Oleh: Rossem
Hari itu Jumaat, 16 Jun 1972, langit daerah Sik, Kedah  cerah, cuaca panas ,  matahari tegak  di ubun-ubun , kata  orang tua-tua, waktu begini burung pun
berhenti terbang, bertengek   di ranting
kayu, beristirahat. Namun tidak bagi kami. Walaupun hari itu jumataan, tugas
terpaksa dijalankan. 
Saat Kami melewati 
jalan berkelok antara Kota Aur  dengan Kg. Mung Gajah  tiba-tiba 
gerimis hujan turun. Orang  tua-tua pernah beritahu, kalau hujan panas,   tingkatkan
 kewaspadaan,  kemungkinan akan  berlaku musibah, seringnya dikaitkan  mati berdarah. Walaupun Islam melarang
penganutnya mempercayainya sesuatu bersifat khurafat,  namun petua orang  tua -tua sukar dibuang dari  kotak fikiran, rasa takut mencubit  perasaan. 
 Senapang  M16  ditangan dengan muncung  menghala  ke  bukit  siap
untuk  memuntahkan peluru. Jalanraya
sempit, selikoh tajam , lereng bukit dan gaung yang dalam amat bahaya.
Jika   berlaku serang hendap, merapatkan trak ke
lereng bukit akan terdedah kepada  sasaran
peluru musuh, jika terjun gaung  mati tak
berlawan. Musuh menunggu, kelebihan memihak kepadanya
Musuh   memulakan
tembakan. Tembakan curi  dianggap pukulan
maut. Terkejut dan panik tak terelakkan. Sebelum   terjun
dari trak /lori -  mencari perlindungan.
Tetapi bagaimana, jika peluru datang macam bertih digoreng?.  Hanya mengharapkan rakan –rakan seperjuangan
yang berada diluar zon serang hendap, 
jika mereka dapat membantu dengan menembak  balas  ke arah musuh, itu tamparan bagi musush.  Harapan itu sekadar 40 persen. 
Kami  dari Platun 16,
Delta Kompeni tinggal di Markas Tektikal  di Kota Aur  ditugaskan  sebagai pengiring (eskot). Jumaat itu  keluar bersama  12 anggota 
menaiki lima buah track Rankrover 
tanpa bumbung,  sebuah kereta
perisai, diketuai  seorang koperal
bergerak ke base Kompeni Alpha   di Ampangan  Muda, Kg Mung Gajah, 15 kilometer dari Kota
Aur untuk mengiringi petugas dari Kompeni Alpha datang mengambil bekalan
makanan mingguan di Kota Aur.  Setibanya
di situ,  pegawai  Kompeni Alpha  memberitahu, akan ke Kota Aur sendirian  setengah jam kemudian   dengan kekuatan
anggota  lebih ramai.  Pengiring boleh pulang dahulu. Kami akur. 
Sebaik tiba di Kota Aur, kasut belum dibuka, makan tengah
hari  belum masak,  maklumat diterima, satu pelatun dari Alpha
Kompeni  yang ditugaskan mengambil
bekalan makanan di Kota Aur diserang hendap oleh komunis saat dalam perjalanan
ke  Kota Aur. Sebuah lori 4 tan musnah. 4
terkorban,   lima cedera. Senapang M16 dirampas.  Yang terkena musibah kesemua  anggota 
yang menaiki lori  nombor tiga
dalam konvoi enam buah lori. Lima kenderaan lagi terselamat. 
Terkejut mendapat berita itu, tak sangka kerana   setengah jam sebelum itu saya  melalui  kawasan itu, pasti gerombolan komunis sudah ada.
 Hanya ajal belum tiba. Mereka memilih
yang lain bukan kami yang kecil jumlahnya. Mungkin juga mereka takut kerana sebuah
kereta perisai bersama kami.  Manakala
konvoi  Kompeni Alpa tiada kereta
perisai.  
 Kami diarahkan ke lokasi serang hendap. Tiba di zon perang  kurang lebih satu jam  selepas berlaku serang hendap.  Suasana masih panas. Apakah musuh masih  bersembunyi  di balik pokok atau sudah melarikan diri?
Macam-macam bermain di kepala. 
Rakan kami dari Platun 15 Kompeni Delta  tiba sedikit awal.  Mereka memanjat bukit  mencari  jejak gerombolan komunis Rejimen  Ke 12 PKM,  malangnya 
5  onggota tercedera terpijak
jerangkap samar.  Sia-sia.  Gerombolan komunis  boleh melepasi  sempadan tak sampai setengah jam kerana  lokasi serang hendap itu berbatasan  Malaysia (Kedah) – Thailand.  
