Monday, October 22, 2018

Untuk merubah, mengambil masa



Oleh: Rossem
Ada orang mencemuh menteri- menteri kabinet dari Pakatan Harapan  berusia 6 bulan lembab  dan tak cekap.  Tidak   ada pengalaman. Mereka tentunya membandingkan dengan menteri-menteri dari kerajaan terdahulu. Pembandingan itu sangat  tidak adil, masakan bisa sama;  6 bulan dengan 60 tahun. Namun dalam  politik, kelemahan itu sememangnya dicari. Yang negatif dilambung setinggi pohon  kelapa. 

 Bukan semua tidak ada pengalaman. Hanya menteri  dan timbalan menteri dari DAP, PKR dan Amanah sahaja tak ada pengalaman. Menteri dari BPBM ada yang pernah menjadi menteri kabinet ketika dalam BN,  termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - berpengalaman luas sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah Malaysia.  PH masih bernasib baik. Yang berpengalaman boleh menunjuk ajar.  Yang tak tahu  boleh belajar dari yang tahu. Lumrah alam.  Maka kita terima hakikat itu. 

Fokus rakyat adalah kepada menteri yang dikatakan tak berpengalaman. Sesuaikah mereka di posisi penting itu. Percakapannya dinilai, perbuatannya diperhatikan, termasuk tahap pemikirannya. Menjawab soalan-soalan spontan memerlukan kebijaksanaan sendiri, orang lain tak dapat membantu. Berhadapan dengan wartawan bukan kerja mudah. Wartawan ibarat penjala ikan, hanya ikan yang disukainya sahaja dilibas dengan jala, yang tak mahu, walaupun banyak, dibiarkan berlalu. Berita-berita nagatif  yang dicari. Diolah, ditulis, disiar lewat media termasuk   facebook dan twitter. Seluruh dunia tahu.  Menteri  jenuh menjawab. Sebenarnya itulah  pengalaman  mematangkan menteri.  Patut bersyukur. 

Bukan senang,  bahkan mustahil  untuk merubah  negara mengikut acuan yang  kehendaki PH dalam sekelip mata.  Bukan senang untuk merobohkan sebuah sistem yang telah berakar umbi di dalam seluruh instrument dan segment masyarakat. Bukan senang membina satu sistem baharu di atas timbunan runtuhan dan sampah sarap kerosakan.  Ini bukan perpindahan istana Ratu Balqis dari Sa’aba ke Baitulmuqadis diatas perintah Nabi Sulaiman as terjadi  dalam sekelip mata. Seperti juga kota Rom tidak dibangunkan satu hari.  Pakatan Harapan  memerlukan minimum  tiga tahun untuk menampakkan  hasil perubahannya. 

Presiden Bung Karno  juga pernah menghadapi kondisi sama.  Pada Julai 1945 saat  mempersiapkan kemerdekaan Indonesia, beliau  pernah menyebut; kita akan memerintah negara yang rakyatnya pernah dijajah Belanda selama 500 tahun. Bukan rakyat yang 100 persen sihat dan terdidik. Sebahagian besar menderita oleh  pelbagai penyakit disebabkan  kelaparan, kebuluran. Kita tidak akan menunggu, rakyat sihat baharu merdeka. Dalam kontek Malaysia, jangan tunggu negara tak ada hutang baru nak memerintah. 

Tentang pengalaman, teringat menteri-menteri kabinet pertama Malaya selepas kemerdekaan (1957). Sekelumit pengalaman tidak ada. Tengku Abdul Rahman  pernah menjadi Ketua Daerah (DO). Itulah  jawatan tertinggi  sektur pentadbiran berbanding yang lain -guru, doktor dan peguam.   Rakyat Malaya ketika itu tak  bersunggut, mereka faham menteri tak ada pengalaman. Pembendaraan negara  kering kontang. Pasarana dan kemudahan rakyat tak dapat dibangunkan. Ramai  rakyat mengidap penyakit  taun, malaria. Tiada  kanak-kanak yang tak pernah berkudis pada kaki atau badan. Setiap kampung  rakyat sendiri bangunkan  sekolah secara gotongroyong  agar anak-anak mereka dapat pelajaran. Jawatankuasa sekolah kemudian mencari guru untuk mengajar tanpa gaji. Dua tiga tahun selepas itu baharu  guru-guru  diterima  kementerian pelajaran  sebagai guru tetap dan dibayar gaji. 

