Oleh: Rossem
Bahang perhimpunan Bersih 0.3 Duduk Bantah masih panas. Di Kuala
Lumpur terus menjadi topik hangat. Di kawasan yang tak
terlibat dengan perhimpunan seperti di desa-desa juga tidak terkecuali, menjadi
topik utama setiap perbualan terutama di kedai kopi sambil minum secangkir kopi
Tongkat Ali bersama nasi berlauk atau nasi kerabu pagi. Dijangkakan angin panas
itu berpanjangan minimum tiga minggu.
Penyokong Duduk Bantah (DB) jangan cuba minum di
warung kopi kepunyaan penyokong UMNO, nanti panas cuping telinga, demikian
juga penyokong UMNO jangan cari penyakit atau gatal kaki masuk
minum di kedai yang menjadi tumpuan penyokong Duduk Bantah (PAS, PKR, DAP, NGO) kecuali bijak menyesesuaikan diri dengan
kondisi setempat atau urat sabarnya
seutuh dawai.
Opini
warga desa terhadap isu
perhimpunan Bersih 0.3, Duduk Bantah ,
28 April 2012, di Kuala Lumpur, terbahagi dua, pro dan kontra. Pendokong UMNO sangat marah
dengan perbuatan penyokong DB mengerakkan massa sehigga kawasan sekitar Dataran Merdeka
menjadi ladang bunga tulip berwarna kuning yang luas terbentang. Kerana itu setiap
perbualan para pelangan kedai, sama ada penyokong DB atau UMNO masing-masing sukar mengawal emosi bila masuk bab Duduk Bantah.
Pendebat UMNO dan pendebat PAS punya kitab masing-masing sebagai sumber rujukan.
Kitab induk orang UMNO ialah Berita TV 3/4
dan surat
khabar Utusan Meloya dan Berita Hairan. Hujah mereka bersandarkan kepada hadis
yang diperolehi dari media tersebut.
Manakala hujah penyokong DB pula
dari sumber Harakah, Keadilan, internet, blog, facebook atau istilah
popularnya media baru. Juga bersumberkan saksi mata, yakni mereka yang
hadir sendiri di perhimpunan DB, 28
April, kemudian pulang ke desa masing-masing menceritakan hasil
pengalaman yang dipungut di tempat kejadian.
Kelompok ini terlibat secara langsung di lapangan, bagaimana pedihnya mata
akibat terkena gas pemedih mata, bagaimana sakitnya badan saat dipijak Polis
Pencegah Rusuhan dengan sepatu berladang
besi. Bagaimana ngerinya melihat darah mengalir dari kepala saat dipukul dengan
cota. Bagaimana bisanya kesan air beracun yang disembur dari kenderaan water
canon bila terkena badan.
Inilah kelebihan yang dimiliki peserta
perhimpunan DB takala bercerita di kedai kopi, berbeza dengan penyokong
UMNO yang zero seputar pengalaman
seperti itu, di mana satu-satu sumber maklumat mereka hanya lewat media propaganda pemerintah.
“ Puak-puak yang berarak itu tak fakir
langsung pasal orang nak berniaga, nak
cari rezeki. Akibat perhimpunan bodoh
itu berapa banyak kedai
terpaksa tutup” Kata seorang
penyokong tegar UMNO dengan emosional.
Teman-teman semejanya mengangguk -angguk sebagai tanda setuju ataupun sengaja mengambil sikap berdiam diri dengan tak mahu
menyampuk cakap orang yang naik angin.
Saya mendengar perbualan mereka dengan
jelas walaupun berada selang dua meja. Dalam hati teringat, tadi malam pembaca berita TV3/4 menyebut salah satu malapetaka akibat
perhimpuan Bersih Duduk Bantah ialah kerugian para peniaga kerana terpaksa
tutup kedai.
Untuk menyakinkan penonton, maka diwawancara pula dengan beberapa peniaga dari
pelbagai kaum. Seperti sudah tertulis dalam skrip, sang peniaga mengutuk
keras penganjur yang mengerakkan
massa dari dari seluruh Malaysia berhimpun pada sore Sabtu
sehingga peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Sogo tutup kedai. Namun hari itu kerugian para peniaga tertebus
kerana wajah mereka dapat masuk televisyen
percuma.
Dan si penghujah dari UMNO kampung telah
mengambil bulat-bulat ayat hadis yang dibacakan oleh pembaca berita TV untuk berhujah di kedai kopi.
“Orang Melayu telah berjaya diperalatkan
Ambiga” kata penyokong UMNO yang lain. Opini itu juga
diangkat dari media propaganda UMNO yang saban hari cuba memburuk-burukkan penganjuran perhimpunan DB,
kononnya yang mengerakkan massa
dikepalai Ambiga yang sikapnya dikatakan sangat anti Islam. Padahal Pengerusi
Bersama perhimpunan kali ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Tentang tokoh besar dalam sastera Melayu ini langsung tidak disebut televisyen dan media propaganda UMNO.
Hakikatnya setiap manusia di atas muka bumi
ini menjadi “alat” kepada yang lain.
Hidup saling bergantungan. Dalam konteks
perhimpunan DB tidak berbangkit soal
siapa memperalatkan siapa. Semua yang hadir adalah rakyat Malaysia tanpa mengira parti, kaum, agama,
ulama, sami, atau sesiapa saja yang merasakan diri mereka diperlakukan tidak adil oleh pemerintah
terutama yang terkait dengan perjalanan demokrasi yang tempang di Malaysia.
Dari hujah pendokong UMNO yang saya dengari
dan amati terutama yang terkait dengan politik negara, maka benarlah seperti saya katakana bahawa
hujah orang UMNO tak dapat dinafikan bersumberkan media propaganda cuma.
No comments:
Post a Comment