Wednesday, December 2, 2009

Kolonel Sanders, Kolonel Gaddafi dan Kolonel Mat

Oleh: Rossem

Di sebelah pasar Siti Khatijah, Kota Bharu. Sebuah kedai makanan segera berwarna merah berdiri megah. Ia antara kedai paling ramai dikunjungi pelangan terutama remaja. Di depan pintunya berdiri kaku seorang tua berjanggut putih, melempar senyum. Tapi ia cuma sebuah foto suralis berukuran manusia yang dilekatkan pada sekeping board. Saolah-olah mengucapkan selamat datang. Orang tua itu sudah lama meninggal dunia.

Itulah foto Kolonel Harland Sanders (1952), pesara tentera Amerika Syarikat
(AS) yang mengusahakan makanan segera. Ayam goreng yang menggunakan resepi ciptaan sang Kolonel akhirnya menjadi makanan segera paling digemari di seleuruh dunia. Pasarannya sehingga meliputi 80 peratus negara, termasuk Malaysia. AS telah menakluki negara ini hanya dengan bersenjatakan ketulan ayam beresipi istimewa hasil ciptaan Kolonel, tanpa perlu menggunakan rudal, meriam dan bom.

Sejak mula memperkenalkan ayam goreng berempah pada 1952 (sudah 57 tahun), sehingga hari ini, rahsia resepinya tetap terpelihara. Tidak pernah jatuh ke tangan orang lain. Ada orang cuba menirunya tapi tidak sama. Dalam blog juga tidak ada. Bagaimana Kolonel belajar menyimpan rahsia?. Mungkin ia belajar lewat pengalamannya sewaktu dalam tentera.

Tidak seperti ahli politik kita, rahsia penting pun boleh jatuh ke tangan musuh dalam sekelip mata. Belum melangkah keluar bilik mesyuarat, orang di luar bilik sudah tahu keputusannya. Jari-jari mereka sepantas kilat mengirim Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada teman-teman. Pagi besok rahsia itu sudah sampai di warung-warung kopi. Lebih pantas daripada kueh mueh yang dihantar penjual.

Kakitangan di Pebadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) patut belajar menyimpan rahsia daripada Kolonel Sanders. Tapi sudah terlambat, rahsianya banyak tiris. CEOnya diminta letak jawatan. Namun kepada orang tertentu yang lain, kesempatan untuk belajar menyimpan rahsia masih belum tertutup. Oleh kerana sang kolonel itu sudah lama mati, maka anak-anak mendiang boleh membimbng, membantu mengajari mereka. Bukan dituju kepada PMBK saja, bahkan sektor lain juga.

Kolonel adalah pangkat tentera! Seluruh angkatan tentera di dunia ini menggunakan nama pangkat yang sama, sama ada tentera komunis atau sebaliknya. Di AS memanggilnya kolonel, di China atau Rusia juga kolonel. Di negara-negara Arab kolonel, di Malayisa juga kolonel.

Dalam katogeri pegawai, yang paling rendah adalah leptenan muda, manakala yang paling tinggi ialah jeneral. Maka Kolonel posisinya antara keduanya -ditengah-tengah. Kandati pun ditengah, ternyata ia lebih terkenal berbanding pangkat yang lain.

Seperti kolonel yang satu ini. Namanya gah di seluruh dunia, kerana sering menimbulkan kontroversi. Suka memicu kemarahan Paman Sam. Sosok itu tidak lain Kolonel Muammar Gaddafi. Ketua negara Republik Rakyat Libya. Kolonel dalam angkatan tentera Libya itu, 20 tahun lalu telah melakukan rampasan kuasa yang berjaya. Sekarang antara salah seorang ketua negara paling lama memerintah di dunia

Tapi anehnya, pangkat tenteranya itu tidak pernah naik. Kekal sebagai Kolonel seperti dulu. Walhal kalau ia mahu pangkat jeneral atau field Mahshal sakalipun tiada siapa yang menghalang. Apa rahsiannya sehingga Muammar Gaddafi sehingga sekarang mahu pangkatnya kekal sebagai Kolonel, bukan jeneral?.

Kerana kolonel itu suatu pangkat yang boleh menimbulkan rasa gerun orang lain. Mereka yang berpangkat lebih tinggi terasa dikejar kolonel, sehingga menimbulkan rasa cemburu. Posisinya ditengah-tengah juga bermakna ia boleh menyiku yang di bawah, juga menjeling yang di atas. Ia boleh memerhatikan yang di atas, juga yang di bawah. Barangkali itulah sebabnya Gaddafi tidak mahu dinaikkan pangkat.

Di Malaysia sekarang heboh tentang Kolonel Mat. Siapa Kolonel Mat itu? Kalau Pak Mat yang berkerja sawah di Padang Pak Amat atau Mek Jah gelang separuh lengan yang berniaga di pasar Siti Khatijah menyebut demikian, pasti tiada siapa yang ambil peduli. Tapi oleh kerana ia keluar daripada lisan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas merangkap Menteri besar Kelantan maka nama itu menjadi nama besar, masuk suratkhabar dan menjadi perhatian umum.

Siapa sebenarnya Kolonel Mat ini? Sampai sekarang publik masih tertanya-tanya, siapa Kolonel Mat yang dimaksudkan Tok Guru. Adakah Kolonel Mat itu wujud atau tidak. Yang menjadi tanda tanya dan menimbulkan kemuskilan umum kerana selama ini Tok Guru tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi mengambarkan tentang individu tertentu yang cuba menganggu gugat posisinya sebagai Menteri Besar Kelantan. Justeru bila beliau menyebut Kolonel Mat orangnya, maka tercetuslah satu isu besar di negeri Serambi Mekah, bahkan di Kuala Lumpur.

Tok Guru barangkali seperti ulamak-ulamak silam, suka menggunakan bahasa kiasan sewaktu menyampaikan kuliah atau menyampaikan sesuatu untuk umum yang berbau politik. Mulah Nasarudin Hoja, seorang tokoh sufi terkenal sekitar tahun 600an hijrah misalnnya, semua inti pengajarannya menggunakan bahasa kiasan. Bahkan tersangat humoris. Tapi itulah praktik difikirnya sangat releven dalam memberi latihan-latihan kerohanian kepada murid-muridnya. Tokoh-tokoh sufi lain yang mengambil pendekatan yang sama ialah Bakri Mustafa, Injili Charush, Korogulu, Keloglan dan sederet panjang lagi.

Saya teringat suatu masa dulu, bahkan sekarang pun. Orang Kelantan, terutama golongan tua; bila mereka tidak tahu, perkara buruk telah terjadi kepada seseorang, ternakan dan tanaman. Mereka tidak mengatakan tidak tahu, sebaliknya menggunakan perkataan lain mengantikan tidak tahu itu. Mislanya; Kelmarin anak ayam ada lima ekor, tapi hari ini tinggal tiga, yang dua ekor lagi ke mana? Mereka menjawab; dua ekor lagi dimakan “benda”. Walhal binatang yang bernama “benda” itu tidak wujud di dunia. Tujuan mereka mengatakan demikian, kerana tidak mahu berbohong, sedangkan mereka tidak nampak siapa yang memakan anak-anak ayam itu, mungkin dimakan helang atau biawak.

Barangkali Tok Guru Nik Abdul Aziz juga menggunakan pendekatan sedemikain. Kolonel Mat itu hanya seperti “Benda” sebagai gantinama kepada sosok lain. Yang mungkin juga wujud atau mungkin juga tidak!

1 comment: