Saturday, September 5, 2009
Tok Guru Nik Abdul Aziz bercakap dari sudut kaedah
Oleh: Rossem
Saya banyak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari teman-teman, juga daripada orang yang tidak dikenali. Intinya marah-marah kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataannya tentang ahli UMNO kafir dan isu Syurga neraka bukan hak mutlak Allah SWT semata-mata.
Isu ahli UMNO kafir dan UMNO seperti Islam Palestin reda setelah Tok Guru memberi penjelasan. Tok Guru menafikan dalam kenyataannya menggunakan perkataan “ahli”. Yang disebutnya adalah “penyokong” UMNO. Ahli dengan penyokong adalah berbeda. Para penyokong PAS juga ada yang kafir, makan babi dan sebagainya, kerana sebahagian mereka terdiri non-Muslim seperti ahli Kelab Penyokong PAS. Begitu juga dengan UMNO, ramai penyokong parti nasionalis Melayu itu non-Muslim seperti pribumi Sabah dan Sarawak misalnya.
Tentang Islam Palestin, Tok Guru tidak menyebut perkataan “Palestin” dalam sidang media itu. Yang disebut Tok Guru adalah Islam plastik. Yakni Islam tiruan yang praktiknya bukan bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulamak. Ini menurut Tok Guru yang menjadi amalan parti UMNO selama ini.
“Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO” Demikian transkrip lengkap Tok Guru pada sidang media itu.
Anehnya isu panas ini reda sebaik saja pilihan raya kecil Pematang Pasir, Pulau Pinang berakhir, dengan kemenangan diraih calon PAS, Ustaz Saleh Man dengan majoriti besar. Lalu kita pun bertanya: Rupanya isu itu diapungkan oleh media pro UMNO dengan cara kotor, yakni memburukkan Mursyidul Am Pas dengan isu agama bertujuan memancing undi agar pengundi memilih BN.
Bagaimana pula tentang syurga neraka yang dikatakan bukan mutlak Allah SWT. Ada yang mengirimkan sms bertalu-talu kepada saya memberi komentar yang berani. Antara bunyinya “ Ungkapan itu datangnya dari orang yang bertuhankan diri, yang merasakan amal ibadatnya dapat membeli syurga, solat dia dapat menolak neraka Allah! Iktiqad itu adalah iktiqad Jabariyah. Padahal terang-terang Allah bersifat Jaiz (harus). Solat seribu tahun pun kalau Allah SWT kata neraka…nerakalah!”
Sambungnya lagi “Jangan berangan-angan dengan amal. Allah SWT tahu apa yang kita amalkan. …Segala-gala dari Dia. Semua Dia tahu..Macamlah Allah itu tidak tahu apa yang kita lakukan. Malulah kepada Allah SWT… Berzikir kerana Allah, disebabkan Allah SWT mengkehendaki kita berzikir, maka kita pun berzikir. Kita merasa kita hebat kerana banyak berzikir…sedangkan Allah mahu menyelamatkan kita daripada lalai. Maka kita cetuskan zikir! Jangan berangan-angan wahai orang-orang yang hidup bertuhankan diri….”
Setelah saya meresponsi beberapa kali sms teman saya yang saya kenal sebagai seorang sangat arif tentang tahuhid, selanjutnya ia menjawab “ Saya tak peduli siapa yang ungkapkan, sama ada Nik Aziz atau siapa. Tapi pendapat seperti itu Jabariyah namanya. Dalam bab ini kita keluar sebentar dari politik, kalau tidak susah mahu diskusi. Kalau tidak, berhenti saja diskusi. Ini bab akidah tuan…jangan tersilap cakap, ibarat mahu minum milo tapi minta teh. Bila teh sampai lalu terkejut. Aku ada minta teh ke?” Marahnya berapi. Teman lama saya ini bekerja di salah sebuah media arus perdana di Kuala Lumpur, milik UMNO, yang tentunya sangat mempercayai apa saja yang dilaporkan media.
Rupanya kenyatan Tok Guru itu hanya diresponsi satu hari saja oleh beberapa sosok yang bergelar ustaz dari UMNO, antara Ustaz Nakaie Haji Ahmad. Yakni pada hari kedua selepas pernyataan itu tersiar dalam akhbar. Selepas itu dan sehingga sekarang tidak lagi kedengaran komen-komen atau ulasan dari sang bijak pandai bahkan mufti. Saya menunggu untuk mengetahui komen mereka, namun hampa.
Hanya teman lama saya yang disebut tadi saja memberi komentar separuh emosional lewat sms. Walaupun saya beberapa kali memperingatkan beliau bahawa, jangan sekali-kali mengangkat bahan media secara sebrono untuk berbahas, sebaliknya teliti terlebih dulu, apa maksud sebenar diucapkan Tok Guru. Namun teman saya tetap mengatakan bahawa Tok Guru bermaksud demikian. Tampaknya seperti ia mendahuli si tukang cakap.
Awalnya saya juga terkejut dengan kenyataan Tuan Guru itu. Kenapa dibilangnya begitu, tapi setelah mengetahui ianya permainan media pro UMNO untuk kempen PRK Permatang Pasir, lalu saya membuat kesimpulan bahawa berdebat seperti itu tidak mendatangkan apa-apa manfaat, kerana inti sebenar yang dimaksud Tok Guru itu tidak diketahui dengan detil oleh pengirim sms tersebut.
Ibarat kita menyebut “ Saya gemar makan gulai sayur kacang panjang sebab sedap” Namun perkataan itu kalau diambil separuh dan ditinggalkan separuh maka maknanya ikut berubah. Misalnya “saya gemar makan sayur kacang” dibuang. Hanya perkatan “panjang itu sedap” saja diambil. Lo! Pasti maknanya berbeza. Itulah yang sering terjadi bila seseorang melaporkan ucapan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kerana mereka sebenarnya ada matlamat politik untuk dimanfaatkan lewat laporan yang disengajakan itu.
Di sisi lain, Tok Guru sering bercakap dari sudut kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudu’ amalan solat tidak diterima. Jika tolak Islam bermakna kufur. Orang kufur tidak masuk syurga. Ini bukan soal Tok Guru mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan tapi kaedah Islam yang diajar Rasulullah saw itu demikian!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment