Friday, May 4, 2018

Buanglah politik cara lama... maki hamun




Oleh: Rossem
Saya menulis ini waktu pagi, burung-burung menyanyi berkicauan, hinggap di ranting dan dahanan kayu yang tumbuh meliar  di sebelah rumah, mencari rezeki kurniaan Allah,  kemudian terbang berkawan hilang entah ke mana. Ada diantaranya hinggap ditiang-tiang  bendera yang banyak dipasang  di hadapan rumahku. Pelbagai warna, biru tua, biru muda dan hijau. Burung tidak memilih warna, sekejap hinggap di bendera  hijau, pindah   biru tua, kemudian  biru muda. Burung hidup dalam dunianya tersendiri, ia tak tahu apa-apa seputar   bendera dan warna. Burung hinggap hanya untuk mencari makanan  yang mungkin terdapat di celah-celah lipatan dan tiang bendera.

Kalau begitu, apa beza  burung dengan manusia?  Manusia juga suka berpindah dari satu bendera ke bendera yang lain, dari satu lambang ke lambang yang lain, dari satu warna ke warna yang lain. Dahulu biru tua, sekarang biru muda, ada juga dari hijau  ke biru muda (oren). Perpindahan orang politik, klimnya   atas nama perjuangan menyelamatkan negara,  namun terdapat juga  perpindahan demi  “makanan”  seperti burung.  Justeru sebahagiannya tak ada beza dengan burung.

Tak tahu siapa  memasang bendera di jalan raya hadapan rumahku. Sesiapa pun bisa,  kerana tanah kerajaan. Lima tahun sekali meraikan demokrasi. Kemerihannya mengalahkan hari lebaran. Biarkanlah... jangan ganggu.  Kerja-kerja memasang bendera dilakukan lewat malam hari, saat orang lain nyenyak tidur. Tak pasti samada orang yang sama memasang tiga jenis bendera berlainan. Tiada yang mustahil.  Janji  dibayar!

Tentang parti politk, ada pemimpin  berpindah randah seperti kabilah. Sesuatu yang dianggap wajar bagi mereka ,  kerana  air sungai yang sentiasa mengalir mencari kuala lebih baik daripada  air kolam atau tasek yang statik , tak bergerak,  lama kelamaan air menjadi busuk. Makanya  pemim pin politik  itu untuk mensucikan dirinya harus mengalir seperti air sungai !

Dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad  menjadi Presiden Umno, bila usianya  mencecah 93 tahun  keluar Umno menubuhkan parti  baru – PPBM (HARAPAN). Mohamad Sabu, dari Timbalan Presiden PAS, keluar  dan menubuhkan parti baru Amanah. Lama sebelum itu, Almarhum Onn Jafa’ar dari Umno menubuhkan parti Negara.  Allahyarhan Osman Abdullah, dari Umno, menyertai PAS, kembali  semula kepada Umno. Tunku Abdul Rahman Putra  meninggalkan  Umno menyertai Parti Semangat 46. Ibrahim Ali hilang title “katak” kerana ramai kini  menjadi katak.

Almarhum Tan Sri Haji Mohd Asri Haji Muda , di era kepiminannya  PAS berjaya  mentadbir Kelantan selama 18 tahun, akhirnya  meninggalkan PAS, menubuhkan parti HAMIN, kemudian menyertai UMNO.  Begitu juga Almarhum Dato Muhamad Nasir, Dari Pas, menubuh BERJASA, sebuah   parti komponen BN.

Dahulu ada pemimpin PAS yang mengelarkan UMNO  sebagai  toghrut , penyokong fanatik mereka pun berteriak toghrut. Tak makan haiwan sembelahan orang Umno,  solat  dua iman, bercerai suami isteri, sekarang pemimpin itu tak lagi berteriak toghrut,   bahkan melarang  penyokongnya  mengamalkan politik keras  era tahun 80an.  ”zaman berbalah sudah berlalu. Kita mahu menjadi penasihat” .

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS  semasa hayatnya sangat keras terhadap Umno, sekarang anaknya Nik Abduh  berusaha merapatkan kembali hubungan PAS-Umno.

 Saya tertarik dengan ucapan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa saat beliau menyampai pesan-pesan khusus kepada pengundi Parlimen Ketereh kebetulan   saya hadir kelmarin. Saya tersepit diantara perbalahan  Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib adalah ketua saya dan Dr Mahathir mantan ketua saya. Lalu saya   memilih menyokong kerajaan (Najib).  Setiap kali saya  berceramah menerangkan dasar-dasar kerajaan, GST, pembangunan yang dilaksanakan dan akan dilaksanankan, khalayak bosan  bahkan ada yang  tertidur.  Tetapi jika saya memilih sebagai pembangkang, ceramah pasti berapi-api ,  khalayak akan bertepuk tangan , melompat-lompat , sekejap akan menjadi ­ popular.  Beliau lalu meniru  ceramah pembangkang .  Saya percaya khalayak akan histeria mendengarnya.

PRU ke 14 jatuh pada 9 Mei . Kejutan awal pada hari penamaan calon khususnya di Kelantan ialah putra sulung Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA), Nik Mohamad Omar  ikut bertanding di atas tiket HARAPAN ( Mata) di DUN Cempaka,   kawasan  peninggalan almarhum ayahnya TGNA, sementara adiknya Nik Abduh bertanding di Parlimen Bachok  (PAS). Menariknya  saat di universiti dahulu, tesis pilihan Nik Omar ialah tentang  khalifah Ummayah yang terkenal warak, Omar Ibnu Aziz. Sama namanya dengan beliau. Seorang yang sangat merendah diri seperti  ayahandanya. Malah Nik Omar turut berdoa untuk kemenangan adeknya di Bachok dan beliau juga berharap adeknya Nik Abduh berdoa untuk kemenangannya di Cempaka.

Inilah politik. Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, adek beradek berbeza parti  dan ideologi  itu perkara biasa, bukan tiket untuk berbalah, maki hamun antara satu sama lain. Teringat kata-kata  Annuar Musa “ kita ini anak beranak  belaka. Buanglah politik cara lama”.  


Friday, April 13, 2018

“Mengingatkan” masa lalu itu satu kesalahan?



Oleh: Rossem
Pilihan raya umum ke 14 (PRU14) diambang pintu. Langit  goba,  hati berdebar.  Pemimpin   parti tak bisa tidur lena, ada mimpi yang menakutkan.  Pilihan raya kali ini berbeza dengan yang lalu, sukar diramalkan. 

Penyokong dan jentera  PAS, Harapan dan Umno/BN menggunakan media sosial, facebook dan twitter  melancarkan perang saraf  keatas lawan politik mereka. Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah, PPBM) paling banyak  manfaatkan media sosial untuk  menyampaikan mesej, info   berbanding yang lain. Mereka ada penulis berpengalaman. Klip video yang dipersembahkan  berkualiti, mereka ada  pakar dalam bidang IT. Kreativiti juga tinggi. Suka atau tak suka, terpaksa menonton setiap kali imej muncul di skrin telefon pintar. Pakatan Harapan (PH) dilihat menguasai kempen berasaskan media sosial. Kelemahan PH hanya pada akar umbi  yang tak banyak menyumbang untuk memperkasakan parti, kecuali DAP dan PKR sebuah parti lama yang berpengaruh dan punya pengikut tegar. 

  PAS juga tak kurang hebatnya dalam perang saraf, namun jentera perang mereka kurang kreativiti. Mereka mengambil pendekatan “mencelah”. Apa sahaja yang dipaparkan oleh PH, laskar cyber PAS akan mencelah dengan menulis kata-kata berbentuk sindiran, mempersenda, bahkan ada juga yang terlalu emosional sehingga menulis kata-kata jelek, maki hamun dan sebagainya.  Tak banyak manfaat diperolehi dari cybertrooper seperti ini. Sangat membosankan. Tulisan-tulisan seperti itu sebenarnya membuat pembaca bertambah benci kepada PAS. Mungkin juga dilakukan  individu yang   berpura-pura sebagai ahli PAS,  bertujuan   merosakkan imej parti Islam itu.  

Cybertrpoper Umno amat berkurang. Saya tak tahu bagaimana Biro IT Umno berfungsi. Mungkin mereka menyerahkan tugas perang saraf ini kepada media arus perdana  seperti televisyen dan suratkhabar. Realitinya, pada PRU14 iniI oposisi  berjaya dalam bidang perang media sosial. 

Untuk memenangi pilihan raya, sama ada PAS, Umno dan Pakatan Harapan tak dapat dicapai dengan hanya dari   undi  golongan taksub dari  kalangan mereka. Berteriaklah sekuat manapun, jumlah undi tak mencukupi untuk meraih  kemenangan.  Pengundi “diam” (silent voter) itulah memenangkan sesuatu parti. Pengalaman lampau  mencatat  begitu. Senario politik Malaysia sekarang menjurus ke arah lahirnya  ramai golongan “diam” tetapi mesin  berfikir mereka tidak diam, mereka memerhati, meneliti kemudian membuat perhitungan yang saksama. Keputusan pilihan raya kali ini ditentukan golongan ini. Apakah golongan ini suka menonton berita TV atau baca surat khabar arus perdana? 
Di kedai kopi di Kelantan masih lagi orang bersembang sambil  mengingatkan  “ DAP itu musuh Islam,  jangan mengundi parti yang bergabung dengan parti itu. Undi Pakatan Harapan samalah dengan mengundi DAP”. Mereka menakut-nakutkan orang Melayu sebegitu rupa. Walhal DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum, hanya sekular tegar.  Kalau DAP membahayakan kerukunan negara , bila-bila masa bisa diharamkan. Pendaftaran pertubuhan (ROS) itu milik siapa?  

Untuk kelangsungan hidup, kita harus mencipta musuh. Amerika Syarikat tak senang duduk kalau tak ada musuh, lalu musuh dicipta. Amerika mencari musuh yang jauh dari negerinya seperti Iraq, Iran, Afghanistan, kita mencipta musuh dari kalangan kita, saudara mara dan sahabat handai. Namun ternyata, pendekatan itu membuahkan hasil dan natijah yang baik. Ramai orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung percaya, DAP adalah musuh kepada orang Melayu/Islam.  Amanah, PKR, PPBBM yang bersahabat dengan DAP juga musuh, kerana bersubahat dengan DAP. Dahulu pendokong Umno berkata demikian, sekarang pendokong PAS, bahkan lebih keras daripada Umno. 

  Foto-foto  ketika Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat bersalaman, ziarah, menyantuni  Lim Kit Siang, Lim Guang Eng, Karpal Singh dan lain-lain sudah menjadi foto tua,  layak disimpan dalam album. “Mengingatkan”  bahkan menjadi kesalahan bagi pemimpin PAS hari ini.   “masa lalu” cuba  secara perlahan-lahan dipadamkan dari sejarah kerukunan politik dalam masyarakat majmuk seperti  pernah dirintis Almarhum Tok Guru Nik Aziz  dahulu. Mereka sekarang cuba    memberi ruang kepada  “masa kini” yang dituangkan  dengan ayat-ayat yang keras dan memedihkan. 

Saya tak tahu bagaimana kesudahan episod ini. Akan wujud lagikah  suasana ”harmoni” seperti pernah dirasai ketika zaman Tok Guru Nik Aziz dahulu. Berceramah sepentas dengan DAP, makan minum semeja, saling ziarah mengziarahi. Opp! Kita diingatkan, Jangan terpukau dengan keindahan masa lalu, gelisahlah dengan masa depan yang tak menentu. Apakah anda seorang yang tidak “gelisah” bila mengingatkan  tentang bangsa, bahasa, Islam,  di hari mendatang?



Wednesday, March 28, 2018

Tokoh politik Kelantan – Pertahankan tanpa mengira parti



Oleh: Rossem

Setiap bangsa melahirkan tokoh.  Setiap era punya tokoh sendiri. Ada tokoh  dinobatkan  melalui  acara khusus dengan kalungan   bunga-bungan, trofi dijulang dan  medal disematkan di dada, sijil  serta emvelope berisi sejumlah wang.  Ada  tokoh   diangkat langsung oleh rakyat tanpa melalui proses juri.  Mereka adalah dari kalangan politikus.

Tokoh budaya,  termasuk  tokoh Tok Dalang Wayang Kulit, tokoh  Tok Jhoro Dikir Barat, Makyong, wau, gasing, dipilih setiap tahun dari kalangan pengiat seni tradisional. Tokoh sastera termasuk sasterawan negara dipilih khusus oleh panitia yang dilantik. Sekarang  ada pula tokoh kartunis, anugerah ini bermula tahun lalu (2017) dan untuk tahun 2018 diumumkan tanggal 1 April kelmarin sempena hari kartunis  Malaysia  di Muzium Negara, Kuala Lumpur. 

Sering kita dengar ialah Tokoh Maal Hijrah. Pada 1 Muharam setiap tahun seorang bergelar  ‘tokoh” dinobatkan dengan sijil dan sejumlah wang diterima, berdasarkan sumbangan diberikan  kepada ummah. Sejak mula diwujudkan tahun 1987 sudah 23 tokoh dipilih.  Malaysia kaya dengan tokoh!
Tokoh bukan sekadar sebutan, ada kriteria  khusus melayakkan seseorang dicalonkan sebagai tokoh. Berbeza dengan tokoh politik. Golongan ini tidak ada pencalonan. Yang menentukan ketokohannya  datang dari orangramai berdasarkan  visi yang dibawa, sumbangan yang diberikan kepada bangsa, negara, agama  serta kebijaksanaan memimpian massa. 

Kelantan tak kalah dengan negeri-negeri lain dalam melahirkan tokoh-tokoh politik  era sebelum merdeka dan selepas merdeka. Haji Hassan bin pendikar Munas atau Tok Janggut tokoh Melayu Kelantan yang mengangkat senjata melawan penjajah Inggeris. Selepas merdeka, Saya meletakkan Tan Sri  Dato’Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham)  sebagai salah seorang tokoh politik Kelantan terbilang.

Mohd Asri,  putera jati Kelantan, lahir di Kg. Masjid, Kota Bharu  tanggal 10 Oktober 1923 dan kembali ke rahmatullah  28 Ogos 1992 dalam usia 69 tahun. Tokoh ini agak istimewa kerana penglibatan panjang beliau dalam perjuangan politik sebelum dan selepas merdeka. 

Asri menghabiskan usia dewasanya  berjuang dalam bidang politik melalui beberapa pertubuhan politik seperti Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK), Ketua Angkatan Pemuda Insaf Cawangan Kelantan (1946-1947), pengasas parti Islam pertama di Tanah Melayu Hizbul Muslimin (1947-1948), kemudian menyertai Parti Islam SeTanah Melayu atau PAS. Jawatan pertama diperingkat kepimpinan ialah Pesuruhjaya PAS pertama Negeri Kelantan,  seterusnya Yang Dipertuan Agung PAS (1968 – 1983).

Di bawah kepimpinan Asri,  PAS berjaya mentadbir negeri Kelantan dengan aman. Pilihan Raya Umum 1959 memberi kemenangan besar kepada Parti Islam SeTanah Melayu. Selepas dilantik Menteri Besar Kelantan, pertama-tama  terbit dari mulut Asri ialah mahu menubuhkan universiti Islam di Kelantan. Dicari lokasi sesuai, akhirnya Almarhum Sultan Yahya Petra bermurah hati memperkenankan istana baginda di Nilam Puri dijadikan tapak universiti yang dicita-citakan. Olehkerana ketika itu halangan oleh Akta Pelajaran  yang tidak membenarkan penubuhan universiti  swasta kecuali oleh kerajaan pusat, perkataan universiti ditukar menjadi  Pusat Pengajian Tinggi Islam. Sekarang sebagai Akedemi Islam Universiti Malaya Nilam Puri.  

Jambatan pertama menyeberangi sungai Kelantan menghubungkan  Kota Bharu dengan Tumpat dan Pasir Mas dibina  di zaman Asri sebagai Menteri Besar. Tiada siapa percaya , PAS mampu membina jambatan itu kerana kangkangan kewangan. Sehingga ada individu bernazar; jika siap jambatan  aku akan berlari berbogel dari kepala jambatan di Kota Bahru ke hujung jambatan di Pasir Pekan. Akhirnya jambatan siap. Tak tahu, samada nazar ditunaikan atau tidak,  boleh juga dilakukan dengan berlari telanjang dini hari takala  bulan gelap. Asri juga membuka tanah rancangan di Gua Musang, dengan memberikan peneroka tanah pertanian dan lot rumah. Ramai rakyat Kelantan mendapat manfaat dari kerajaan PAS Kelantan ketika itu. Bukan merampas tanah rakyat yang sudah diterokai sekian lama. 

Dari buku Memoir Politik Asri dicerita juga tentang seorang lelaki. Suatu pagi, saat Asri berada di rumahnya  di Kuala Lumpur, datang  seorang pemimpin muda PAS, waktu itu Tun Dr Mahathir baru dilantik sebagai Perdana Menteri, memberitahu bahawa Mahathir akan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. “Habislah kita orang PAS” kata pemuda itu. Asri  lantas bertanya “Kenapa PAS boleh habis?´”  Jawab pemuda “Rakyat akan lari menyertai Umno kerana Umno sudah bernausa   Islam”. Dengan senyum Asri berkata “Kewajiban menegakkan Islam terletak di bahu setiap umat Islam, tanpa mengira mereka itu PAS, Umno atau sesiapa”. 

Jasa Asri kepada rakyat Kelatan terlalu besar,  namun sejarahnya dipadamkan oleh bekas parti yang bangunnya sendiri. Generasi sekarang hampir tak mengenali siapa itu Dato’ Asri Haji Muda.  Tiada sebatang jalan pun di Kota Bharu dinamai dengan nama Allahyarham. Demikian nasib seorang politikus yang suatu ketika dahulu namanya meniti bibir setiap rakyat Kelantan, sehingga ada yang menamakan anak lelaki mereka dengan nama Asri lantaran ketaksubannya. 

Haji Ishak Lotfi Omar (Dato’)  juga boleh dimasukan sebagai tokoh politik Kelantan, sebaris dengan Mohd Asri Haji Muda.  Haji Muhamed Nasir (Dato), Tan Sri Mohamed Yaccob.  Yang paling menonjol  ialah Tok Guru  Haji Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham menjadi Menteri besar Kelantan paling lama (1990 – 2014). Tokoh-tokoh itu  sudah kembali ke rahmatullah.  

Selain nama-nama itu, Tengku Razaleigh  Hamzah jangan dilupakan.  Anak raja berjiwa rakyat  itu juga adalah  tokoh politik Kelantan. Hanya kerana usia semakin lanjut,  popularitinya  semakin  menurun,  namun tokoh ini di era kegemilangannya  pernah merubah sosio politik  Kelantan ketika itu. Siapa pula tokoh pelapis?  Tak keterlaluan kalau saya katakan Datuk Mustapha Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa sebagai tokoh politik Kelatan masakini.



Thursday, March 15, 2018

Pasar Siti Hajar, Tok Janggut dan John Waye




Oleh: Rossem

Pasir Puteh terpahat  sejarah tersendiri. Sejarah penentangan seorang individu, kelompok kepada individu dan kelompok yang lain. Mereka bahkan sanggup mati mempertahankan sesuatu yang mereka anggap benar.. Sejarah telah menulis panjang lebar tentang keberanian  orang Pasir Puteh. Ia berangkat dari nilai. Kerana itu silap rasanya menyamakan orang Pasir Puteh dengan orang dareah lain di Negeri Kelantan.

 Sejarah   berulang dan berulang,  bila sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka  tak mereka menyetujuinya. Haji Hassan bin Panglima Mat Munas atau Tok Janggut menentang  Inggeris kerana Inggeris mengutip cukai tanaman ke atas orang-orang kampung yang daif. Pihak Inggeris melantik Latiff, mamak  dari Singapura bertugas di pejabat tanah Pasir Puteh sebagai pengutip cukai bagi pihak Inggeris. Kesombongan Latif menyamarakkan lagi kebencian warga lokal kepada penjajah. Untuk membayar cukai 3 sen (zaman itu) terpaksa bermalam di kaki lima pejabat tanah.  Karenah  si Latiif sangat  menyusahkan rakyat. Api kebencian pun membara!

Politik Pasir Puteh sentiasa bergolak, tak kira parti mana. Orang luar Pasir  Puteh jangan cuba menawarkan diri menjadi calon Parlimen Pasir Puteh. Kecuali sikap dan perangai mereka tidak  seperti Latiff mamak  bajingan  Inggeris tahun 1915. Sebaik-baiknya biarkan orang Pasir Puteh sendiri mengendalikan permasalahan mereka.

Isu pasar lama Pasir Puteh masih belum bertemu noktah. Masih terdapat sebahagian penjual engan berpindah ke pasar baru yang sudah siap. Jentolak datang  mahu merobohkan bangunan usang yang sudah bertukar pemilik, penjual majoritinya wanita membuat benteng manusia. Jentolak gagal merobohkan. Itulah Pasir Puteh, penguasa di Kota Darulnaim jangan menganggap orang Pasir Puteh sama seperti orang di daerah-daerah lain.  

 Ada nilai sejarah, kerana itu tak mudah memadam kata “pahlawan” yang pernah muncul di daerah ini lebih 100 tahun dahulu. Darah “Pahlawan” itu ada pada setiap orang Pasir Puteh. Perhitungan seringnya berawal dengan penentangan, walaupun di mata orang lain penentangan itu kecil dan tak sepatutnya, tetapi penentangan itu membuka mata orang  ramai  betapa tidak bijaksananya sebuah penguasa tempatan.

Lalu teringat kata-kata tokoh perfileman dan  aktor terkenal, John Waye “ Kalau tak percaya kepada hero, jangan menonton wayang”. Penjual yang mempertahankan kedai lama mereka, di mata umum dianggap “hero”, manakala pihak yang mahu merobohkan ibarat pelakon  Saleh Kamil, A. Rahim, Salleh Melan dalam filem-filem Melayu tahun 60an diberikan peranan “jahat” walaupun mereka tidak jahat. Khalayak sering memihak kepada hero. Al Fatehah buat aktor filem  Melayu  yang saya minati itu.

Alasan, mengapa tak mahu pindah ke pasar baru Siti Hajar,  walhal   kemudahan parkir lebih selesa, kerana ruang niaganya  sempit,   6 X 6 kaki persegi. Namun menurut Majlis Daerah Pasir Puteh yang membinanya, ukuran itu sudah lumayan bagus. Menteliti penguasa di Malaysia memang dari dahulu menanggap orang  Melayu suka kepada “barang” kecil. Dahulu pokok kelapa tinggi, diberi benih kelapa rendah, cepat berbuah, orang Melayu suka. Direka kereta Kancil (sekarang Viva),  laris dipasaran kerana  ukurannya kecil dan murah.  Mungkin kerana itulah, ruang niaga pun dibina kecil, sempit, murah sewanya.  

Dulu Bazar Tok Guru di Kota Bharu pernah menjadi kontrovesi kerana ruang niaganya  sempit. Peniaga-peniaga yang  memiliki pengalaman luas  berniaga sejak turun temurun di pasar lama MPKB, sebahagiannya mewarisi perniangaan tinggalan ayah mereka, berpindah  ke Bazar Tok Guru dengan harapan dapat membesarkan lagi perniagaannya. Nasibnya seperti Lebai Malang, di Bazar Tok Guru, ruang niaganya lagi sempit. Terbantuk hasrat untuk membesarkan perniagaan. Malah  “tidak syarie” pula,  kerana lorongnya terlalu sempit, bila berselisih lekaki –perempuan- tersentuh,  tanggal wudud.  

  Sudah tiba masanya, penguasa di Kota Darulnaim mengubah minda, menanamkan di  setiap hati nurani  rakyat Kelantan agar berjiwa besar, bersemangat waja, warisan Tok Janggut yang tak pernah mengaku kalah dalam setiap pertarungan.  Jangan bonsaikan pemikiran mereka dengan “ruang niaga ” yang sempit, dengan melemparkan tuduahan; hanya  itu  yang sesuai untuk golongan ini mencari rezeki. Kalau beri ruang lebih besar-tak mampu bayar sewa!