Thursday, October 15, 2009

Jangan tanya siapa menang, tanyalah siapa kena pukul.


Oleh: Rossem

Kumpulan pemuda bermotorsikal itu melewati jalan-jalan sempit di Kg Bagan Pinang, Port Dickson setiap petang, sambil membawa bendera besar yang belambang bulan purnama, saya melihat sendiri aksi mereka saat berdiri di situ, di hadapan tapak pameran “Kenali Kelantan 2009” anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.- lokasinya di tengah-tengah perkampungan tradisional Melayu Bagan Pinang. Bendera hijau dengan lingkaran buatan berwarna putih berkibar megah di tiup angin sejuk dari pantai Port Dickson ketika bendera kemegahan PAS itu diarak.

Mereka bukan Mat Rempit, bukan juga pelumba haram. Mereka adalah para pendokong PAS yang terpanggil untuk menyatakan bahawa “kami adalah sebahagian dari perjuangan anda”.

Kenapa justeru menyatakan sebahagian dari perjuangan anda? Kerana para pembawa bendera bermotorsikal itu terdiri non-Muslim, dari kalangan pemuda-pemuda India yang benci kepada Barisan Nasional (BN). Mereka bangga dan telah menjadi pendokong PAS (PR). Aksi ahli kelab penyokong PAS itu berjaya menarik perhatian khususnya petugas parti PAS dari Kelantan yang turut datang berkempen di Bagan Pinang selama 10 hari.

Sokongan dari etnik India terhadap PAS sangat terserlah di kawasan pilihan raya kecil Bagan Pinang, kecuali di kawasan perladangan, kerana gerakgeri mereka sentiasa diperhatikan dan cuba dihalang daripada mendekati petugas Pakatan Rakyat (PR). Selain konvoi bermotosikal, mereka juga ikut hadir pada setiap ceramah parti tersebut. Terserlah juga ialah sokongan peringkat akar umbi dari kaum Cina, walaupun mereka tidak banyak terlibat dalam berkempen, namun setiap kali bertemu petugas PAS di pinggir jalan atau pos parti, diangkat ibu jari tanda sokongan.

Yang sedikit mendukacitakan ialah sokongan daripada orang Melayu tempatan tehadap parti PAS tersangat menimum. Di dalam Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang terdapat 13 ribu pengundi, 70 peratus adalah orang Melayu. Tapi cawangan PAS hanya ada empat buah saja. Sementara Ketua-Ketua Cawangan, setiausaha, jawatankuasa, bahkan Yang Dipertua Kawasan ramai diantaranya dipegang bukan penduduk asal Negeri Sembilan. Kebanyakannya asal Kelantan dan Kedah yang bekerja atau berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kampung tersebut. Juga terdapat dari kalangan bekas-bekas tentera yang memilih menetap di Bagan Pinang selepas tamat perkhidmatan.

Kelemahan diperingkat akar umbi itu menyebakan petugas PAS tidak dapat membuat culaan terhadap pengundi di kawasan masing-masing. Hal ini sangat menyukarkan mereka menjalankan tugas berkempen sepanjang 10 hari dari 2 sehingga 10 Oktober lalu.

Yang mengerakkan kempen rata-rata petugas-petugas PAS dari luar yang didatangkan ke Bagan Pinang. Petugas-petugas ini meskipun punya pengalaman luas dalam uslub kempen kerana pernah menjalankan tugas yang sama di tempat-tempat lain sebelum ini, namun tanpa pandun tepat daripada jentera parti tempatan pasti tidak dapat menjalankan tugsan dengan sempurna dan menepati sasaran. .

Petugas luar, lebih banyak melakukan kempen secara rambang, terutama dalam program dari pintu ke pintu. Cara demikian pasti merugikan masa, memandangkan tempoh berkempen yang singkat-hanya 10 hari. Sasaran yang harus diutamakan ialah pengundi “atas pagar”. Namun oleh kerana sistem culaan yang sudah lama dipraktikkan oleh PAS dan ternyata sangat berkesan itu terabai di sini, maka jentera kempen tidak dapat mengenal pasti siapa individu di atas pagar dengan tepat supaya mudah didekati.

Kelemahan-kelemahan ini sememangnya terserlah sejak awal kempen lagi, ditambah pula dengan undi pos yang pastinya memihak kepada BN, justeru kekalahan PAS pada PRK Bagan Pinang tidaklah memeranjatkan. Sesuatu yang sudah dijangka, dan pihak PAS menerima kekalahan itu dengan berlapang dada. Ia satu cabaran dan ransangan baru untuk bekerja lebih kuat di hari-hari mendatang.

Selanjutnya, pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan berlakunya provoksai yang melampau, sehingga PRK itu tercemar dengan pergaduhan. Ia berlaku setiap hari, seolah telah dirancang. Petugas-petugas PAS dipukul tanpa sebab, bendera dan lambang parti tu di koyak dan dibakar di beberapa tempat. Serangan ke atas pos-pos Bulan Purnama berlaku serentak di lokasi yang kurang kawalan, menyebabkan parti itu terpaksa mengerahkan lebih ramai petugas untuk menjaga pos-pos mereka. Serta mengiringi petugas-petugas al nisa dan muslimat saat bersilaturahim ke rumah-rumah warga.

Budaya samseng yang dipraktikkan UMNO telah meletakkan PRK Bagan Pinang yang terburuk pernah dialami dalam siri-siri pilihan raya kecil atau pilihan raya umum dekad ini. Hal ini mengingatkan kita kepada era 60an atau 70an, yakni era Pemuda Tahan Lasak mengugut dan menakut-nakutkan pengundi lawan agar jangan keluar mengundi, sehingga jambatan (gertak) pun dibakar.

Dua tiga hari terakhir kempen adalah saat kritikal, setiap petugas PAS diterjah kekhuatiran akan kemungkinan diserang bila-bila masa. Beberapa teman yang tiada berkesempatan ke Bagan Pinang lalu mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya; apakah PAS kemungkinan akan menang? Saya jawab “ Kami di sini tidak memikirkan parti mana akan menang. Yang kami fikirkan ialah siapa yang akan kena pukul atau tumbuk selepas ini”.

Begitulah bila demokrasi sudah dicemari oleh tangan-tangan yang mengagungkan demokrasi itu sendiri. Yang difikirkan adalah kemenangan cuma!

No comments:

Post a Comment