Oleh: Rossem
Wajah politik Malaysia semakin hodoh bahkan ketahap lucuan. Hari ini (11 Mei 2009) Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa  Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah.  Maka bersandarkan kepada keputusan dibuat mahkamah itu, esok paginya, jam 7.15,  Nizar bersama para exco-exco dari Pakatan Rakyat (PR) pun  memasuki pejabat yang dikosongkannya sejak lebih 100 hari untuk bertugas. 
 Petangnya, jam 2.30,  tidak sampai  24 jam, Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan tangguh pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi  yang bersidang semalam. Permohonan tangguh itu difailkan  Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Ekoran itu, Nizar dan exco-exconya  pun meninggalkan pejabat. 
 Dan hari ini, 13 Mei, Nizar menfailkan kepada Mahkamah Rayuan bagi  menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan semalam, tapi mahkamah memutuskan rayuan Nizar ditolak. Dengan itu  kerusi Menteri Besar Perak boleh dilabuh  Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sehingga mahkamah rayuan membuat keputusan   lain pada sesi perbicaraan mendatang (18 Mei 2009).  
 Dr Zambry dan barisan  exconya pun memasuki kembali pejabat yang diambilalih Nizar selama separuh hari untuk bertugas. Pastinya dengan wajah macam topeng penari Bali- senyum dan tampak  gigi, terutama saat  sesi bergambar. 
 Ada orang bertanya  dengan separuh hairan “ Kisah ini berlaku di mana?” Padahal saya sudah menyebut nama tokoh-tokoh penting dalam cerita ini- Zambry dan Nizar, masakan mereka tidak tahu sosok-sosok itu dan di mana lokasi berlaku. Barangkali  teman saya itu sengaja bertanya demikian kerana hairan, bahkan semacam tidak percaya, kejadian  seperti ini boleh berlaku di Malaysia.
 Barangkali kalau saya tidak menyebut nama pelaku dan di mana lokasi kejadian, pasti disangkanya berlaku di benua Afrika, mungkin di Republik Afrika Tengah, Zimbawe, Uganda dan sebagainya. Kerana drama perebutan kuasa   seperti itu sering berlaku di sana. Ia cukup sinonim dengan benua itu. 
  Namun  untuk menyalahkan teman saya di atas persepsi serong beliau juga tidak adil.   Kerana politik Malaysia mutakhir ini  sudah sangat celaru, sangat kontras  dengan dakwaan mengatakan, Malaysia sebuah negara sedang membangun.  Punya ramai yang berpendidikan tinggi, punya banyak bangunan pencakar langit, Menara Kembar tertinggi di Asia Tenggara. Istana Keadilan terbesar di Asia.  Hakikatnya pendidikan saja tinggi, bangunan saja tinggi tapi cara berpolitiknya masih rendah.  
 Kerana itulah,   Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Dato’  Nik Abdul Aziz Nik Mat pada  sidang media di Kota Darulnain (13 Mei 2009) menyebut kasus Perak itu sebagai mengaibkan “ Krisis politik di Perak sebagai mengaibkan demokrasi”. Maka jalan terbaik agar demokrasi itu tampak cantik dan bergaya  ialah kembalikan semula Perak kepada rakyat, yakni bubarkan  Dewan Undangan Negeri (DUN)  supaya   satu pilihan raya semula seluruh Perak dapat diadakan guna membentuk kerajaan baru pilihan rakyat.
 Nizar berusaha mengembalikan posisinya kepada  asal, yakni Menteri Besar Perak  yang sah,  lewat  pelbagai cara termasuk perundangan. Kerana umum merasakan tersingkirnya Nisar sebagai Menteri Besar adalah hasil daripada olahan  Umno secara sabrono. Hasil daripada kerja jahat tiga orang  pembelok dari  parti Pakatan Rakyat (PR) yang mengkliamkan sebagai ADUN BN  tapi memakai baju  Bebas. 
 Usaha dan ikhtiar Nizar itu dituding Umno sebagai sang gila kuasa, bahkan seperti seorang suami yang gila talak, kendati sudah bercerai dengan isteri namun  masih menyanyangi  dan merindui. 
 Namun, tindakan Nizar  mahu mengadap DYMM Sultan untuk memohon pekenan baginda agar  dibubarkan DUN Perak sebaik saja keputusan mahkamah mengesahkan beliau masih Menteri Besar Perak menjadi bukti bahawa  Nizar sosok yang tidak gila kuasa. Nizar cuma mahu memulangkan kembali pemerintahan negeri Perak kepada rakyat, lewat  pilihan raya semula. Biar rakyat menentukan, parti mana yang mereka pilih, mungkin pada pilihan raya itu kelak BN akan menang atau sebaliknya terpulanglah kepada kuasa rakyat. 
 Umum tidak salahkan institusi perundangan sehingga krisis ini menjadi semakin rumit. Mahkamah menjalankan  tugasnya  dengan betul. Fungsi pengadilan melewati tahap demi tahap. Apa yang diputuskan mahkamah Tinggi masih boleh dirayu di Mahkamah Rayuan. 
 Kesalahan yang berlaku adalah disebabkan angkara tiga ADUN  “telor separuh masak”    dalam PR yang membuat keputusan lompat parti. Dan lompatan itu disambut pula oleh UMNO tanpa memikirkan  kesan kepada rakyat. 
 Akhirnya krisis berlarutan dan rakyat  menanggung malu!
No comments:
Post a Comment