Thursday, June 7, 2018

Politik Malaysia: Mahu salahkan siapa?


Oleh: Rossem

Manusia asalnya seperti botol kosong, kemudian perlahan-lahan diisi dengan pelbagai aneka, penuh atau tidak bergantung  bagaimana kemampuan  ia mengisi.  Isinya  tak sama .    Ada  berkualiti  ada tidak, ada Baik  ada  buruk, ada manfaat kepada dirinya dan orang lain, ada menyusahkan .  Ketidaksamaan itu menyebabkan, botol bila berdekatan ia akan  bergesel dan pecah.  Begitu juga dengan fahaman politik, adek beradek  boleh berbeza politik,  satu akidah boleh bermasam muka, satu bangsa mengata nesta macam diserang histeria. Politik ialah keyakinan, keyakinan itu tumbuh dari hati. Meraikan kepelbagaian pendapat hanya semata slogan, realitinya tidak di Malaysia, tak tahulah negara  lain. 

Politik kehilangan seri wajah bila di jalanan masih ada orang berjalan mundar mandir  menjaja pakain lusuh dan compang camping, berterusan   seperti musim   kempen  PRU14 , wahhal    PRU sudah berakhir,  tak perlu lagi menjaja pakaian  buruk lusuh dengan potongan separuh harga. Mereka berniaga melalui facebook.   cybertooper  ini  masih berterusan menanam keraguan, rasa benci, fitnah di kalangan rakyat. 

Mungkin mereka merasakan itu adalah sesuatu yang terbaik walaupaun mereka tahu – tak semuanya benar. Berbentuk perspesi.  Mereka sengaja mengolahnya  supaya kelihatan “benar”.  Kemudian  melontarkan dengan tujuan   menganggu  oarng yang sedang merindui sesuatu yang baru. Akhirnya moral menjadi letih. Negara kicau bilau , keharmonian hilang. 

Kelmarin ke kedai  menjual barang-barang binaan, beli satu tin cat untuk menghias rumah sempena sambutan hari raya aidilfitri, satu tin cat yang sebelum ini dengan harga RM100, sekarang  RM94. GST sebanyak 6 persen sudah tercabut. Yang paling mudah, tak perlu mempelajari matamatik tinggi ialah kunjungi kedaI  RM2, dahulu RM2.12 sen, sekarang RM2.  Dahulu, pelangan  beri RM2.20 sen , lebihan 4 sen dicucur dengan sebiji gula-gula getah yang budak pun tak lalu makan.  Itulah yang dimaksudkan  “rindu” kepada yang baru. Barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merajuk hati. Kata Tan Sri P. Ramle dalam lagunya . 

Kita dituntut  perbanyakkan membaca al Quran. Dalam surah Al Kahfi ,  Allah menceritakan tentang pemuda Al Kahfi, ditidurkan Allah dalam gua selama 300 tahun bersama seekor anjing  . Bila terjaga  pemuda  terpinga-pinga, masing-masing bertanya,  berapa lamakah  kita  tertidur di gua ini,  jawab salah seorang daripada pemuda itu,   baru satu hari atau separauh hari,  tetapi melihat anjingnya  sudah mati, tinggal tulang, mustahil satu hari, mesti  suatu tempoh yang lama.  Kemudian terasa lapar, Kebetulan mereka punya  wang siling yang dibawa dahulu, berbekalkan wang yang ada, salah seorang daripada mereka  memberanikan diri keluar ke bandar  membeli makanan.  Ketika pemuda al Kahfi   memberikan wang  siling kepada penjual di pasar,  si penjual mengamati wang itu dengan penuh kehairanan “ Wang ini sudah tak laku lagi, kerajaannya  sudah tumbang 300 tahun lalu, sekarang diperintah kerajaan baru yang adil -   menggunapakai  wang siling baru”  beritahu si penjual. Pemuda al Khafi terkejut. Sangat kontradik dengan tanggapannya  bahawa   mereka hanya tertidur satu hari, rupanya 300 tahun.

 Kerajaan tak pernah kekal, datang dan pergi silih berganti,  yang zalim juga pergi yang baik juga pergi. Kealpaan selalunya  berakhir dengan  kecundang. Di malaysia siapa sangka, Umno/BN  memerintah Malaysia selama 60 tahun , boleh tumbang melalui pilihan raya 9 Mei  2018. Kini Pakatan Harapan pula  memerintah.  Tak perlu lagi bernostlagia dengan  kerajaan lama. Kita sama-sama membina Malaysia Baru walaupun sebahagian orang mengatakan perit dan pedih. Masih ada cahaya di hujung terowong  lima  tahun mendatang. Malaysia negara demokrasi! 

Seperti hujan  di musim kemarau. Bumi yang kotor, berdebu  dek  kemarau memanjang,  tiba-tiba  hujan  mencurah dari langit, segala daki, debu, habuk, kekotaran yang sekian lama melekat di bumi pun hilang. Begitu juga  dengan kedatangan parti baru PH memerintah Malaysia  segala bentuk salah gunakuasa, korupsi,  kerajaan lama dibongkar, yang terlibat kecut perut.  

Tentang keadilan teringat bagaimana  maharaja  Romawi yang  pernah gah suatu masa dahulu mengadili rakyatnya yang didapati bersalah. Tidak ada peguam bela ketika itu. Yang didapati bersalah  diadili dengan cara yang sangat sadis. Pesalah akan bertarung dengan singa di gelanggang  yang dibina khusus, disaksikan ribuan penonton. Singa  yang dilaparkan itu dilepaskan , pertarungan pun bermula, setiap kali singa membaham mangsa, darah  memacut, raja, pembesar negara dan seluruh penonton akan bersorak  gembira. Sekiranya tersangka  bersalah itu benjaya menewaskan singa, ia dianggap tak bersalah dan dibebaskan. Itulah pengadilan di zaman kuno.

Sekarang  yang dituduh bersalah boleh mendapatkan khidmat peguam.  Pilih sahaja peguam mana yang difikirkan  terbaik, hatta mengupah peguam tersohor dari Amerika. Kes 1MDB tak dapat diselesaikan dengan segera. Peguam-peguam akan berhujah  bermati-matian mempertahankan anak guamannya.

Saturday, May 26, 2018

Melihat akar umbi PAS



Oleh: Rossem
Ada seseorang  menuturkan “ Pas sekarang memperolehi 18 kerusi parlimen,  parti itu memerlukan 100 kerusi lagi untuk memerintah Malaysia. Kita sudah boleh berangan-angan mulai  sekarang...”  Saya tak pasti, ungkapan orang  itu serius atau menyinis. Kalau serius fikirannya sedikit berkecamuk,   usianya  sekitar 20an, politiknya belum matang. Apa  yang dibayangkan di benaknya  bahawa  PAS hanya memerlukan 100 kerusi untuk ke Putrajaya.  Mudah bunyinya, tetapi ini bukan  beli kerusi di kedai perabot. 

Pendapat  “aneh” seperti ini  sebenarnya pendapat  majoriti  pengundi muda  PAS masakini. Tetapi bagi orang dewasa seperti saya yang sudah matang dengan selok belok politik Malaysia, 100 kerusi itu merupakan  sebuah khayalan.  Namun pengalaman “berkhayal” seperti itu, di zaman muda  dahulu juga  pernah ada, - mengasyikkan, justeru saya tak marah sangat kepada anak muda yang suka berkhayal.  

Bila kita mengemukakan hujah dan rasional  untuk menyangkal opini   yang lebih mirip kepada “Mat Jenin”,    dengan nada sedikit tinggi ia berkata “ Akan berlaku dengan pertolongan Allah” Disergah kita  “ Apakah  pakcik  tak yakin  pertolongan Allah?”  Bila itu jawabannya, saya mengalah,  membuang masa  berdiskusi  dengan  si fanatik. 

 Dihari lain, ada seseorang  cuba membakar semangat di hadapan saya. “Jika Anwar Ibrahim mahu merampas Kelantan dan Terengganu dari tangan PAS, kami dari kelompok pemuda  bersiap  siaga menyingsing lengan, menumpahkan keringat  mempertahankan negeri ini.  “Baru dua hari keluar penjara sudah cakap besar...Pooooragh”.  Dan banyak lagi kata-kata menjelekkan Anwar tersembur dari mulutnya. 

 Pendokong PAS itu merujuk kepada  ucapan Anwar  di hadapan ribuan khalayak  di Petaling Jaya pada malam sehari selepas beliau mendapat pengampuan Seri Paduka Yang DiPertuan Agung, Sultan Muhammad V .  Dalam pidato itu Anwar menyebut, dua negeri  - Kelantan dan Terengganu yang dimenangi PAS pada PRU14 lalu di masa mendatang  akan kembali ke pangkuan  Pakatan Harapan.
Golongan   pentaksub hanya melihat  kesalahan orang lain, tak nampak akan kesalahan sendiri. 

Mereka lupa   Presiden PAS  Haji Hadi Awang sendiri  pernah suatu   saat berceramah memperkenalkan calon  PAS  di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu  mengatakan  logo PKR  adalah  manifestasi  dari mata lebam Anwar . 

Hadi seolah-olah  yakin, Anwar tumbuk matanya sendiri sehingga lebam.   “Mata lebam itu satu lakonan seperti terdapat dalam filem Tamil”. Demikian kata  Haji Hadi.  Ketika “langkah Kajang” dahulu beliau juga mempersendakan   Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan kata-kata yang tak sepatutnya terbit dari seorang bergelar ulama.


 Kata cerca Haji Hadi itu berlaku ketika Anwar berada dalam penjara, namun tembok penjara tak  menghalang  cercaan itu sampai ke telinganya. Justeru jika Anwar marahkan  PAS pun bisa dianggap wajar dan munasabah.   Hanya pentaksub PAS sahaja tak nampak perbuatan buruk dilakukan pemimpin mereka sendiri. Yang dilihatkan hasrat Anwar (PH) mahu rampas Kelantan dan Terengganu.  Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak.

Seorang lagi, kebetulan kawan lama, kami dahulu sama-sama jentera PAS. Beliau sangat berbangga dengan PAS yang dipimpin Haji Hadi. “ Allah SWT telah membersihkan PAS dari golongan munafik, sekarang munafiqin  sudah keluar PAS . Kini PAS  menjadi wadah yang lebih diberkati” .  Saya diam, tak ada faedah bertengkar dengan orang seperti ini. 

 Akar umbi PAS terutama kaum ibu sangat fanatik kepada PAS, mereka beranggapan PAS adalah satu-satunya parti Islam  di Malaysia, justeru pilihan mereka  hanya satu;   undi PAS bererti undi Islam, undi selain PAS bererti undi bukan Islam.  Hanya PAS boleh menyelamatkan Islam di Malaysia. 

PAS berjaya menanam “doktrin”  ini ke dalam setiap hati pendokongnya melalui  ceramah yang berapi-api, guru-guru halaqah . Ustaz-ustaz  lantikan politik ini menyampaikan kuliah  di dataran-dataran Ilmu yang banyak wujud di Kelantan, juga di  masjid, surau setiap daerah dan kampung. Pernah  suatu ketika saya mengikuti kuliah guru Halaqah yang berbicara tentang hudud.  Hebat penerangannya, sesiapa mendengarnya seolah-olah hudud akan dilaksanakan besok hari.  Si ustaz ini langsung tidak menyentuh  tentang perlembagaan negera dan halangan-halangan   perundangan lainnya jika hudud itu mahu dilaksanakan di Malaysia, kerana mereka bukan pakar dalam bidang perlembagaan dan perundangan.  Namun penerangan seperti ini  berjaya membentuk ketaksuban pendokong  PAS. 

Ini adalah sekelumit   contoh, bagaimana PAS membina   kekuatan  di Kelantan  sehingga sukar ditembusi parti-parti lain. Umno hampir 30 tahun mencuba  mengikis ketaksuban ini namun gagal,  PH juga tak berjaya  sehingga calonnya banyak hilang wang deposit.  Benar seperti kata orang, PAS Kelantan  ibarat gamat di laut, dipotong-potong , dikerat-kerat badanya ,  kembali bertaut , bercantum dan hidup semula . Saranan Anwar Ibrahim untuk merampas Kelantan dan Terangganu pada PRU akan datang tak mungkin tercapai kecuali dengan kebijaksanaan dan pendekatan  luar biasa.  


Tuesday, May 15, 2018

Demi Qalam




Sejarah membuktikan akhbar berperanan luas dalam mencorakkan dunia.  Mantan Presiden Amerika , John F. Kannedy pernah menyebut “Saya lebih takut kepada sorang wartawan daripada seribu tentera”. Sementara ilmuan Islam terkenal, Ibnu Khaldum pula berkata “ Ketika perang, perajurit menjadi panglima, di saat kemenangan, penalah yang jadi jeneral”.  Semantara Filosof Yunani, Iskandar Agung menuturkan “ Masalah dunia  berada dalam dua hal iaitu pedang dan qalam”. Semantara Allah bersumpah “Demi Qalam”.

Dunia berputar,  masa berubah, media terus berperanan. Dari media cetak yang semakin malap kepada gejat yang lebih mudah dan murah, berita seluruh belahan dunia ada dalam saku baju atau seluar.  Justeru peranan Jurnalis, wartawan , tukang komentar atau  juru lapor tidak  mati,   berfungsi seperti sebelumnya,  bahkan lebih bebas. Mereka sebagai  tukang lapor/komentar,  sekaligus editor. 
 
Seperti kata sahabat saya, Djazlan Zainal, kualiti jurnalis  fecebook mutakhir ini semakin meningkat dengan penyertaan tokoh-tokoh media  arus perdana yang terkenal, mereka mulanya berasal dari media konvensional seperti akhbar dan televisyen. apabila pendapat mereka dianggap sanggahan bagi pihak tertentu, maka media facebook merupakan alternatif untuk pengamal media ini terus menyalurkan opininya. antara yang terkenal di facebook ialah Kadir Jassin, Sayuti Omar (MSO) Ku Seman Ku Husin,  Imlan Adabi,  Ahmad Lutfi Othman  dan ramai lagi. Yang memperjuangkan seni budaya pula seperti Shamsudin Osman, Kassim Mohamad ( sekadar menyebut beberapa nama).  Mereka mempunyai pengikut yang ramai.


Medan, Istana dan gunung berapi



Oleh: Rossem


Saya mengunjungi istana Maimun dua kali dalam tempoh lima tahun , hanya  tanggal 15 Mei 2016 baru melihat makam-makam kesultanan Deli  sejak kesultanan itu didirikan 1600an. Sultan yang kini kehilangan kuasa itu dimakamkan dalam kawasan Masjid Raya Medan bersebelahan dengan Istana Maimun. 

Indonesia menggunapakai sistem republik justeru raja  dimuziumkan.  Namun dalam haraki kesultanan Deli raja atau sultan masih wujud, hanya  tak diiktiraf . Sultan sekarang, Sultan  Mahmud Aria Lamanjiji Perkasa Alam, berusia 17 tahun menetap di Sulawesi kerana ibunya orang Sulawesi. Kata penjaga makam, sultan budak itu datang setahun sekali, biasanya pada hari raya aidilfitri,  solat sunat  berjamaah bersama keluarga dan rakyat jelata di sini. 

Kemuncak kegemilangan kesultanan Deli ialah di era pemerintahan Sultan Maimoen  Al Rasyid Perkasa Alam (1873- 1924). Istana Maimun dan Masjid Raya Medan dibangunkan dizaman beliau. Keunikan senibina tradisional Melayu boleh dilihat pada rekabentuk  istana yang berwarna kuning, manakala rekabentuk masjid kombinasi  senibina Arab, Mongol dan Melayu.  Dibangunkan pada tahun 1906.  Dua kali saya solat Subuh di masjid bersejarah itu. Usai solat minta berfoto dengan imam untuk  masuk facebook. Sedih, makmun tak ramai. 

Sejarah ialah cerita  masa lampau. Masa lampau akan  menjadi masa akan datang bagi generasi lain, kemudian kembali menjadi masa lampau.  Begitu sejarah membentuk episod demi episod.  Demikian hidup manusia yang diaturkan oleh Allah SWT. Benar kata orang tua-tua; hidup  tak ubah seperti roda pedati, ada ketika di atas, ada masa di bawah. Tidak ada makhluk kekal berkuasa, yang  kekal hanya  Allah. Sultan Melayu Deli dan banyak lagi sultan-sultan di Indonesia yang bertakhta sebelum kemerdekaan ditamatkan peranan kesultanan selepas mencapai kemerdekaan, kecuali  sultan Solo, keturunan Sri Sultan Hamengkubuwono.  Sultan   tanpa eksis politik. 

