Sunday, April 22, 2012

Aneh! Ditabur wang masih juga masuk PA


Oleh: Rossem

Lebih separuh daripada usianya dihabiskan untuk perjuangan United Malay National Organasition (UMNO),  sebuah  parti nasionalis Melayu,  tapi menolak  bahasa Melayu untuk  namanya,  sebaliknya memakai nama Inggeris.

Daripada jawatan penghulu yang disandangnya ketika era Kelantan ditadbir UMNO di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Haji Mohamad Yakob (1978), kemudian menyambung lagi sebagai Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) selepas itu sehingga 1910, bererti kurang lebih 30 tahun ia menjadi orang penting UMNO di kampung Durian Pahit.

Masih sihat, rambut belum beruban, percakapanya  mantap  dan bersemangat walhal usianya sudah 67 tahun. Kerana usianya sedemikian maka perkhidmatan beliau sebagai PPM tidak disambung sejak dua tahun lalu. Hal ini sudah dijangka, justeru  tidak sedikitpun mengecewakan Paksu Ya.

 Namun, sebenarnya  jauh di sudut hati, sejak tiga empat tahun kebelakangan ini, Paksu Ya  sudah menyimpan hasrat untuk keluar dari parti yang pernah  beliau   berpayung selama ini. Pintu hatinya seperti terasa diketuk sesuatu, ketukan itu semakin sehari semakin kuat sehingga akhirnya tertahan.

Pada suatu pagi, di depan isterinya,  ia meluahkan  hasrat yang selama ini terkunci kemas,  iaitu  mahu meninggalkan perjuangan  UMNO dan menyertai Parti Islam Semalaysia-PAS.

Sebelum ini pun, bila berbicara seputar PAS di depan teman-teman UMNOnya, ia merujuk Nik Aziz sebagai Tok Guru, sesuatu sangat tak disukai pendokong UMNO totok kerana golongan ini  hanya memanggil Tok Guru sebagai Nik Aziz saja.

Mantan PPM yang dimaksudkan tak lain, Rafia Jusoh atau  orang kampung memanggilnya Paksu Ya. Pada 14 April lalu telah mengistiharkan bergabung dengan PAS bersama empat lagi mantan PPM dari kampung berdekatan serta  50 pengikut beliau, semuanya  dibawah DUN  Melor.

Penyerahan borang keahlian PAS dilakukan dalam majlis ceramah yang diadakan di halaman rumah beliau oleh Mursyidul Am PAS, Pesuruhjaya PAS Kelantan, merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau sendiri yang mahukan, majlis itu diadakan di rumahnya sendiri, biarpun halamannya  tak begitu luas untuk menampung hadirin dengan jumlah yang ramai.

Apa yang mendorong Paksu Ya masuk PAS?  “UMNO ini teruk sangat…” Jawab  Paksu Ya  sambil geleng kepala. Lalu ia memanggil anaknya  waktu itu  tidur di kamar rumahnya. Mendengar namanya dipanggil, lantas anaknya keluar dan duduk bersama kami di ruang  tamu.

 “Anak  saya kesemuanya tujuh orang, dua daripadanya kelainan upaya (OKU), salah  seorangnya yang ini…dan seorang lagi kakaknya perempuan, dalam kamar, sudah tidur, juga senasib dengan adeknya,  iaitu  buta sejak  usia 12  tahun. Kini usianya 30an”

“Sewaktu saya dalam UMNO, sudah acapkali memohon bantuan tapi hanya setakat isi borang, selepas itu ghaib begitu saja. Datang yang lain menyuruh  diisi lagi, tapi  tetap sama,  senyap sunyi tak dengar khabar berita. Sehinggalah baru-baru ini, setelah dimajukan permohonan melalui orang PAS, dapatlah sedikit bantuan RM150 setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri” luah Paksu Ya.

“Bila pemimpin UMNO kawasan dapat tahu kami mahu masuk PAS, mulalah datang menjengok bertanya khabar, Tan Sri Annuar Musa pun  jemput datang ke rumahnya, tapi saya beritahu kepada mereka, saya tak akan pergi menemui kalian, cukuplah setakat ini… perbuataan  mereka kepada saya” kata Paksu Ya dengan nada marah bercampur kesal.

Mendengar khabar Paksu Ya masuk PAS,  anak perempuan sulungnya  yang bekerja di Pulau Pinang segera pulang bersama suami ke rumah bapanya di Kg Durian Pahit  semata-mata untuk meraikan penghijrahan sang ayah bersama perjuangan Islam yang di bawa PAS. Tampak di wajah anak dan menantunya kegembiraan yang tak tergambarkan dek kata-kata.   

Kebelakangan ini, pendokong  UMNO keluar UMNO dan bergabung dengan PAS berlaku hampir di semua negeri di seluruh Malaysia, namun  paling ketara  ialah Kelantan.  Setiap minggu berlangsung  majlis penyerahan borang keahlian PAS oleh  bekas pendokong UMNO.  Setiap Dewan Undangan Negeri menerima antara 50 hingga 100 ahli baru. Walaupun angka itu tidak besar tapi dengan fenomena itu moral PAS jadi besar.

 Di Kelantan, semua mengharapkan , Tok guru Haji Nik Abdul Aziz Nik  Mat sendiri datang untuk menerima borang keahlian PAS yang bakal  mereka serahkan. Justeru Tok Guru terpaksa mengatur giliran di sela-sela kesibukan mengurustadbir negeri dan aktiviti kepartian yang amat padat.

Yang membanggakan pemimpin PAS ialah ahli baru itu bukan saja dari kalangan privete bahkan  lantikan politik dalam masyarakat,  antaranya Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) atau di Kelantan di gelar Tok Penghulu Barisan atau Tok Penghulu Biru.

Di peringkat pusat pula dari kalangan artis seperti juara lagu 1990 yang terkenal dengan lagu “Janji Manis mu” Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin. Seorang lagi ialah penyanyi Dayangku Intan yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di peringkat mantan menteri kabinet pula ialah Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, walaupun belum membuat keputusan bergabung dengan mana-mana parti, tetapi sehingga kini sudah dua kali ikut  berceramah  di atas pentas PAS di Baling, Kedah dan  di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar sehari menjelang “Duduk Bersih”, 28 April 2012.



 






No comments:

Post a Comment