Monday, November 30, 2015

Beras, bah kuning dan mantan Melayu




Oleh: Rossem

“Mulai tahun depan, beras Nasional naik harga” Kata penjual runcit beras di kedai Beras dan Padi Negara (Bernas) depan rumahku ketika kelmarin datang membeli sekampit beras Malaysia. Harga sekampit seberat 10 kilo RM17. Berbanding dengan beras lain harganya sehingga RM30, justeru beras Nasional satu-satu beras paling murah di Malaysia, sesuai untuk makanan golongan berpendapatan rendah, walaupun rasanya kurang enak.

 “Mulai 2016 kerajaan menarik balik subsidi untuk beras Nasional, maka pengilang terpaksa menaikkan harga jualan” kata si penjual beras. “Namun harganya belum ditetapkan. Masih ada  sebulan lagi”. Sambung penjual beras.  Sambil melangkah keluar dari kedai, teringat kata-kata yang pernah diucapkan seseorang, pemimpin Malaysia  memang  tanpa telinga. Justeru tak mendengar rintihan rakyat. Kenaikan harga barang tak sepadan dengan kenaikan pendapatan harian atau bulanan isi rumah.

Beras adalah makanan asasi rakyat Malaysia. Terdapat pelbagai gred beras di pasaran dengan harga yang berbeza. Dipekkan  dalam dua katogeri, seberat 5 kilo dan 10 kilo. Orang  Kelantan kurang tertarik dengan beras tempatan sebaliknya memilih beras impot  dari Thailand yang kononnya lebih baik. Pelbagai nama dan cap dilebalkan antaranya Burung Serindit, Arnab  dan  Naga. Naga ada dua jenis, naga senyum dan naga  selamba. 

Peniaga beras Siam amat pintar. Beras yang baru diperkenalkan sedap dimakan. Bila sudah popular pelangan pun ramai, sedikit demi sedkit beras itu dicampur dengan beras hancur yang kurang bermutu. Tujuannya mahu mengaut untung lebih. Bagi pelangan pula,  olehkerana sudah terbiasa  dengan jenama itu hendak atau tidak terpaksa belikan juga.

Saya pun faham, sejak dulu orang Kelantan berbangga dapat makan beras Siam. Tetapi mereka tak sedar, beras Siam yang dijual di Kelantan rendah mutunya. Saya pernah makan nasi di restoran-restoran Selatan Thai seperti Narathiwat, Pattani dan Hatnyai mendapati rasa  nasinya berbeza dengan nasi beras siam yang didapati di Kelantan.  Nasi beras siam di Thailand  keenakannya aduhai!.  Andai tanpa lauk pun bisa ditelan kerana cukup rasa  lemak manisnya. 

Cuti sekolah sudah bermula. Saya diajak anak-anak beristirahat semalaman di resort tepian pantai Laut Cina Selatan. Lokasinya tak sampai 200 meter dari gigi pantai, olehkerana kawasan itu telah dibina tembok konkrit anti hakisan, justeru hilang rasa takut akan  ganasnya ombak menghempas pantai di musim tangkujuh. Alangkah terperanjatnya bila mendapati pekerja-pekerja  resort terutama barisan depannya terdiri orang Banggladesh. Lalu terbayang, betapa sukarnya anak-anak bangsaku untuk mendapat pekerjaan. Kera di hutan disusui, anak sendiri kelaparan. Bijak orang tua-tua dulu mencipta pepatah petitih!

Tahun 2015 hanya tinggal   sebulan, kemudian 2016 pula akan menyusul. Bulan Disember setiap tahun banyak mencatat sejarah duka. Antaranya bah kuning menengelamkan  separuh bumi Kelantan. Rumah, ternakan, tanaman rosak dan musnah. Kesannya masih boleh dilihat sehingga sekarang.   Di Gua Musang dan Manek Urai ada lagi  rumah yang masih belum dibaiki.  

Mereka yang mahu membantu berlumba-lumba datang menghulur bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Kain baju, selimut, khemah serta makanan melimpah ruah. Yang membayai pembinan rumah baru mengantikan rumah yang hilang dihayut air atau rosak teruk juga ramai. Antaranya datang membina rumah tanpa memaklumkan kepada Kerajaan Negeri. Mereka yang suka membuat kerja tak beradat ini seringnya dilakukan kelompok politik tertentu dengan tujuan tertentu dan kita pun tahu. 

Musibah banjir yang digelar bah kuning  disifatkan paling teruk pernah melanda Kelantan selepas bah merah (air ulu merah) awal abad ke 19 dan bah tanpa nama tahun 1967. Ramai warga menjadi mangsa dan kemusnahan harta benda tak dapat diungkap dengan kata-kata. 

Tanggal 25 November, di majlis Anugerah Sasterawan Negeri Kelantan 2015 yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu, saya diberikan sebuah buku antologi puisi dan cerpen berjudul “Bah Kuning”. Buku setebal 250 muka surat diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka memuatkan karya 70 penyair dan cerpenis Kelantan dan Terengganu. 

Puisi pertama pembuka kata karya sasterawan budayaan tak asing lagi Datuk A. Aziz Deraman, mantan Pengarah DBP; 

Bencana dalam malapetaka
mungkin di bumi manusia
ada aneka rupa derhaka
hamba lupa akan tuannya
tiada amal tiada ibadat
cara bersaudara putus adat
hubungan dengan Yang Esa
jalinan sesama manusia
bungkam di kaki masa
buruk baik dosa pahala
tanda dua pohon berbeza
tidak teguh akar iman
akidah pun ikut hilang
akhlak tiada dijaga
ukhwah tidak berupa
kerana bercekah berbalah
bangsa berpecah
agama terbelah
ketika banjir besar
manusia jadi nanar
apakah luarbiasa itu bala
kerana bala itu milik-NYA
boleh ada boleh tiada
rahmat disebaliknya.

Dr Fatimah Busu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015.  Anak Kelantan jati berasal dari Kg. Pasir Pekan lahir 1 Januari 1943 pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Penulisan beliau tertumpu pada genre puisi, cerpen, novel, drama dan kajian teks.

Cerpen dan novel yang dihasilkan sarat dengan kritikan pedas tentang  kepincangan kaum kuasawan dalam memimpin bangsa. Bahkan dalam ucapan yang ringkas di majlis itu, beliau menyebut; kita bangsa yang sudah kehilangan Melayu. Sekarang Melayu sudah menjadi “mantan”. Tanah Melayu menjadi Malaysia, Bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan, Sekolah Melayu menjadi sekolah kebangsaan. Hanya yang masih kekal; askar Melayu, baju Melayu, butang baju Melayu. Penghakisan itu angkara elit-elit politik Melayu juga.

 Sekarang memasuki wilayah bulan Disember, di Kelantan hujan mula turun, hanya tak selebat Disember  2014. Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato Haji Ahmad Yakob menyeru rakyat Kelantan mengadakan solat hajat, mohon kepada Allah SWT, agar bah kuning tak datang lagi.

Lutfi, Medan Idaman dan saya




Oleh: Rossem

Sejak  balik Kelantan  hampir sepuluh tahun, datang ke Kuala Lumpur sekali sekala  bila  ada urusan penting.  Saat  jalan-jalan di kota,  melewati  Jalan Gombak, teringat rumah kedai dua tingkat di Medan  Idaman.  16 tahun dahulu, ketika saya tinggal di Batu Cave, Kuala Lumpur,  hampir setiap minggu ke Medan Idaman, menyerahkan lakaran kartun untuk akhbar dan majalah  atau datang untuk sembang-sembang politik semasa. Pilihan kami, di kamar pejabat tingkat satu atau restoran mamak tingkat bawah sambil minum teh tarik dan roti canai.

Ketika itu, tahun 1999, api reformasi sedang  marak. Di jalan raya Kuala Lumpur saban minggu  anak-anak muda berteriak “Undur Mahathir undur”. Media amat berperanan, olehkerana ketika itu belum wujud media baru seperti  facebook, twiter,  blog, maka  akhbar , majalah dan risalah politik pro Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama rakyat. Letak di tangga masjid, berebut-rebut jamaah solat Jumaat mengambilnya.  Apa saja media yang menyokong reformasi  laris seperti goreng pisang panas. 

Ahmad  Lutfi  Othman  yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penulisan politik terjun dalam  gelombang  reformasi  lewat media cetak. Di tangannya  terbit  akhbar mingguan dan majalah seperti Tamadun, Detik, Wasilah. Beliau   bertindak sebagai editor, penulis rencana dan wartawan, dibantu rakan penulisnya Mohd Nor, sekarang bekerja di Harakah.  Rumah kedai dua tingkat di Medan Idaman, Gombak menjadi   tempat operasinya. Lantai bawah kedai buku, sementara pejabatnya di lantai satu.

Akhbar mingguan yang diterbitkan tak punya permit , untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN),  nama tabloid berubah-ubah setiap kali keluaran. Yang tak berubah, karikatur Lutfi  yang saya lukis sedang memegang pen  kekal setiap keluaran diletakkan  sebelah   mashead.

Kecuali majalah Tamadun, Detik dan Wisilah ada  permit.  Iaitu  kepunyaan  Mustaqim Amaludin Darus, putera lelaki pengerak utama PAS dizaman awal penubuhan Parti Islam -Ustaz Amaludin Darus. Beliau sering datang ke pejabat Lutfi. Disitu saya  pertama kali  mengenali beliau.
Lutfi meminta saya menyumbang kartun politik untuk setiap keluaran majalah Tamadun dan Detik. Ada ketikanya  bahkan sehingga semuka penuh. Isu panas yang  digarap    seputar reformasi,  gelombang kebangkitan rakyat menentang kezaliman Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memecat timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim  seterusnya  mengirim ke penjara.  

Selain diminta menyumbang  kartun politik untuk majalah Tamadun dan Detik, Lutfi juga meminta saya melukis kartun untuk setiap keluaran  akhbar tabloid yang diterbitkan  atas nama Penerbitan Pemuda, ada ketikanya bahkan sehingga  tiga atau empat kartun politik pro reformasi dimuatkan setiap keluaran. Tak sukar, Isu politik ketika itu melimpah ruah ,hiruk pikuk politik  memudahkan idea datang mencurah seperti hujan di musim tengkujuh.   Setiap hari, di kedai kopi, di pejabat orangramai berbicara tentang kezaliman Dr Mahathir Mohamad.  Dan Lutfi, sebagai editor sekaligus tuanpunya Penerbitan Pemuda tidak pernah menolak  kartun-kartun yang saya sumbangkan.
Lutfi yang saya kenali adalah seorang  penulis politik yang bermata burung, melihat  “politik” dari kacamata jurnalis.  Ketika berbicara dengannya, Lutfi  mendengar dengan tekun setiap   pandangan  orang lain tanpa mengira anutan politk kepartian orang itu. Namun apa yang ditulisnya, itulah opini beliau sebenarnya. 
 
Selain menyumbang kartun  tetap untuk  tabloid dan majalah, tiga buah buku karya saya juga diterbitkan Lutfi  “Mereka Berkomentar Tentang Anwar” mengandung 180 muka surat berselang seli antara komentar pemimpin negara tentang Anwar Ibrahim berserta  karikatur mereka  (April 1999), dan komik kartun tentang reformasi  berjudul  “ Kartun Politik Semasa- The Lion King (TLK)” .
The Lion King (1999) mengingatkan  akan judul sebuah filem animasi  Barat yang sangat popular  ketika itu, namun The Lion King versi Malaysia karya saya itu sama sekali berbeza dengan TLK Barat.  TLK versi Malaysia  sebuah komik politik yang sarat dengan sindiran. watak manusia  bahkan ditukar kepada haiwan rimba agar lebih tajam  mesej sindirannya.

Dinsman menulis kata pengantar pada komik itu “ Kisah bermula pada suatu hari, segala pembesar negeri Rimbasia berkumpul. Ada mesyuarat tergempar dipanggil oleh Raja Singa.  Ada pengumuman penting akan dibuat.  Segala spises binatang dalam hutan rimba pun berkumpul, Beruang, Buaya,  Kambing, kerbau, katak, arnab, kura-kura, burung, ular,  biawak, siamang, tupai  dan sebagainya. “Tujuan saya memanggil mesyuarat tergempar ini untuk memberitahu kamu semua bahawa timbalan saya Sang Belang sudah dipecat, kerana berkelakuan tak senonoh dan mengaibkan negara Rimbasia”. Kata Raja Singa.

Berita pemecatan itu menggemparkan seluruh penduduk Rimbasia. Mereka tak percaya Sang Belang berkelakuan jahat seperti yang dikatakan Raja Singa. Mereka membantah dan keluar berdemonstrasi. Laungan “Reformasi” bergema  di  hutan belantara Rimbasia. Tetapi sperti yang kita tahu, Raja Singa mempunyai pasukan pengawal keselamatan yang kuat.  Di sini ia digambarkan sebagai pasukan gajah. Maka bayangkanlah gajah-gajah yang berbadan sasa mengamuk sambil menyembur air asid ke arah para reformis melalui belalainya.

Sebuah lagi komik kartun politik diterbitkan Penerbitan Pemuda ialah “Ku Li dijerat lagi” atau The Adventure’s of Ku Lu.  Kisah perjalanan hidup  Tengku Razaleigh Hamzah daripada Umno, keluar Umno, menubuhkan parti  Melayu Semangat 46, kemudian membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS. 

Dalam komik kartun itu digambarkan,  Umno sebuah kapal diberi nama “Flor De La Umno” sedangan belayar meredah samudera yang bergelombang buas. Sebahagian anak-anak kapal  yang diketuai Ku Li   terjun ke laut,  meninggalkan “Flor De La Umno” yang kira hampir tengelam,  membina kapal baru “Semangat46” kemudian ditukar menjadi “APU” bersama PAS. Pada tahun 1990 peperangan laut paling senget berlaku antara armada laut “Flo De La Umno” dengan  armada laut “APU”. Dalam peperangan itu (pilihan raya umum) armada laut “APU” tak mencapai kejayaan yang diharapkan, hanya mampu menawan Kelantan. Malaysia kekal di tangan “Flo De La Umno” di bawah Kapten Dr Mahathir Mohamad. 

Disamping memasarkan komik itu di toko-toko  buku sepertimana dilakukan penerbit buku dan majalah, sebahagian naskah komik “Ku Li dijerat lagi” saya jual sendiri  di tempat ceramah khususnya di Taman Melewar, Kuala Lumpur. Peminat Berebut-rebut membeli sehingga setiap kali ceramah boleh mencercah sehingga RM1,000.  Suatu pengalaman yang sukar dilupakan bersama Ahmad Lutfi Othman. 

Ketika reformasi (1998), kebetulan saya  aktif politik kepartian Kawasan Batu, Kuala Lumpur, pernah mengundang Lutfi ceramah di atas pentas oposisi di Kg Batu Muda.  Fakta-fakta yang dilontarkan ternyata memukau khalayak. Lutfi dengan kebolehannya yang tersendiri sukar diganti.

Rakyat dipaksa untuk senyum



Oleh: Rossem

Kemiskinan tegar-  sifar! Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyebut dalam ucapannya saat pembentangan bajet 2016,  23 Oktober. Apa kayu ukurnya, tak pasti. Yang kita tahu, setiap rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu telefon tangan, kecuali  kawasan kediamannya  tak ada ada rangkaian atau line telefon. Malah yang memiliki lebih dari satu juga ramai, untuk akses internet dan telefon biasa yang harganya sedikit rendah. Kalau itu perkiraanya, memang Malaysia tak punya warga yang berstatus kemiskinan tegar.

Saya pernah melihat seorang peminta sedekah yang duduk bersila di depan pintu bank. Saat melewati lelaki kumuh itu  telefon bimbit  berdering dari sakunya. Segera ia mematikan. Malu juga rupanya kalau diketahui orangramai  memiliki telefon bimbit. Saya beredar, wang seringgit untuk dihulur kepada lelaki itu saya masukkan semula ke dalam dompet. Tak jadi. Hati tak tergerak untuk menyedekahkan kepadanya. Sang peminta sedekah itu bukan dari golongan kemiskinan tegar, kalau takrif “tegar” itu seorang yang  mampu memiliki sebuah telefon bimbit tak kira apa pun jenama.
Setiap rumah memiliki sebuah mesin basuh!  Kalaulah takrif memiliki mesin membasuh pakaian  juga  terkeluar daripada kemiskinan tegar, maka benarlah  seperti kata Perdana Menteri; di Malaysia sudah tiada lagi kemiskinan tegar, kerana  setiap rumah ada mesin basuh. 

 Begitu juga dengan televisyen, setiap rumah ada  media elektronik itu, bahkan memiliki televisyen  berbayar-Astro.  Berbeza dengan tahun 1960an, ketika saya remaja , untuk memiliki sebuah radio pun orang kampung tak mampu.  Orang kaya saja  memilikinya, disitulah tempat kami berkumpul untuk mendengar siaran  radio Malaya.  

Sekarang hampir setiap rumah ada kereta, paling selekeh pun punya motosikal kapcai.  Pak Mat yang kerjanya mengambil upah memetik buah kelapa  dengan menggunakan tenaga beruk  juga menunggang motosikal ke tempat kerja.  Setiap pagi beruknya bertengek di atas motosikal .   Dalam perjalanan Pak Mat  singgah makan nasi berlauk dengan secangkir kopi atau teh panas. Beruknya  tunggu di atas motosikal. Dari dalam  sangkar besi yang dibuat khusus si beruk menjeling tuannya yang sedang sarapan pagi. Kalau kerana mampu memiliki sebuah motosikal  dikatakan sudah terkeluar dari garis kemiskinan tegar, maka benarlah Malaysia sudah sifar kemiskinan tegar.

