Sunday, August 30, 2020

 

MENYUSURI MAKNA KEMERDEKAAN

Teringat Benteng

Tempat menjamu selera  paling popular tahun 1980an

Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir pucat

Dan jika bernasib baik

Di hujung bangunan usang

Dapat melihat Wak Khalid jual ubat

(Al fatehah buat sahabatku yang pulang dahulu)

Teringat kata-kata segar Wak

“ aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”

Sekarang baru sedar

Tajamnya kiasan seorang Khalid Salleh

Olehkerana kita malas menjual bahasa

Bahasa ibunda menjadi melukut di tepi gantang

Bahasa Inggeris dibeli orang

Konon dengan bahasa penjajah

Anak bangsa menjadi cerdik seperi orang putih

 

Kemudian ke jalan Tunku Abdul Rahman

Menunggu bas Serijaya, tak kunjung tiba

Bas bertulis Town Linner bertali arus

Oh, rupanya aku silap

Nama bas sekarang sudah bertukar

Dari nama Melayu kepada Orang Putih. [i]

Hilang tulisan jawi, datang roman

63 tahun merdeka!

 



 

Teringat Benteng

Tempat menjamu selera  paling popular tahun 1980an

Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir pucat

Dan jika bernasib baik

Di hujung bangunan usang

Dapat melihat Wak Khalid jual ubat

(Al fatehah buat sahabatku yang pulang dahulu)

Teringat kata-kata segar Wak

“ aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”

Sekarang baru sedar

Tajamnya kiasan seorang Khalid Salleh

Olehkerana kita malas menjual bahasa

Bahasa ibunda menjadi melukut di tepi gantang

Bahasa Inggeris dibeli orang

Konon dengan bahasa penjajah

Anak bangsa menjadi cerdik seperi orang putih

 

Kemudian ke jalan Tunku Abdul Rahman

Menunggu bas Serijaya, tak kunjung tiba

Bas bertulis Town Linner bertali arus

Oh, rupanya aku silap

Nama bas sekarang sudah bertukar

Dari nama Melayu kepada Orang Putih. [i]

Hilang tulisan jawi, datang roman

63 tahun merdeka!

 



 

Friday, August 28, 2020

BALAI KARTUN ROSSEM (BKR)

Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

 

1.       Assalamualaikum adek kakak semua.  Sawadee Krup. Rasanya ramai adek kakak semua tak tahu, di Kelantan ni ada Balai Kartun.  Selama ni adek kakak    tahu -  balai polis, rupanya balai kartun pun ada. Inilah hebatnya Kelantan kita.  Balai Kartun Rossem atau BKR terletak di Kg. Peringat, 12 kilometer dari Kota Bharu. Milik kartunis   Rossem. Buka  sejak   tahun 2014 lagi, sudah 6 tahun doh.  

 

2.       Di BKR ini dipamerkan beratus-ratus kartun dan komik. Karya kartunis tempatan dan luar negara. Kartun lama dan kartun baru. Karya   berusia  50 tahun pun ada. Kartun-kartun itu ada nilai sejarah yang tersendiri.  Masuk BKR ini,  macam  masuk muzium. Inilah Balai Kartun pertama di Malaysia.

 

3.       Kalau mengikut buku pelawat, sejak  dibuka tahun  2014, hampir  10 ribu pelawat datang mengunjung BKR, dari Indonesia, Thailand pun ada.  Pelajar-pelajar univerisit ramai datang buat kajian untuk tesis mereka.

 

4.       Kalau nak mari melawat Balai Kartun Rossem, dialu-alukan, lokasinya taip Balai Kartun Rossem, pakcik Google akan royatlah. Di buka dari jam  9 pagi hingga 6 petang. Hari Jumaat pun buka,  tapi nak datang telefon dulu.

 

 

Friday, June 5, 2020

KARTUNIS EDI DHARMA



Kartunis Edi Dharma asal Jambi, Indonesia, masih muda, peramah dan cepat mesra. Namanya semerbak di seluruh  dunia sebagai kartunis  manpan dan tajam pengamatannya.  Dalam masa kurang lebih dua tahun, memenangi empat kali pertandingan (Lomba) diadakan  seluruh dunia.  Bermula di Malaysia (2018), kemudian di Cyprus, Kroasia (Zagreb) dan terbaru (3 Jun 2020) di Romania.
Tuahnya  bermula di Malaysia, mendapat tempat ketiga dalam acara International Cartoon Exhibitian/Contest  2018  anjuran  Balai Kartun Rossem (BKR), Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu gaya lakarannya, permainan lenggok tari pen tidak semantap sekarang, tetapi   ideanya menampakkan  kedewasaan,  ada sesuatu yang  mahu disampaikan kepada dunia sangat jelas. 

  Setelah keputusan dari para juri diterima,  lantas saya menghubungi beliau lewat wasap- gembira. Dua minggu kemudian  beliau terbang ke Malaysia, melihat kartunnya diperagakan di BKR. Disamping itu  dibawa bersiar-siar di  Kota Bharu hingga ke perbatasan Malaysia –Thailand.  Di perbatasan, hanya  berdiri di tepian sungai Golok yang sempit dan cetek airnya, yang memisahkan dua negara tetangga, melihat Negara Gajah Putih dari kejauhan. 

Tahun 2019 beliau juga terbang ke Turki dan Cyprus , diundang penganjur pertandingan kartun untuk meraikan  kemenangannya (Nombor dua)   dan menenerima honorium serta  sijil.  Tuahnya  terus  melebar, muncul sebagai juara (First Prize)   2nd International Rhubarb Cartoons Contest Romania.

Friday, April 10, 2020

Diari Tua




3 Disember 1974 –Difinasi. 

Kuala Lumpur bergelora,  mahasiswa mahasiwi Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan berdemontrasi, mereka menuntut agar harga getah dinaikkan bagi mengatasi inflasi yang menekan rakyat terutama yang tinggal di desa-desa yang  hidupnya menyembah pokok getah setiap hari. Demontrasi akhirnya bertukar menjadi liar, harta benda kerajaan sepanjang jalanraya dirosakkan. Masjid negara dijadikan tempat berlindung bila polis terpaksa bertindak. 

13 Disember 1974 jam 3.00 petang.

Siaran kecemasan berbunyi. Dengan pantas mengenakan unifom, berkejar ke tempat anggota berkumpul untuk menerima arahan. Kami diarah ke Kuala Lumpur petang itu juga. Balik sekejap ke barrek mengambil barang- barang  diperlukan dan bersalam dengan isteri serta cium anak. 
14 Disember 1974

Tiba di Kuala Lumpur agak lewat, sepatutnya perjalanan memakan masa lima jam terus menerus tanpa berhenti. Kelambatan akibat kerosakan berlaku pada kereta yang dinaiki, dan keretaku meneruskan perjalanan  seperti sekor unta tua yang dipaksa membawa muatan berat.
Sampai di Kuala Lumpur, tinggal di Sekolah Menengah Kampung Baru bersama anggota pelatun lain yang tiba lebih awal. ( Panjang.... sedap kisah ini)

19 JANUARI 1976

Selepas balik dari Gua Musang, empat hari sahaja berada di rumah, belum puas berpanas badan dengan isteri serta mendakap mesra anak- anak, tanpa diduga keluar arahan bergerak segera ke Kuala Lumpur, hati kecil dilanda tanya, apa gerangan terjadi di Kuala Lumpur, malapetaka apa berlaku? Komunis bom lagi ke?.  

Kami diberi masa satu hari untuk mengemas barang -barang keperluan  yang akan dibawa dan keperluan isteri serta anak-anak yang bakal ditinggalkan. 




20 JANUARI 1976

Langit Pengkalan Chepa cerah, walaupun ekor tengkujuh masih ada, matahari pagi bersinar indah. Roda terak dan lori 4 tan bergerak meninggalkan kem menuju Kuala Lumpur. Sore tiba di Kuantan dan bermalam di Bukit Galin sepertimana diatur mengikut jadual.
21 JANUARI 1976

Kuala Lumpur menyambut ketibaan kami sekitar jam 12.30 tengahari.  Suasana panas terik, mobil-mobil berderu deram di jalanraya, sibuk sekali bedasarkan  perkiraan  kami orang  Kota Bharu. Mungkin ramai pekerja keluar makan tengahari. 

Lori memasuki markas Jalan Pekeliling ( Jalan Tun Razak), rumah pangsa 16 tingkat dijadikan markas polis Diraja Malaysia (PPH), kami tinggal di tingkat 16. Pertama kali merasai suasana tinggal di seperti diatas pokok kelapa.  Menjengok ke luar jendela, tampak wajah Kuala Lumpur dengan panorama yang indah sekali terutama ketika malam hari dengan lampu nion berkerdipan. 

Menjengok ke bawah, tiada ruang kosong, semua dipenuhi dengan kenderaan terak, lori dan motosikal yang diparkir di kaki lima  komplek Rumah Pangsa Tengku Abdul Rahman yang dijadikan markas, kini sudah dirobohkan. Di kawasan sesak itu, beberapa bulan lalu,  tragedi hitam berlaku. Anasir komunis melempar bom tangan terhadap  sekumpulan polis yang berkumpul di situ menyebabkan dua anggota tewas, dan lebih 40 orang cedera. Pengganas komunis dikatakan melarikan diri melalui Kampung Siam yang bersebelahan dengan kem dan menghilangkan diri.  Dari tingkat 16 boleh nampak dengan jelas Kampung Siam dengan anggota polis berkawal ketat. 

Di tingkat 16, kebetulan sahabat lamaku Wan Mohamad Dagang tinggal di sebuah kamar di situ. Beliau seorang penyair, pelukis yang saya kagumi,  asal Terengganu dan pernah bersekolah bersama. Dengan ribuan pelajar, hanya denganku sahaja beliau boleh berkawan kerana sifatnya bengis- mudah naik darah. Kelemahannya mudah berdarah  hidung.  Beberapkali ketuk kamarnya,  beliau tiada, gagal menemuinya, sebuah nota lalu ditampal di pintu “ Sahabat lama- Rossem, sakit jari -jari ketuk pintu, wan tak ada”.  

Kami dibahagi-bahagi tugas,  mengawal bangunan parlimen dan Angkasapuri. Pelatunku mengawal bangunan parlimen. Pagi itu bergerak ke parlimen mengambilalih pasukan lain yang akan balik ke kem. Tempat tinggal sudah disediakan, iaitu di sebelah penjuru bangunan parlimen berhampiran rumah Tan Sri Sambanthan. Dari parlimen, pandang sebelah timur tampak dengan jelas Taman Bunga, indah nian panoramannya.

19 JANUARI 1976

Bila tiada tugas mengawal, keluar bersiar-siar di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit  dengan beberapa orang kawan. Di celah-celah orangramai tak sangka terserempak dengan kawan lama yang ku cari- Wan Mohamad Dagang (Mowanda), beliau bersama dengan pelakon terkenal Omar Abdullah, memang sudah mengatahui, beliau berkawan akrab dengan aktor drama dan pengiat teater itu, di mana ada Omar, di situ ada Wan.  Kami diajak minum kopi bersama di sebuah restoran mamak di Chow Kit. Tertarik dengan bahasa Melayu baku yang yang dituturkan Omar Abdullah walaupaun beliau orang Kedah. 

Setelah sejam lebih mengopi, kami minta diri untuk pulang ke Parlimen. Kami berjalan kaki dari Chow Kit ke bangunan parlimen. Tak rasa penat kerana kami pernah berjalan kaki lebih jauh dari itu meredah hutan mendaki bukit. Di tengah jalan, di hadapan banguan Pustaka Antara berselisih dengan pelakon yang ku minati- Hussain Abu Hassan (Allahyarham) berjalan seorang diri, ekor mataku melirik ke arahnya “ wah bertuah, hari ini jumpa dua pelakon terkenal – Omar Abdullah dan Hussain Abu Hassan” ( he he bersambung...)


Saturday, February 29, 2020

Pertandingan & pameran kartun antarabangsa malaysia 2020



PERTANDINGAN & PAMERAN KARTUN ANTARABANGSA MALAYSIA 2020

Pertandingan &  pameran dianjurkan oleh  Balai Kartun Rossem  (BKR), Rumah Kartun & Komim Malaysia (RKKM), Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

• Terbuka kepada semua artis dari seluruh dunia berusia  18 tahun ke atas.
.
TEMA:
   Selamatkan Warisan Kita  

KRITERIA TEKNIKAL :
· Semua karya seni dikirim dalam  300 dpi.
· Saiz A3 dalam format JPEG.
· Maksimum  3 kartun.
·  Warna atau hitam  putih, dalam apa-apa gaya atau teknik.
· Karya   tidak melanggar undang-undang hak cipta.
· Diperakui sebagai karya sendiri dan  membenarkan pihak penganjur menerbit, memaparkan di media yang berkaitan dengan pameran.

Penyerahan:
• Kirim  kartun anda beserta nama, alamat, nombor telefon, alamat e mail kepada e-mail:
  rossemkartun@gmail.com

• Tarikh tutup: 23 Mei 2020

• Pameran: 1 Jun 2020  - 1 Ogos 2020  di Balai Senilukis Kelantan,  Kota Bharu, Kelantan.
• Semua peserta yang kerja-kerja akan dipamerkan akan menerima katalog digital dan sijil digital penyertaan.

Hadiah dan anugerah
Hadiah Pertama: RM2,000.00
Hadiah Kedua: RM1,500.00
Hadiah ketiga: RM1,000.00
Lima hadiah penghargaan khas.  


Penyelaras
Rossem
Facebook: Balai Kartun Rossem