Friday, June 29, 2012

Artis masuk PAS ! Aneh bunyinya?

Oleh: Rossem
Artis masuk PAS! Aneh bunyinya. Tapi itu  20 tahun dulu. Ketika para artis  melihat parti Islam itu dengan mata serong. Bahkan untuk mendampingi   aktivis PAS juga artis terasa takut, mereka khuatir ada mata yang  memerhatikan untuk  menutup periuk nasi.

Ketika PAS Kelantan berjaya merampas Negeri Serambi Mekah  dari tangan UMNO/BN pada  23 Oktober 1990,  kejayaan itu juga  tanpa sumbangan  artis. Tiada seorang pun bergelar artis atau selebriti tampil di pentas PAS membantu kempen ketika itu.

Hanya  awal 2000 muncul seorang penyanyi  tahun  80an  menyertai PAS iaitu Akay Hai. Artis yang bergelar ustaz ini tampil di atas pentas PAS dengan persembahan  yang sedikit berbeza iaitu berceramah sambil mendendangkan lagu, justeru  beliau cepat popular terutama dikalangan anak-anak  muda,   sehingga penganjur mengelar  program beliau sebagai “konsert hiburan alternatif”.

Sebelum itu,  di era refomasi  (1998-1999) penyanyi lagu bluse terkenal Ito pernah beraksi di pentas  Keadilan dan PAS bersama Nasir Jani sang direktor filem.

Keberadaan  Akay Hai dalam PAS tak lama, sekitar tahun 2010 penyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan  itu  ditawarkan slot dakwah di  televisyen berbayar, lantas  meninggalkan pentas PAS.  ketika  itu ia berdepan dengan krisis rumahtangga.

Namun sumbangan beliau  kepada perjuangan PAS   terpahat dalam lembaran sejarah parti Islam itu kerana beliau dianggap sebagai pelopor atau pembuka denai  kepada artis-artis sekarang mendekati PAS.

Kini mendekati PAS  tidak lagi takut dan segan silu. Artis sudah berani menghadapi resiko kemungkinan akan kehilangan rezeki kerana menyokong oposisi. Mereka bertindak jauh ke depan dengan   tampil berceramah di pentas-pentas PAS seluruh negara. Membantu Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung bila-bila masa dari sekarang.

Fenomena penghijrahan artis ke dalam PAS ini bermula dua tahun lalu  (2011) bila artis, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman bergabung dengan PAS.

“PAS akan ku jadikan wadah perjuangan untuk memperkenalkan Allah SWT kepada mereka yang belum kenal kekuasaan-Nya” Masih ingat ujaran Bob Lokman saat ia mula terpaut hati dengan PAS.

Sejak itu artis-artis dari pelbagai profesion, pelakon, penyanyi, pelawak dan gitaris mula menyertai  PAS dan sebahagianya sudah pun  ditampilkan di atas pentas  Pakatan Rakyat sebaris dengan penceramah terkenal dari kalangan politikus, ustaz, bahkan bersama Mursyidul Am PAS sendiri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gitaris Sam kamikaze, Zuar XPDC, Iwan  dan beberapa artis lain sudah sering kali beraksi di atas pentas PAS terutama di Kelantan. Begitu juga pelakon Mustafa Kamal sering hadir pada majlis PAS. Tapi yang terkenal ialah juara lagu  1990 Wan Aishah Wan Arifin atau nama glamor  Aishah juga sudah  bergabung dengan PAS.

Penyanyi suara lunak yang popular dengan lagu “janji manismu” itu agak  istimewa kerana  pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, telah di beri penghormatan untuk berucap di depan ratusan ribu penyokong PAS dari seluruh negara  mewakili kelompok artis. “ Bimbinglah kami, jangan pandang serong kepada kami golongan artis” kata Aishah dengan sayu.

Pertama kali saya  hadir mengikuti ceramah panyanyi Dayangku Intan  di kg. Mahligai dalam Dewan Undangan Jelawat, Kelantan, saya teruja dengan kata-katanya yang sangat menyentuh nurani.

Kerajaan yang dipimpin UMNO/BN melayani rakyat seperti seorang kaya  yang sombong  melayani orang  miskin. Mereka berasa bangga bila dapat menghulurkan sedikit wang kepada orang miskin dan diketika yang sama menyuruh si miskin tadi menuruti segala kehendak mereka.

“Benar, walaupun kita orang miskin, tapi  ada maruah. Saya bukan menolak pemberian BR1M (RM500) dan lain-lain bantuan. Ambillah…, kerana itu wang kerajaan, tapi jangan meletakkan taraf rakyat begitu hina, sehingga boleh dibeli dengan wang ringgit”. Kata Dayangku dengan penuh kesal.
Menyertai  PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem epik Melayu Leftenan Adnan, Hairie Othman bahkan beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun.

Namun bagi  Hairie, keputusan yang dibuat  adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan  selepas menyertai PAS.

"Mahu  masuk UMNO ramai yang berani.  Mahu  masuk PAS harus berfikir  semasak-masaknya.  Mahu  makan apa? Tapi saya  yakin yang memberikan  rezeki bukan Barisan Nasional  tetapi Allah SWT.  Saya dapat rasa dan saya benar-benar yakin" ujar beliau ketika berucap dalam forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor atau Kerana Prinsip? anjuran Akademi Pak Sako di Dewan Himpunan Cina KL-Selangor.
Hairie telah menyerahkan  borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Program Himpunan Hijau dan Ceramah Perdana  yang berlangsung di Taman Dahlia, Johor Bahru (29 Jun 2012).  
Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan kondisi  ini seperti sudah dijangka namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain Hairie turut  menyertai PAS ialah  Leman Raja Lawak dan  pelakon drama Zulkifly Ismail.
Ada yang mencemoh, kemasukan artis dalam PAS diperbesar-besarkan, walhal artis yang menyertai UMNO lebih ramai. Dakwaan itu tak dinafikan. Pelakon  veteran Tan Sri Jins Shamsuddin merupakan artis yang mendapat penghormatan dari pemerintah sehingga dilantik senator. Cuma bezanya artis yang bergabung dengan PAS sekaligus merelakan dirinya mengalirkan keringat  untuk perjuangan Islam  dengan turut berkempen memenangkan parti itu tanpa dibayar.
Penghijrahan  tak lain kerana kesedaran berpolitik mereka cukup tinggi, rasa tak puas hati kepada  UMNO/BN sudah tak tertahan lagi. Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN kepada rakyat, contohnya menafikan hak rakyat Kelantan ke atas royalti minyak, sehingga tergamak mendaratkan minyak melalui  Thailand (Songhkla) yang jaraknya 270 kilometer  berbanding 150 kilometer daripada pantai Bachok, Kelantan, membuka mata rakyat Malaysia di atas penkhianatan mereka kepada orang Melayu yang majoriti di Kelantan.  
Begitu juga dengan projek lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. Menurut perlembagaan tanggungjawab   membina lebuhraya adalah dibahu kerajaan pusat,  tapi tak dilakukan,  sedangkan lebuhraya itu sangat penting. Pusat telah mendiskriminasikan hak  rakyat Kelantan yang 95 peratusnya Melayu. Justeru Kerajaan Kelantan mengambil keputusan membina sendiri lebuhraya tersebut. Anehnya,  inisitif kerajaan PAS Kelantan itu menjadi bahan sindiran UMNO.
Kezaliman yang dilakukan UMNO/BN itu rupanya telah membuka mata golongan professional termasuk artis menyertai perjuangan PAS. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad : Yang cerdik  masuk PAS!
Artis menjadi ahli politik sebenarnya bukan aneh, di negara luar seperti India, ramai bintang filem Bolywood yang terjun ke gelanggang  politik bahkan ada yang bergelar wakil  rakyat. Di Indonesia Raja Dangdut Oma Irama pernah bergabung dengan Partai PPP sehingga pemerintah Orde Baru (Suharto) melarang Oma Irama tampil di TVRI selama 11 tahun. Pada pilihan raya Indonesia 2004 Oma bergabung dengan  Parti Kesejahteraan Rakyat (PKS), sebuah parti  kolosi dengan partai Demokrat membentuk kerajaan yang sekarang dipimpin SBY.

No comments:

Post a Comment