Monday, August 20, 2018

Jakarta dan Pak Jais



Oleh: Rossem


Pak Jais  pembantu supir cuma, 
 juga  teman bicara,
mencari rezeki  di sela-sela  12 juta jiwa,
Membawa pariwisata keliling kota  Jakarta.
Obrolannya   mengalahkan Raja Lawak Mega,
sehingga kami alpa  memotret ,
gedung-gedung   mewah yang  kami lewati,
bangunan tua  tinggalan Belanda,
monumen -monumen sejarah,
 ragam  warga  kota paling padat.

Sepeda motor, Bajaj,  teksi  bergerak seiring  mobil mewah,
membunyikan hon bagaikan semboyan perang,
pejalan kaki mundar mandir
ke tempat kerjaan atau pasar.
Warung pinggir jalan dengan tulisan besar- nasi bebek, ikan lele
ayam penyek  masuk mall
sebaris dengan KFC, MacDonould
rumah makan Minang serasi dengan selera orang Malaysia
wanita penjual jamu yang mempersonakan


Pariwisata, di sini,  Jangan berjanji guna jarum jam
janji tak mungkin ditepati
perut Jakarta mobilnya seperti kelkatu  dalam busut
Bila semua keluar, tak cukup jalan,
macet kecuali jam 3 pagi.


Oh,  asyik mendengar obrolan Pak Jais tanpa noktah,
sesekali  air liurnya tempias.
Terlupa, fotonya tak ku snap.
Wajahnya  masih tak lupa
sekitar 50an usia,
gigi  seperti kandang kuda
banyak ropong di sana sini, kayak  aku juga
bila ketawa, ketuaannya seperti melebihi 50an
bicaranya  seperti  30an.
Asal Betawi, begitu  pengakuan  Pak Jais,
Gaya bicaranya saling tak tumpah almarhum Benyamin S,
aktor lawak dan penyanyi  Betawi  1980an,
popular hingga ke Malaysia


Disuruh nyanyi  Pak Jais  nyanyi
semua lagu dihafal, satu rangkap cuma
diminta  nyanyi lagu Bangawan Solo
dinyanyinya dalam visi Malaysia “Bengali solo”.


Ceritanya meliputi segala
pantun, seloka, anekdok, politik
Kisah  rakyat biasa hingga pemimpin negara
Sukarno, Suharto, Habibie, Megawati, SBY  ada cerita tersendiri
Akhbar Tanjong, Amin Rais dicandakan
Ahok dan Jokowi ceritanya mulus-mulus .


Kesal,  tak sempat mencatat setiap obrolannya,
yang lucu menggelitik kami  delapan orang dalam  mobil.
Andai aku catat seluruh obrolannya
 sebuah buku humor  bisa diterbitkan
biarpun aku tahu, Pak Jais mengoreng tanya minyak.



Jakarta
28 Julai 2017

Friday, August 17, 2018

Tragedi yang dilupakan



Oleh: Rossem

Hari itu Jumaat, 16 Jun 1972, langit daerah Sik, Kedah  cerah, cuaca panas ,  matahari tegak  di ubun-ubun , kata  orang tua-tua, waktu begini burung pun berhenti terbang, bertengek   di ranting kayu, beristirahat. Namun tidak bagi kami. Walaupun hari itu jumataan, tugas terpaksa dijalankan. 

Saat Kami melewati  jalan berkelok antara Kota Aur  dengan Kg. Mung Gajah  tiba-tiba  gerimis hujan turun. Orang  tua-tua pernah beritahu, kalau hujan panas,   tingkatkan  kewaspadaan,  kemungkinan akan  berlaku musibah, seringnya dikaitkan  mati berdarah. Walaupun Islam melarang penganutnya mempercayainya sesuatu bersifat khurafat,  namun petua orang  tua -tua sukar dibuang dari  kotak fikiran, rasa takut mencubit  perasaan. 