Rakyat ketika itu dapat menerima tanpa bersunggut, mengeloh,   kerana tahu, menteri-menteri mereka  jujur dan ikhlas. Berkhidmat demi bangsa dan negara. Malangnya generasi UMNO selepas itu telah berubah. Kepentingan diri didahulukan. Mengejar menterialistik diutamakan. Akibatnya majoriti orang Melayu menolak UMNO. Sebahagiannya pemimpinnya disiasat  SPRM.  Menunggu   didakwa di mahkamah. Terbaru Presiden UMNO Zahid Hamidi dikatakan  memiliki  RM21.25 juta dalam akaun yayasan kendaliannya.  Kewangan diperoleh antaranya dari sumber  mengurus warga asing yang mahu berkerja di Malaysia. Untuk  mendapat wang RM1 ribu sebulan pun merah biji mata bagi rakyat marhaen. 

Dahulu penyokong PKR  berhimpun di mahkamah untuk memberi semangat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang penyokong UMNO  berhimpun di mahkamah sebagai solidariti  untuk Presdien mereka ,Zahid  Hamidi. Dunia benar-benar bagaikan roda pedati.

DI SIMPANG-SIMPANG JALAN 1



Bagus juga bersembang dengan orang politik yang kurang ketaksubannya.  Pagi ini saya beritahu beliau, kampung kita Peringat sudah membangun. Jalan Pasir Puteh dari Pasir Tumboh ke Melor  melewati Peringat dibangun jalanraya 4 lorong bertaraf lebuhraya. Baru siap. Projek kerajaan Pusat. Tentunya perancangan sebelum PRU14. Masjid mukim Peringat dua tingkat sedang dalam proses pembinaan, menggantikan masjid lama, jika hujan tadah besin. Pembinaannya juga  sebelum PRU14 atas  inisiatif YB Tan Sri Hj Annuar Musa –UMNO. Beliau  Ahli Parlimen kawasan ini (Ketereh). Tiap-tiap   pagi Sabtu ada kuliah agama di Medan Ilmu, pasar Peringat, dikendalikan PAS. Jamaahnya dari kalangan muslimat. Di Peringat juga ada stesen TV3, mudah nak beritahu pemandu Grab “kami tunggu di hadapan TV3” . Balai Kartun (BKR) boleh cari dalam google. Yang tak ada ialah  mesin ATM,  ramai bersunggut, mahu berurusan  terpaksa ke Pasir Tumboh- 3 kilometer.  Pam minyak agak jauh sedikit. Namanya pelik- Buruq. Saya pun hairan bagaimana diberi nama minyak  Buruq, sejenis  kenderaan Nabi SAW ke Sadaratumuntha (Israk mikraj). Kesimpulannya semua berperanan- Kerajaan Pusat, Ahli Parlimen, DUN dan warga lokal.

Friday, October 5, 2018

Port Dickson ke Putrajaya, bukan Permatang Pauh



Oleh: Rossem

Cara berfikir, bertindak, membuat keputusan  bagi seseorang tidak pernh statik. Seperti air sungai, ia tak pernah diam. Hari ini di gunung, besok  di kuala. Yang diam membungkam itu air tasik. Manusia tidak seperti air  tasik. Ia lebih dekat dengan air sungai. Berubah-ubah seiring dengan perjalanan usia. Politikus adalah air sungai yang sering berubah. Di kalangan mereka ada yang berubah sederas air terjun Gunung Stung. 

PAS, Haji Hadi misalnya,  saat usianya 30an, keras ucapannya bagaikan helilintar membelah bumi.  Menghentam Umno dalam setiap  ceramah  seluruh negara . Umno thaghut, mati dalam perjuangan melawan Umno mati syahid. Takbir pun bergema, penyokong bagaikan histeria, meremang bulu roma. Amanat pun dicetak, diedar dan ditampal di rumah-rumah. Doa kemusnahan Umno  diaminkan ribuan penyokong PAS  setiap kali solat sunat hajat berjamaah diadakan. Seringnya   di Kelantan. Di stadium dan markas parti. PAS dan doa berpisah tiada. 

