OPERASI BERTAM
Wilayah operasi memburu komunis  paling kerap  saya terlibat ialah Gua Musang. Kawasan  luas meliputi Kg. Pulai, Bertam, tanah
rancangan LKTNK Maranto,   Kg. Belom dan
kawasan kediaman Orang Asli.  Bukit ,
hutan tebal, sungai  menjadi sahabat.
Cuaca dingin Banjaran Titiwangsa terutama malam hari menganggu tidur. Ancaman
malaria yang menakutkan. 
Gerombolan  Rejimen  Ke 10 PKM  adalah musuh menunggu.   Aktif
di sekitar Gua Musang (ketika itu Ulu Kelantan) dibawah pimpinan  Abu Samah Kasim. Markas induknya  di Weng, Thailand Selatan. Komander Rashid
Maidin mengirim unit  khas  regimennya ke Gua Musang untuk  menyebarluas fahaman komunis seterusnya menguasai
wilayah  strategik. Sejarah pernah
mencatatkan, komunis Bintang Tiga pernah menguasai Gua Musang  selama tiga hari zaman dharurat dahulu. 
Sore, 20 Disember 1973 kami tiba di Kg. Bertam, 15 kilometer
dari Gua Musang dengan keretapi dari Kota Bharu (Wakaf Baru). Tahun 1970an
jalan raya Kuala Krai- Gua Musang belum dibina. Keretapi satu-satunya nadi
pengakutan . Warga Kelantan dari daerah lain mahu ke Gua Musang tiada pilihan
kecuali  keretapi.  Gua Musang bandar mati. Sebut nama  Gua Musang sudah kecut perut. Ancaman komunis
dan Malaria. 
Malam kami tidur berhampiran stesen keretapi Bertam. Mandi
sungai Negiri. Esok pagi   menaiki  perahu  (boat) mudik Sungai Bertam. Setiap boat   memuatkan
delapan  atau sembilan penumpang.  Antara dua pilihan, jika pasukan bersenjata  komunis menyerang hendap ketika kami atas boat,
kami membalas tembakan , jika terjun ke dalam sungai belum tentu selamat, air
deras dan dalam. 
Tiga jam perjalanan perahu, kami tiba di Kg. Lai,  kampung Orang Asli di pinggir sungai Negiri.  Dari jauh kelihatan beberapa lelaki dan kanak-kanak  berdiri memerhati kami dari atas tebing.  Seorang daripada mereka menyandang   senapang patah-  Tok Batin. Satu keluarga Orang Asli tinggal di
situ.  Ramah dan terlajak  mesra.
“Encik jangan takut, di sini tidak ada komunis, kalau ada
sudah lama kita tembak” Cakap banyak pula Tok Batin ini. Kami dengar sahaja,
masuk telinga kiri, keluar telinga kiri. Tak boleh percaya!.   “Apa nama Tok Batin?”  Tanya saya. “Keladi” jawab beliau.  “Macamana boleh nama Keladi?”  “Emak saya beritahu, saya beranak tepi pokok
keladi”. 
Tugas kami bukan  di
kampung Orang Asli. Masih jauh di hadapan. 
Bermalam. Menunggu matahari  bersinar
 esok  pagi. Rupanya  esok pagi hujan lebat,  tak berhenti. Hujan bulan Disember  tak celek mata, kata orang Kelantan. Kami
berjalan seharian dalam keadaan basah kuyup. 
 Perjalanan  sukar. Lebih 
banyak mendaki daripada menurun.  Jalan balak hari itu  licin dan berbahaya.  Beban terlalu berat. Setiap orang  membawa bekalan makanan untuk seminggu.
Beras, sardin, gula, garam, minyak goreng dan alatan memasak.   Selimut,
kelambu,  seragam gantian,  khemah 
turut dibawa,   kecuali
bantal-  kami tidur beralaskan
lengan.  Di pinggang, ratusan peluru
melilit badan.  Rifle  SLR buatan British di tangan.  Rata-rata usia kami ketika itu 20an dan awal
30an. Fizikal utuh. 
 Kami tiba di
perkampungan Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTNK) di
kaki  Gunung Titiwangsa menjelang sore .
LKTNK  dibuka Kerajaan Kelantan ketika
negeri itu di bawah pentadbiran  Menteri
Besar, Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (PAS) . 
Jasa Almarhum Datuk Asri  kepada
rakyat marhain Kelantan tak ternilai. Rakyat Kelantan yang miskin tak punya
tanah diberikan tanah hutan.  FELDA belum
wujud. 
Kami bermalam di LKTNK  beberapa hari. Layanan mesra  peneroka 
terasa seperti “balik kampung”- bercuti. Sayur kangkung, bayam, cili api
diberi percuma. Budu kami beli di kedai runcit kampung itu. Budu bila cukup
rukunnya- cili api, limau nipis, kangkung, 
kata orang tua-tua; Pak mertua lalu belakang pun tak nampak. 
  Komander platun
kami  Insp. Ramli, baru menikah, pulang
ke pengkalan. Pengantinya Insp. Ahmad Tejuddin  Abdul Majeed (Datuk). Beliau juga komander
sementara kerana  komander kami sakit. 
