Tuesday, January 29, 2019

PAMERAN KARTUN ANTARABANGSA 2019 INTERNATIONAL CARTOON EXHIBITION 2019 SEKALUNG TERIMA KASIH




Perasmian “Pameran Kartun Antarabangsa 2019 (PKA)” oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, YB Dr Radzi Jidin, Sabtu, 26 Januari kelmarin berjalan sepertimana direncanakan, bahkan hal-hal yang tak terduga seperti kehadiran teman-teman kartunis dari  seluruh negara  begitu ramai menambahkan seri majlis . Semangat setiakawan antara kartunis sangat utuh. Inilah perhimpunan kartunis paling ramai pernah terjadi di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Satu hari yang amat bermakna. Sebuah desa kecil –Peringat, 14 kilometer dari Kota Bharu, melakar sejarah baru dalam dunia  perkartunan  di Malaysia. 

Sekalung penghargaan kepada Presiden Kelab Kartunis Malaysia, pengasas Rumah Kartun & Komik Malaysia (RKKM) Tuan Haji Mohd Desa Omar (Juragan). Beliau sosok utama mengerakkan kartunis Kuala Lumpur agar datang meraikan perasmian ini.  Rombongan diketuai kartunis Pauh  menaiki  bas  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan  (Aswara) dan  tiba di hadapan Balai Kartun Rossem (BKR) saat fajar menyingsing, sesudah ayam berkokok   26 Januari. 

 Dini hari itu,   saya menghubungi Pauh beberapa kali untuk mengetahui di mana keberadaan mereka, saya khuatir, seringnya bas expres KL-KB tiba jam 5.00  pagi,  jam    6.00 belum tiba. Pauh kemudian memberitahu, mereka berhenti solat Suboh di Masjid Ketereh, 6 kilometer dari BKR.  Alhamdulillah. 

Sejam kemudian  bas tiba di BKR, terus  dibawa rumah  penginapan berdekatan untuk mandi manda dan istirahat. 30 kartunis  dan 12 pelajar Asrawa menaiki  bas tersebut.  Ikut bersama  seorang pensyarah Aswara, juga seorang kartunis, asal Kelantan Marzuki Abdullah atau Kidol. Sementara Juragan,  Tazidi dan aktivis komik Es Hardi (Kosmik)  menaiki pesawat udara. 

Kartunis yang menaiki bas antaranya karikaturis  Yaz Malee, Muhammad Azmi Ismail, kartunis Pauh (Mohd Safwan Mohd Ariffin), Kidol,  Ho Chi Ming (Hassin Hussin),  Ulin (Zainurin Lokman), Armus ( R Mustafa Abdul Khamal), Che An (Masran Othman), Kyimo,     Kibol, Acai, Riee, Armus, maaf  tak dapat sebut satu persatu. Tak ketinggalan kartunis Utusan Melayu, Maro si Mamak Cyber, Piza, Rubella, Jakalli menaiki  kereta sendiri dan tiba sore hari Jumaat. Kartunis  tempatan (Kelantan) Ozom, Kamal Nawie dan Cas. Kamal Nawie agak istimewa, beliau melukis karikatur YB Senator Dr Radzi Jidin  untuk cenderamata. Terima kasih.

Datuk Lat dan Datin  tiba di Kota Bharu- Jumaat sore  dengan pesawat udara  di sambut di hotel oleh kartunis budaya Mie ( Ar Ahmad Hilmy Abdullah)  yang pulang ke kampung bersama keluarga mengemudi mobil sendiri. Kartunis terkenal  “Aku Anak Minang”  majalah Gila-Gila (1990an), Ujang tiba di BKR jam 9.00 malam,  juga  mengemudi mobil sendiri bersama kartunis Roslim. Karikaturis terkenal Ambo datang dari Melaka. 

Selain kartunis, pelukis juga ikut hadir, dari Kuala Lumpur Presiden PERUPA A. Zaki Hadri, Shamsuri Atan (pelukis CM)  dan Irwan Idris.  Mereka bertiga membuat rakaman khusus untuk PERUPA TV. Siri pertama sudah pun boleh ditonton lewat Youtube PERUPA TV – Pameran Kartun Antarabangsa 2019. Katanya ada lagi sambungan (siri ke 2). Terima kasih Sdra Zaki Hadri, Shamsuri dan Irwan Idris.

En Ismail Kadir, Yang Dipertua Persatuan Senilukis Kelantan (PESENI) juga hadir,  bersama Timbalan nya  Nawi Mohd Ali,  AJK Haji Muhamad Jusof,  Sham CNI dan Haji Mat Hasim Kamaludin . Hasim sebelum perasmian ikut membantu melengkapkan persiapan. Nawi Mat Ali salah seorang juri pertandingan kartun terbaik. Seorang  Pelukis veteran Kelantan Haji Mahmood Mat walaupun dalam kondisi uzur, atas semangat setiakawan juga hadir dengan wajah ceria.  Pelukis muda Baina Amin, Amin Orion , Tan Cheng Xai.  Terima kasih.. 

Pelukis Negara yang tak asing lagi Ismail Embong ikut  bergabung dalam majlis perasmian, anaknya Ima Mailembong tak dapat hadir,  tetapi  dua minggu sebelum perasmian sudah berkunjung ke BKR. Ramai yang mengambil kesempatan berswafoto dengan bapak Ima Mailembong. Sekalong terima kasih  buat seniman jempolan. Muralis Terengganu, Ha-Qiem, Aimnfae2 dan Senikatanisa terima kasih datang dari jauh.
Terharu dengan kehadiran teman-teman sasterawan. Terima kasih penyair Rosli K Matari,  Anbakri Haron, Ct Puspa, Chu E Liang, Irene, Ramli  Abdul Halim ( Ramli atau Li kawan sepejabat dengan saya dahulu), dan juruacara (MC) penyair M. Arif, Dr Lim Swee Ting dan Nawawee Mohamad datang keesokan harinya. Terima kasih. (Maaf jika sosok lain terlepas pandang).
Ahli akademik, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Tarmizi, Pensyarah Zulkifli, Azwan Abdul Karim, Dr Anuar Mohd Yusof dan Prof Dr Mat Saad Hj Ismail dari HUSM. Menariknya BKR diangkat sebagai Lab Seni Kreatif pertama oleh Fakulti Teknologi Kreatif (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Pusat Rujukan Akademik dan Penyelidikan oleh pelajar, siswa, pensyarah, penggiat seni kreatif dan orang awam. Terima kasih Prof Tarmizi.
  Usai acara perasmian dan  makan tengah hari, Datuk Lat tidak terus balik. Hasrat beliau untuk melihat komik-komik klasik hasil karya pelukis komik tersohor tahun 1960an  seperti Allahyarham Halim Teh, K. Bali, Raja Hamzah dan lain-lain tercapai. Rupanya program “Sepetang bersama komik lama”  sudah dibincang dengan pengumpul dan aktivis komik terkenal Rudi Mahmood (Perahu Hamzah) dan Es Hardy. Rudi membawa seberkas komik lama- asli dan diperagakan di atas meja, Lat membelik lembar demi  lembar  dengan takjub. Sore yang sangat  bermakna, menoleh sejenap ke belakang, mengembalikan nostalgia kegemilangan komik Melayu. Terima kasih Rudi Mahmood dan Es Hardi. Di hari-hari mendatang program” Sepetang bersama komik lama” patut diadakan. Undang mereka yang pernah hidup sezaman dengan usia komik itu. Mungkin bermanfaat buat generasi baru.

Pameran Kartun Antarabangsa 2019 tak mungkin dapat diadakan  tanpa sokongan moral dan material kawan-kawan. Sekalung bunga rampai penghargaan buat sahabat seperjuangan Tuan Haji Mohd Desa Omar atau Juragan, Presiden Kelab Kartunis Malaysia merangkap Pengasas Rumah Kartun & Komik Malaysia (MCCH), Sdra Es Hardi ( Kosmik), Yayasan Khalifah, Zunar, UMK, PESENI, Art2canvas dan kepada orang perseorangan, Mat Hasim Kamaludin, seterusnya barisan  juri tempatan,  Nawi Mat Ali, Zunar, Rudi Mahmood. 

Sementara diperingkat antarabangsa, terima kasih sedalam-dalamnya kepada Bp Jitet Kostana (Ketua Juri), Bp Darminto M Sudarmo, Abdul Arif (Gold Pencil) dan Brother Fadi ToOn atau Fadi Abou Hassan (Editor in Chief of Cartoon Home Network International –CHNI, Norway. Bertemu  kesulitan beliau menjadi pakar rujuk.


Seterusnya  kepada semua peserta dari 35 buah negara yang menghantar  karya  mereka saya ucapkan sedalam-dalam terima kasih. Karya anda adalah  terbaik, olehkerana ruang pameran terhad, tidak dapat saya memperagakan semua sekali.  Nama-nama peseta juga tak dapat di tulis di sini kerana terlalu ramai. Sijil penghargaan/ penyertaan  sudah kami kirim lewat email, tinggal beberapa kartunis sahaja lagi belum sempat email.  Terima kasih. Terus sukses.


1 comment: