Oleh: Rossem
Banyak teman saat mengetahui  aku memasukkan anak ku ke pesantren  merasa hairan.  Dalam satu diskusi yang kami adakan,  seseorang  telah bertanya “Apa sebabnya Ayi Ajib memasukkan anak ke pesantren?” Aku jawab dengan separuh bergurau “Sebab para kiai yang memasukkan anak mereka ke SMA dan kemudian ke IKIP.”
 Ungkapan itu sarat dengan makna, ia dicatat Ayi Ajib atau Ajib Rosidi dalam sebuah otobiografinya  paling tebal pernah ditemui- 1330 muka surat. 
 Selanjutnya kata Ayi Ajib, ada lagi yang menarik seputar  para kiai ini: Aku kemudiannya mengemukakan opioni bahawa para pemimpin Islam sampai saat ini sering hanya mengekori apa yang dibuat orang lain. Kurang mengembangkan apa yang dimiliki sendiri. Akibatnya umat Islam selalu bertanding dilapangan orang lain dengan aturan  main yang dibuat  oleh orang lain pula. Justeru tiada harapan untuk menang.
 Kerana itu,  yang utama  adalah harus mengembangkan segala potensi yang ada pada diri umat Islam, kerana di lapangan politik parti-parti Islam tidak pernah menang. Sejarah menunjukkan bahawa politik pada akhirnya dikuasai oleh orang-orang yang menguasai pelbagai bidang kehidupan yang lain. 
 
 Kalau umat Islam unggul dalam bidang ekonomi, dalam bidang pendidikan, dalam bidang kesenian dan kebudayaan, dalam bidang pemikir  dan lainnya, nescaya politik Islam akan menjadi kuat. Untuk itu,  yang harus didahulukan adalah memperkuatkan basis lewat pendidikan. 
 Di Malaysia, pesantren disebut pondok. Pondok dan pesantren mempunyai persamaan makna, penghayatan dan kaedah pembelajaran. Ia  satu bentuk  pengajian  Islam  tertua dan tersohor di rantau  ini. 
  Kelantan – Pattani merupakan wilayah jalur lebar yang sangat sinonim  dengan pengajian Islam secara tradisi.  Dari institusi pondok inilah lahirnya ulama-ulama  besar, tersohor dan  disegenai serta  upaya memimpin ummah. Mereka merupakan benteng menyelamatkan akidah ummah terutama ketika negara dalam era kolonil Inggeris selama lebih 500 tahun. 
 Namun setelah   negara mencapai kemerdekaan, institusi pondok menjadi lesu.  Hal ini terjadi disebabkan kegilaan umat Islam ketika itu kepada Barat bagaikan  seorang suami “gila talak”.   Selepas menceraikan isteri,   ternyata sang suami tidak bisa tidur lena, sering  diganggu mimpi lama, sehingga   apa saja yang datang dari Barat justeru diagung-agungkan, dipuji dan dipuja setinggi  langit. Dikatakan, yang datang dari Barat itu  merupakan  “kemajuan” yang seharusnya ditiru umat Islam. 
 Akibat memuja Barat secara ekstrem, anak-anak yang dikenali  pintar dimasukkan ke sekolah Inggeris, menerima pendidikan sekular.  Sebaliknya anak-anak yang nakal dan menyusahkan ibu bapa dikirim ke pondok dengan harapan sang kiai dapat membentuk  anaknya yang nakal menjadi baik dan berakhlak mulia. 
 Akhirnya anak-anak yang pintar berjaya mencapai standart pengajian yang diharapkan dan pulang ke tanah air, kemudian memimpin  negara,  sementara  anak yang dahulunya nakal terbentuk menjadi manusia yang soleh dan memimpin masjid, sekaligus ditugaskan  mengurus jenazah bila ada kematian. 
 Sejak itu,  masyarakat terbentuk  menjadi dua kelompok. Satu berkiblatkan Barat dan satu  berkiblatkan Islam. Parti politik pun menjadi dua, satu nasionalis sekular dan satu berbasiskan Islam. Dua kelompok ini sering bercakaran seperti Anjing dengan Kucing. Tidak pernah menemukan titik persefahaman dalam segala hal, terutama opini politik.  
 Namun hari ini, ramai sudah sedar. Rupanya  tiada apa yang boleh dibanggakan dari Barat, selain teknologi.  Kehidupan sosial  dan budaya mereka telah rosak. Umat Islam mula mendekati semula Islam. Ketegangan  antara mereka yang berpendidikan Barat dan berpendidikan Islam  mula kendur kecuali mereka yang hatinya sudah berkarat Barat.  Ibu bapa yang berpendidikan Barat sudah ada yang memasukkan anak-anak mereka ke pesantren yang sekarang dikenali sebagai pondok moden. Sistem pendidikannya ditingkatkan sesuai dengan kehendak zaman.  
 Lagi tentang pesantren. Sekarang di Malaysia, saluran  berbayar televisyen  sedang menayangkan  sinetron Pesantren  Cinta. Sinetron terbitan Metro Vision Plus daripada Indonesia itu menarik sekali. Sebuah cerita religi yang ditulis oleh penulis seknerio terkenal, Iman Tantowi. Manakala  H. Human Aref sebagai sutradara. 
 Pesantren Cinta bercerita tentang sekelompok mahasiswa dari Jakarta yang datang ke sebuah desa santri di kaki sebuah gunung di Yogjakarta. Di antara sekelompok mahasiswa itu, tersebutlah Kathy (lakonan Citra Anggun), seorang gadis cantik yang menganut gaya hidup barat. Namun kehidupan Kathy berubah setelah ia bertemu dengan Hisyam (lakonan Irgi Acmad Fahrezi) seorang pemuda teladan dan berbudi pekerti luhur,  juga merupakan anak kepada kiai Sepoh, pembina pesantren tersebut.  Kathy lama-lama tertarik untuk mendalami Islam dan berusaha menjadi seorang wanita muslimah. Namun usahanya selalu mendapat godaan dan rintangan dari teman-temannya.
 Di atas kesabaran dan ketabahan Hisyam berdakwah, ramai pemuda  yang 
sebelumnya ketagihan alkohol, kaki judi, gemar melangangi pelacur,  termasuk ibu bapa Kathy sendiri yang pola hidupnya ektrem kebaratan mula tertarik dengan Islam. Ahli korporat kaya  itu akhirnya menjadikan rumah mewahnya di kota Jakarta sebagai tempat pengajian. 
 Demikianlah peranan pesantren  atau pondok dalam masyarakat Islam di nusantara, dalam membentuk  jatidiri sebagai umat yang berteraskan al-Quran dan  Sunnah Nabi saw.
No comments:
Post a Comment