai mencercah tanah.

Pak Majid tampak sangat uzur, mukanya cengkung dan kurus. Lelaki tua tak berbaju itu menyandarkan belakangnya yang sudah agak melengkong ke dinding sambil menghisap rokok daun nipah. Saya perhatikan tulang rusuknya boleh dibilang satu persatu.

Mengamati Pak Majid, fikiran saya lantas teringat akan suratkhabar-suratkhabar pro UMNO dua tiga hari ini semuanya memaparkan isu Ketuanan Melayu. “Bangsa Melayu adalah ketuanan negeri ini, jangan sesiapa cuba menafikannya”. Kata pemimpin dan pendokong UMNO dengan marah. Mereka kononnya marah dan geram ekoran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Wan Azizah Wan Ismail sewaktu berucap pada Kongres Parti, meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi ”bangsa bermaruah” atau ”Melayu bermaruah”.

Dr Wan Azizah melontarkan pertanyaan sekligus kaedah, bagaimana boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu terus dihormati dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita. Sedang UMNO mendakwa telah melakukanya, tapi realitinya gagal.

Saya bertanya Pak Majid tentang “Ketuanan Melayu”. Dengan selamba ia menjawab “ Ada pitih boleh jadi tuan”. (Ada wang boleh jadi tuan). Suatu jawapan yang saya tidak menjangkakan terbit dari mulut orang kampung sepertinya.

Jawapan itu jika diterjemahkan ke dalam bahasa akedemik, kira-kira berbunyi begini: Sesiapa saja yang menguasai ekonomi negara maka ia akan menjadi tuan di negeri itu.

Maka siapakah yang menguasai ekonomi Negara Malaysia sejak dulu sehingga sekarang?
Sementara mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri pula menyebut, istilah ketuanan Melayu adalah istilah kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus. Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.

Penjelasan yang tepat ialah datangnya dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Sosok yang memperjelaskan itu ialah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?”

Ketuanan yang sebenar ialah “Ketuanan Islam”. Maka kembalilah kepada Islam.

No comments:

Post a Comment