Dalam situasi kelam kabut itu saya tercedera ringan.  Jumlah rakan-rakan ditimpa musibah hari itu 11
orang,  4 terkorban.  
Tugas platun kami menyelamatkan   rakan-rakan seperjuangan yang cedera,   membawa mereka ke hospital dan mengambil
mayat  4 rakan  yang terkorban,  bawa pulang  ke markas tektikal di  Kota Aur.  Di Kota Aur  sebuah helikopter TUDM sudah  menunggu. Yang cedera , termasuk saya  diusung 
masuk  ke dalam  helikopter  dibantu seorang   doktor tentera .  Empat jenazah juga dibawa bersama. Tak
diberitahu ke hospital mana?  Pada
mulanya  saya menyangka akan  ke Hospital Alor Setar, kerana tragedi berlaku
di negeri Kedah.  40 minit  kemudian saya menjengok cermin tingkap
helikopter ternampak laut, kapal  dan pulau.
Helikopter semakin  hampir dengan pulau ,
 rupanya Pulau Pinang.  Ketika itu jambatan  Pulau Pinang belum dibangunkan.  Masih   menggunakan feri.  Helikopter mendarat di Padang Polo berhampiran
Hospital Besar Pulau Pinang. 
Ramai orang menunggu di Padang Polo termasuk Ketua Menteri
Pulau Pinang.  Yang cedera diturunkan
dahulu.  Baring di atas pengusung  yang disediakan pembantu hospital.  Kecederaan saya  paling ringan, lengan dan sakit pada  bahagian pinggang,   boleh   berjalan sendiri,   namun 
pembantu hospital menyuruh  baring
 di atas pengusung,  saya turuti. Ambulan melucur laju ke hospital
yang jaraknya beberapa meter sahaja. 
Kawan-kawan yang cedera, sebahagianya parah  dimasukkan ke wad kecuali saya sebagai
pesakit luar. Semasa pemeriksaan,  doktor
memberitahu  kecederaan  ringan sahaja. Jururawat memberi satu
injection. “Terima kasih nurse”.
Luar biasa! Olehkerana saya seorang  yang terselamat daripada serang hendap
komunis, wartawan  dari pelbagai akhbar  seperti  The Star, The New Straits Times, Utusan
Maaysia, Berita Harian, Nan Yang Siang Pau  yang beroperasi di Pulau Pinang memburu saya
untuk mendapatkan berita sebenar  tentang
tragedi   berlaku. “ Encik, boleh cerita, macamana
ambush  itu terjadi, berapa orang anggota
pasukan keselamatan terkorban?”  Antara
pertayaan yang  diajukan wartawan. “Maaf
encik, saya diarahakan tidak boleh memberi tahu sesiapa. Sorry, i was
instructed not to inform anyone”  itu
sahaja jawapan saya. Namun mereka terus mendesak. Mereka mengekori saya kemana
sahaja saya pergi. Aduuuh! 
 Bosan dengan karenah wartawan, saya masuk  tandas dengan harapan mereka faham  saya tak suka dengan sikap mereka.   Terkejut 
sebaik sahaja keluar tandas  lagi
ramai  wartawan, jurugambar menunggu di
pintu tandas.  Saya diserbu lagi. Jawapan
saya tetap sama. Tak boleh beritahu. Ini rahsia kami. Tunggu  Ketua Polis Negara beri kenyataan akhbar. 
Besoknya semua akhbar 
memuatkan berita  serang hendap
komunis itu di muka hadapan.  Foto saya
sedang melangkah turun dari helikopter juga dimuatkan dalam akhbar The Star
dengan keterangan gambar (caption):
Hospital assistants helping a wounded policeman out from the helicopter. Far
left is CPO Mr. Tan who is lending a helping hand. – STAR pic by Chan Looi Tat. 
Saya “pesakit luar” tetapi setiap hari berada di dalam
wad  menjaga  dua orang kawan saya yang cedera parah.  Salah seorangnya, Ariffin asal Terengganu tak
sedar diri, bila sedar akan meronta-ronta 
sehingga kaki dan tangannya ditambat di katil. Kecederaan pada  bahagian kepalanya serius. Cacat kekal.  Malam tidur di Kontingen  Polis 
Pulau Pinang. Makan di kantin Mamak- percuma. Hampir dua minggu. 
Dalam serius ada lucunya! Ketika  penerbangan 
dari Kota Aur, Sik, Kedah ke Pulau Pinang , seorang kawan yang cedera,
duduk bersebelahan saya, terasa  sakit
dan basah pada bahagian punggung ,  ia
menyangka basah itu darah yang mengalir, lantas berbisik “ Cuba tengok, darah
atau apa  yang mengalir itu, saya tak
berani tengok”.  Saya  mengamati seragam hijaunya , memang basah
tetapi bukan darah. Air yang diisi dalam botol di pinggangnya bocor,  menitis membasahi seragamnya.  