 Senapang  M16  ditangan dengan muncung  menghala  ke  bukit  siap untuk  memuntahkan peluru. Jalanraya sempit, selikoh tajam , lereng bukit dan gaung yang dalam amat bahaya. Jika   berlaku serang hendap, merapatkan trak ke lereng bukit akan terdedah kepada  sasaran peluru musuh, jika terjun gaung  mati tak berlawan. Musuh menunggu, kelebihan memihak kepadanya

Musuh   memulakan tembakan. Tembakan curi  dianggap pukulan maut. Terkejut dan panik tak terelakkan. Sebelum   terjun dari trak /lori -  mencari perlindungan. Tetapi bagaimana, jika peluru datang macam bertih digoreng?.  Hanya mengharapkan rakan –rakan seperjuangan yang berada diluar zon serang hendap,  jika mereka dapat membantu dengan menembak  balas  ke arah musuh, itu tamparan bagi musush.  Harapan itu sekadar 40 persen. 

Kami  dari Platun 16, Delta Kompeni tinggal di Markas Tektikal  di Kota Aur  ditugaskan  sebagai pengiring (eskot). Jumaat itu  keluar bersama  12 anggota  menaiki lima buah track Rankrover  tanpa bumbung,  sebuah kereta perisai, diketuai  seorang koperal bergerak ke base Kompeni Alpha   di Ampangan  Muda, Kg Mung Gajah, 15 kilometer dari Kota Aur untuk mengiringi petugas dari Kompeni Alpha datang mengambil bekalan makanan mingguan di Kota Aur.  Setibanya di situ,  pegawai  Kompeni Alpha  memberitahu, akan ke Kota Aur sendirian  setengah jam kemudian   dengan kekuatan anggota  lebih ramai.  Pengiring boleh pulang dahulu. Kami akur. 

Sebaik tiba di Kota Aur, kasut belum dibuka, makan tengah hari  belum masak,  maklumat diterima, satu pelatun dari Alpha Kompeni  yang ditugaskan mengambil bekalan makanan di Kota Aur diserang hendap oleh komunis saat dalam perjalanan ke  Kota Aur. Sebuah lori 4 tan musnah. 4 terkorban,   lima cedera. Senapang M16 dirampas.  Yang terkena musibah kesemua  anggota  yang menaiki lori  nombor tiga dalam konvoi enam buah lori. Lima kenderaan lagi terselamat. 

Terkejut mendapat berita itu, tak sangka kerana   setengah jam sebelum itu saya  melalui  kawasan itu, pasti gerombolan komunis sudah ada.  Hanya ajal belum tiba. Mereka memilih yang lain bukan kami yang kecil jumlahnya. Mungkin juga mereka takut kerana sebuah kereta perisai bersama kami.  Manakala konvoi  Kompeni Alpa tiada kereta perisai.  

 Kami diarahkan ke lokasi serang hendap. Tiba di zon perang  kurang lebih satu jam  selepas berlaku serang hendap.  Suasana masih panas. Apakah musuh masih  bersembunyi  di balik pokok atau sudah melarikan diri? Macam-macam bermain di kepala. 

Rakan kami dari Platun 15 Kompeni Delta  tiba sedikit awal.  Mereka memanjat bukit  mencari  jejak gerombolan komunis Rejimen  Ke 12 PKM,  malangnya  5  onggota tercedera terpijak jerangkap samar.  Sia-sia.  Gerombolan komunis  boleh melepasi  sempadan tak sampai setengah jam kerana  lokasi serang hendap itu berbatasan  Malaysia (Kedah) – Thailand.  

Dalam situasi kelam kabut itu saya tercedera ringan.  Jumlah rakan-rakan ditimpa musibah hari itu 11 orang,  4 terkorban.  

Tugas platun kami menyelamatkan   rakan-rakan seperjuangan yang cedera,   membawa mereka ke hospital dan mengambil mayat  4 rakan  yang terkorban,  bawa pulang  ke markas tektikal di  Kota Aur.  Di Kota Aur  sebuah helikopter TUDM sudah  menunggu. Yang cedera , termasuk saya  diusung  masuk  ke dalam  helikopter  dibantu seorang   doktor tentera .  Empat jenazah juga dibawa bersama. Tak diberitahu ke hospital mana?  Pada mulanya  saya menyangka akan  ke Hospital Alor Setar, kerana tragedi berlaku di negeri Kedah.  40 minit  kemudian saya menjengok cermin tingkap helikopter ternampak laut, kapal  dan pulau. Helikopter semakin  hampir dengan pulau ,  rupanya Pulau Pinang.  Ketika itu jambatan  Pulau Pinang belum dibangunkan.  Masih   menggunakan feri.  Helikopter mendarat di Padang Polo berhampiran Hospital Besar Pulau Pinang. 

Ramai orang menunggu di Padang Polo termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang.  Yang cedera diturunkan dahulu.  Baring di atas pengusung  yang disediakan pembantu hospital.  Kecederaan saya  paling ringan, lengan dan sakit pada  bahagian pinggang,   boleh   berjalan sendiri,   namun  pembantu hospital menyuruh  baring  di atas pengusung,  saya turuti. Ambulan melucur laju ke hospital yang jaraknya beberapa meter sahaja. 

Kawan-kawan yang cedera, sebahagianya parah  dimasukkan ke wad kecuali saya sebagai pesakit luar. Semasa pemeriksaan,  doktor memberitahu  kecederaan  ringan sahaja. Jururawat memberi satu injection. “Terima kasih nurse”.

Luar biasa! Olehkerana saya seorang  yang terselamat daripada serang hendap komunis, wartawan  dari pelbagai akhbar  seperti  The Star, The New Straits Times, Utusan Maaysia, Berita Harian, Nan Yang Siang Pau  yang beroperasi di Pulau Pinang memburu saya untuk mendapatkan berita sebenar  tentang tragedi   berlaku. “ Encik, boleh cerita, macamana ambush  itu terjadi, berapa orang anggota pasukan keselamatan terkorban?”  Antara pertayaan yang  diajukan wartawan. “Maaf encik, saya diarahakan tidak boleh memberi tahu sesiapa. Sorry, i was instructed not to inform anyone”  itu sahaja jawapan saya. Namun mereka terus mendesak. Mereka mengekori saya kemana sahaja saya pergi. Aduuuh!

 Bosan dengan karenah wartawan, saya masuk  tandas dengan harapan mereka faham  saya tak suka dengan sikap mereka.   Terkejut  sebaik sahaja keluar tandas  lagi ramai  wartawan, jurugambar menunggu di pintu tandas.  Saya diserbu lagi. Jawapan saya tetap sama. Tak boleh beritahu. Ini rahsia kami. Tunggu  Ketua Polis Negara beri kenyataan akhbar. 

Besoknya semua akhbar  memuatkan berita  serang hendap komunis itu di muka hadapan.  Foto saya sedang melangkah turun dari helikopter juga dimuatkan dalam akhbar The Star dengan keterangan gambar (caption): Hospital assistants helping a wounded policeman out from the helicopter. Far left is CPO Mr. Tan who is lending a helping hand. – STAR pic by Chan Looi Tat. 

Saya “pesakit luar” tetapi setiap hari berada di dalam wad  menjaga  dua orang kawan saya yang cedera parah.  Salah seorangnya, Ariffin asal Terengganu tak sedar diri, bila sedar akan meronta-ronta  sehingga kaki dan tangannya ditambat di katil. Kecederaan pada  bahagian kepalanya serius. Cacat kekal.  Malam tidur di Kontingen  Polis  Pulau Pinang. Makan di kantin Mamak- percuma. Hampir dua minggu. 

Dalam serius ada lucunya! Ketika  penerbangan  dari Kota Aur, Sik, Kedah ke Pulau Pinang , seorang kawan yang cedera, duduk bersebelahan saya, terasa  sakit dan basah pada bahagian punggung ,  ia menyangka basah itu darah yang mengalir, lantas berbisik “ Cuba tengok, darah atau apa  yang mengalir itu, saya tak berani tengok”.  Saya  mengamati seragam hijaunya , memang basah tetapi bukan darah. Air yang diisi dalam botol di pinggangnya bocor,  menitis membasahi seragamnya. 

IBU DAN ISTERI DATANG 
 
Tahun 1970an, telefon pintar, email, facebook, whatsApp, tweter  belum wujud. Komunikasi   hanya lewat telefon ganggang  yang dipasang di rumah, pondok telefon di tepi jalan dan pejabat.  Saya tidak dapat memberitahu sepantas mungkin tentang tragedi serang hendap komunis di Ampangan Muda kepada  keluarga terutama ibu dan isteri di kampung.  Maklumat awal diketahuinya  hanya  dari sumber berita telivisyen jam delapan malam,  tetapi tiada perincian, siapa yang terkorban dan cedera.  Ibu bertambah risau. Isteri  ketika itu baru bernikah - gundah gulana. 

 Maklumat tepat datang daripada anggota petugas markas besar  batalion di Pengkalan Chepa .   Datang ke rumah  memberitahu  tentang musibah menimpa saya . “ Anak makcik selamat, sekarang di rawat di Hospital Besar Pulau Pinang. Makcik boleh pergi ziarah sekarang”.  Itu sahaja diberitahu.  Bagaimana nak pergi, itu terpulang...sendirian.  Ibu sudah tua, tanpa menumpang orang lain, tak mungkin ia upaya pergi. Ayah sudah lama meninggal, sejak saya di bangku sekolah rendah.  Keluarga terdekat  tak punya kereta. 

Akhirnya ibu, isteri dan pak mertua menyewa sebuah teksi   dari Kota Bharu ke Pulau Pinang. Tiba di Pulau Pinang terus ke Hospital Besar. Dapat masuk kerana  ketika itu waktu melawat- jam 1.00 tengah hari. Dari katil ke katil ibuku mencari, tak jumpa, sambil mengesat air mata, terus mencari , sedih, keciwa, anaknya sudah tak ada dalam wad. “Mana anakku, mana anakku...” teriak  ibu. Bila pesakit tak ada dalam wad, hanya satu yang terbayang  di fikiran ibu; mesti  disimpan dalam bilik mayat.

Ibu kemudian   ke kauntar pertanyaan , jururawat bertugas memberitahu “ Anak makcik cedera ringan, pesakit luar. Beliau balik ke Ibupejabat  Polis Jalan Penang makan tengah hari. Sekejap lagi  datang”. Ibu mengucap syukur , anaknya terselamat dari musibah komunis. Wajahnya kembali berseri-seri termasuk wajah isteriku yang ketika itu hamil anak pertama. 

Ketika saya sedang menikmati makan tengah hari percuma di kantin Mamak, Ibupejabat Polis  Jalan Penang, seorang anggota polis datang memberitahu, katanya,  ibu saya sudah sampai, sekarang di hospital besar Pulau Pinang- menunggu.  Saya  ke sana menaiki kereta  polis.
Kami berpelukan, air mata ibu tak putus-putus mengalir, tetapi kali ini menangis kerana gembira, Allah SWT menyelamatkan anaknya dari  serang hendap komunis Rejimen ke 12, PKM yang diketuai Chin Peng. 

Selama berada di Pulau Pinang, saya menumpang tidur di Ibupejabat Kontinjen Polis  Georgetown bersama-sama beberapa lagi keluarga kawan  seperjuangan saya yang masih menerima rawatan di hospital. Makan minum percuma, saya pun tak tahu siapa yang membayar?. 

Wang? Pitih? Langsung  tidak ada. Satu sen pun tak punya wang dalam saku selama dua minggu  di Pulau Pinang. Nak beli cendul Mamak tepi jalan pun tak boleh.   Saya datang dari hutan Kota Aur- Mung Gajah, tempat tak perlu  bawa wang. Ketika  itu ATM belum wujud. Akaun bank pun tiada. Namun saya sangat menghargai  sikap baik hati warga polis Pulau Pinang yang bersimpati. Juga warga Pulau Pinang sendiri, setelah kenali saya , ada yang mengajak ke rumah makan dan minum.










Friday, August 10, 2018

Bukan masanya mempamer otot-­otot



Oleh: Rossem
Suka atau tak suka,  DAP telah berjaya  menyatukan  orang Cina dalam sebuah parti besar yang didominasi  kaum  itu  sejak 40 tahun lalu, manakala Parti MCA yang ditubuhkan sejak Malaya merdeka  dengan matlamat memperjuangkan nasib orang Cina ditinggalkan begitu saja oleh orang Cina. Menerima nasib  sama ialah parti GERAKAN. Majoriti kaun India juga mengucapkan selamat tinggal  kepada parti MIC  . Mereka kini  bersama  dengan DAP  dan PKR.  Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH). 

DAP menjadi kerajaan  dalam PH  dengan kekuatan  kerusi parlimen nombor dua paling banyak selepas PKR.  Matlamat perjuangan DAP , antaranya  membangun kaum Cina.  Itu hak mereka. Jadi kenapa kita harus marah?. 

Sebaliknya orang Melayu terus berpecah kepada lima kelompok. UMNO, PAS, PKR, Amanah dan PPBM. Masing-masing menyingsing lengan, mempamerkan otot-otot, kamu bodoh,  munafik,  golongan ahzab dan pelbagai lagi maki hamun.  UMNO dan PAS terus menerus  memperlekehkan  PH.   Manakala PH  dalam diam-diam  kucing terus  menjalankan siasatan  ke atas pemimpin UMNO, mendakwa dan mengheret mereka ke mahkamah.  Siapa  cerdik? 

Ada  orang Melayu bangga  menjadi pembangkang ,  bisa mempamerkan  kepintarannya berhujah di parlimen. Memang kita kagum dengan kehebatan  mereka berhujah, tetapi  untuk apa, kalau hanya  sekadar menjadi bahan gelak ketawa dan riuh rendah bunyi tepuk meja.  Semua itu ibarat    angin lalu, tidak menjadi kudis gatal pada pihak   kerajaan, contohnya   RUU tentang SST, hujah-hujah pembangkang  ada yang realistik , tetapi bila speaker  mengatakan “ siapa setuju  kata setuju, siapa tak setuju kata tak setuju”.  Pembangkang pun melopong- kalah,  suaranya minoriti. Ada juga pembangkang hanya sekadar menjadi pasu bunga tetapi bila balik ke kawasan masing-masing, beritahu pengundi “saya telah mengangkat masalah anda di parlimen”.

Menjadi pembangkang bukan satu kebanggaan, menjadi kerajaan  yang dikehendaki.   Mulai sekarang, latihlah  anak-anak kita   agar dewasa  dapat menerajui  kerajaan,  bukan menjadi pembangkang. Syarat utama menjadi kerajaan ialah berpelajaran, bijaksana, berakhlak mulia.   Didik anak-anak sedari  kecil dengan akhlak mulia, tanamkan sifat benci kepada korupsi, penyalahangunaan kuasa dan lain-lain kejelekan.  Bila sifat-sifat itu bercermin dalam diri, baru pengundi berminat mengundi kita. 

Tinggalkanlah Najib Razak , kita tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan bekas Perdana Menteri Malaysia itu,  UMNO  tidak upaya  membawa beban berat ini selamanya.  Membina semula parti  adalah  lebih penting. Kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. Ramai yang sependapat dengan Annuar.  Itulah garis sempadan  persahabatan dan kesetian seseorang dalam pentas politik. Saat berkuasa dijulang, hilang kuasa ditinggalkan. Sifir politik memang  begitu. Harus berani.


