Sunday, December 20, 2009

Perbalahan antara songkok dengan kopiah

Oleh: Rossem

Politik tidak dapat menyatukan sebuah bangsa besar. Kata George Weigel. Politik hanya menjadikan bangsa besar itu berpecah belah, porak peranda dan persengketaan berterusan. Kata-kata ahli fikir abad lalu itu memang benar. Barangkali dituju kepada bangsa-bangsa di Asia dan Afrika, setelah beliau melihat bangsa dan negara di dunia ketiga itu berpecah belah disebabkan berlakunya persengketaan akibat perbezaan politik yang berpanjangan.

Hal yang sama tidak berlaku di negaranya- Barat. Apa yang terjadi di negara membangun cuma perbalahan politik pada musim-musim tertentu seperti pilihan raya, kemudian kembali bertaut dan menjalin kerjasama, bahu membahu membangun negara.

Malaysia termasuk dalam lingkungan negara-negara dunia ketiga. Negara seperti dimaksudkan George Weigel barangkali. Berdasarkan realiti dan pengalaman ritual memang tepat, di negara ini dan bangsa ini, perbalahan disebabkan perbezaan politik bagaikan tiada noktah. Berterusan tanpa mengira waktu. Di musim pilihan raya mahupun luar pilihan raya serupa saja suhu kepanasannya.

Saya tidak sekali-kali menyatakan perbezaan opini dikalangan rakyat itu tidak baik. Perbezaan opini itu sebenarnya sehat. Mereka yang mahukan fikiranya sentiasa cerdas dan matang harus melewati proses pertentangan pendapat dengan orang lain. Hanya perbezaan opini yang disertai dengan emosional yang ekstrem saja sering memicu keresahan dan akhirnya menimbulkan kompleks dalam masyarakat.

Tujuan politik ialah untuk membangun negara, sekaligus membantu rakyat. Politik (siasah syariah) juga sebahagian ajaran Islam. Yang ditentang hanya ketaksuban yang melampau oleh para pendokong parti-parti politik sehingga sikap dan tindak tanduknya itu terbawa-bawa dalam kehidupan bermasyarakat.

Demokrasi mengkehendaki wujudnya seberapa banyak perbezaan pendapat di kalangan rakyat, kemudian rakyat memilih mana satu yang cocok dengan mereka. Namun demokrasi juga menurut Scoretes banyak cacat celanya. Sehingga sang filasuf Yunani kuno itu pernah menyebut “Kenapa saat memilih nahkoda kapal tidak mengikut suara terbanyak (demokrasi)?”.

Dikalangan orang Melayu perbalahan disebabkan perbezan politik tidak boleh ditutupi dengan tapak tangan. Ia sudah menjadi bualan umum. Mungkin dipermukaan tampak sedikit reda tapi di dasar ada arus bawah yang deras. Dalam kondisi tertentu, bila-bila masa boleh merosakkan struktur tebing. Bahkan keseluruhan wilayah bangsa.

UMNO dan Pas sinonim dengan politik bangsa Melayu. Kewujudan dua buah parti politik Melayu berbeza ideologi itu ternyata telah menjarakkan hubungan sesama umat Melayu. Masyarakat kampung menerima kesan paling banyak. Barangkali kerana kejahilan mereka dalam politik, sehingga dua kelompok itu saling bercakaran. Fenomena ini berterusan, manakala titik noktahnya belum tampak. Di kotak fikiran kita sering bertanya; bila dan bagaimana untuk mewujudkan sebuah bangsa Melayu yang bersatu padu, digeruni dan dihormati etnik-etnik lain. Mungkin inilah yang dimaksudkan George Weigel - bangsa yang punah kerana politik!

Saya terbaca sebuah sajak yang separuh lucu tapi sarat dengan sindirin tajam, ditulis penyair terkenal Nawawee Mohammad dan dimuatkan dalam media arus perdana tanggal 8 Februari 1998. Sajak itu diberi judul Songkok dan Kopiah.

Songkok dan kopiah itu asalnya sekapal
darjat mereka tidak pernah berubah,
berdiri sama tinggi duduk sama rendah,
tetapi berbalah-cekah tak sudah-sudah.

Berungkap nasihat menyengat
songkok selalu mengingatkan.
“Jangan lembik seperti kopiah,
tapi keras macam songkok”

Penuh yakin kopiah menjawab,
“Biar lembik asalkan putih.
Jangan keras apalagi hitam.
Sudahlah hitam sucimu diragukan.
Biar tak cantik jangan tak bersih”

Sindir songkok lagi,
“Jangan hidup seperti kopiah,
sesuai untuk pelikat bersandal getah,
sudahlah selekeh nilai amat rendah.”

Kopiah merendah menjawab tajam,
“Sehina-hinaku pernah juga mandi
menjamin kekal bersih dan suci,
untuk dijunjung mukmin merata-riti.
Semulia-muliamu sepanjang hidup
pernah mandi walaupun sekali.
Kalau ada, itu gila punya kepala.”

Tambah kopiah lagi.
“Hitam songkok sehitam tahi cicak
hanya umpama sang gagak,
walaupun dimandi air emas sekalipun
mustahil hitammu bertukar putih.
Putihku jika disabun dibilas-bilas
bertambah lagi berseri putih berseri.”

Dengan lembut songkok mengakui,
“Walaupun tidak pernah mandi,
aku sering ditayamun si berus
supaya kelihatan kemas terurus.
Selainnya aku sentiasa dijaga
daripada ditempiasi sang hujan
menjamin selalu keras dan kering
walau terpaksa menyemak dinding.”

Kopiah senyum menelan alasan
kemudian meminta fatwa bagaimana
amalan tayamun ala songkok
ketika hujan mencurah-curah?


Perbalahan antara songkok (UMNO) dengan kopiah (PAS) hingga saat ini mustahil bakal selesai, kerana songkok perjuangannya nasionalis, manakala kopiah landasan perjuangannya Islam.

No comments:

Post a Comment