Tuesday, March 26, 2019

Sebuah karya “Kamal Kacak Ori



Buku kartun tentang sesuatu tempat, kota atau negeri, sejarah dan tempat-tempat  tarikan pelancung  tak banyak  dilakar kartunis. Hanya beberapa kerat kartunis sahaja,   antaranya Aza. Beliau sinonim dengan “Jerantut”, Pahang. Kartunis Azmi Hussain atau Me dengan “Tanjong Life” Buku  itu sesuai untuk pelancung  bawa balik ke negara mereka sebagai ole-ole.

 Kelantan khususnya  Kota Bharu juga bisa  berbangga,  kartunis Kamal Nawie  telah melakar  tempat-tempat bersejarah dan tarikan pelancong yang banyak terdapat di sekitar bandar itu dalam bentuk buku kartun yang menarik dan warna warni.  

Buku setebal 58 muka surat itu ada cerita tentang Muzium Diraja Istana Batu, Pasar Siti Khadijah, Menara rehal, Bazar Tuan Padang , Stesen bas tertua di Kelantan, Tokong Mek Tumpat,Masjid Muhammad dan banyak lagi.  Ada keunikan tersendiri .  Ini sebuah karya anak muda  bergelar  “Kamal Kacak Ori” Tak beli rugi.

Wednesday, March 20, 2019

Fattah, skuter dan Bukit Besi



Oleh: Rossem.
Kartunis  melukis kartun tentang diri sendiri tak ramai. Baru-baru ini saya menerima telefon dari Pengarah  Muzium Pengurusan dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, Sintok, Dr Mohd Kasri Saidon, beliau memberikan   beberapa nama kartunis  yang diketahuinya pernah melukis kartun tentang diri sendiri, antaranya  Rejabhad. Katanya; ketika  masih dalam perkhidmatan tentera Allahyarham pernah bertugas di Congo (1960an) sebagai tentera pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu. Suka duka di benua Afrika itu  dijadikan lakaran   kartun dan dibukukan.  Satu lagi  buku “Diari Seorang Konstabel-1987”  kisah suka duka Rossem mencari , memburu , pengganas komunis  di zaman darurat (1970an- 1980an).

Seorang lagi kartunis yang dicarinya  ialah Fattah.  Karya Fattah  berlatarbelakangkan  Dungun tahun 1960an dan 1970an. Zaman pop yeh  yeh dan sebelumnya.  Ada menyebut Bukit Besi dan keretapi.  Bagi generasi sekarang , sangat aneh bila keretapi dikaitkan  dengan  Terengganu.  Satu-satunya negeri  di Semenanjung Malaysia yang tak ada keretapi ialah Terengganu.  Bagaimana Fattah mewujudkan  keretapi dalam kartunnya? . Keretapi  yang  maksudkan  Fattah ialah keretapi  angkut biji besi, bukan keretapi penumpang.  

Skuter   motosikal paling  popular tahun 1960an dan 1970an. Kenderaan ini digilai remaja.  Ketika itu fesyen rambut  menonjol ke hadapan – berjambul macam burung candik,  manakala perempuan rambut  seperti gunung Matterhorn di Switzerland.  Agar  jambul tampak  rapi, kemas,  terpacak  dan   kalis angin, disapu   kapur makan sireh   pada jambul, dijamin selamat dari  tiupan angin saat menunggang skuter.  Seluar pula besar pada bahagian kaki dipanggil  bilbotom.  Suasana yang penuh nostalgia ini digarap oleh Fattah lewat  watak yang diciptannya  A. Mamud. Bagi saya A. Mamud itu adalah Fattah. 

Saya mengenali Fattah awal tahun 1980an, ketika itu beliau  bekerja  dengan  Majalah Gila-Gila (GG). Setiap kali saya mampir di pejabat GG, Flat UDA, Jalan Pantai Baru, bertemu, bersembang dengan Fattah   suatu kemestian.  Fattah  insan  istimewa, kebolehannya luar biasa, lukisannya “asli” . Beliau mampu melukis dalam ”kepayahan”.

Thursday, March 14, 2019

Kelantan lubuk kartunis.



Oleh: Rossem

Sebelum manusia mengenal huruf, Lukisan  dan  lakaran  kartun adalah   bahasa visual paling  awal.  Berilah sebatang pensil dan kertas kepada kanak-kanak seawal usia dua tahun , ia akan menconteng, membuat garisan , titik, membentuk menjadi imej tertentu.   Naluri manusia tanpa mengira usia ingin meluahkan sesuatu yang tersimpan di hatinya.  Justeru,  lukisan  kartun adalah bahasa visual paling mudah. Kartun juga  boleh  mengkritik  kepincangan  masyarakat  dengan  gaya lucunya tanpa menimbulkan amarah. 

Sejarah menunjukan seni kartun di Malaysia   berkembang sejak  era sebelum kemerdekaan. Kartun-kartun  ketika itu digunakan untuk  membangkitkan kesedaran,  betapa pentingnya negara lepas bebas dari penjajah Inggeris.  Kartunis Ali Sanat, misalnya  dengan watak “Wak Ketuk” sering dikaitkan dengan unjuran nasionalisme Melayu dalam usha membangkitkan kesedaran sosial, ekonomi dan politik rakyat Tanah Melayu. Kartun  Allahyarham dimuatkan dalam akhbar Warta Jenaka, Warta Ahad, Utusan  Zaman sekitar tahun  1940an. 

Selepas kemerdekaan  1957, Raja Hamzah (Allahyarham) dengan  kartun  “Dol Keropok”  disiarkan dalam Utusan Melayu  bermula tahun 1958, seterusnya  di Berita Harian. Karya beliau berupa  sindiran tentang  kepincangan masyarakat, budaya dan pemikiran  khususnya orang Melayu ketika itu. 

Dunia kartun Melayu  terus bersinar  dengan kemunculan  Allahyarham Rejabhad  seorang tentera,  Datuk Lat atau Mohd Nor Khalid, Mishar, Rossem seorang  anggota polis Diraja Malaysia, Jafaar Taib, Zainal Buang Hussain, Nan, Kerengge, Juragan, Tazidi, Bor, Roslim, mie  dan ramai lagi.  Karya-karya mereka  penuh dengan sindirian, dimuatkan dalam media cetak, suratkhabar dan majalah.  Mereka adalah kartunis yang tajam pengamatannya.  Datuk Lat bukan saja terkenal di Malaysia, bahkan seluruh dunia. Buku kartun beliau “Kampung Boy”  diterjemahkan ke dalam  pelbagai bahasa  seperti Jepun, Arab, Cina dan  lain-lain. 

Kartun Malaysia terus disemerakkan lagi dengan kemunculan  kartunis lapisan kedua  yang lebih berani dan tajam seperti  Zunar. Kritikannya menjadikan orang bersalah kecut perut. Buku-buku kartun beliau ada yang  diharamkan. Namanya terkenal seluruh dunia. Banyak anugerah peringkat antarabangsa diterima, antaranya “Anugerah Kartun Untuk Keamanan 2016” .

Negeri  Kelantan sering dikaitkan dengan “lubuk penyair”  kerana ramai dikalangan penyair terkenal  berasal dari negeri  Cik Siti Wan Kembang. Kelantan juga  boleh dipanggil “lubuk kartunis dan pelukis  komik  Malaysia kerana  ramai golongan itu   anak jati Kelantan. 

Nor Zaharah Abdullah atau Nora anak  Kelantan, mula melukis komik  pada 1955 ketika berusia 15 tahun.  Komik pertama dihasilkan berjudul “Cik Siti Wan Kembang”, dikuti “Duyung Emas” dan “ Lembah Hidup”.  Beliau sekarang menetap di Kuala Lumpur dan uzur.  Nik Mahmood Idris seorang guru juga  anak jati Kelantan,  melukis komik sejak sebelum merdeka. Dikuti dengan K. Bali lahir di Tendung, Pasir Mas , beliau Cina-Thai yang memeluk Islam dan  Othman Kangkong dari Kg. Kangkong Pasir Mas  (Allahyarham). 

Selepas merdeka muncul  Razali Haji Othman atau Rizalman, asal Tumpat.  Berhijrah ke Kuala Lumpur membuka  penerbitan komik (Raz Studio). Majalah komik terkenal   “Bujal” , Salina” dan lain-lain diterbit sendiri.   Yamin Daud dianggap seorang tokoh besar dalam bidang  penerbitan komik  sekitar awal tahun 1970an  beroperasi di Paya Bemban, Kota Bharu sebelum berpindah ke  Kuala Lumpur. Ramai pelukis komik bergabung dengan beliau , antaranya Hussain Saad (Allahyarham), Rossem, Maarof Awang, Khuzae, Saari A.M  dan Rudi Mahmood.

Abdullah Ibrahim atau Dol berasal dari Kota Bharu, pernah bekerja sebagai pelukis Dewan Bahasa dan Pustaka juga seorang pelukis komik terkenal sekitar tahun 1980an. Ahmad Hilmy atau Mie seorang arkitek , masih menghasilkan  karya kartun sampai sekarang. Kartun-kartun beliau  bertemakan kebudayaan rakyat Kelantan dan dibukukan.  

Datuk Azman Yusof  juga anak jati Kelantan, lahir 1955 di Kota Bharu. Salah seorang pengasas Creative Enterprise Sdn Bhd yang menerbitkan majalah Gila-Gila. Sekarang  dilantik sebagai pelukis Diraja Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Rosidi Semail atau Rossem  kartunis asal Kelantan  yang menempah nama di akhbar Utusan Malaysia (1978- 1993) dengan watak kartun “Konstabel Jabit” , kemudian  bekerja sebagai kartunis editorial akhbar The Sun, Petaling Jaya, Selangor (1993-2001). Beliau dianugerahkan Tokoh Kartunis Malaysia 2017 oleh Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Kuala Lumpur.  Sekarang  beliau mengendalikan “Balai Kartun Rossem  (BKR)”  di Peringat, Kota Bharu. BKR dijadikan galeri tempat menyimpan dan mempamirkan khazanah kartun  dan komik Malaysia sejak era sebelum kemerdekaan hingga sekarang.  Pelajar-pelajar  universiti yang mengambil jurusan seni,  mahu membuat rujukan tentang sejarah kartun dan komik tanahair   boleh datang ke BKR.   

Negeri Cik Siti Wan Kembang tak pernah tandus  dengan seniman kartun dan komik. Generasi pelapis muncul dengan lebih kreatif.  Kartunis Kamal Nawie dan Cas menjadi rebutan.  Dua nama itu dikenali sebagai karikaturis terbaik di Kelantan.

Dalam kontek budaya visual hari ini,  kartunis adalah seniman paling ke hadapan  dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada  orangramai.



Wednesday, March 6, 2019

Catatan pagi


CATATAN PAGI 1

Presiden  Bill Clinton (1993 - 2001) menghadapi tekanan rakyat Amerika  gara- gara skandal  dengan pembantunya, staff Rumah Putih yang  gebu, Monica Lewinsky , Banyak  saya   hasilkan karya kartun seputar  nasib malang menimpa  presiden negara adi kuasa itu. Bukan soal hubungan intim dengan wanita pembantunya  Monica sehingga mengegarkan  negara Paman Sam.  Dalam masyarak Barat (Amerika) hubungan intim  atau hubungan gelap lelkaki perempuan, bahkan berselingkoh pun  lumrah, kain basahan, tak jadi kudis gatal. Tetapi  Clinton menafikan hubungan itu sedang pasangannya Monica mengatakan  benar berlaku.  Clinton kemudiannya dituduh berbohong kepada negara dan rakyat Amerika. Disitu letak duduk  kesalahannya.

Pemimpin politik  jangan sekali-kali bercakap bohong. Menafikan  perbuatan yang ia lakukan sendiri.  Berterus terang  adalah  lebih baik  dari mengatakan ; rakaman itu bukan  suara saya, akhirnya diketahui suaranya.  Kejujuran adalah segala-galanya.