Oleh: Rossem
Saya menulis ini waktu pagi, burung-burung menyanyi
berkicauan, hinggap di ranting dan dahanan kayu yang tumbuh meliar  di sebelah rumah, mencari rezeki kurniaan
Allah,  kemudian terbang berkawan hilang
entah ke mana. Ada diantaranya hinggap ditiang-tiang  bendera yang banyak dipasang  di hadapan rumahku. Pelbagai warna, biru tua,
biru muda dan hijau. Burung tidak memilih warna, sekejap hinggap di
bendera  hijau, pindah   biru tua, kemudian  biru muda. Burung hidup dalam dunianya
tersendiri, ia tak tahu apa-apa seputar   bendera dan warna. Burung hinggap hanya untuk
mencari makanan  yang mungkin terdapat di
celah-celah lipatan dan tiang bendera.
Kalau begitu, apa beza  burung dengan manusia?  Manusia juga suka berpindah dari satu bendera
ke bendera yang lain, dari satu lambang ke lambang yang lain, dari satu warna
ke warna yang lain. Dahulu biru tua, sekarang biru muda, ada juga dari
hijau  ke biru muda (oren). Perpindahan orang
politik, klimnya   atas nama perjuangan
menyelamatkan negara,  namun terdapat
juga  perpindahan demi  “makanan”  seperti burung.  Justeru sebahagiannya tak ada beza dengan
burung. 
Tak tahu siapa  memasang bendera di jalan raya hadapan rumahku.
Sesiapa pun bisa,  kerana tanah kerajaan.
Lima tahun sekali meraikan demokrasi. Kemerihannya mengalahkan hari lebaran. Biarkanlah...
jangan ganggu.  Kerja-kerja memasang
bendera dilakukan lewat malam hari, saat orang lain nyenyak tidur. Tak pasti
samada orang yang sama memasang tiga jenis bendera berlainan. Tiada yang
mustahil.  Janji  dibayar!
Tentang parti politk, ada pemimpin  berpindah randah seperti kabilah. Sesuatu yang
dianggap wajar bagi mereka ,  kerana  air sungai yang sentiasa mengalir mencari
kuala lebih baik daripada  air kolam atau
tasek yang statik , tak bergerak,  lama
kelamaan air menjadi busuk. Makanya 
pemim pin politik  itu untuk
mensucikan dirinya harus mengalir seperti air sungai ! 
Dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad  menjadi Presiden Umno, bila usianya  mencecah 93 tahun  keluar Umno menubuhkan parti  baru – PPBM (HARAPAN). Mohamad Sabu, dari
Timbalan Presiden PAS, keluar  dan
menubuhkan parti baru Amanah. Lama sebelum itu, Almarhum Onn Jafa’ar dari Umno
menubuhkan parti Negara.  Allahyarhan
Osman Abdullah, dari Umno, menyertai PAS, kembali  semula kepada Umno. Tunku Abdul Rahman
Putra  meninggalkan  Umno menyertai Parti Semangat 46. Ibrahim Ali
hilang title “katak” kerana ramai kini 
menjadi katak. 
Almarhum Tan Sri Haji Mohd Asri Haji Muda , di era
kepiminannya  PAS berjaya  mentadbir Kelantan selama 18 tahun,
akhirnya  meninggalkan PAS, menubuhkan
parti HAMIN, kemudian menyertai UMNO. 
Begitu juga Almarhum Dato Muhamad Nasir, Dari Pas, menubuh BERJASA,
sebuah   parti komponen BN. 
Dahulu ada pemimpin PAS yang mengelarkan UMNO  sebagai 
toghrut , penyokong fanatik mereka pun berteriak toghrut. Tak makan haiwan
sembelahan orang Umno,  solat  dua iman, bercerai suami isteri, sekarang pemimpin
itu tak lagi berteriak toghrut,   bahkan melarang  penyokongnya 
mengamalkan politik keras  era tahun
80an.  ”zaman berbalah sudah berlalu. Kita
mahu menjadi penasihat” .
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am
PAS  semasa hayatnya sangat keras
terhadap Umno, sekarang anaknya Nik Abduh 
berusaha merapatkan kembali hubungan PAS-Umno. 
 Saya tertarik dengan
ucapan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Tan Sri Annuar Musa saat beliau
menyampai pesan-pesan khusus kepada pengundi Parlimen Ketereh kebetulan   saya
hadir kelmarin. Saya tersepit diantara perbalahan  Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr Mahathir
Mohamad, Najib adalah ketua saya dan Dr Mahathir mantan ketua saya. Lalu
saya   memilih menyokong kerajaan (Najib).  Setiap kali saya  berceramah menerangkan dasar-dasar kerajaan, GST,
pembangunan yang dilaksanakan dan akan dilaksanankan, khalayak bosan  bahkan ada yang  tertidur. 
Tetapi jika saya memilih sebagai pembangkang, ceramah pasti berapi-api ,
 khalayak akan bertepuk tangan ,
melompat-lompat , sekejap akan menjadi  popular.  Beliau lalu meniru  ceramah pembangkang .  Saya percaya khalayak akan histeria
mendengarnya. 
PRU ke 14 jatuh pada 9 Mei . Kejutan awal pada hari penamaan
calon khususnya di Kelantan ialah putra sulung Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik
Mat (TGNA), Nik Mohamad Omar  ikut
bertanding di atas tiket HARAPAN ( Mata) di DUN Cempaka,   kawasan 
peninggalan almarhum ayahnya TGNA, sementara adiknya Nik Abduh bertanding
di Parlimen Bachok  (PAS).
Menariknya  saat di universiti dahulu,
tesis pilihan Nik Omar ialah tentang 
khalifah Ummayah yang terkenal warak, Omar Ibnu Aziz. Sama namanya
dengan beliau. Seorang yang sangat merendah diri seperti  ayahandanya. Malah Nik Omar turut berdoa
untuk kemenangan adeknya di Bachok dan beliau juga berharap adeknya Nik Abduh berdoa
untuk kemenangannya di Cempaka.
Inilah politik. Dalam sebuah negara demokrasi seperti
Malaysia, adek beradek berbeza parti  dan
ideologi  itu perkara biasa, bukan tiket
untuk berbalah, maki hamun antara satu sama lain. Teringat kata-kata  Annuar Musa “ kita ini anak beranak  belaka. Buanglah politik cara lama”.  
No comments:
Post a Comment