Tuesday, April 30, 2019

Jangan jadi Qadariah



´”Tiada suatu bencana yang berlaku di muka bumi ini dan yang menimpa diri kamu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (luh fahfuz) sebelum kamu diizinkan ia terjadi, sesungguhnya kerja itu sangat mudah bagi Allah”  - Surah Al Maidah ,22.

Ayat ini salah satu firman Allah yang menolak pegangan  atau kepercayaan sesetengan orang Islam bahawa apa yang yang dilakukan oleh manusia terbit dari manusia itu sendiri, bukan dari takdir Allah. Golongan tersebut dipanggil qadariah, kerana mereka mendakwa manusia  berkuasa penuh  melakukan segala-galanya dan hasil kerja mereka dari usaha mereka sendiri.

Ayat lain pula menyebut “ Sesungguhnya Allah menjadikan kamu dan menjadikan apa yang kamu lakukan”- Al Fuzilat- 96. Manakala dalam surah An Nissa ayat 78 Allah berfirman “ Dan  kalau mereka mendapat kebaikan mereka katakan ini dari Tuhan, dan jika mereka ditimpa bencana mereka katakan itu dari engkau (Muhamad). Katakan semua dari Allah, tetapi (malangnya) mereka itu tidak tahu rahsia setiap ciptaannya (Allah) “

Ayat di atas menegaskan  bahawa semua perkara atau benda di alam ini dicipta oleh Allah, termasuk  apa jua yang dilakukan oleh manusia sendiri. Golongan Qadariah menolak keyataan Allah ini kerana mereka tidak percaya pada kekuasaan Allah yang meliputi segala-galanya. Bahkan dikalangan kita juga secara tak sedar menyebut, nasib masa depan seseorang bergantung sepenuhnya  pada usaha dan fikiran mereka sendiri. Seoalah-olah Tuhan tidak campur tangan  dalam urusan yang dikerjakan manusia. Jika malas belajar sendiri rugi, jika malas berusaha  akan bertemu kemiskinan dan kelaparan. 

Dari satu aspek, memang pendapat itu  benar dan tepat. Tetapi dari aspek lain , pendapat demikian menolak  kekuasaan Allah. Dasar akidah Islam, manusia  bebas melakukan kerja  dan usaha masing-masing, tetapi usaha  mereka boleh berlaku  hanya dengan izin Allah, bermakna hasil usaha mereka ditentukan Allah jua. Takdir Allah dan usaha manusia  adalah seiring dan sejalan  kerana erergi  disebalik usaha   manusia itu sendiri datang dari kurnia Allah.

Orang lumpuh seluruh anggota badan, tiada upaya melakukan sebarang kerja kerana Allah tidak memberi mereka tenaga yang diperlukan, sebaliknya ada juga  orang sehat yang bekerja kuat tetapi hasilnya tak seberapa, kerana Allah membatasi hasil usahanya dengan sebab dan rahsia  yang hanya diketahui  oleh Allah sendiri.