Tuesday, February 13, 2018

Media masa: Dari opera, wayang kulit, radio TV, media cetak , facebook





Oleh: Rossem

“Tidak ada pemimpin politik yang sempurna , baik di masa lalu atau sekarang, baik di China mahupun di tempat lain” kata Liu Shao Chi, mantan Presiden RRC (1947). “ Jika pun ada, ia hanya berpura-pura, seperti seekor babi yang memasang siung bawang di mulutnya agar tampak  sebagai gajah” .

Dahulu kempen-kempen politik berlangsung di panggung opera,  itu berlaku pada abad ke 17, 18, 19   di China dan Barat.  Di Malaysia (Malaya) opera  mula diperkenalkan pada awal abad 20, nama-nama seperti  Booty Suria Negara , Deen Opera sangat popular ketika itu. Lebih menonjol ialah    wayang kulit, dengan  kisah-kisah  diangkat dari epik Ramayana (Hindu). Siapa tak kenal  dengan Seri Rama, Laksamana, Hanuman, Rawana dan Sita Dewi. Cerita-cerita itu   menjadi daya tarikan masyarakat zaman itu untuk menonton sambil bersantai.  

Disamping mengisahkan tentang kesaktian dan kehebatan Maharaja Rawana, masyarakat Melayu khususnya di Kelantan menokok tambah  “watak “ dalam wayang kulit dengan penampiulan  baru iaitu  Wak Long dan Pak Dogol, dua watak ini memberi  nilai tersendiri kepada wayang kulit di negara kita.  Kalau serkas ada badutnya , wayang kulit ada Wak Long dan Pak Dogol.  Sifatnya yang kelakar  dengan  badannya yang jelak  memejadi daya tarikan kepada khalayak untuk datang menonton wayang kulit dan tidak boring.

 Kemunculan dua  sosok itu ditunggu-tunggu, lucu sehingga tak kering gusi, ia bukan lawak bodoh, sebaliknya sarat dengan sindirian tajam, menghantar pesan-pesan tertentu kepada masyarakat, menegur kesalahan dan kealpaan masyarakat, kalau musim itu kebetulan  menjelang pilihan raya, maka  dialog atau pengucapan  Pak Dogol dan Wak Long juga diselit  madah-madah kempen parti-parti politik tertentu.

Kreativiti Tok Dalang tidak setakat memunculkan watak Pak Dogol yang perutnya buncit  dan Wak Long   berkepala botak, di negeri  Kelantan  ada lagi “pelakon tambahan” iaitu  Wak Yoh dan Said.  Perananya  sama seperti  Wak Long dan Pak Dogol, melontar  sindiran kepada khalayak untuk rakyat berfikir, yang baik dituruti yang buruk dijauhi. 

Akan datang, jika wayang kulit masih bernafas di Malaysia,  hadirkan  pula watak  Dr Mahathir, Najib, Haji Hadi, Lim Kit Siang dan lain-lain menggantikan watak Pak Dogol, Wak Long, Wak Yoh, Said, kerana mereka adalah pemimpin masyarakat  dan tak kurang kelakarnya.  Tentunya  wayang kulit akan kembali diminati ramai. Box office! 

Saya sempat melalui zaman yang mengasyikkan itu,  setiap tahun selepas musim mengetam padi, setelah jerami padi dibakar, relung   menjadi bersih seperti padang bola, panggung atau bangsal  wayang kulit didirikan, sebelah malamnya  ada persembahan.  Olehkerana cerita wayang kulit ini panjang, tak habis satu malam, seringnya  berlarutan sehingga  tujuh malam.  Orang kampung bawa  tikar bantal, baring di bendang padi  yang sudah kering kontang sambil bersandar di batas relung, seronok menonton dalam posisi seperti ini. Hantu mengantuk datang, terus  terlena. Tak kira budak-budak atau orang   tua.  

