Thursday, July 26, 2018

Sastera menyatukan bangsa yang berpecah



Oleh: Rossem


MELAYARI RINDU DI PANTAI CHAP, BACHOK

Dari banua jejak ini melangkahi langit
Tiba jua di bumi Melayu negeri jiran
Disambut senyum ramah pemandu
Menggiring tapakku merentas pasir
Setangkup jabat tangan dilanturkan salam
Semanis silaturahim disimpulkan di senyum pendatang
Menjamu penyair di pesisir putih Pantai  Chap Bachok
Dalam kemesraan gelombang dan perahu yang bertaut

Malam ini ingin kulayari berlaksa rindu di punggung pantaimu
Bersama kerdip lentik cahaya mata Kota Bharu, Kelantan
Yang menghasutku untuk selalu tenggelam menikmatinya
Sebelum waktu berlalu pada esok hari berkemas
Kembali pulang membawa permata kenangan
Dari tanahmu

Aku masih terpaku di kaki pesisirmu dibelai lambai pohon nyiur
Ombak yang jinak dalam genggaman semesta
Membawa riuh nyanyian angin merasuk sukmaku
Memijah telor-telor ikan imajiku
Melahirkan lirit puisi Pantai Chap, Bachok
Yang tak pernah habis dituliskan sepanjang hayatku

Fahmi Wahid, Kalimantan, Indonesia
Pantai Chap, Bachok,  22 Julai 2018.

Sastera merentasi sempadan negara!  Desa nelayan yang kumuh , rumah-rumah  warga  diperbuat daripada  kayu dan  konkrit ,  perahu-perahu kecil  ditambat di gigi pantai.   Nelayan pesisir  beristirahat  setelah pulang dari menangkap ikan menjelang subuh.  Ombak bulan Julai menyapa lembut.  Dedaun nyiur dan ru menari-nari ditiup angin senja  Laut China Selatan. Matahari  mengisut pergi.

 Desa kecil ini, tak  ramai yang mengenalinya. Orang luar lebih kenal Bachok, kota daerah.  Tempat pendaratan tentera Jepang dalam peperangan dunia ke dua.  Kubu tinggalan tentera Inggeris masih terdapat di sini dalam kondisi  utuh . Jika bertanya;  di mana Kampung Chap,  ramai  geleng kepala, kecuali warga tempatan.  Ada yang tersesat  jalan, marah-marah, kenapa dibuat di sini, tidak di tempat lain.  Saya beritahu, di sini ada keistimewaan berbanding tempat lain.  Pantai Chap letaknya kurang lebih 5 kilometer dari pekan Bachok  dan dua kilometer dari jalan utama – Bachok Jelawat.
Desa kecil ini tiba-tiba  menjadi  terkenal.   250 penyair dari 12 buah negara  datang berkampung selama tiga hari  mulai 20 – 22 Julai.  Konvokesyen Penyair Dunia (KONPEN 2018) memberi makna kepada sebuah kampung nelayan separa tradisional  sehingga namanya ditulis lewat bait-bait puisi dan tersebar ke seluruh dun
Dua buah resort persendirian  kepunyaan Penaung PENYAIR , Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Timbalan Ketua PENYAIR , Datuk Dr Radzuan Haji Ibrahim  adalah tempat berlangsungnya konvokesyen , dengan dewan seminar yang  mengadap ke laut,  persekitaran  yang  alami,  menjadikan   pertemuan antara sesama penyair rentas sempadan  hari itu lebih bermakna , santai dan akrab. 
Makanan disediakan  bukan bertaraf hotelan.  Apa yang dimakan orang kampung di Kelantan itulah disediakan.  Nasi kerabu, nasi berlauk,  laksa dan laksam. Peserta dari Italy, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Indonesia, Timor Leste  dan lain-lain mengambil makanan  yang sama  seperti  dimakan  penyair tempatan.   Makan, minum  sambil bersembang sesama penyair suatu kenikmatan yang tak tergambarkan, sambil  diiringi muzik ombak Laut China Selatan yang syahdu. Walaupun sepanjang tiga hari itu cuaca panas terik, hembusan angin  laut membantu menyejukkan  suhu badan.  Di dalam dewan tidak disediakan  mesin  penghawa dingin.
Sebagai  tanda kecintaan yang mendalam kepada pakaian tradisional Melayu Kelantan, peserta dihadiahkan  sehelai setiap seorang kain lepas untuk dipakai buat semutar  melilit kepala.  Cara melipat semutar turut diajari, orang Kelantan sendiri terutama generasi muda  pun tak tahu menggunakannya, apa lagi orang luar, namun itulah cara penatia program  memperkenalkan satu aspek daripada warisan Melayu Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Kalau pelukis  akan melukis  keindahan pantai, rumah nelayan, sampan ,  pohon nyiur. Penyair  menulis ayat-ayat puitis  tentang pantai, bisikan  ombak, angin dan kemesraan terjalin sesama penyair.  Catatan spontan itu diposting lewat  facebook masing-masing. Sajak-sajak itu kemudiannya saya paparkan di sini.  Betapa indah bahasa Melayu, bahasa besar yang dituturkan  hampir 600 juta orang seluruh dunia.




