Saturday, October 31, 2020

Buku YANG DILUPAKAN

 

Baca buku "Yang Dilupakan" untuk mengenali siapa perlu diingat.

PENGHASILAN atau pencipta kartun yang juga dikenali dengan kartunis, jarang menggunakan nama sebenar mereka. Kadang-kadang nama yang menjadi panggilan dan sebutan harian lenyap terus dari pengetahuan ramai.

Kesian ibubapa susah-susah cari nama, sampai minta "syufaat" Tuan Imam atau Tuan Guru untuk dapatkan nama yang membawa maksud baik tetapi tidak dihargai?

Kartunis seperti juga kebanyakan penulis, suka menggunakan nama pena atau nama samaran. Sebab itu ada kartunis yang kita tidak tahu apa nama sebenar mereka.

Mengenai nama samaran ini ada dua keadaan kenapa ia berlaku, pertama penulis tidak senang dengan nama asal mereka, kononnya tidak glamour, kedua mahu menyembunyikan identitas daripada orang ramai.

Kebanyakan penulis dan sasterawan yang lahir di zaman kolonial menggunakan nama pena agar ia tidak dikesani oleh penjajah. Antaranya Usman Awang menggunakan nama Tongkat Waran, Ishak Haji Mohamad dengan nama Pak Sako, Hantu Raya, Kamaluddin Muhammad, Kris Mas dan ramai lagi.

Berbeza kartunis dengan para penulis. Seorang pencipta kartun lebih dikenali dengan watak kartun ciptaanya. Nama mereka, baik nama sebenar atau tidak, ia sinonim dengan watak kartun mereka. Selalunya seorang kartunis mempunyai satu watak khusus yang menjadikan identiti atau IDnya.

Misalnmya kartunis Lat, atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, disenonimkan dengan watak utamanya, dalam siri keluarga Si Mamat. Begitu juga degan kartunis lain.

Ketika mengunjungi Kang Rossem di BKR.
Hal ini berlaku kepada semua kartunis di seluruh dunia. di Jepun beberapa kartunis atau pencipta kartun tidak dikenali nama sebenar mereka sebaliknya ia dirujuk kepada watak yang diciptanya.

Yoshito Usui dikenali dengan watak kartunnya Crayon Shin Chan, Akhira Torayama dikenali dengan watak Dragon Ball, Masashi Kishimoto lebih dikenali dengan Narita, Gosho Aoyama orang lebih mengenali wataknya kartunnya, Detektif Conan, begitu juga Fujiko F Fujio orang lebih mengenal watak Doraemon.

Kelaziman itu tidak terkecuali kepada Rosidi Semail, atau Rossem juga ada watak atau IDnya sendiri dalam dunia perkartunan. Konstabel Jabit adalah watak atau pun ID bagi Rossem, atau saya memanggilnya Kang Rossem. Bagi peminat kartun "lereng" dalam Utusan Malaysia siapa yang tidak kenal dengan Konstabel Jabit, konstabel ciptaan ini lebih dikenali daripada sang penciptanya Rossem.

Mereka yang membaca Utusan Malaysia tidak asing dengan Konstabel Jabit, medan mainannya di dalam akhbar itu. Sebut Rossem orang akan teringat kepada Jabit. Belum tentu orang akan mengingati Jabit kalau sebut Rosidi Semail, tetapi kalau sebut Jabit ia akhirnya akan menemui Rosidi penciptanya. Nah, begitulah mesra dan akrabnya kerunis dengan nama watak-watak atau cerita digarapnya.

Buku baru Rossem.
Dalam catatan ini saya tidak mahu menulis Rossem dengan dunia karikatur kartunnya. Saya sendiri pada awalnya, khususnya sebelum Reformasi 1998, tidak begitu mengenali dengan Rossem dan sejarah kehidupannya masa lampau.

Saya ingat saya mengenali dan mendekati Kang Rossem  kira-kira 20 tahun lampau, sewaktu meletus perang Reformasi. Rossem muncul dengan karya karikatur dan satira politiknya yang mengkritik politik rakus dan bersimpati dengan pahlawan yang dijeruk.

Penglibatan atau gerak aktif Rossem dalam memancukkan tinta kartunnya lebih luas dan global lagi sesudah Reformasi. Mindanya juga menjadi luas dan kritis apabila beliau menuangkan idea kartunisnya, karikaturnya ke dalam gelanggang politik.

Sedar atau tidak, Rossem menjadi sebahagian penggerak Reformasi yang dinyalakan Anwar Ibrahim kemudian dihidupkan oleh rakyat, para sasterwan, wartawan, artis, seniman dan lain-lainnya. Rossem berpidato mengempen dan berceramah politik melalui karikaturnya di medium alternatif, seperti akhbar Harakah, majalah Tamadun, Siasah dan lain-lain.

Kepada seisapa yang belum mengenali Kang Rossem apa lagi mengetahui titik nipis dan titik tebal perjuangannya, boleh mencarinya dalam setiap karyanya. Hari ini nama gabungan anak bapaknya ini, Rossem  tidak asing lagi. Lelaki yang sedikit agak pendiam, kini sudah menjadi sebutir bintang di antarta ribuan bintang perkartunan dunia.

Karya beliau bukan sahaja disebut, diketawa difahami, diinsafi oleh penikmatinya dalam negara ini tetapi di seluruh dunia. Kewujudan Balai Kartun Rossem (BKR) telah mengorbitkan beliau dan industeri kartunis Malaysia di peta dunia. Kejayaan BPR menganjurkan beberapa siri himpunan kartunis bertaraf dunia seperti Pameran Kartun Antarabanga 2019 dan lainnya.

Perihal buku Yang Dilupakan.
Apa yang hendak saya perkatakan disini ialah perihal kehidupan Rossem dari alam lain. Alam jihad dan tanggungjawab fardhu kifayahnya yang lebih awal untuk membela tanah air. Atau pun alam yang bergerak seiringan dengan minat dan bakatnya yang semujadi dalam melukis.

Sebelum beliau menyampaikan mesej siasahnya menerusi pidato dan lakaran watak-watak kartunnya atau pengamatan (eksploitasi) isi alam, Rossem adalah seorang pahlawan negara. Beliau boleh dianggap rakan sepasukan dengan wira-wira negara yang menjadi lagenda, Leftenan Adnan, Sarjan Hassan, dan sebagainya.

Rossem adalah anggota pasukan keselamatan dalam Pasukan Polis Hutan. Terlalu tinggi mungkin untuk memacakkan nama Kang Rossem bersama wira-wira pertiwi itu, tetapi disaf itulah juga Kang Rossem berdiri sejak tahun 1969 hingga 1993 setelah bersara wajib kemudian memasukkan belantara baru dunia kartunis dan journalis.

Kepada yang sudah mengagak awal tentu boleh tahu, apakah kerjaya Rossem apabila meneliti dan membaca perwatakan dalam siri Konstabel Jabit. Jabit adalah batang tubuh dan roh Rossem sebenarnya yang diangkat ke atas kertas dengan bersahaja, serius, lucu, pesimis. Itu adalah dirinya dan rencah serta rempah ratus yang dilaluinya.

Kita akan jadi lebih "purnama" lagi mengenai diri kang Rossem ini dengan terbitnya buku kecil berjudul "Yang Dilupakan - Kisah Benar Menjejaki Pengganas Komunis". Buku ini suatu kisah benar dan memori beliau menjejak pengganas Komunis yang diterbitkan September 2019. Ini saya kira karya terbaharu Kang Rossem berbentuk buku disamping beberapa karatkur lainnya.

Saya menerima buku itu ketika mengujungi Balai Kartun Rossem (BKR) Ahad lalu. Menjadi rutinnya Kang Rossem akan menghadiahkan buku barunya kepada saya. Walaupun saya perlu memaksnya untuk menerima bayaran, tetapi beliau tetap menolaknya. Tidak mengapa, catatan ini adalah sebagai imbuhan dan royalti buatnya. Saya berharap sesiapa yang membaca apresiasi ringkas buku ini akan cuba memiliknya. Harganya cuma RM20, ternyata tidak sepadan dengan kandungannya.

Bagi yang malas atau berat mata dan diri untuk membaca buku-buku kerana sudah dipengaruhi dengan penulisan dalam media sosial yang ringkas, menggunakan bahasa slanga yang entah-entah, mungkin tidak jadi masalah untuk menghabis buku Kang Rossem ini.

Buku ini, muka suratnya hanya 110 sahaja termasuk 15 keping foto "tempo lama", memaparkan aktiviti dan aksi Kang Rossem semasa berkhidmat nan cukup nostalgik. Jadi buku ini boleh dihabiskan kurang daripada dua jam.

Sesiapa mejamah buku ini dan mahu meloloskan diri daripada kesibukan dan kerencaman media sosial, FB, Twitter dan sebagainya, pasti akan sanggup menyudahinya kerana bentuk penulisan yang menarik. Bahasa Rossem mudah, ringkas dan "kentok". Membaca buku ini seperti kita ikut sama mengekori perjuangan, operasi pasukan keselamatan kita khususnya ketika menentang pengganas Komunis khususnya menggempur Rejimen Ke 10 Parti Komunis Malaya (PKM).

Balada digarap dengan menyelitkan berbagai unsur, dengan neratif lancar dan mudah. Ada kisah-kisah atau episod yang dramatik. Dan sebagai seorang kartunis Rossem tidak dapat lari daripada menyelitkan elemen lucu dan menggelikan. Seakan elemen humor itu untuk mengendurkan rasa tegang semasa tertekan menjalani operasi bahaya.

Beberapa cerita atau kisah dialaminya cukup menghibur dan bersifat informatif. Rossem dalam menulis memberi maklumat mengenai suka duka dan pahit maung sebagai seorang pasukan keselamatan dan pemilihan bahasa klasik digunakan boleh manambah perbendahraan kita. Satu perkataan yang kerap dipakai ialah "kumuh" atau "komoh" yang bermaksud buruk, cemar dan huduh.

Kisah-kisah lucu bersifat kartun pula, diselit menjadikan kita terhibur membaca buku ini seperti melihat dan mentafsir karikturnya. Antaranya, macam mana beliau menceritakan kisah seorang Polis Thailand yang sanggup menyunati anunya kerana tergila dan mahu kahwin dengan gadis Melayu di Weng kerana itu syarat bapa si perempuan. Sebelum sunatannya sembuh elok, polis itu sudah diijab kabulkan. Apa yang tidak terbayang macam manakah polis Thai itu melayan malam pertamanya dalam keadaan anunya belum sembuh?

Satu lagi kisah lucu terdapat dalam buku ini, macam mana rakan penulis terpedaya dengan keramat dan kehebatan "Raja Kayu" yang ditemberangkan oleh seorang penduduk pedalaman di Bako Sarawak. Kononnya jika memiliki Raja Kayu itu semua binatang akan takut untuk mendekati kita. Malangnya sesudah memiliki kayu itu dengan bayaran agak mahal takala disudi kepad anjing, anjing bukan sahaja takut bahkan cuba menerkam pemilik Raja Kayu itu.

Ada juga cerita kemanusiaan lain turut sama dinaratifkan. Seorang budak lelaki yang beribu tiri menyusup masuk ke dalam kubu pertahanan pasukan Rossem. Bocah itu seakan terbiar dan melarat bila mana tubuhnya kurus apabila diberi makan hanya sekepal nasi dengan berulam pucuk kayu. Bocah malang itu akhirnya tinggal bersama-sama pasukan Rossem, terpaksa walaupun mengikut prosudernya salah. Bocah itu kemudian dibawa keluar daripada hutan itu di Gua Musang ke Kota Bharu yang dihanyutkan dengan rakit kemudian dipelihara oleh seorang anggota Polis.

Selain kisah itu ada juga kisah seekor kucing liar yang merayau dalam kubu pertahanan Rossem dan pasukannya. Kucing itu dianggap misteri kerana tidak bertuan dan berperangai aneh apabila suka menghidu copong senjata. (Ah teringat pula kepada Sudin Chua Pong).

Selain kisah lucu buku berwana merah darah berukur 7 3/4 x 5 inchi itu juga menyelitkan kisah trajis dan sedih. Penulis menceritakan seorang rakan sepasukan Rossem hilang ghaib di sebatang sungai di Pos Belum ketika sedang mandi. Sampai akhir rakannya itu tidak dapat dikesani dan dikhuatir mati lemas dihanyut air.

Kesimpulannya buku ini sangat menarik dan dramatik sekali. Penuh dengan maklumat dan sarat  dengan pengetahuan, kehidupan suka duka seorang prajurit di dalam hutan kerana mempertahankan setiap inci tanah air daripada dicerobohi. Dan kita tahu Rejim Ke 10 PKM adalah ketumbukan Komunis Malaya yang disertai oleh orang Melayu. Saya tidak terfikir macam mana orang Melayu, satu pihak dari pasukan keselamatan dan satu pihak dianggap sebagai musuh sesama satu bangsa dan satu agama boleh berlaku.

Di sinilah apabila tidak ada kata sepakat, tidak ada persefahaman dan masing-masing terpengaruh dengan ideologi masing-masing, kata putus dan titik persefahaman tidak dapat ditemui akhirnya kedua pihak bermusuhan dan terpaksa berlawan sesama sendiri sampai menemui ajal. Demikianlah kalau "tali" agama dialpakan.

Sejujurnya buku ini yang menurut catatan Kang Rossem ia adalah olahan daripada skrip (buku) asal  berjudul "Diari Seorang Konstabel" boleh dibedah dan diolah lebih menarik lagi. Buku ini boleh diadaptasikan menjadi sebuah filem atau dokumantari perang klasik dan dilatarkan konflik antara dua kumpulan berasal dari rahang bangsa dan nur agama yang sama.

Mungkin molek juga kalau Kementerian Pertahanan memberi dana khas kepada Rossem atau mana-mana pihak yang ingin mengadaptasikan buku ini menjadi sebuah filem atau pun diolah menjadi novel sejarah yang boleh dipergunakan untuk tujuan kajian dan penyelidikan.

Semoga tidak ada sesiapa tercicir untuk membaca buku "Yang Dilupakan" ini agar kita tidak melupai kepada sesiapa sahaja yang pernah berjaya dan sedang menaburkan jasa kepada negara.

Kepada Kang Rossem tahniah di atas penerbitan buku ini, semoga Kang terus diberi kesihatan dan berjuang dijalan Allah. Horas. [wm.kl.12:00 pm 30/10/19]

Sunday, August 30, 2020

 

MENYUSURI MAKNA KEMERDEKAAN

Teringat Benteng

Tempat menjamu selera  paling popular tahun 1980an

Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir pucat

Dan jika bernasib baik

Di hujung bangunan usang

Dapat melihat Wak Khalid jual ubat

(Al fatehah buat sahabatku yang pulang dahulu)

Teringat kata-kata segar Wak

“ aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”

Sekarang baru sedar

Tajamnya kiasan seorang Khalid Salleh

Olehkerana kita malas menjual bahasa

Bahasa ibunda menjadi melukut di tepi gantang

Bahasa Inggeris dibeli orang

Konon dengan bahasa penjajah

Anak bangsa menjadi cerdik seperi orang putih

 

Kemudian ke jalan Tunku Abdul Rahman

Menunggu bas Serijaya, tak kunjung tiba

Bas bertulis Town Linner bertali arus

Oh, rupanya aku silap

Nama bas sekarang sudah bertukar

Dari nama Melayu kepada Orang Putih. [i]

Hilang tulisan jawi, datang roman

63 tahun merdeka!

 



 

Teringat Benteng

Tempat menjamu selera  paling popular tahun 1980an

Sambil melihat air Sungai Bonus mengalir pucat

Dan jika bernasib baik

Di hujung bangunan usang

Dapat melihat Wak Khalid jual ubat

(Al fatehah buat sahabatku yang pulang dahulu)

Teringat kata-kata segar Wak

“ aku bukan jual ubat, aku jual bahasa”

Sekarang baru sedar

Tajamnya kiasan seorang Khalid Salleh

Olehkerana kita malas menjual bahasa

Bahasa ibunda menjadi melukut di tepi gantang

Bahasa Inggeris dibeli orang

Konon dengan bahasa penjajah

Anak bangsa menjadi cerdik seperi orang putih

 

Kemudian ke jalan Tunku Abdul Rahman

Menunggu bas Serijaya, tak kunjung tiba

Bas bertulis Town Linner bertali arus

Oh, rupanya aku silap

Nama bas sekarang sudah bertukar

Dari nama Melayu kepada Orang Putih. [i]

Hilang tulisan jawi, datang roman

63 tahun merdeka!

 



 

Friday, August 28, 2020

BALAI KARTUN ROSSEM (BKR)

Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

 

1.       Assalamualaikum adek kakak semua.  Sawadee Krup. Rasanya ramai adek kakak semua tak tahu, di Kelantan ni ada Balai Kartun.  Selama ni adek kakak    tahu -  balai polis, rupanya balai kartun pun ada. Inilah hebatnya Kelantan kita.  Balai Kartun Rossem atau BKR terletak di Kg. Peringat, 12 kilometer dari Kota Bharu. Milik kartunis   Rossem. Buka  sejak   tahun 2014 lagi, sudah 6 tahun doh.  

 

2.       Di BKR ini dipamerkan beratus-ratus kartun dan komik. Karya kartunis tempatan dan luar negara. Kartun lama dan kartun baru. Karya   berusia  50 tahun pun ada. Kartun-kartun itu ada nilai sejarah yang tersendiri.  Masuk BKR ini,  macam  masuk muzium. Inilah Balai Kartun pertama di Malaysia.

 

3.       Kalau mengikut buku pelawat, sejak  dibuka tahun  2014, hampir  10 ribu pelawat datang mengunjung BKR, dari Indonesia, Thailand pun ada.  Pelajar-pelajar univerisit ramai datang buat kajian untuk tesis mereka.

 

4.       Kalau nak mari melawat Balai Kartun Rossem, dialu-alukan, lokasinya taip Balai Kartun Rossem, pakcik Google akan royatlah. Di buka dari jam  9 pagi hingga 6 petang. Hari Jumaat pun buka,  tapi nak datang telefon dulu.

 

 

Friday, June 5, 2020

KARTUNIS EDI DHARMA



Kartunis Edi Dharma asal Jambi, Indonesia, masih muda, peramah dan cepat mesra. Namanya semerbak di seluruh  dunia sebagai kartunis  manpan dan tajam pengamatannya.  Dalam masa kurang lebih dua tahun, memenangi empat kali pertandingan (Lomba) diadakan  seluruh dunia.  Bermula di Malaysia (2018), kemudian di Cyprus, Kroasia (Zagreb) dan terbaru (3 Jun 2020) di Romania.
Tuahnya  bermula di Malaysia, mendapat tempat ketiga dalam acara International Cartoon Exhibitian/Contest  2018  anjuran  Balai Kartun Rossem (BKR), Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu gaya lakarannya, permainan lenggok tari pen tidak semantap sekarang, tetapi   ideanya menampakkan  kedewasaan,  ada sesuatu yang  mahu disampaikan kepada dunia sangat jelas. 

  Setelah keputusan dari para juri diterima,  lantas saya menghubungi beliau lewat wasap- gembira. Dua minggu kemudian  beliau terbang ke Malaysia, melihat kartunnya diperagakan di BKR. Disamping itu  dibawa bersiar-siar di  Kota Bharu hingga ke perbatasan Malaysia –Thailand.  Di perbatasan, hanya  berdiri di tepian sungai Golok yang sempit dan cetek airnya, yang memisahkan dua negara tetangga, melihat Negara Gajah Putih dari kejauhan. 

Tahun 2019 beliau juga terbang ke Turki dan Cyprus , diundang penganjur pertandingan kartun untuk meraikan  kemenangannya (Nombor dua)   dan menenerima honorium serta  sijil.  Tuahnya  terus  melebar, muncul sebagai juara (First Prize)   2nd International Rhubarb Cartoons Contest Romania.

Friday, April 10, 2020

Diari Tua




3 Disember 1974 –Difinasi. 

Kuala Lumpur bergelora,  mahasiswa mahasiwi Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan berdemontrasi, mereka menuntut agar harga getah dinaikkan bagi mengatasi inflasi yang menekan rakyat terutama yang tinggal di desa-desa yang  hidupnya menyembah pokok getah setiap hari. Demontrasi akhirnya bertukar menjadi liar, harta benda kerajaan sepanjang jalanraya dirosakkan. Masjid negara dijadikan tempat berlindung bila polis terpaksa bertindak. 

13 Disember 1974 jam 3.00 petang.

Siaran kecemasan berbunyi. Dengan pantas mengenakan unifom, berkejar ke tempat anggota berkumpul untuk menerima arahan. Kami diarah ke Kuala Lumpur petang itu juga. Balik sekejap ke barrek mengambil barang- barang  diperlukan dan bersalam dengan isteri serta cium anak. 
14 Disember 1974

Tiba di Kuala Lumpur agak lewat, sepatutnya perjalanan memakan masa lima jam terus menerus tanpa berhenti. Kelambatan akibat kerosakan berlaku pada kereta yang dinaiki, dan keretaku meneruskan perjalanan  seperti sekor unta tua yang dipaksa membawa muatan berat.
Sampai di Kuala Lumpur, tinggal di Sekolah Menengah Kampung Baru bersama anggota pelatun lain yang tiba lebih awal. ( Panjang.... sedap kisah ini)

19 JANUARI 1976

Selepas balik dari Gua Musang, empat hari sahaja berada di rumah, belum puas berpanas badan dengan isteri serta mendakap mesra anak- anak, tanpa diduga keluar arahan bergerak segera ke Kuala Lumpur, hati kecil dilanda tanya, apa gerangan terjadi di Kuala Lumpur, malapetaka apa berlaku? Komunis bom lagi ke?.  

Kami diberi masa satu hari untuk mengemas barang -barang keperluan  yang akan dibawa dan keperluan isteri serta anak-anak yang bakal ditinggalkan. 




20 JANUARI 1976

Langit Pengkalan Chepa cerah, walaupun ekor tengkujuh masih ada, matahari pagi bersinar indah. Roda terak dan lori 4 tan bergerak meninggalkan kem menuju Kuala Lumpur. Sore tiba di Kuantan dan bermalam di Bukit Galin sepertimana diatur mengikut jadual.
21 JANUARI 1976

Kuala Lumpur menyambut ketibaan kami sekitar jam 12.30 tengahari.  Suasana panas terik, mobil-mobil berderu deram di jalanraya, sibuk sekali bedasarkan  perkiraan  kami orang  Kota Bharu. Mungkin ramai pekerja keluar makan tengahari. 

Lori memasuki markas Jalan Pekeliling ( Jalan Tun Razak), rumah pangsa 16 tingkat dijadikan markas polis Diraja Malaysia (PPH), kami tinggal di tingkat 16. Pertama kali merasai suasana tinggal di seperti diatas pokok kelapa.  Menjengok ke luar jendela, tampak wajah Kuala Lumpur dengan panorama yang indah sekali terutama ketika malam hari dengan lampu nion berkerdipan. 

Menjengok ke bawah, tiada ruang kosong, semua dipenuhi dengan kenderaan terak, lori dan motosikal yang diparkir di kaki lima  komplek Rumah Pangsa Tengku Abdul Rahman yang dijadikan markas, kini sudah dirobohkan. Di kawasan sesak itu, beberapa bulan lalu,  tragedi hitam berlaku. Anasir komunis melempar bom tangan terhadap  sekumpulan polis yang berkumpul di situ menyebabkan dua anggota tewas, dan lebih 40 orang cedera. Pengganas komunis dikatakan melarikan diri melalui Kampung Siam yang bersebelahan dengan kem dan menghilangkan diri.  Dari tingkat 16 boleh nampak dengan jelas Kampung Siam dengan anggota polis berkawal ketat. 

Di tingkat 16, kebetulan sahabat lamaku Wan Mohamad Dagang tinggal di sebuah kamar di situ. Beliau seorang penyair, pelukis yang saya kagumi,  asal Terengganu dan pernah bersekolah bersama. Dengan ribuan pelajar, hanya denganku sahaja beliau boleh berkawan kerana sifatnya bengis- mudah naik darah. Kelemahannya mudah berdarah  hidung.  Beberapkali ketuk kamarnya,  beliau tiada, gagal menemuinya, sebuah nota lalu ditampal di pintu “ Sahabat lama- Rossem, sakit jari -jari ketuk pintu, wan tak ada”.  

Kami dibahagi-bahagi tugas,  mengawal bangunan parlimen dan Angkasapuri. Pelatunku mengawal bangunan parlimen. Pagi itu bergerak ke parlimen mengambilalih pasukan lain yang akan balik ke kem. Tempat tinggal sudah disediakan, iaitu di sebelah penjuru bangunan parlimen berhampiran rumah Tan Sri Sambanthan. Dari parlimen, pandang sebelah timur tampak dengan jelas Taman Bunga, indah nian panoramannya.

19 JANUARI 1976

Bila tiada tugas mengawal, keluar bersiar-siar di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit  dengan beberapa orang kawan. Di celah-celah orangramai tak sangka terserempak dengan kawan lama yang ku cari- Wan Mohamad Dagang (Mowanda), beliau bersama dengan pelakon terkenal Omar Abdullah, memang sudah mengatahui, beliau berkawan akrab dengan aktor drama dan pengiat teater itu, di mana ada Omar, di situ ada Wan.  Kami diajak minum kopi bersama di sebuah restoran mamak di Chow Kit. Tertarik dengan bahasa Melayu baku yang yang dituturkan Omar Abdullah walaupaun beliau orang Kedah. 

Setelah sejam lebih mengopi, kami minta diri untuk pulang ke Parlimen. Kami berjalan kaki dari Chow Kit ke bangunan parlimen. Tak rasa penat kerana kami pernah berjalan kaki lebih jauh dari itu meredah hutan mendaki bukit. Di tengah jalan, di hadapan banguan Pustaka Antara berselisih dengan pelakon yang ku minati- Hussain Abu Hassan (Allahyarham) berjalan seorang diri, ekor mataku melirik ke arahnya “ wah bertuah, hari ini jumpa dua pelakon terkenal – Omar Abdullah dan Hussain Abu Hassan” ( he he bersambung...)