Hanuman titisan darah para dewa, benih baik baka bersenu. Orang gagah berani  mulia raya, sokma bandaya, Maharaja Seri Rama bapaknya. Raja yang memerintah dua belas gebalung empat puluh cabangan anak sungai dari Pasir Mayang Derdap Muda hingga seluruh telok negeri Kuala Dua. Hanuman,  sekali bertempik runtuh bukit bergugur bintang , sekali meraduk memusar buih, bah salah ketika , angin salah puyan olak berubah. Demikian gambaran perkasanya Hanuman menurut bait-bait puisi Rahimidin Zahari (Allahyarham) lewat bait-bait puisinya dalam buku  Laut Tujuh Gelombang Buit (ITBM-2013).  

Radio  mula masuk ke kampung saya sekitar tahun awal 1960,  berstatus  barang mewah, hanya orang kaya sahaja mampu memilikinya. Masalah lain ialah  bukan semua tempat dapat menangkap gelombang siaran. Di kampung saya, seorang sahaja  memiliki radio ketika itu, beliau terpaksa menyambung dua batang galah (buluh) dipacak  berhampiran rumahnya untuk mendapatkan gelombang siaran satu-satunya dari Kuala Lumpur.  Orang kampung tak putus-putus datang mendengar radio. Menjelang pilihan raya, berkumandang lagu “marilah mengundi” nyanyian Datuk Zainal Alam (Allahyarham).

Undilah tuan dan puan,
27 bulan pilihan raya yang pertama
Pergilah undilah bersama-sama
Hari undi di Persekutuan,
Julai 27 hari bulan
Jangan lupa encik dan tuan tuan
Undilah calon yang tuan puan berkenan.


Televisyen diperkenalkan di Malaya 28 Disember 1963 dalam bentuk hitam putih, 15 tahun kemudian (28 Disember 1978) televisyen warna. Persembahannya lebih banyak menfokus tentang aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan persekutuan ketika itu, disamping itu terdapat juga drama Melayu dan tayangan filem Barat.

Olehkerana tak ramai orang kampung mampu memiliki televisyen, Jabatan Penerangan masuk ke kampung-kampung menayangkan filem  propanganda kerajaan. Semua orang kenal “wayang pacak” Jabatan Penerangan,  logo  harimau kurus sangat sinonim dengan masyarakat ketika itu, tua muda semua kenal.  Seringnya tayangan wayang  gambar diadakan  di padang sekolah. Selepas separuh  masa,  tayangan pun diberhentikan selama setengah jam untuk memberi peluang penceramah menyampaikan arahan-arahan dari kerajaan, kemudian diteruskan semula tayangan sehigga jam 11.00 atau 12.00 malam.

Ceramah politik wujud sejak merdeka lagi, diadakan di lapangan, dibina pentas khusus untuk pemidato. Istilah “ceramah” belum popular, seringnya orang menyebut “syarah politik” atau “pidato”. Ceramah politik berterusan sampai sekarang terutama menjelang pilihan raya.   Parti-parti oposisi terutama  PAS, PKR, dan lain-lain masih mempertahankan kaedah ceramah di lapangan sebagai satu bentuk kempen yang efektif.

Masa terus berlalu, media masa lalu perlahan-lahan ditinggalkan. Kempen politik semakin mudah dengan media baru  mengambil alih. Facebook, twitter menjadi raja bertahkta di setiap saku rakyat Malaysia. Lebih terbuka dan bebas daripada media cetak. Tanpa mengenakan apa-apa bayaran selain kos melangan internet. Ada yang membuka akaun facebook semata-mata untuk melepas geram kepada parti-parti tertentu, menulis kata-kata yang brutal, namun majoritinya manfaatkan kemudahan facebook untuk saling merapatkan ukhwah sesama-sama disamping  bertukar-tukar fikiran secara sihat. Publik juga memerlukan opini politik semasa dari  penulis politk yang berwibawa bukan cyber troopers.  

2 comments: