Monday, April 19, 2010

Budayawan jangan jadi khazanah yang diam


Oleh: Rossem

Mereka menulis dengan gaya dan opini yang tersendiri. Mengupas isu-isu yang sangat terdesak. Meluahkan rasa hatinya yang paling dalam tentang nasib masa depan bangsa ini, terutama bahasa ibundanya- Melayu, yang menurutnya semakin mengecil, seperti sepohon bonsai yang hanya layak di simpan dalam pasu buat perhiasan.

“Saya melihat sastera Melayu sebagai khazanah yang diam” kata A. Samad Said dalam buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak”. Selanjutnya sang tokoh itu menyambung: Sedangkan sastera boleh bersuara dan bertindak serentak di luar buku. Lalu beliau memberi contoh, Dinsman, sosok sasterawan yang telah pun mengembangkan sastera di luar buku. “Terbukti pada Dinsman bahawa seni kata wajar diperkayakan dengan seni tindak. Kerana itu, Dinsman tampaknya tidak lagi terlalu mempercayai karya seni diam”.

Selanjutnya beliau menyarankan: Teks drama perlu keluar ke tengah pentas. Harus bergerak menemui masyarakat. Kerana yang terkhazanah itu, (termasuk sastera) masih lagi “tidak hadir” selagi tidak ditemui dan dihidupkan melalui tindakan. Makanya sekali lagi Sasterawan Negara itu menuji Dinsman; melalui semangat Budayawan Bertindak menghadirkan diri di tengah khalayak mengisi pentas memberitahu khalayak bahawa sastera juga boleh merubah masyarakat.

Selama ini, pesepsi umum bahkan secara lojikalnya memertabatkan bahasa Melayu adalah tugas pemerintah, atas perhitungan bahawa penguasa pasti punya keupayaan maksimal untuk merealisasikan cita-cita dan perjuangan bangsa. Namun amanah yang diberikan kepada manusia yang begelar politikus itu hasilnya jauh menyimpang, bahkan sebaliknya. Seperti kata pepatah “harapkan pagar, pagar makan padi harapkan Yang Berhormat bahasa Melayu semakin tidak dihormati”.

Barangkali, itulah yang dimaksudkan Pak Samad, kesan daripada tidak keprihatianan pemerintah akhirnya “bahasa menjadi diam”. Sedang bahasa juga harus menjadi seperti air sungai yang mengalir deras, kerana “mengalirnya air” itu menjadikan mineral bersih. Jika diam terpaku, lama-lama akan menjadi busuk!

Albert Camus berkata: Bukan kerana perjuangan kita menjadi seniman, tetapi kerana kita seniman maka kita menjadi pejuang. Makanya A. Samad Said, Dinsman, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Mohd Hasni Abas, Kassim Muhamad, Abd. Shukur Harun, Anbakri, Azizi Hj Abdullah, Anuar Asmadi, Amni Jagat, Dr. Ibrahim Gaffar, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pyan Habib, Zunar (sekadar menyebut beberapa nama) mengerakkan upaya masing-masing, menyatakan protes secara terbuka bahawa dasar pembelajaran matamatik dan sains dalam bahasa Inggeris yang dipraktikkan pemerintah adalah merupakan satu penderaan terhadap bahasa ibunda sendiri- Melayu.

Mutakhir ini lewat media massa saban ketika dimuatkan berita seputar penderaan ibu atau ayah terhadap anaknya, sama ada anak kandung atau anaktiri. Ramai orang menangis sedih bila membacanya, walhal “bahasa Melayu” juga mengalami nasib yang sama- didera begitu rupa oleh ayah kandungnya sendiri yang kejam. Namun dalam kes ini tidak ramai yang menangis, hanya dikalangan kelompok budayawan bahasa sahaja yang terpanggil untuk menyatakan protes yang mendalam. Mereka itu seperti dikatakan Albert Camus; seniman yang menjadi pejuang!.

Bahasa itu adalah seni ucap tertua milik manusia. Bermula sejak Nabi Adam as kemudian mengembang mengikut geografi, wilayah dan daerah. Kerana perbezaan geografi itu menurut sasterawan terkenal Indonesia, Putuwijaya; Seni bahasa sebagai bahagian dari kebudayaan yang sebenarnya berharap akan mendapat kasih sayang yang lebih baik dari masa ke semasa dari pemerintah.

Selanjutnya sang sasterawan itu menambah; di negaranya, Indonesia bahasa juga menjadi pengemis yang berjuang sendiri untuk hidup. Berbeza sekali dengan kegiatan olahraga yang kendati prestasinya tak seberapa (bahkan bola sepak kalah melulu) tetap saja mendapat “bajet tahunan” yang lumayan.

Berbalik negara kita, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan salah satu badan yang ditubuh pemerintah untuk tujuan pengembangan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia. DBP selama kewujudannya telah berfungsi dengan baik dalam lingkaran yang terhad. Tapi malangnya badan itu tidak diberi peruntukan kuasa bertindak menyaman mana-mana pesalah bahasa. Sebagai bukti, papan kenyataan, kain rentang, poster dan sebagainya yang mencemarkan bahasa dan salah ejaannya tidak dikenakan sebarang tindakan. Maka kita pun bertanya, mengapa hal seperti itu boleh terjadi?

Maka benar seperti kata Dato’ Dr Hassan Ahmad; Amat pelik kerana bahasa yang martabatnya mahu diperjuangkan atau diperkasakan itu bukan bahasa kecil-kecilan, bukan bahasa suku kaum yang hayatnya hampir pupus, tetapi adalah bahasa yang besar, bahasa yang selama lebih seribu tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia, merentas sempadan bahasa-bahasa etnik yang beratus banyak, bahasa yang pernah menjadi bahasa kerajaan lama sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa kerajaan atau bahasa ilmu di tempat yang hari ini disebut England.

Justeru, sayangilah bahasa itu. Letakkan ia di tempat yang sewajarnya ia berada!

Sunday, April 11, 2010

Bila penulis, kartunis ditakuti

Oleh:Rossem
Ketika perang berkecamuk, prajurit yang jadi panglima. Saat kemenangan diraih, penalah yang jadi jeneralnya, demikian ungkapan Ibnu Khaldun. Tokoh filosuf Islam itu bercakap 500 tahun dulu, ketika media massa baru menyelak tabir. Industri percetakaan masih bertatih, khalayak pembaca masih kurang kerana rakyat ketika itu ramai buta huruf, namun pena sang penulis sudah digambarkan begitu rupa- digeruni. Jurnalis memiliki kekuatan yang mengerunkan pihak tertentu. Malah, digambarkan, jurnalis itu adalah habitat yang berbahaya kerana boleh merubah sesuatu masyarakat dari satu acuan kepada acuan yang lain.

Di Amerika, penulis atau wartawan diibaratkan sebagai anjing penjaga! Istilah ini bukan suatu penghinaan, bahkan dalam teorinya, jurnalis wajib menjadi "anjing penjaga" untuk mengawasi lingkungannya. Di Malaysia juga demikan, kaum junarlis menjadi penjaga kepada majikannya dan majikan pula menjadi penjaga kepada yang lebih tinggi, yakni pemerintah negara.

John F. Kennedy, mantan presiden Amerika Syarikat memberi komentar tentang jurnalis, katanya "aku lebih takut kepada seorang wartawan daripada seribu tentera" kerana kekuatan mata pena boleh menenggelamkan realiti. Manakala tokoh komunis, Lenin, pula berujaran "waspadalah terhadap kekuatan media massa, sebab gurisan pena itu sangat sakti" Walhal Lenin sendiri mencapai titik puncak kekuasannya lewat pena para jurnalis. Sang penzalim itu tidak upaya bertakhta tanpa dokongan media.

Dalam kontek hari ini, di negara mana pun, media massa berada diposisi barisan depan berbanding komponen yang lain. Amerika Syarikat menyerang negara-negara Islam, seperti Afghanistan dan Iraq, bukan didahului dengan bom, senapang atau bala tentera, tapi dengan media massa. Berbulan-bulan malah bertahun-tahun para jurnalis lewat media cetak dan elektronik milik mereka, menulis berdasarkan selera "tuannya". Mengadu domba, menfitnah, memburuk-burukkan musuh yang dicipta mereka. Akhirnya selepas dibelasah begitu rupa, sehingga penduduk dunia naik pening, barulah kekuatan tentera digunakan. Akhirnya kita keliru, siapa yang benar, pencerohoh atau yang kena ceroboh. Begitulah licitnya permainan media massa dalam percaturan politik dunia.

Di Malaysia, demam menjelang pilihan raya umum ke 12 sudah terasa. Nyamuk-nyamuk media yang sangat berbisa sudah mula mengigit lawan politik masing-masing. Perang saraf yang diolah secara halus amat berkesan sehingga mempengaruhi pemikiran seseorang dalam membuat keputusan. Kesaksesannya terpulang kepada, cara serangan, kekerapan serangan dan jumlah kereta kebal yang digunakan. Di Malaysia, yang terbesar dan canggih serta mempunyai jumlah khalayak pembaca, pendengar, penonton paling ramai adalah media massa milik pemerintah dan organ sokongannya. Justeru jurnalis telah menjadi satu kuasa yang ditakuti oleh pihak lawan. Kehadiran jurnalis mampu memporak-perandakan sesebuah sistem apalagi individu.

Kejatuhan beberepa penguasa dunia, misalnya di Indonesia, sejak Suharto, Habibie, Gus Dur dan Megawati adalah dikepalai media massa. Menyedari hakikat inilah, penguasa negara kita dilihat kurang senang dengan jurnalis yang gemar mengkritik. Apa lagi untuk memberi izin terbit sewenang-wenangnya kepada akhbar pro oposisi.

Benarlah seperti kata, Iskandar Agung- Penakluk dan filosof Yunani terkenal: Masalah dunia berada dalam dua hal, iaitu pedang dan pena. Sementara ahli syair Islam, Al-Busti, pula mengungkapkan: Pahlawan bersumpah dengan pedang, Allah SWT bersumpah demi qalam.
Wasilah- bahasa.jpg Wasilah- bahasa.jpg

Saturday, April 3, 2010

Utusan Melayu, kartun dan saya


Oleh: Rossem

Malam itu, hari sudah lewat, kurang lebih jam 11.00 malam, 24 Mac 2010 saat mahu masuk kamar tidur, tiba-tiba nada dering telefon tangan berbunyi, menandakan satu khidmat pesanan ringkas (SMS) telah masuk. Setelah membuka dan membaca paparan yang tetera di skrin, hati sedikit kaget “Saya diarahkan oleh Ketua Pengarang untuk menamatkan kartun En Rossem di Mingguan Malaysia bermula minggu ini. Terima kasih sumbagan anda – Rashid”.

Dalam kekagetan itu, saya masih mampu bersabar bahkan tersenyum. Ingat masa lampau yang manis. Kenangan indah yang kini akan menjadi nostalgia. Terbayang teman-teman lama di Utusan Melayu (UM) yang sebahagian besarnya sudah bersara. Teman-teman itu antara sosok-sosok yang memberi tempat kepada saya berkarya di surat khabar berbahasa Melayu paling terpengaruh di Malaysia.

Nama-nama seperti Haji Abu Hassan Yusof, Samson Mohd Nor, A. Shukur Lin (Almarhum), Kamaruddin Abu Bakar (Kab), Mas Yusof, adalah sosok yang terkait dengan penglibatan saya dalam bidang kartun di akhbar tersebut selama 31 tahun, sejak 1979 hingga Mac 2010. Kerana nama-nama itu pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Kreatif kepada penerbitan media tersebut, justeru mereka sangat rapat dengan saya, bahkan boleh dikatakan sebagai “guru” yang sedikit sebanyak menunjuk ajar selok belok berkartun dalam akhbar.

