Oleh: Rossem
Ada seseorang  menuturkan “ Pas sekarang memperolehi 18
kerusi parlimen,  parti itu memerlukan
100 kerusi lagi untuk memerintah Malaysia. Kita sudah boleh berangan-angan mulai
 sekarang...”  Saya tak pasti, ungkapan orang  itu serius atau menyinis. Kalau serius fikirannya
sedikit berkecamuk,   usianya  sekitar 20an, politiknya belum matang.
Apa  yang dibayangkan di benaknya  bahawa  PAS hanya memerlukan 100 kerusi untuk ke
Putrajaya.  Mudah bunyinya, tetapi ini
bukan  beli kerusi di kedai perabot. 
Pendapat  “aneh”
seperti ini  sebenarnya pendapat  majoriti  pengundi muda  PAS masakini. Tetapi bagi orang dewasa seperti
saya yang sudah matang dengan selok belok politik Malaysia, 100 kerusi itu
merupakan  sebuah khayalan.  Namun pengalaman “berkhayal” seperti itu, di
zaman muda  dahulu juga  pernah ada, - mengasyikkan, justeru saya tak
marah sangat kepada anak muda yang suka berkhayal.  
Bila kita mengemukakan hujah dan rasional  untuk menyangkal opini   yang
lebih mirip kepada “Mat Jenin”,    dengan nada sedikit tinggi ia berkata “ Akan
berlaku dengan pertolongan Allah” Disergah kita  “ Apakah 
pakcik  tak yakin  pertolongan Allah?”  Bila itu jawabannya, saya mengalah,  membuang masa  berdiskusi 
dengan  si fanatik. 
 Dihari lain, ada seseorang
 cuba membakar semangat di hadapan saya.
“Jika Anwar Ibrahim mahu merampas Kelantan dan Terengganu dari tangan PAS, kami
dari kelompok pemuda  bersiap  siaga menyingsing lengan, menumpahkan keringat
 mempertahankan negeri ini.  “Baru dua hari keluar penjara sudah cakap
besar...Pooooragh”.  Dan banyak lagi
kata-kata menjelekkan Anwar tersembur dari mulutnya. 
 Pendokong PAS itu
merujuk kepada  ucapan Anwar  di hadapan ribuan khalayak  di Petaling Jaya pada malam sehari selepas beliau
mendapat pengampuan Seri Paduka Yang DiPertuan Agung, Sultan Muhammad V .  Dalam pidato itu Anwar menyebut, dua
negeri  - Kelantan dan Terengganu yang dimenangi
PAS pada PRU14 lalu di masa mendatang  akan
kembali ke pangkuan  Pakatan Harapan. 
Golongan   pentaksub hanya melihat  kesalahan orang lain, tak nampak akan
kesalahan sendiri. 
Mereka lupa   Presiden
PAS  Haji Hadi Awang sendiri  pernah suatu   saat
berceramah memperkenalkan calon  PAS  di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota
Bharu  mengatakan  logo PKR 
adalah  manifestasi  dari mata lebam Anwar . 
Hadi seolah-olah  yakin, Anwar tumbuk matanya sendiri sehingga
lebam.   “Mata lebam itu satu lakonan seperti
terdapat dalam filem Tamil”. Demikian kata  Haji Hadi.  Ketika “langkah Kajang” dahulu beliau juga mempersendakan
  Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan
kata-kata yang tak sepatutnya terbit dari seorang bergelar ulama. 
 Kata cerca Haji Hadi itu berlaku ketika Anwar berada dalam
penjara, namun tembok penjara tak 
menghalang  cercaan itu sampai ke
telinganya. Justeru jika Anwar marahkan  PAS pun bisa dianggap wajar dan
munasabah.   Hanya pentaksub PAS sahaja tak nampak
perbuatan buruk dilakukan pemimpin mereka sendiri. Yang dilihatkan hasrat Anwar
(PH) mahu rampas Kelantan dan Terengganu.  Kuman di seberang lautan nampak, gajah di
depan mata tak nampak.
Seorang lagi, kebetulan kawan lama, kami dahulu sama-sama
jentera PAS. Beliau sangat berbangga dengan PAS yang dipimpin Haji Hadi. “
Allah SWT telah membersihkan PAS dari golongan munafik, sekarang munafiqin  sudah keluar PAS . Kini PAS  menjadi wadah yang lebih diberkati” .  Saya diam, tak ada faedah bertengkar dengan
orang seperti ini. 
 Akar umbi PAS
terutama kaum ibu sangat fanatik kepada PAS, mereka beranggapan PAS adalah
satu-satunya parti Islam  di Malaysia,
justeru pilihan mereka  hanya satu;   undi
PAS bererti undi Islam, undi selain PAS bererti undi bukan Islam.  Hanya PAS boleh menyelamatkan Islam di Malaysia. 
PAS berjaya menanam “doktrin”  ini ke dalam setiap hati pendokongnya
melalui  ceramah yang berapi-api, guru-guru
halaqah . Ustaz-ustaz  lantikan politik
ini menyampaikan kuliah  di dataran-dataran
Ilmu yang banyak wujud di Kelantan, juga di 
masjid, surau setiap daerah dan kampung. Pernah  suatu ketika saya mengikuti kuliah guru
Halaqah yang berbicara tentang hudud.  Hebat
penerangannya, sesiapa mendengarnya seolah-olah hudud akan dilaksanakan besok
hari.  Si ustaz ini langsung tidak
menyentuh  tentang perlembagaan negera
dan halangan-halangan   perundangan
lainnya jika hudud itu mahu dilaksanakan di Malaysia, kerana mereka bukan pakar
dalam bidang perlembagaan dan perundangan.  Namun penerangan seperti ini  berjaya membentuk ketaksuban pendokong  PAS. 
Ini adalah sekelumit  
contoh, bagaimana PAS membina  
kekuatan  di Kelantan  sehingga sukar ditembusi parti-parti lain.
Umno hampir 30 tahun mencuba  mengikis
ketaksuban ini namun gagal,  PH juga tak
berjaya  sehingga calonnya banyak hilang
wang deposit.  Benar seperti kata orang,
PAS Kelantan  ibarat gamat di laut,
dipotong-potong , dikerat-kerat badanya ,  kembali bertaut , bercantum dan hidup semula .
Saranan Anwar Ibrahim untuk merampas Kelantan dan Terangganu pada PRU akan
datang tak mungkin tercapai kecuali dengan kebijaksanaan dan pendekatan  luar biasa.  
Game Online Terbaik
ReplyDelete-24 Jam Layanan Terbaik
-Proses Cepat Pasti Nyaman
-Real Player Vs Player No Robot
mcb poker
mcbpoker blackjack
mcbpoker super10
mcbpoker omaha
mcbpoker ceme
mcbpoker ceme keliling
mcbpoker capsa
mcbpoker domino
mcbpoker Bandar Poker IDN
mcbpoker poker