IBU DAN ISTERI DATANG 
Tahun 1970an, telefon pintar, email, facebook, whatsApp,
tweter  belum wujud. Komunikasi   hanya lewat telefon ganggang  yang dipasang di rumah, pondok telefon di tepi
jalan dan pejabat.  Saya tidak dapat
memberitahu sepantas mungkin tentang tragedi serang hendap komunis di Ampangan
Muda kepada  keluarga terutama ibu dan
isteri di kampung.  Maklumat awal diketahuinya
 hanya  dari sumber berita telivisyen jam delapan
malam,  tetapi tiada perincian, siapa
yang terkorban dan cedera.  Ibu bertambah
risau. Isteri  ketika itu baru bernikah -
gundah gulana. 
 Maklumat tepat datang
daripada anggota petugas markas besar 
batalion di Pengkalan Chepa .   Datang ke rumah  memberitahu 
tentang musibah menimpa saya . “ Anak makcik selamat, sekarang di rawat
di Hospital Besar Pulau Pinang. Makcik boleh pergi ziarah sekarang”.  Itu sahaja diberitahu.  Bagaimana nak pergi, itu terpulang...sendirian.
 Ibu sudah tua, tanpa menumpang orang
lain, tak mungkin ia upaya pergi. Ayah sudah lama meninggal, sejak saya di
bangku sekolah rendah.  Keluarga terdekat
 tak punya kereta. 
Akhirnya ibu, isteri dan pak mertua menyewa sebuah teksi   dari Kota Bharu ke Pulau Pinang. Tiba di
Pulau Pinang terus ke Hospital Besar. Dapat masuk kerana  ketika itu waktu melawat- jam 1.00 tengah
hari. Dari katil ke katil ibuku mencari, tak jumpa, sambil mengesat air mata,
terus mencari , sedih, keciwa, anaknya sudah tak ada dalam wad. “Mana anakku,
mana anakku...” teriak  ibu. Bila pesakit
tak ada dalam wad, hanya satu yang terbayang  di fikiran ibu; mesti  disimpan dalam bilik mayat. 
Ibu kemudian   ke kauntar pertanyaan , jururawat bertugas
memberitahu “ Anak makcik cedera ringan, pesakit luar. Beliau balik ke
Ibupejabat  Polis Jalan Penang makan
tengah hari. Sekejap lagi  datang”. Ibu
mengucap syukur , anaknya terselamat dari musibah komunis. Wajahnya kembali
berseri-seri termasuk wajah isteriku yang ketika itu hamil anak pertama. 
Ketika saya sedang menikmati makan tengah hari percuma di
kantin Mamak, Ibupejabat Polis  Jalan
Penang, seorang anggota polis datang memberitahu, katanya,  ibu saya sudah sampai, sekarang di hospital
besar Pulau Pinang- menunggu.  Saya  ke sana menaiki kereta  polis. 
Kami berpelukan, air mata ibu tak putus-putus mengalir,
tetapi kali ini menangis kerana gembira, Allah SWT menyelamatkan anaknya
dari  serang hendap komunis Rejimen ke
12, PKM yang diketuai Chin Peng. 
Selama berada di Pulau Pinang, saya menumpang tidur di
Ibupejabat Kontinjen Polis  Georgetown
bersama-sama beberapa lagi keluarga kawan 
seperjuangan saya yang masih menerima rawatan di hospital. Makan minum
percuma, saya pun tak tahu siapa yang membayar?. 
Wang? Pitih? Langsung  tidak ada. Satu sen pun tak punya wang dalam saku
selama dua minggu  di Pulau Pinang. Nak
beli cendul Mamak tepi jalan pun tak boleh.   Saya
datang dari hutan Kota Aur- Mung Gajah, tempat tak perlu  bawa wang. Ketika  itu ATM belum wujud. Akaun bank pun tiada.
Namun saya sangat menghargai  sikap baik
hati warga polis Pulau Pinang yang bersimpati. Juga warga Pulau Pinang sendiri,
setelah kenali saya , ada yang mengajak ke rumah makan dan minum. 
Game Online Terbaik
ReplyDelete-24 Jam Layanan Terbaik
-Proses Cepat Pasti Nyaman
-Real Player Vs Player No Robot
mcb poker
mcbpoker blackjack
mcbpoker super10
mcbpoker omaha
mcbpoker ceme
mcbpoker ceme keliling
mcbpoker capsa
mcbpoker domino
mcbpoker Bandar Poker IDN
mcbpoker poker