Selepas beberapa hari di kampung  peneroka LKTNK, kami  meneruskan perjalanan   mendaki banjaran Titiwangsa  melewati  jalan 
balak.  Makin lama makin tinggi.
Dengan bag di belakang seberat kurang lebih 25 kilo,  rifle SLR di tangan, mata meliar ke kiri
kanan. Kewaspadaan tingkat tinggi, gerombolan komunis di mana-mana sahaja,
dibalik pokok, berselindung di  baner
kayu . Demikian  gambaran kami ketika
itu. Akhirnya  tiba di lokasi mengikut yang
diarahkan komander operasi di pangkalan.  
Suhu  terlajak  dingin. 
Tidur malam terpaksa menggunakan semua pakaian  dibawa. Mandi pagi  sebahagian sahaja yang sanggup, yang lain
jadi “kambing” takutkan air.  Minyak
untuk mengoreng  tak pernah cair. Diisikan
dalam botol kaca. Sukar  mengambilnya . Suatu
hari botol  minyak dipanaskan berdekataan
api. Botol meletup minyak tumpah. 
Setelah empat hari di sini, tanggal  3 Januari 1974 hari raya Aidiladha. Kami  sambut hari raya  dalam hutan. Umat Islam di luar sana melakukan
ibadat korban menyebelih lembu atau kambing, kami disini- kebetulan dapat
seekor landak.  Bukan mudah menyebelih
landak badan  berduri. Diantara kami ada
juga yang berani  menyebelih. Dagingnya
dibahagi-bahagikan.  Goreng. Ada yang
kata sedap, terpulang selera masing-masing. 
Setiap hari langit banjaran Titiwangsa hamil hujan.  Kemudian turun, kadang-kadang  lebat dan gerimis.   Tengkujuh 
Pantai Timur belum berakhir. Daunan  dan rumputan  lembab. Gunung diselimuti kabus. Matahari
berhijab.  Masalah  besar timbul, dalam cuaca seperti ini,  dapatkah  helikopter 
TUDM   mencari lokasi kami  untuk  menghantar 
bekalanan makanan  mingguan.  
Genap seminggu.  Helikopter
dijadualkan datang besok pagi menghantar makanan. Tanah lembut dan berair.
Helikopter  pasti tak  mahu mendarat .  Sudah biasa dengan   karenah pilot TUDM.  Kami terpaksa tebang buluh, belah dan anyam
seperti  buat  dinding rumah Melayu zaman dahulu, kemudian
letak di tanah lapang sebagai pelantar. 
Di atasnya dihampar kain warna oren untuk senang  dilihat pilot helikopter . Kain itu
sememangnya kami bawa. 
Cuaca semakin  buruk,
helikopter dijadualkan datang hari itu tak dapat datang.  Percubaan hari kedua juga gagal. Kami
mendengar bunyi helikopter 
berlegar-legar di udara mencari 
kawasan pendaratan, tetapi tak berani turun. Hujan semakin lebat.  Tak celek mata kata orang Kelantan. 
Tiap-tiap hari menunggu 
kedatangannya seperti menunggu kekasih 
lama tak jumpa.  Percubaan telah
dibuat beberapa kali namun  gagal, kami
tak salahkan pilot helikopter. Mendarat dalam 
kabus resikonya   tinggi,
helikopter boleh terlanggar pokok. 
Makanan  dalam tin
seperti sardin sudah habis. Beras tinggal sedikit sahaja lagi. Terpaksa  tanak buat bubur. Dua tiga hari makan nasi
bubur. Masalah besar ialah kehabisan bahan api. 
Untuk mendapatkan makanan di perkampungan   peneroka LKTNK  tak mungkin kerana lokasi kami sudah terlalu
jauh. 
Tanggal 25 Januari 1974, platun kami  diarah keluar dari kawasan operasi banjaran Titiwangsa  ke Kg Bertam. Kami berjalan kaki sejauh 12
kilometer melalui jalan balak. 27 Januari 1974 kami pulang ke markas batalion
Pengkalan Chepa menaiki keretapi. 
Tentang peneroka 
LKTNK yang baik hati, memberi sayur kangkung, cili api dan
sebagainya,  di kalangan mereka   saya curigai. Cara komunikasi menimbulkan
syak wasangka.  Berhati-hati dan waspada.
Usia mereka sekitar 50an dan 60an. Kami panggil pakcik .   Orang Kelantan, berkain pelikat, bersemutar
, pagi bawa cangkul ke kebun. Situwasi 
seperti itu  lumrah bagi masyarakat
desa di Cik Siti Wan Kembang.   
Beberapa minggu kemudian, dapat matlumat, salah seorang
pakcik yang sering memberi kami kangkung 
ditangkap  kerana dipercayai
talibarut komunis.  
Game Online Terbaik
ReplyDelete-24 Jam Layanan Terbaik
-Proses Cepat Pasti Nyaman
-Real Player Vs Player No Robot
mcb poker
mcbpoker blackjack
mcbpoker super10
mcbpoker omaha
mcbpoker ceme
mcbpoker ceme keliling
mcbpoker capsa
mcbpoker domino
mcbpoker Bandar Poker IDN
mcbpoker poker