 Bagaimana ukuran kemiskinan tegar?  Indikatornya ialah pendapatan isi rumah mencukupi bagi membolehkan mereka  memenuhi keperluan asas dari segi nutrisi makanan yang menimum yang membolehkan setiap ahlinya mepunyai tubuh badan yang sihat. Purata garis kemiskinan (2014) untuk Malaysia secara keseluruhan ialah RM950 untuk miskin dan RM600 untuk miskin tegar. 

Pernah berjumpa dengan  rakyat Malaysia yang punya anak ramai dan  masih  bersekolah sedang pendapatan isu rumahnya kurang dari RM1,000 per bulan.  Wang itu juga  untuk bayaran bil elektrik,  bil air dan yuran persemolahan. Dengan harga barangan asas sekarang   tinggi melangit, tak mungkin RM1,000 mencukup untuk menyara keluarga. Itu kalau tinggal di kampung, kalau di kota pasti deman tak kebah.
Kalau rajin masuk ke kampung-kampung, akan bertemu  wanita mempunya lima atau enam anak masih kecil kematian suami atau bercerai,  menjalani kehidupan yang perit untuk membesarkan anak-anak.  Dengan pendapatan bulanan yang sangat menimum pasti kehidupan menjadi sukar. Makan minum tak terurus, pembelajaran  anak-anak terabai. Saya pernah menghadiri  program pemberian bantuan untuk armalah (ibu tunggal) parti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Setiap kali program, dewan penuh sesak dengan armalah, majoritinya pertengahan usia,  datang untuk menerima bantuan yang tak seberapa. Mengambarkan betapa ramainya golongan ini dalam masyarakat. Kerajaan sepatutnya prihatin . Untuk menonjolkan diri mungkin mereka malu kerana bergelar armalah. 

Kejatuhan harga minyak di pasaran dunia menyebabkan kerajaan  mengalih kepada sumber lain untuk menampung keperluan negara.  Sumber paling mudah, tak perlu berfikir panjang ialah GST.  Setiap rakyat bila berbelanja mesti menyumbangkan sebanyak 6 peratus dari perbelanjaan  mereka untuk kerajaan.  Najib ketika pembentangan bajet 2016 amat  gembira kerana rakyat berlapang dada menerima GST yan g diperkenalkan lebih setahun lalu. Bahkan secara sinis, berterima kasih kepada pembangkang, kerana bajet mereka  juga ada GST, menunjukkan GST sudah diterima pembangkang.
Realitinya, sekarang  rakyat hidup dalam keluh kesah dihimpit pelbagai masalah. Kenaikan harga minyak, tol, barangan keperluan sehingga 100 peratus menjadikan rakyat ibarat  senyum di hadapan kamera. Itupun kerana diminta jurugambar.  Hakikatnya rakyat yang berpendapatan rendah  amat tersiksa dengan situasi dan kondisi yang menimpa sekarang.  BR1M yang dinaikankan sedikit itu tak lebih sebagai panadol untuk melegakan sakit kepala sekadar untuk beberapa saat. 

Pemotongan peruntukan untuk kementerian pendidikan tinggi sebanyak RM2.4 bilion. Peruntukan untuk universiti-universiti dikurangkan sebanyak RM1.442 bilion. Antara berita buruk  pada sesi pembentangan bajet 2016.

Paling mendukacitakan, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu  tidak juga dinaikkan taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa. Tak ada disebut dalam Bajet 2016.  Walhal  Lapangan terbang itu antara paling sibuk di Malayisa (selain Kuala Lumpur, penang)  bagi penerbangan domastik. Teringin rasanya mahu menaiki pesawat dari Kota Bharu terus ke Jakarta, Bali, Doha, Bangkok  tanpa melalui Kuala Lumpur. 

Berita menarik seputar politik. PAS terus jadi pembangkang.  Kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.  Umno jangan khuatir, gusar dan gundah gulana, PAS tak berhasrat untuk merampas Putrajaya. PAS insha Allah akan kekal sebagai parti pembangkang yang sifatnya “men erangkan” bukan “meyerang”. Kata Presiden parti Islam itu.