Sunday, April 29, 2012

Orang memaki Tok Guru akhirnya tak boleh bercakap


Kisah benar (1)
Oleh: Rossem

Dulu di kampungku terdapat sebuah surau separuh batu separuh kayu, menjadi tempat warga desa mendirikan solat fardu berjamaah,  sekarang surau itu sudah tiada lagi kerana di atas tapaknya dibina sebuah masjid mukim.

Waktu itu seorang imam dengan sukarela mengetuai imam solat, sekaligus mengajar fardu ain untuk warga desa terutama muslimat. Bila ada majlis tahlil,  sang imam ini dijemput mengetuai pembacaan tahlil. Justeru beliau layak  dikatogerikan sebagai antara tok lebai yang disegani di desa ku.

Pada awal  beliau menjadi imam dan mengajar agama kepada warga, ramai jamaah datang mengikuti  kuliahnya terutama kuliah  Maghrib dengan menadah kitab. Tapi tiga atau empat tahun kemudian jamaah semakin berkurangan.

Ramai yang tak mahu bersolat dengan berimamkan Tok Lebai itu lagi. Mengikuti kuliahnya juga  tak mahu. Akhirnya tinggal beberapa orang saja yang “malu mata” untuk melarikan diri darinya.

Bila ditanya kepada warga, mengapa kalian  tak ikut  bersolat di surau Tok Lebai Pakcu,  masing- masing  menjawab “ Tok Lebai Pakcu Paie tu dah berubah, tidak lagi seperti mula-mula dulu. Dulu bagus. Sejak akhir-akhir ini beliau kutuk Tok Guru Nik Aziz Nik Mat habis-habisan dalam  kuliahnya”.

Perubahan mendadak Tok Lebai Pakcu itu kononnya setelah beliau mendapat sedikit habuan  daripada  pemimpin UMNO setempat,  sebelumnya  tidak begitu. Ramai warga desa puji beliau. Ilmunya lumayan  setakat untuk mengajar fardu ain warga desa.

Dari sehari ke sehari sumpah saranahnya kepada Tok Guru Nik Aziz semakin kuat dan lantang, sehinggalah suatu hari Tok Lebai Pakcu jatuh sakit. Permulaannya kurang selera makan, disertai dengan tak boleh bercakap.

Dibawa  ke hospital, pernah tinggal  di wad, tapi menurut keluarganya, doktor yang merawat  memberitahu, masih belum dikenalpasti penyakit apa menyerang Tok Lebai Pakcu.

Saya sempat  menjengok beliau. Saat itu tubuh badannya seperti papan sekeping, tersangat kurus. Suaranya hilang. Hanya dua biji mata bergerak-gerak sebagai  tanda isyarat kepada keluarganya, meminta air.

 Abang ipar saya yang kerap menziarahinya kerana kebetulan rumahnya berdekatan  memberitahu;  katanya  kelmarin keluarga terdekat Tok Lebai Pakcu membisik kepada Pakcu “ Pakcu, kalau ambo gi minta air tawar (air doa) Tok Guru Nik Aziz lagumana, nak minum kah?. Pakcu banyak buat salah kepada dia, dok kata macam-macam kat Tok Guru, sedang Tok Guru tak buat salah apapun  kepada Pakcu.”

Mendengar kata-kata keluarganya itu,  serta merta terbuka biji matanya, kepalanya bergerak-gerak, seolah-olah  bersetuju dengan cadangan keluarganya. Tapi saat itu Tok Lebai Pakcu hampir nazad. Beliau  menutup usia beberapa jam selepas itu.

Saya tidak mahu meletakan sakit dan matinya dikeranakan  Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Sakit serta ajalnya sudah ditentukan Allah SWT.



  






Bahang Bersih 0.3 Duduk Bantah masih panas di kampung



Oleh: Rossem
 Bahang perhimpunan Bersih 0.3  Duduk Bantah masih panas. Di   Kuala Lumpur terus menjadi topik hangat. Di kawasan yang tak terlibat dengan perhimpunan seperti di desa-desa juga tidak terkecuali, menjadi topik utama setiap perbualan terutama di kedai kopi sambil minum secangkir kopi Tongkat Ali bersama nasi berlauk atau nasi kerabu pagi. Dijangkakan angin panas itu  berpanjangan minimum tiga minggu.

Penyokong Duduk Bantah (DB) jangan cuba minum di warung kopi kepunyaan penyokong UMNO, nanti panas cuping telinga, demikian juga  penyokong UMNO  jangan cari penyakit atau gatal kaki masuk minum di kedai yang menjadi tumpuan penyokong Duduk Bantah  (PAS, PKR, DAP, NGO)  kecuali bijak menyesesuaikan diri dengan kondisi setempat atau  urat sabarnya seutuh dawai.

Opini  warga desa terhadap  isu perhimpunan  Bersih 0.3, Duduk Bantah , 28 April 2012,  di Kuala Lumpur,  terbahagi dua,  pro dan kontra. Pendokong UMNO sangat marah dengan perbuatan  penyokong DB    mengerakkan massa sehigga kawasan sekitar Dataran Merdeka menjadi ladang bunga tulip berwarna  kuning yang luas terbentang. Kerana itu setiap perbualan para pelangan kedai, sama ada penyokong DB  atau UMNO  masing-masing  sukar mengawal  emosi bila masuk bab Duduk Bantah.

Pendebat UMNO dan pendebat PAS punya  kitab masing-masing sebagai sumber rujukan. Kitab induk orang UMNO ialah Berita TV 3/4  dan surat khabar Utusan Meloya dan Berita Hairan. Hujah mereka bersandarkan kepada hadis yang diperolehi  dari media tersebut.

Manakala hujah penyokong  DB  pula dari sumber Harakah, Keadilan, internet, blog, facebook atau istilah popularnya  media baru. Juga   bersumberkan saksi mata, yakni mereka yang hadir sendiri di  perhimpunan   DB, 28 April,  kemudian pulang  ke desa masing-masing menceritakan hasil pengalaman yang dipungut di tempat kejadian.

Kelompok  ini terlibat secara  langsung di lapangan, bagaimana pedihnya mata akibat terkena gas pemedih mata, bagaimana sakitnya badan saat dipijak Polis Pencegah Rusuhan  dengan sepatu berladang besi. Bagaimana ngerinya melihat darah mengalir dari kepala saat dipukul dengan cota. Bagaimana bisanya kesan air beracun yang disembur dari kenderaan water canon bila terkena badan.

Inilah kelebihan yang dimiliki peserta perhimpunan DB   takala  bercerita di kedai kopi, berbeza dengan penyokong  UMNO yang zero seputar pengalaman seperti itu, di mana satu-satu sumber maklumat mereka  hanya lewat media propaganda pemerintah. 

“ Puak-puak yang berarak itu tak fakir langsung pasal  orang nak berniaga, nak cari rezeki.  Akibat perhimpunan bodoh itu  berapa banyak  kedai  terpaksa tutup”  Kata seorang penyokong tegar UMNO dengan emosional.  Teman-teman semejanya mengangguk -angguk sebagai tanda setuju ataupun sengaja  mengambil sikap berdiam diri dengan tak mahu menyampuk cakap orang yang naik angin.

Saya mendengar perbualan mereka dengan jelas walaupun berada selang dua meja. Dalam hati teringat,  tadi malam pembaca berita TV3/4  menyebut salah satu malapetaka akibat perhimpuan  Bersih Duduk Bantah  ialah kerugian para peniaga kerana terpaksa tutup kedai.

Untuk menyakinkan penonton, maka  diwawancara pula dengan beberapa peniaga dari pelbagai kaum. Seperti sudah tertulis dalam skrip, sang peniaga  mengutuk  keras   penganjur yang mengerakkan massa dari dari seluruh Malaysia berhimpun pada sore Sabtu sehingga peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Sogo tutup kedai. Namun  hari itu kerugian para peniaga tertebus kerana wajah  mereka dapat masuk televisyen percuma.

Dan si penghujah dari UMNO kampung telah mengambil bulat-bulat ayat hadis yang dibacakan oleh pembaca berita TV  untuk berhujah di kedai kopi.

“Orang Melayu telah berjaya diperalatkan Ambiga” kata penyokong UMNO yang lain. Opini itu  juga  diangkat dari media propaganda UMNO yang saban hari cuba memburuk-burukkan penganjuran perhimpunan DB, kononnya yang mengerakkan massa dikepalai Ambiga yang sikapnya dikatakan sangat anti Islam. Padahal Pengerusi Bersama perhimpunan kali ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Tentang tokoh besar dalam sastera Melayu ini langsung tidak disebut televisyen  dan media propaganda UMNO.

Hakikatnya setiap manusia di atas muka bumi ini menjadi  “alat” kepada yang lain. Hidup  saling bergantungan. Dalam konteks perhimpunan DB tidak berbangkit soal  siapa memperalatkan siapa. Semua yang hadir adalah rakyat Malaysia tanpa mengira parti, kaum, agama, ulama, sami, atau  sesiapa saja  yang merasakan diri mereka  diperlakukan tidak adil oleh pemerintah terutama yang terkait dengan perjalanan demokrasi yang tempang di Malaysia.

Dari hujah pendokong UMNO yang saya dengari dan amati terutama yang terkait dengan politik negara,  maka benarlah seperti saya katakana bahawa hujah orang UMNO tak dapat dinafikan bersumberkan   media propaganda cuma.






Sunday, April 22, 2012

Aneh! Ditabur wang masih juga masuk PA


Oleh: Rossem

Lebih separuh daripada usianya dihabiskan untuk perjuangan United Malay National Organasition (UMNO),  sebuah  parti nasionalis Melayu,  tapi menolak  bahasa Melayu untuk  namanya,  sebaliknya memakai nama Inggeris.

Daripada jawatan penghulu yang disandangnya ketika era Kelantan ditadbir UMNO di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Haji Mohamad Yakob (1978), kemudian menyambung lagi sebagai Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) selepas itu sehingga 1910, bererti kurang lebih 30 tahun ia menjadi orang penting UMNO di kampung Durian Pahit.

Masih sihat, rambut belum beruban, percakapanya  mantap  dan bersemangat walhal usianya sudah 67 tahun. Kerana usianya sedemikian maka perkhidmatan beliau sebagai PPM tidak disambung sejak dua tahun lalu. Hal ini sudah dijangka, justeru  tidak sedikitpun mengecewakan Paksu Ya.

 Namun, sebenarnya  jauh di sudut hati, sejak tiga empat tahun kebelakangan ini, Paksu Ya  sudah menyimpan hasrat untuk keluar dari parti yang pernah  beliau   berpayung selama ini. Pintu hatinya seperti terasa diketuk sesuatu, ketukan itu semakin sehari semakin kuat sehingga akhirnya tertahan.

Pada suatu pagi, di depan isterinya,  ia meluahkan  hasrat yang selama ini terkunci kemas,  iaitu  mahu meninggalkan perjuangan  UMNO dan menyertai Parti Islam Semalaysia-PAS.

Sebelum ini pun, bila berbicara seputar PAS di depan teman-teman UMNOnya, ia merujuk Nik Aziz sebagai Tok Guru, sesuatu sangat tak disukai pendokong UMNO totok kerana golongan ini  hanya memanggil Tok Guru sebagai Nik Aziz saja.

Mantan PPM yang dimaksudkan tak lain, Rafia Jusoh atau  orang kampung memanggilnya Paksu Ya. Pada 14 April lalu telah mengistiharkan bergabung dengan PAS bersama empat lagi mantan PPM dari kampung berdekatan serta  50 pengikut beliau, semuanya  dibawah DUN  Melor.

Penyerahan borang keahlian PAS dilakukan dalam majlis ceramah yang diadakan di halaman rumah beliau oleh Mursyidul Am PAS, Pesuruhjaya PAS Kelantan, merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau sendiri yang mahukan, majlis itu diadakan di rumahnya sendiri, biarpun halamannya  tak begitu luas untuk menampung hadirin dengan jumlah yang ramai.

Apa yang mendorong Paksu Ya masuk PAS?  “UMNO ini teruk sangat…” Jawab  Paksu Ya  sambil geleng kepala. Lalu ia memanggil anaknya  waktu itu  tidur di kamar rumahnya. Mendengar namanya dipanggil, lantas anaknya keluar dan duduk bersama kami di ruang  tamu.

 “Anak  saya kesemuanya tujuh orang, dua daripadanya kelainan upaya (OKU), salah  seorangnya yang ini…dan seorang lagi kakaknya perempuan, dalam kamar, sudah tidur, juga senasib dengan adeknya,  iaitu  buta sejak  usia 12  tahun. Kini usianya 30an”

“Sewaktu saya dalam UMNO, sudah acapkali memohon bantuan tapi hanya setakat isi borang, selepas itu ghaib begitu saja. Datang yang lain menyuruh  diisi lagi, tapi  tetap sama,  senyap sunyi tak dengar khabar berita. Sehinggalah baru-baru ini, setelah dimajukan permohonan melalui orang PAS, dapatlah sedikit bantuan RM150 setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri” luah Paksu Ya.

“Bila pemimpin UMNO kawasan dapat tahu kami mahu masuk PAS, mulalah datang menjengok bertanya khabar, Tan Sri Annuar Musa pun  jemput datang ke rumahnya, tapi saya beritahu kepada mereka, saya tak akan pergi menemui kalian, cukuplah setakat ini… perbuataan  mereka kepada saya” kata Paksu Ya dengan nada marah bercampur kesal.

Mendengar khabar Paksu Ya masuk PAS,  anak perempuan sulungnya  yang bekerja di Pulau Pinang segera pulang bersama suami ke rumah bapanya di Kg Durian Pahit  semata-mata untuk meraikan penghijrahan sang ayah bersama perjuangan Islam yang di bawa PAS. Tampak di wajah anak dan menantunya kegembiraan yang tak tergambarkan dek kata-kata.   

Kebelakangan ini, pendokong  UMNO keluar UMNO dan bergabung dengan PAS berlaku hampir di semua negeri di seluruh Malaysia, namun  paling ketara  ialah Kelantan.  Setiap minggu berlangsung  majlis penyerahan borang keahlian PAS oleh  bekas pendokong UMNO.  Setiap Dewan Undangan Negeri menerima antara 50 hingga 100 ahli baru. Walaupun angka itu tidak besar tapi dengan fenomena itu moral PAS jadi besar.

 Di Kelantan, semua mengharapkan , Tok guru Haji Nik Abdul Aziz Nik  Mat sendiri datang untuk menerima borang keahlian PAS yang bakal  mereka serahkan. Justeru Tok Guru terpaksa mengatur giliran di sela-sela kesibukan mengurustadbir negeri dan aktiviti kepartian yang amat padat.

Yang membanggakan pemimpin PAS ialah ahli baru itu bukan saja dari kalangan privete bahkan  lantikan politik dalam masyarakat,  antaranya Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) atau di Kelantan di gelar Tok Penghulu Barisan atau Tok Penghulu Biru.

Di peringkat pusat pula dari kalangan artis seperti juara lagu 1990 yang terkenal dengan lagu “Janji Manis mu” Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin. Seorang lagi ialah penyanyi Dayangku Intan yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di peringkat mantan menteri kabinet pula ialah Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, walaupun belum membuat keputusan bergabung dengan mana-mana parti, tetapi sehingga kini sudah dua kali ikut  berceramah  di atas pentas PAS di Baling, Kedah dan  di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar sehari menjelang “Duduk Bersih”, 28 April 2012.