Hari ini, pandangan  Haji Hadi terhadap Umno   berubah. Sikapnya tidak seperti dahulu. Umno tidak lagi dianggap musuh politik kepada parti bernuasa Islam itu.  Bahkan bisa berkerjasama, saling undang mengundang  manghadiri majlis Muktamar PAS dan Perhimpuan Agung Umno. Percakapan antara keduanya  senada. Hanya mufakat secara rasmi belum dimeteri. Kata kedua-dua Setiusaha Agung PAS- Umno. Jika menjadi realiti, biarkanlah...yang untungnya bukan orang lain tetapi orang Melayu. Buang yang keruh ambil yang jernih. Biduk lalu kiambang bertaut. Anggaplah masa lalu sebagai sejarah pahit bagai hampedu,  atau medan tempat melatih diri menjadi politikus.  

Sungai yang baik  airnya tidak tinggal diam atau tidak statik.  Ia mengalir sepanjang masa mengelusuri zaman. Pandai mengesuaikan diri dengan situasi dan kondisi, persekitaran dan rentak masa. Haji Hadi adalah sungai hidup. Di pergunungan airnya keras menimpa bongkah batu , tiba di kuala tenang dan menyenangkan.  Hanya sedikit cacat, kepada musuh baru- Pakatan Harapan sikapnya tetap seperti air di pergunungan. Kembali ketika  usia panas  30an. Keras dan membenci. 

Politik matang dan sejahtera. Kita pun terlena dengan nyanyian itu. Dengan slogan itu Umno dan PAS semakin mesra. Seperti negara kuasa besar di zaman perang dingin, Amerika berbaik dengan Rusia kerana muncul musuh baru iaitu China. Apakah PAS yang dipimpin Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tan Sri Datuk Asri Haji Muda, Dr Burhanuddin Al Hilmy dan lain-lain tidak matang dalam berpolitik?. Politik “matang” satu ungkapan berbau keegoan!. Menafikan kebolehan tokoh-tokoh lama dari aspek kepimpinan. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sama. Era kekuasaannya  selama 22 tahun (1981 - 2003) sikapnya seperti sungai di pergunungan. Airnya deras dan merempuh apa saja. Tetapi berubah saat usia tua bangka. Pergi ke mahkamah, menjengok sosok yang pernah  beliau penjarakan. “Marilah kita sama-sama menyelamatkan negara, lupakan sengketa lama” Kata Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu Dr Mahathir usianya 92 tahun.

Lalu kita pun melihat perubahan Mahathir amat ketara. Berbaik dengan musuh politiknya. Mungkin orang beranggapan; dalam politik musuh satu saat akan menjadi sahabat, sahabat akan menjadi musuh. Namun pada saya faktor usia juga berperanan, selebihnya adalah kebetulan. 

Dunia  sedang memerhati, apakan benar, seperti dijanjikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan  Dr Mahathir pada Mei 2020. Debaran itu semakin terasa . Jalan ke Putrajaya sudah dibuka.  Auara pantai peranginan Port Dickson yang nyaman dan pusat latihan tentera  tertua di Malaysia menjadi titik mula perjalanan seorang politikus kontrovesi.  Barangkali di situ “ tuah” Anwar, bukan kampung halamannya Permatang Pauh. 

Jika Allah mentakdirkan, Anwar menjadi Perdana Menteri pada Mei 2020 ini, hakikat  simboliknya Dr Mahathir telah mengembalikan “mahkota” yang seharusnya menjadi milik Anwar lama  dahulu. Hanya perjalanan sahaja penuh liku dan selikuh tajam. 

Lalu teringat akan kisah Nabi Sulaiman  a.s .   Ketika Nabi Sulaiman a.s memutuskan untuk membelah tubuh si anak yang jadi perebutan, ibu yang pertama menyetujuinya sedang ibu yang kedua memilih mengalah kerana  dia tak sampai hati melihat anak itu "terbelah", melihat itu Sulaiman memutuskan menghukum si ibu pertama kerana  dia lebih mementingkan keinginannya untuk memiliki si anak,  tanpa perduli anak itu terbelah, hidup atau mati. Nabi Sulaiman lantas  memberikan si anak kepada ibu kedua kerana  ibu kedua lebih memilih mengorbankan keinginannya untuk memiliki si anak agar si anak tidak tebelah dan hidup. Dalam politik juga harus berfikir seperti  Nabi Sulaiman a.s .