Masih dalam provinsi Sumatera Utara, melintasi gunung dengan jalan raya sempit dan banyak selikuh,  memasuki wilayah Tanah Karo yang didiami  etnik Batak Karo. Kata supir kami  (pemandu kereta) yang kebetulan   etnik Batak Karo, 15 persen Batak Karo adalah Muslim, 85 persen katolik /protestan. Sementara  Batak Toba yang mendiami Danau Toba, jumlah penganut Kristian bahkan sehingga 95 persen. Supir kami Adi Jailani,  seorang Batak Karo Muslim yang taat, setiap kali kami solat ia juga ikut solat,  beristerikan gadis Minang dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat. Beliau dari marga Sembiring. 

Marga Sembiring antara marga Batak Karo beragama Islam. Mantan menteri Kominikasi dan Informatika Indonesia dari   Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dalam kabinet Susilo Bambang Yudhoyono dahulu iaitu Titatul Sembiring  dari suku Batak Karo sebelah bapanya, manakala ibunya minang. Beliau  pernah memimpin Parti Keadilan Sejahtera  yang bernuasa Islam. 

Melewati perkampungan suku Batak Karo dari kota Medan, Deli Serdang  ke Sipiso-Piso menimbulkan kehairanan terutama bagi orang Malaysia. Gereja dan masjid bersebelahan, gereja lebih besar dari masjid. Ukuran masjidnya kalau di Malaysia layak dipanggil surau. Tetapi seperti dimaklumkan warga setempat,  juga oleh supir kami; keharmonian antara agama di sini terpelihara,  tak pernah terjadi pergaduhan atau sengketa, seperti pernah berlaku di Ambon suatu masa dahulu. Barangkali kerana  persamaan bangsa dan bahasa pertuturan membolehkan mereka menjalani hidup dengan aman damai seperti dalam sebuah keluarga besar.   

Ketika di lokasi wisata air terjun Sipiso-Piso,  kami belanja makan empat  anak muda Batak Toba.  Tiga  perempuan dan seorang lelaki. Mereka adalah pelajar - pelajar universiti yang mengambil bidang olahraga.  Mereka membantu kami saat kami kepenatan ketika mendaki anak tangan di sekitar  kawasan air terjun.  Sambil berjalan ke gerai makan kami bertanya wanita itu “Apakah adek-adek ini Muslim?”  Salah seorang wanita itu menanggukkan kepala, lalu segera dibantah kawan  lelakinya. “ Semua wanita ini bukan Islam pak” kata lelaki itu.  

“Ah, Kami cuma bertanya, Muslim atau tak Muslim tak menjadi halangan untuk kami belanja makan, kebetulan mereka juga menyebut lapar. Kami makan di sebuah restoran kepunyaan seorang perempuan  Mendeliling yang katanya pernah bekerja di Johor.  Mereka memesan mee segera dengan masing-masing sepingan nasi. Tak pernah di Malaysia mee segera makan dengan nasi. Sambil makan kami bertanya lebih mendalam. Benar, semua wanita itu Kristian, hanya lelaki saja Muslim. Namun mereka berkawan baik.  Sambil menunggu hidangan tiba, mereka menulis nama dan nombor telefon di atas selembar kertas dan berikan kepada kami. Si lelaki namanya Sukri Silalahi, manakala ceweknya Wina Sipatung, Ewa Sigalingging dan Yuni Siringo Ringo. Usia 16 tahun.

Gunung berapi   Sinabung di Brastagi tampak dengan jelas dari jalan raya. Kenderaan kami berhenti di lokasi  paling hampir dengan gunung itu untuk merakam foto.  Kondisinya seperti terbelah dua dengan  kesan lahar masih seperti baru. Terakhir meletup  tahun 2014. Ramai warga sekitar  berpindah  mencari perlindungan   di khemah-khemah yang disediakan pemerintah. Kami sempat meninjau lokasi penempatan mangsa gunung berapi ini di Brastagi.   Ketika kami sedang memotret gunung  Sinabung dari sebuah gerai menjual jagung bakar di pinggir jalan, Seorang warga  tempatan menghampiri lantas memberitahu;  malam tadi gunung berapi itu mengeluarkan bunyi seperti orang sedawa selepas kenyang  makan” .