Yang menang tulis sejarah, yang kalah tulis puisi. Teringat  sebuah sajak karya Alamrhum Khalid Slleh tentang  orang Melayu dan  Tanah Melayu (Buku; Kalau Aku Jadi PM- ITBM)

Jangan dijadikan serampang menikam dari belakang
Kebun pisang jangan dibuat tempat membela beruk
Tangan memberi jangan dilukai
Mulut tersenyum jari mencubit
Sekali berkepak jangan dahan dipatahkan

Ceritakan kepada mereka
Rumah kita bukan jamban
Untuk sesiapa membuang kotoran
Adat bertandang menghormati
Penghuni asal atau tuan rumah
Tangan bersalam ucaplah terima kasih

Kunyahlah makanan  yang dihidangkan
Sebagai penghormatan terhadap tamu
Nasi tambah jangan diminta
Sekalipun perut terasa lapar
Mulut celupar jangan dibiasakan di hadapan tuan rumah
Buktikan diri
Menjadi pedagang yang memahami adat menumpang

Unggun apai jangan dinyalakan
Kita lahir bukan untuk berperang
Bukalah nyanyian berbau perang
Melayu tak akan berperang
Tapi jangan terluka hati dengan mulut celupar.


Nasihat-nasihat Khalid Salleh itu seharusnya menjadi renungan orang Melayu , walaupun sajak itu ditulis pada  tahun 2014, namun,  kini dan akan datang tetap releven.  Asal usul orang Melayu dari Gugusan Pulau-Pulau Melayu yang disebut oleh pelayar dan pengambara Eropah The Malay Archepilago, seperti juga pelayar dari China menyebut  Mo lo yo. Al fatehah buat sahabat Khalid Salleh!


Friday, July 27, 2018

Tentang Razia Sultan


Seperti  tak mahu berkalih punggung saat menonton drama Hindi  bersiri  setiap sore  (Senin hingga  dan Khamis) di TV3,  sejam.  Mata terfokus terus kepada  skrin televisyen, bukan kerana tertarik akan kejelitaan Razia dan kehibatan  lelaki bernama  Mirza, tetapi  drama bersiri  yang terjadi  pada  era kegemilangan Islam di India itu memberi pengajaran kepada kita  khususnya umat Islam.  Yang menghancurkan sesebuah empire itu bermula dari dalam, anai-anai yang kecil itu, jika dibiarkan, tidak dimusnah dari awal,  bisa meruntuhkan sebuah rumah, istana, negara.  

 Konflik keluarga diraja (penguasa) yang benar-benar berlaku  di zaman kesultanan Delhi, India  sekitar tahun  1236M. mengingatkan kita, hal yang sama juga terjadi  kepada penguasa Islam yang lain, dahulu dan sekarang, di mana-mana saja di belahan dunia ini. Kerajaan Islam Delhi,  ketika itu  sebahagian daripada daulah Uthmaniyah (kurun ke 13).  Gagah di mata dunia. 

Puteri Razia atau nama sebenar Razia Ad-Din  wanita Islam pertama dalam sejarah kesultanan Delhi mewarisi tahkta daripada ayahandanya, Sultan Shamsuddin Iltutmish  (1236M),  beliau keturunan hamba yang lahir ( 1205) di Bidaun, India. Asal ayahandanya seorang hamba bangsa Turki, bekerja untuk Sultan Qutbuddin di Delhi.  Ketika pemerintahan Qutbuddin, Shamsuddin Iltutmish telah menunjukkan kewibawaanya sehingga dilantik menjadi gabnur sebuah wilayan di Delhi, seterusnya menjadi Sultan Delhi.  Baginda kemudian dikahwinkan dengan puteri Sultan Qutbuddin. Dari situlah Razia mewarisi takhta kesultanan Delhi.

Sultan Shamsuddin  Iltutmish  beristeri dua. Dikurniakan tiga cahayamata iaitu Naseeruddin Mahmud dan Razia, manakala isteri kedua dikurniakan  seorang anak- Rukhnuddin Firuz.  Setelah Sultan  Shamsuddin Iltutmish mangkat (1236) terjadi perebutan kuasa  antara adek beradek mereka. Episod yang menyayat hati, pembunuhan yang dirancang, ketabahan, kesabaran, keberanian puteri Razia membuatkan penonton bisa meneteskan air mata. Saya suka menonton kerana kejelitaan Razia he he he.

Razia satu-satunya wanita Islam yang pernah menjadi penguasa Delhi dengan memakai gelaran Sultan Jalalatuddin Razia.