Komik:
Cermin budaya bangsa yang harus dipertahankan.
Oleh:
Rudi Mahmood & Rossem
Abstrak
Komik
mempunyai hubungkait antara tamadun dan budaya dunia. Sebagai contoh, kemajuan
bidang penerokaan ke angkasa lepas merupakan ‘khayalan’ yang pernah dicetuskan
oleh pelukis-pelukis komik. Dengan kata lain, para pelukis komik merupakan
orang pertama mengeluarkan idea dalam bidang aero-angkasa. Berpuluh-puluh tahun
sebelum kapal angkasa dicipta, bidang komik sebenarnya telah terlebih dulu berjaya meneroka dan menawan angkasa. Begitu
juga dengan kejayaan sistem komputer dan segala macam gajet mutakhir sebenarnya
telah lama dicetuskan melalui imaginasi karya komik.Pengunaan senjata laser dan
kehebatan jentera angkasa sebenarnya telah lama digunakan dalam peperangan angkasa
di dalam buku-buku komik.Barangkali tidak ada bidang lain dalam arena
kebudayaan dan teknologi yang dapat menyaingi komik dari segi potensi daya
kreatif dan peluang menggunakan imaginasi serta mencetuskan inovasi yang
menakjubkan!
Pengenalan
Perkembangan
komik di Malaysia mempunyai sejarahnya sendiri. Ia berkembang seiringan dengan
perkembangan media bahasa Melayu. Dari sejak akhbar dan majalah Melayu mula
diterbitkan beberapa dekad lalu, komik sudah mendapat tempat di media-media
tersebut. Pada mulanya, Komik dimaksudkan untuk menghibur pembaca sahaja kerana
satu ciri penting dari media bahasa
Melayu selain menyampaikan maklumat, melalui rencana dan berita, ialah
menghiburkan pembaca. Komik, akhirnya dapat berdiri sama tinggi dengan gerne
lain, sehingga pihak penerbitan media terpaksa akur dengan kehendak pembaca
yang mahukan disediakah halaman khusus
untuk komik di akhbar dan majalah terbitan mereka.
Sejarah
Komik Melayu
Komik
Melayu dikesan sudah wujud sejak awal 1950an. Saidin Yahya (Allahyarham)
merupakan pelukis awal yang menghasilkan
banyak karya komik ketika itu, antara media yang menampung karya beliau ialah Majalah Guru yang diterbitkan Kesatuan
Guru-Guru Melayu Semananjung. Majalah
Guru keluaran Januari, 1953 ditemukan
komik karya beliau berjudul Puteri Langkawi yang disiarkan secara
bersiri, mengambil masa 2 tahun untuk berakhir (1953-1956).
Puteri Langkawi, yang berupa penceritaan kembali strip komik
tentang legenda terkenal, Mahsuri. Seperti biasa Saidin mengolah dan
menceriterakan kisah tersebut mengikut gaya milik peribadinya. Di bahagian
terakhir siri ini beliau menulis, “Hidup Mesti Amanah”, iaitu
suatu bentuk kesimpulan mesej yang ingin disampaikan melalui komik tersebut.
Siri Puteri Langkawi kemudian dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk
buku komik oleh Sinaran Bros pada tahun 1957 dengan judul Mahsuri
Puteri Langkawi. Unsur-unsur pendidikan memang jelas terselit dalam setiap
karyanya. Bagaimana pun, Saidin Yahya bukanlah seorang propagandis!
Sebagai seorang pelukis, Saidin memiliki kekuatan imaginasi yang sangat
asli. Liuk-lenggok stroke, setting dan juga shot
lukisannya memiliki ciri-ciri khas peribadi yang memudahkan pembaca mengenali
karyanya walaupun tanpa merujuk tanda namanya. Cahaya dan montaj
penggambarannya amat jelas dan tepat melalui pengaturan gelap terangnya yang rythmis.
Ketika berkarya, Saidin adalah seniman yang ‘sangat Melayu’, di mana
pengolahan tema dan pemakaian watak-watak komiknya membawa nilai kemelayuan
yang unggul. Beliau tidak meniru atau menyalin perwatakan daripada komik Barat
yang beredar di pasaran ketika itu . Beliau memilih untuk kekal dengan tradisi.
Selain melukis komik, Saidin Yahya juga merupakan seorang ilustrator
yang berkaliber. Beliau banyak menghasilkan ilustrasi untuk buku-buku teks
sekolah terbitan Sinaran Bros dan beberapa penerbitan yang
lain.Hasil ilustrasi karya beliau boleh dianggap setanding dengan ilustrasi
yang dihasilkan oleh Abdullah Ariff, seorang pelukis kontemporari dan
ilustrator yang tersohor ketika itu. Saidin juga merupakan seorang pelukis
semasa yang aktif dan banyak menghasilkan karya dalam bentuk pemandangan
(lanskaps) dan juga potret beriringan dengan pelukis dan juga teman rapatnya A.B.Ibrahim
Di
Majalah Guru keluaran Disember 1956 ditemui sebuah iklan buku komik kisah
humoris Melayu Badang Beroleh Gagah
karya Saidin Yahya. Badang Beroleh Gagah (Sinaran Bros, 1956) iaitu sebuah
kisah yang popular di kalangan masyarakat Melayu. Komik Badang Beroleh Gagah, seperti mana
komik Hang Tuah merupakan cerita yang
dipetik dari buku Sejarah Melayu, karya Tun Seri Lanang yang terkenal itu.
Komik Badang Beroleh Gagah merupakan
penonjolan watak supernatural Melayu. Badang ciptaan Saidin mungkin tidak
sehebat lukisan komik Amerika yang menonjolkan watak super-hero mereka seperti
komik Conan, Hulk dan sebagainya.
Namun kekuatan Badang lebih ditonjolkan melalui kekuatan dan keperkasaan yang
tercetus secara mistik batin. Watak Badang dan hero komik Amerika sangat
berbeza dari segi nilai budaya.
Saidin
Yahya memang berasal dari Kedah. Hal ini sangat menguntungkan beliau, kerana
penerbit yang aktif menerbit komik ketika itu berpusat di Utara Malaysia, iaitu
Peneritan Sinaran Bros, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Tahun-tahun 50an, seorang lagi pelukis yang
berbakat muncul dalam arus pergerakan senilukis komik, iaitu Mohd.Salehuddin.
Di antara hasil karya komik beliau yang popular ialah siri Pak Long dan Pak
Ngah, yang terbit di akhbar Utusan Zaman, siri Atan Dengan
Pak Mustafa dan siri komik Si Kumbang yang diterbitkan oleh
akhbar Utusan Kanak-Kanak.
Dua siri komik yang terawal itu merupakan siri yang
jelas memaparkan ciri-ciri pendidikan melalui geraklaku dan percakapan
watak-watak utamanya. Manakala siri komik Si Kumbang sangat popular dan
mengangkat nama Mohd.Salehuddin dalam bidang senilukis komik Melayu ketika itu.
Komik Si Kumbang mungkin ada sedikit
pengaruh komik Tarzan,karya /tulisan Edgar Rice
Burroughs yang terkenal itu, namun begitu Si Kumbang bukanlah
komik adaptasi. Ia berdiri dalam bentuk,teknik dan gaya Mohd.Salehuddin yang
tersendiri.
Si Kumbang merupakan watak seorang pemuda Melayu
yang hidup dan berjuang di tengah-tengah hutan yang melibat manusia dengan
kehidupan berbagai jenis binatang. Si Kumbang muncul menjadi watak hakim dalam
masyarakat binatang. Dia muncul sebagai penyelamat kepada watak lemah yang
sering menjadi ‘makanan’ kepada watak kuat.
Persoalan yang ditimbulkan oleh Mohd.Salehuddin
adalah persoalan universal, sebuah satira yang berlaku setiap hari sama ada di
zaman moden atau purba yang mencangkupi kehidupan manusia dan juga binatang.
Di samping menghasilkan cerita-cerita bergambar,
Mohd Salehuddin juga merupakan seorang pelukis sezaman yang aktif melalui Angkatan
Pelukis Semenanjung (APS). Beliau juga adalah seorang penulis fiksyen dan
wartawan akhbar yang pernah mendapat asuhan daripada Bapak Kewartawanan Melayu,
Abdul Rahim Kajai.
Karya-karyanya
yang berbentuk cerpen,novel sains fikyen banyak diterbitkan. Siri komik Si Kumbang juga pernah
dijadikan siri novel di sebuah akhbar dengan mengemukakan watak Si Kumbang
sebagai manusia yang hidup dalam dunia sains fiksyen penuh fantasi
Pada
tahun 1955, di Kelantan muncul seorang pelukis komik bernama Cikgu Nik Mahmood Idris, seorang guru lukisan. Beliau
menghasilkan beberapa karya komik
antaranya komik kisah percintaan berjudul “Kasturi”. Komik bertulisan jawi itu
diterbitkan oleh Abu Bakar bin Mohd
Al-Ahmadi , Kota Bharu, dengan harga 30 sen.
Kasturi merupakan sebuah karya yang sederhana dari
segi mutu lukisan dan juga penerapan jalan cerita.
Namun ia masih boleh di
anggap sebagai suatu sumbangan untuk sejarah senilukis komik di Malaysia.
Kasturi sebagai sebuah karya, kelihatan gagal
membentuk panel yang teratur (condified). Plot ceritanya agak tak tersusun
menurut struktur sebuah komik yang cantik. Bentuk kelemahan sebegini, kelihatan
jelas dalam kebanyakan karya pelukis yang baru muncul. Bagaimanapun kelemahan
itu relatif sifatnya memandangkan world-view pelukis ketika itu.
Pelukis lain yang muncul di pertengahan tahun 50an
antaranya ialah Abdul Halim Teh. Anak kelahiran Kampung Raban, Lenggong
Perak pada 11 Disember 1933, pertama kali muncul dalam bidang senilukis komik
melalui majalah HIBORAN, terbitan Harmy, Singapura. Beliau
pernah bertugas di Pustaka Antara,Dewan Bahasa dan Pustaka,Sinaran Brother
Sdn.Bhd dan terakhir dengan FELDA sebagai pelukis.
Karya
beliau banyak diterbitkan oleh
Pustaka Antara (Kuala Lumpur) dan Sinaran Bros (Pulau
Pinang). Halim Teh kemudian muncul sebagai seorang tokoh penting dalam sejarah
senilukis komik Melayu di Malaysia. Karyanya mendapat tempat di kalangan
peminat dan penggemar komik. Siri terkenalnya ‘Keris Berpuaka’ yang diterbitkan
dalam 11 siri oleh Sinaran Bros, di Pulau Pinang menjadikan beliau sangat
popular. Sebahagian besar komik beliau dicetak dalam ukuran war
library.
Seorang tokoh terpenting dalam senilukis komik yang
muncul dalam dekad ini ialah Raja Hamzah. Beliau memulakan kegiatannya pada
tahun 1955, bila mana muncul 15 siri buku bergambar yang berjudul Piring
Terbang sebagai hasil karyanya yang pertama. Ketika menghasilkan siri buku
tersebut, Raja Hamzah masih lagi menuntut di Sekolah Agama Idrisiah, Bukit
Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Selepas tiga tahun menjadi pelukis secara sambilan,
kegiatan beliau berkembang apabila bertugas sebagai pelukis di syarikat akhbar Utusan
Melayu. Di akhbar Utusan Melayu, Raja Hamzah berjaya membentuk atau
menghasilkan dua watak komik, Wak Tempeh dan Dol Keropok, di mana
akhirnya kedua-dua siri ini menjadi popular di kalangan pembaca akhbar dan
peneliti politik semasa.
Watak Wak Tempeh dan Dol Keropok yang
muncul dalam akhbar Utusan Melayu pernah menggemparkan masyarakat Melayu ketika
itu dengan episod-episod lucu, bernas,sinis dan sindiran yang menyorot liku
kehidupan, terutama dalam perihal sosial, politik dan keagamaan. Sudut
pandangannya yang kritikal melalui pencernaan humor mengandungi banyak
pengajaran dan nasihat.
Ketika bertugas sebagai pelukis di Pustaka Antara,
Raja Hamzah menghasilkan banyak buku-buku komik yang membawa pelbagai tema.
Cerita-cerita daripada buku Hikayat 1001 Malam
turut diangkat menjadi cerita komik, di samping mengungkap kembali
cerita-cerita klasik dari buku Cherita Jenaka seperti Lebai
Malang, Si Lunchai, Mat Jenin, Nujum Pak Belalang, Pak Kadok dan
juga cerita-cerita seperti Abu Nawas, Ali Baba, Bawang Puteh Bawang
Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.
Komik-komik Raja Hamzah ketika ini membawa tema
yang beragam. Daripada tema purbawara, seram, jenaka, kemasyarakatan
sehinggalah membawa kepada tema yang lebih besar daripada itu. Beliau
menunjukkan potensi yang sebenar dalam bidang komik melalui penerbitan karya
secara prolifik. Nilai kesepaduan komik beliau terletak pada kepadatan gambar,
cerita dan interaksi watak diseimbangkan dengan baik. Imej-imej figura dan
latar hiasan amat menonjol dalam setiap persembahan komiknya. Ruang panel diisi
penuh dengan bantuan kesatuan aksi watak, dialog dan naratif cerita yang jelas.
Itulah Raja Hamzah, personaliti komik yang ulung
selepas Saidin Yahya, yang mampu membentuk gaya dan identiti tersendiri dalam
memperkenalkan bakatnya kepada khalayak pembaca komik.
Sebagai seorang pelukis yang memiliki gaya dan
gurisannya yang tersendiri, Raja Hamzah berjaya mengelak dirinya dari
terpengaruh dengan gaya persembahan komik Saidin Yahya. Beliau berjaya
mengangkat mutu lukisan komik Melayu ke tahap yang lebih sempurna. Beliau juga
meninggalkan pengaruh yang kukuh terhadap pertumbuhan bakat baru dalam
senilukis komik Melayu. Seperti Saidin Yahya, beliau juga menjadi ikon dan
ikutan kepada ramai pelukis komik yang baru muncul ketika itu.
Raja Hamzah merupakan seorang pelukis yang gigih
dan cermat dalam berkarya. Buku-buku komik hasil karyanya mendapat sambutan
baik dari peminat. Namanya menjadi semacam ‘label’ atau jenama utama dalam
pemilihan buku-buku komik yang bermutu. Beliau seolah ‘kilang’ yang tak pernah
surut dalam berkarya. Memetik kata Kartunis Lat, “…bukan saja kerana lukisan
dan ceritanya yang menarik, tetapi komik Raja Hamzah adalah yang paling
banyak diterbitkan. Raja Hamzah tidak pernah berhenti mengeluarkan komik
baru untuk menjamu selera peminatnya.”
Komik-komik karya Raja Hamzah adalah persembahan
hiburan yang mengandungi mesej. Karya yang baik baginya adalah yang mengandungi
pengajaran. Melukis komik bagi beliau adalah satu pekerjaan, dan bukan sebagai
suatu hobi ataupun memenuhi masa lapang. Kerana itu kita dapat melihat karyanya
sangat bertanggungjawab dalam soal mutu dan teknik lukisan. Para pelukis yang
tidak serius biasanya melahirkan karya yang mentah dan bermutu rendah. Dalam
hal ini Raja Hamzah menegaskan, “…sekiranya mereka menganggap melukis
komik sebagai tugas yang perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab,
mereka pasti dapat menghasilkan karya yang baik. Dan setiap yang baik boleh
memenangi hati orang ramai.” (Berita Minggu, 1973)
Pelukis
komik dari kalangan wanita agak kurang, yang dapat dikesan antaranya Nora
Abdullah, Arifiah Salleh dan Halimah. Nora atau nama penuhnya Nor Zaharah Abdullah, asal Kelantan, mula
melukis komik pada 1955, iaitu ketika usianya 15 tahun. Komik pertama
dihasilkan berjudul “Cik Siti Wan Kembang”, diikuti dengan Duyung Emas, Lembah hidup, Dugaan Ilahi, Ibu,
Pengaruh, Armina, Anak Angkat, Batu Belah, Bawang Putih Bawang Merah,
Pengembaraan Naim dan Naimah, serta Cempaka. Karya-karya beliau rata-rata
bertemakan pergolakan sosial dalam masyarakat moden ketika itu, selebihnya
kisah-kisah klasik/metos Melayu.
Menurut
beliau, timbulnya keinginan untuk menghasilkan karya komik banyak didorong oleh pengaruh komik-komik
dari Barat seperti Captain Marvel, Batman dan Superman. Tetapi selepas tahun 1961, beliau tidak lagi menghasilkan karya
komik kerana penerbit yang menerbitkan
komik-komik beliau iaitu penerbitan
Geliga Press Singapura ditutup. Penutupan Geliga Press melumpuhkan minat beliau
untuk terus melukis komik.
Seorang
lagi pelukis komik yang lahir di era
tersebut ialah K. Bali, putera Kelantan yang lahir pada 15 Jun 1933, di Kampung Tendong, Pasir
Mas. Pernah bersekolah di Sekolah Melayu Tendong sebelum ayahnya membawanya
berpindah ke Selatan Thailand. Di sana, beliau belajar di Sekolah Rendah
Beluru, Sungai Padi, Selatan Thailand. Beliau banyak membaca buku dalam bahasa
Melayu, Indonesia, dan Inggeris bagi
memperkayakan pengalamannya. Selain bahasa-bahasa tersebut, beliau juga
menguasai bahasa Jepun, Thai, dan Mandarin. Pernah mengikuti pengajian luar kampus di
Universitas Nasional Indonesia, Jakarta dan lulus Sarjana Muda Sastera dalam
jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia.
Selain
melukis komik, K. Bali menulis dalam semua genre sastera seperti puisi, cerpen,
drama, novel, dan esei serta karya non-kreatif seperti sejarah, kebudayaan dan
juga biografi tokoh terkenal di dunia. Khazanah peninggalannya yang tak
ternilai telah diserahkan kepada Perpustakaan Islam Az- Zahra, Kota Bharu,
meliputi semua genre dan dalam pelbagai bahasa yang ia kuasai.
K.
Bali pernah mempamerkan karya lukisannya di Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada
tahun 1957 dan 1959, Balai Seni Lukis Sabah pada 1986, selain Pameran Solo 65
buah lukisan "Puisi Dalam Kenangan" pada Julai 1988.
Allahyarham
K. Bali atau nama sebenarnya Abdul Rahim
Abdullah, keturunan Cina/ Thai yang
memeluk Islam, berhijrah ke Sabah ketika usia
22 tahun, didorong keinginannya
yang kuat untuk melihat-lihat negeri orang, memaksanya menyertai rombongan
"Booty Suria Negara" sebuah kumpulan bangsawan yang sering menjelajah
negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Brunei hinggalah Sabah. Akhirnya mengambil keputusan bermastautin di
Sabah selama lebih 43 tahun. K. Bali pulang ke kampungnya, Pasir Mas, Kelantan,
pada 1998, kemudian pada Mac 2009 kembali lagi ke Negeri Bawah Bayu kerana
memenuhi undangan Dewan Bahasa dan
Pustaka Sabah. Dan meninggal di sana dalam usia 66 tahun. Di negeri, di mana lebih separuh usianya
dihabisi di sana.
Awal
tahun 1960an merupakan zaman kegiatan
senilukis komik yang paling subur dan meriah. Beberapa penerbitan seperti Pustaka Antara, Sinaran Bros, The Sentosa Store
Kuala Pilah, Geliga Limited, Melayu Raya Press dan bebarapa
yang lain lagi menunjukkan minat yang tinggi dengan menerbitkan banyak buku
komik untuk pasaran. Minat masyarakat terhadap komik pada era ini turut
melahirkan ramai bakat baru yang menunjukkan potensi masing-masing. Nama-nama
baru yang muncul ketika ini antaranya Alias Kulub, Osman Baru, Osman Kangkung,
Meor Shahriman Hassan (Mishar), Sulaiman Awang, Hussein Saad, Lat, Samudera
Perwira, Shukor Lin, Rahman Bakree, Solihin Hj.Othman, A.Fauzi Yusof dan Hambia
E (sekadar menyebut beberapa nama).
Namun pada
akhir 1960an, perkembangan industri komik Malaysia malap seketika. Sehingga
editor suratkhabar sukar untuk mencari
komik yang sesuai untuk dimuatkan dalam akhbar secara bersiri.
Suratkhabar Terpaksa memuatkan komik-komik yang diimpot dari Barat, walaupun
sebahagiannya tidak menepati selera pembaca tempatan.
Terbentuknya
Syarikat Penerbitan Suarasa pada tahun 1972 oleh beberapa pelukis yang prihatin
seperti Razali MHO, Rosdin Saidin, Raja Hamzah, Rejadhad, Tajul Arifin (bukan
pelukis), dan kemudian disertai pula
pelukis Nik Nordin Mohd Nor (Allahyarham), Suahimi, Azman Yusof telah memberi nafas baru kepada perkembangan komik
tanah air. Majalah Bambino berjaya
menarik kembali minat masyarakat kepada genre komik yang pudar berberapa tahun
sebelumnya. Kartunis Rossem turut menyumbang kepada majalah Bimbino dengan mengarap kartun berjudul “Pak Adil” untuk setiap
keluaran.
Nik
Nordin kemudiannya berhijrah ke Utusan Melayu. Antara siri komik beliau paling
popular disiarkan dalam Mingguan Malaysia berjudul “Esok Masih Ada”.
Allahyarham meninggal dunia di usia
masih muda setelah demam panas.
Seorang lagi tokoh komik Melayu ialah, Yamin Daud. Bermula di Kota Bharu pada awal
1970an , bersama beberapa rakan pelukis, antaranya Hussain Saad, Maaruf Awang,
Kuzaie, Shaari AM, Rossem, Kamil Ghazali, D. Yusof, Rudi Mahmood, menerbitkan majalah komik secara bulanan, di
bawah Penerbitan Toko Buku Asia. Empire komik/kartun yang diusahakan Yamin Daud
bertahan lebih 10 tahun, bila Penerbitan Creative Interprise Sdn. Bhd.
(CISB) ditubuhkan, peminat gerne
komik/kartun mula beralih kepada majalah “Gila-Gila” (CISB).
Jaafar
Taib dianggap pencetus revolusi komik-komik Melayu bila beliau bersama
teman-teman pelukis seperti Azman Yusof, Rosdin, Zainal Buang Hussain,
menubuhkan penerbitan komik/kartun, Creative Enterprise Sd. Bhd pada 1978. Mereka merupakan generasi ketiga dalam hariki
pelukis komik-komik di Malaysia.
Jaafar,
asal Melaka, lahir pada 28 Julai 1952
meminati komik sejak dibangku sekolah rendah, setelah menamatkan persekolah
diperingkat menengah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pelukis di
beberapa agensi penerbitan, antaranya Syarikat Pustaka Pendidikan, Syarikat
Usaha Remaja, Utusan Melayu, Suara Rakyat dan Varia Pop Group.
Komik dari
kalangan kartunis
Majalah
filem penyumbang besar kepada
lahirnya pelukis-pelukis kartun dan
komik di Malaysia. Rejadhad (Allahyarham) yang dianggap Bapak/sifu Kartunis Malaysia lahir dari rahim majalah
hiburan yang beroperasi di Singapura sekitar tahun 1960an.
Nama-nama lain yang
mengasah bakat melalui majalah hiburan yang popular itu ialah Datuk Mohd Nor
Khalid atau Lat, A. Syukur Lin, Razali MHO (Rizalman), Mishar, Rossem, Raby
Namun
karya pertama Rejadhad tidak disiarkan di Majalah Filem, sebaliknya Majalah
Gelanggang Filem terbitan Tan Sri P. Ramle pada 17 Julai 1958. Sekitar tahun
1950an, 1960an, 1970an hanya
majalah-majalah hiburan filem yang menampung karya para
kartunis/komiknis. Majalah Guru hanya memuatkan komik karya Saidin Yahya.
Rejadhad yang berguru dengan Rashiddin (Allahyarham)
menerbitkan tujuh koleksi komik/kartun
antaranya , Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Perwira Mat Gila. Iaitu cerita bersiri
yang disiarkan melalui majalah Gila-Gila terbitan Creative Enteprise yang
kemudiannya di terbit dalam bentuk komik.
Rejadhad
seorang tentera yang bersara pada 1979, kemudian bertugas sepenuh masa dengan majalah Gila-Gila, menjadikan empat anak perempuannya iaitu
Sarawati (dilahirkan di Sarawak), Sarawani, Suraini dan Marsitah sebagai
topik karyanya. Kartun Sara dan Wani
adalah berdasarkan kisah Sarawati dan Sarawani.
Siri Prebet Dabus, watak tentera disiarkan di Mingguan Malaysia hampir
enam tahun dianggap siri kartun paling popular dan paling lama bertahan di
akhbar. Beliau meninggal dalam usia 63
tahun pada 31 Oktober 2002.
Lat, bukan sekadar
menghasilkan karya kartun editorial, lereng, untuk majalah dan
suratkhabar seperti di Berita Minggu dan The New Straits Time, malah juga
menghasilkan komik. Mat Som merupakan buku
komik Lat yang paling
popular, memaparkan watak Mat Som bin
Mat Top, seorang pekerja kilang yang kemudiannya berhenti kerja untuk menjadi
penulis/wartawan sambilan. Ini dijelaskan
dalam dialog “Dulu saya kerja tetap! Saya kerja di kilang botol sebagai
pemeriksa botol rosak, saya kena teliti tiap-tiap botol…tengok kalau ada yang
retak. Tapi bila habis kerja saya tak boleh buat benda lain, mata asyik pejam
celik”
Watak
Mat Som ialah watak tipikal seseorang penulis/wartawan yang baru belajar dan
memiliki ciri-ciri rajin dan pemerhati yang cekap. Sedikit sebanyak ia
memperlihatkan beberapa sedutan daripada
pengalaman sebenar Lat sendiri sebagai wartawan.
Menatap
dan menggarap isi Mat Som seperti kita menonton sebuah persembahan drama
masyarakat yang mempunyai susunan plot,
urutan cerita yang diselang-seli dengan taknik imbas silam dan imbas muka. Imej
pangkasaan, “close Shot” dan “long Shot”
dan “elements of surprise” yang tidak dijangka.
Komik
setebal 187 halaman itu dibuat dengan media kegemaran Lat: Pen celup, pen
teknikal dan dakwat hitam (Indian
Ink). Sehingga tahun 2014, genap 50
tahun Lat sebagai kartunis, ia tetap menggunakan bahan ini dalam setiap karya kartunnya.
Kisah
Mat Som bermula dengan sepucuk surat dari ayahnya yang meminta ia berumahtangga
dengan gadis pilihan orangtuannya. Pertemuan Mat Som dengan Faridah, teman
sekampung yang dimaksudkan oleh bapaknya ialah lambang kepada pertukaran budaya
dan memaparkan pertukaran budaya dan
memaparkan nilai metropolitan walaupun Farodah masih mengingati Mat Som.
Contoh
nilai ini juga diperlihatkan dengan watak
tiga pemuda yang bersikap tidak
apa dan tidak mengenali Tanjung Malim. Sebagai kontrasnya, Lat menjadikan pemikiran
dalam hati Mat Som sebagai penjelas kepada pembaca golongan genarasi muda
mengenai kedudukan , sejarah dan peranan yang dimainkan oleh Tanjung Malim
kepada negara.
Babak
yang menarik ialah ketika Mat Som berdiri di tebing Sungai Gombak, di belakang
bangunan Sulan Abdul Samad membaca berulang kali surat dari ayahnya. Pandangan
yang dilemparkan ke sungai tertumpu
kepada sebuah bekas (tin) minyak kosong yang hanyut, sebuah kritik sosial mengenai
pencemaran alam tentunya, dari sini Mat Som kembali ke zaman kanak-kanaknya, mengingati peristiwa
memetik bunga teratai bersama Faridah, jiwanya konflik dengan pendapatnya – Faridah itu bapak suruh aku kahwin.
Sudut
yang amat menarik dalam komik ini ialah
ketika nilai murni masyarakat desa yang
beransur pupus disegarkan semula. Ini adalah salah satu identity Lat. Melalui
Mat Som, Lat telah menimbulkan beberapa
nostalgia yang perlu kita perhati dan
fikirkan. Diantaranya ialah: ikatan kekeluargaan melalui solat berjamaah di rumah dan di surau
dengan latihan azannya sekali; sikap harmoni diantara kaum yang amat kukuh di kampungnya ditunjukkan
melalui Yip dan isterinya, penjual ais kacang.
Komik
Mat Som yang diterima baik oleh masyarakat itu, akhirnya mendorong pengeluar
filem membikin filem dengan judul yang
sama – Mat Som.
Sebelum
itu, pada Jun 1964, komik pertama Lat berjudul “Tiga Sekawan” diterbitkan oleh
penerbit Sinaran Brothers, Pulau Pinang.
Disusuli dengan komik “Awang dan Buyong” dan “Tak Mengapa Mak”.
Gila-Gila
yang terbit pada 1978, bukan majalah kartun Melayu yang pertama terbit di Malaysia kerana pada Februari, 1974 telah terbit sebuah
majalah kartun Melayu yang diberi nama
“Ha Hu Hum” . Majalah terbitan Syarikat Suarasa itu diterajui oleh
kartunis Rajadhad sebagai editor, Razali MHO, Syukur Lin, Alias Kulub
dan Samudera Perwira. Manakala
penyumbang karya pula ialah: Rossem, Raby, Wak, Dino, Daud Shukur, Alias,
Wahidi, Rabawah, Hussain Saad, Muaz, Nazam, Alaihim, Disarusuff, Rahalea, S.
Mohamad, Yamin Daud, Ismail Radzi dan Razi.
Majalah yang mengandungi 34 muka surat itu dan berharga 45 sen lebih kurang seperti
majalah Gila-Gila, iaitu intinya mengandungi
falasafah kartun, rencana tentang kartun, cerpen humor. Majalah itu
tidak kekal lama, hanya menjengkau lima keluaran sahaja.
Pada
tahun 2002, kartunis Rossem menghasilkan tiga buah komik kartun dengan judul
“Menuju Jalan Allah”, “Anakku, Kenalilah Allah”, diterbitkan Penerbitan
Synergymate Sdn. Bhd. dan “Mencari Kebenaran” diterbitkan Persatuan Ulama
Malaysia. Komik berwarna, setabal 100 muka surat itu berunsur dakwah Islamiyah
dan pendidikan.
Komik
“Menuju Jalan Allah” adalah adaptasi dari buku “Menudju Djalan Ilahi” karya
Drs. H. Ghazali Dunia, seorang tokoh pendidikan Islam terkenal di Indonesia.
Komik itu membicarakan persoalan rukun iman.
Sebuah
lagi buku komik beliau, “Mencari Kebenaran” kemudiannya diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris dengan diberi judul “Searching For The Truth”.
Kesimpulan
Masyarakat
telah terdedah kepada komik sebagai
suatu genre sastera dari sejak sebelum
perang (1941) lagi. Satu ciri yang agak menarik ialah bidang komik
berkembang secara berasingan dan bersendirin dari bidang kewartawan
misalnya. Bidang kewartawan merupakan
satu bidang yang diajar di pusat-pusat pengajian tinggi, namun tidak pada bidang komik. Hampir semua pusat
pengajian tinggi mempunyai jabatan atau sekolah sebaran am di mana pelajar menerima didikan
menjadi professional dalam bidang
kewartawan, iklan, perhubungan raya (public relations) dan penyiaran radio dan
talevisyen. Sedang pelukis komik adalah
karyawan-karyawan yang belajar sendiri
atau “self -taught” . Hanya sekarang,
sebahagian pusat-pusat pengajian tinggi membuka pengajian dalam bidang
animasi. Tetapi hakikatnya, pembelajaran
asas animasi itu sendiri, iaitu melukis
komik tidak diajar secara serius. Pelajar-pelajat lebih
bergantung kepada kebolehan dan kemahiran yang sedia ada dalam diri
masing-masing untuk melukis komik/kartun
berkonsepkan animasi.
Walhal
di Jepun, perkembangan komik/kartun begitu pesat sekali. Sejak 50an,
perpustakaan di Negara Matahari Terbit itu
sudah menyediakan buku komik/kartun, di mana kanak-kanak dapat meminjam
buku komik dengan bayaran beberapa yen sahaja.
Teknik baru dipergunakan untuk menjadikan komik/kartun lebih menarik , dan dalam proses perkembangan
ini lahir beberapa tokoh pelukis komik/kartun
yang membawa perubahan dalam
teknik dan tema serta isi. Seorang
pelopor ini bernama Shirato Sanpei dalam
tahun 1952 hingga tahun 1962 membawa aliran sosial realism dalam komik/kartunnya.
Satu
perubahan penting dalam evolusi komik/kartun di Jepun berlaku dalam tahun 1980an dengan munculnya
apa yang disebut sebagai “komik
pendidikan” . Penerbit-penerbit komik melangkah setapak lagi iaitu menerbitkan
buku-buku komik sebagai buku teks untuk
kanak-kanak sekolah- buku –buku komik menghuraikan ilmu matematik dan physics
serta buku-buku komik sejarah negeri Jepun, China malah sejarah dunia juga.
*Rosidi
Semail (Rossem)
Pemilik
Balai Kartun Rossem, Peringat, Kota Bharu, Kelantan
*Rudi
Mahmood
Aktivis
komik/kartun, pernah bekerja dengan beberapa syarikat penerbitan komik/kartun,
antaranya
Toko Buku
Asia (Yamin Daud) dan Creative Interprise Sdn. Bhd. penerbit Gila –Gila.
Rujukan:
1. Sulaiman
Masrom, Berita Minggu,
2. Ceramah Tan
Sri A. Samad Ismail di Bangkel Kartunis “Cabaran Dan Masa Depan” Anjuran
Pekartun, 2 Ogos 1992 di Uitm (ITM) Shah Alam.
3. Lihat,
Kali Pertama Bertemu Raja Hamzah, Berita Minggu, 18
Oktober 1981, hal.8
4. K. Bali,
dalam kenangan-Majalah Dewan Sastera 1999
No comments:
Post a Comment