Angin menderu
ranting tergetar
terkesiur dihembus bayu
bisik manusia pada Allah
serta nyanyian alam
menjadi bait puisi

Pantai Chap, Bachok 22 Julai 2018
Abinya Umar Abdurrahman, asal Padang, Indonesia.

JIKA ADA WAKTU

Waktu menghanyut bagai air sungai dari hulu
Denyutan jantung pun berdetak bagai jarum jam
Di kala myiur bergena di Kelantan
Debaran ombak enggan tidak bercakap

Seharian menitip syair dengan senyum
Memukau di Pantai Chap
Terfikirkah dikau suara mengalun di bawah pantai tergulung?
Selamat jalan bersenandung ke tesco
Akan bersua jika ada waktu

Siamir Marulafau, Medan, Indonesia
24 Julai 2018

Seterusnya sajak pengobat luka

Kakiku
Pengobat luka
Luka malam
Luka siang
Kini luka mengering
Terjahit sendiri

Tuhan...
Engkau lebih tahu
Bagaimana menjahit lukaku

UMK 22 Julai 2018

Orang yang mengutuk kesepian
Dan
Falasafah dibawa ombak
Tak terbuktikan

Fitriani Um Salva, Asal  Samarinda, Kalimantan, Indonesia
Bachok, 24 Julai 2018


 Saya teringat  akan penyair kalsik  India, Tagore ; Puisi Tagore telah mendekatkan manusia  kepada kehidupan yang nyata; hujan dan awan, angin dan  sungai mengalir, lampu dan cahaya,  seruling dan wina,  burung yang pulang ke sarang, pejalan-pejalan letih yang kembali, bunga-bunga  yang kembang dan berguguran.  Puisi  meneduhkan kita dari kepanasan dan puisi menangkis  apa yang mengancam kegembiraan manusia. Lalu saya  melihat unsur-unsur itu ada pada penyair yang datang berkampung di Pantai Chap, Bachok.

Sastera merentasi sempadan negara dan politik! Tiga hari terlalu singkat  bagi penyair menjalin persahabat  sesama.  Sebahagiannya tak sempat bertegur sapa atau bertanya khabar. Besok sudah  mahu berangkat pulang. Masing-masing punya kerjaan dan urusan di tempat masing-masing.  Umur panjang ditahun hadapan jumpa lagi, kerana kemungkinan program ini dijadikan acara tahunan.  kata  Penaung PENYAIR, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman “Kita lakukan adalah demi  melestrikan kegemilangan puisi Melayu”.  Hal ini bersesuaian dengan hasrat Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Maszlee  Malik “Kesusateraan akan dimartabatkan di sekolah seawal sekolah rendah,  kerana tanpa seni, tamadun tak bererti, manusia akan kaku. Negara maju memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam seminggu untuk mata pelajaran seni termasuk seni muzik”.

Program “ Konvonsyen Puisi  Dunia 2018” dengan tema “ Penyair, alam dan bisik pada Tuhan”  dianjurkan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan   Datuk Dr Radzuan Ibrahim  atau Wanrazuhar sebagai pengarah program.

1 comment: