Oleh: Rossem
Musim bola sepak piala dunia 
bermula.  RTM membelanjakan RM30
juta  untuk menayangkan  siri perlawanan sukan berprestej itu dari
gelanggannya di Moscow, Russia. Sudah dimaklumkan  RM30 juta itu bukan wang kerajaan tetapi
tajaan.  
Indonesia menyebutnya sepak bola, Malaysia bola sepak.  Tak kiralah telor ayam atau ayam telor,  kereta api atau api kereta, realitinya
bolasepak  permainan paling diminati di
planet bumi tak kira siapa, orang berkulit putih, hitam, sawa matang, kuning
langsat, berkain sarung, jubah, kimono dan seluar  patlun. 
Membaca menolog penulis terkenal Indonesia, Putu Wijaya  (Harizon 2016), suatu hari  (kononnya) beliau diundang memberi ceramah
motivasi kepada sekumpulan orang-orang gila di hospital  Psychiatri (mental)
di kota. Dalam dewan yang dipenuhi 
ratusan orang gila itu, Putuwijaya memulakan ucapan “ Hari ini saya
hendak beritahu anda semua yang berada  dalam dewan ini  bahawa sebenarnya anda tidak gila. Yang
gilanya orang  di luar sana”.  Mendengar itu, orang-orang gila
bertepuk tangan- gembira!   Lalu
Putuwijya melanjutkan ceramah dengan memberi 
contoh mudah -  permainan bola
sepak dengan  22 pemain berkejaran
berebut bola yang satu. Kalau bukan gila, itu apa?  Setiap
kali bola ditendang ke gawang lawan, 
ribuan penonton yang memenuhi stadium bertempik, bersorak.  Kalau bukan  gila,
itu apa?  Orang-orang gila terus ketawa.  “Rupanya kita tak gila, yang di luar hospital
itu gila”. Berbisik  salah seorang gila yang duduk di kerusi hadapan
kepada sahabat gilanya. 
Jauh dari Moscow, di Malaysia,
bola sekarang  di kaki Tun Dr Mahathir
Mohamad!
Tentang pintu
Asal namanya  rumah
mesti ada pintu.  Minimum dua pintu.
Depan dan belakang. Tetamu masuk melalui pintu hadapan, tuan rumah boleh pilih
mana pintu ia suka. Orang Melayu mengambil berat tentang pintu. Maghrib tutup
pintu. Anak dara  jika mahu keluar rumah,
sedang di hadapan ada tetamu,  keluar
guna  pintu belakang.  Jika tetamu bertandang,  kopi, gula kehabisan, tuan rumah  perlahan-lahan keluar ikut pintu belakang
atau pintu dapur pergi  ke kedai  berhampiran beli kopi, gula. Sorok agar
tidak  dilihat tetamu.  Air muka harus dipelihara. Itu budaya
Melayu.  Hebat!
Seniman agung P. Ramlee (Allahyarham)  pernah bikin filem dengan judul pintu- Ahmad
Al Bab (Ahmad Pintu). Bayinya menangis tak berhenti,  bawa jumpa doktor dan dukun , namun  gagal memberhentikan tangisan, kemudian  datoknya (AR Tompel)  menepuk-menepuk  daun pintu, 
tangisan pun reda. 
 Sang sufi
Nasarudin Hodja berpesan kepada isterinya tatakala  ia berpergian “ Selama aku tiada, jaga pintu
baik-baik”.  Sebagai isteri yang taatkan
suami, bila ke pasar pun dibawanya pintu bersama. “Wahai isteri Nasarudin,
kenapa kau bawa pintu ke pasar, bukankah itu menyusahkan kamu?” tanya orang
ramai kehairanan. “ Suamiku berpergian, berpesan, diminta aku jaga pintu, ke
mana sahaja aku pergi, pintu ini akan aku bawa”. 
Sufi terkenal, Hamzah Fansuri mencari Tuhan di pintu kabaah,
tak jumpa. Akhirnya jumpa Tuhan di pintu rumah. Yang bersalah, sejuk kaki
tangan bila pintu siasatan dibuka, lebih sejuk lagi takala  memasuki pintu mahkamah seterusnya pintu
penjara. 
“Ya Allah, bukalah pintu taubat untukku, bukalah pintu
rezeki untukku,  tutuplah pintu neraka
bagiku” Dalam doa juga menyebut pintu. Remaja bercinta juga  menyebut pintu “ pintu hatiku terbuka lebar
untuk kau masuki”. Di dunia yang fana ini, pintu terakhir bagi makhluk bernama
manusia ialah pintu kubur. 
 Islam juga ada   banyak pintu.  Siasah (politik) juga pintu.  Ramai orang memasuki  melalui pintu ini.  Tetapi Islam melarang   seseorang
memasuki  pintu sesuka hatinya.  Ia mesti masuk melalui pintu tahuhid!. 
Tentang sayangkan
pemimpin
Apabila Julius Caesar dibunuh rakan karibnya Brutus. Orang
bertanya Brutus “Kenapa berbuat demikian?” 
Jawab Brutus “ Bukan aku tak sayangkan Caesar, tetapi aku lebih
sayangkan Rom”. 
No comments:
Post a Comment