Kendati pun sosok-sosok itu dikira orang penting dalam melahirkan sekian banyak kartunis, kerana peranan mereka selain merekabentuk suratkhabar, majalah terbitan UM, juga mencari kartunis-kartunis yang sedia menyumbangkan kartun dalam akhbar, sama ada harian atau mingguan.

Dalam hal ini, misalnya, Haji Abu Hassan Yussuf, pada suatu hari dalam tahun 1979, telah meminta saya menyumbangkan kartun lereng dalam Utusan Malaysia, untuk terbitan setiap Sabtu. Saya kemudiannya datang berjumpa beliau di studio kreatif UM, Jalan Chow So Lin, berdiskusi panjang lebar seputar karektur apa yang harus saya ketengahkan dan releven ketika itu. Akhirnya beliau menyarankan agar saya melukis karektur seorang konstabel polis. Menurutnya, karektur itu sangat cocok dengan saya, kerana saya seorang anggota polis. Lagipun gelagat perjalanan hidup seorang polis sebelum ini tidak pernah dikartunkan orang. Saya bersetuju.

Selanjutnya kami berdua berbincang tentang nama karektur, kerana nama itu sangat penting. Popular atau tidak sesebuah lakaran kartun banyak bergantung pada nama karektur tersebut. Akhirnya kami sepakat menamakan karektur kartun itu “Konstabel Jabit”. Kisah perjalanan hidup seorang konstabel polis saat menjalani tugas-tugas kepolisan dan bagaimana ia mendepani masyarakat, cabaran serta cara penyelesaian pemasalahan publik.

Karektur tersebut akhirnya dikenali ramai. Diminati bukan saja oleh kanak-kanak bahkan semua lapisan masyarakat. Hari ini bila bertemu mereka yang seusia dengan kartun tersebut pasti tidak lupa nama Konstabel Jabit bersama lucuan yang dipersembahkannya.

Diwaktu yang sama dan di koloum yang sama, ketika itu kartunis Rejadhad (Allahyarham) melukis watak tentera dengan judul Prabet Dabus. Pembaca melihat tentera dan polis akhirnya berpadu dalam lakaran kartun. Berjuang di medan yang sama yakni dunia surat khabar.

Selama 31 tahun mengabdikan diri melukis kartun di UM, tidak saja lewat karektur Konstabel Jabit yang dilakarkan buat tatapan pembaca setia akhbar itu. Ada karektur-karektur lain juga disumbangkan, seperti Pak Din Pencen (Utusan Melayu-Jawi), Si Akob (Utusan Pelajar), Mat Prihatin (Mingguan Malaysia). Selain itu, majalah-majalah terbitan UM seperti Mastika, Qiblat dalan lain-lain juga pernah memuatkan kartun-kartun saya dalam tempoh yang panjang.

Semua itu sudah berakhir. Kini tinggal kenangan. Menjadi nostalgia. Kerana pada tanggal 21 Mac 2010, kartun saya Mat Prihatin sudah dimatikan. Sebab-sebab kematian tidak diketahui. Walhal sebelumnya tiada tanda-tanda batuk dan terkena apa-apa virus berbahaya. Hari ini sehat, besok mati, itu fenomena biasayang sering berlaku hari ini.

Saya tidak mahu bertanya sebab-sebab kematiannya, kerana menganggapnya tiada apa-apa manfaat. Kematian sudah berlalu, biarlah ia berlalu, tak perlu mundur ke belakang.

Yang mahu disebutkan ialah, saya punya warna politik yang berbeza. Tapi masih tahu diri dan tetap menganggap bahawa warna warni dalam politik itu seharusnya tidak menjadikan kita berbeza. Dalam berkarya saya tetap menghormati misi dan visi sesebuah akhbar. Justeru sejak awal berkarya saya sering mengelak hal-hal yang bertentangan dengan inspirasi akhbar tersebut.

Dua minggu sebelum itu, koloum “Minda Dr. Maza” juga dimatikan. Apakah karya saya juga “ditakuti” pihak tertentu sepertimana mereka takutkan tulisan mantan Mufti Perlis yang kontroversi itu. Wallahalam!