Tuesday, July 11, 2017

Ulangtahun kemerdekaan dan suhu politik




Oleh:Rossem

Sore hari Jumaat, cuaca bulan Ogos di Kelantan panas terik.  seorang lelaki berkulit gelap, rambutnya putih   tiba-tiba mengetuk pintu Balai Kartun Rossem (BKR). Kami bersalaman. “Saya kenal awak lewat facebook” katanya. Kebetulan saat melewati  jalan ini tadi terpadang signboard BKR, lantas berhenti. Sudah lama berhajat mahu mengunjungi BKR, tercapai secara tak dirancang, beliau meluahkan rasa gembira. 

Saad Noordin,  66 tahun, mengayuh basikal dari kampung  halamannya Kulim, Kedah,  mengelilingi Malaya sempena “Kayuhan Merdeka 59”  .Singgah di BKR dalam perjalanannya ke Terengganu, seterusnya ke Pahang, Johor.  Tanjung Piai,  penghujung  benua Asia antara laluannya paling selatan sebelum ke Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perak , kayuhannya  berakhir  di Kulim, Kedah sebelum  31 Ogos. 

Saya teruja,  sekaligus bangga dengan semangat kental yang dimiliki Pak Saad Noordin, meniti usia 66 tahun kini sanggup berbasikal seorang diri mengelilingi Malaya. “Beginilah saya menghargai kemerdekaan. Susah sukar  ayah-ayah kita dahulu berjuang menuntut kemerdekaan dari Inggeris, jika dibandingkan dengan penat mengayuh basikal ini malah masih jauh  ” tuturnya dengan bersemangat.  Sebahagian kita untuk memasang Jalur Gemilang di rumah pun terasa berat. Apa salahnya setahun sekali , 31 Ogos,  kibar Jalur Gemilang.  Tampak sedih pada wajah Pak Saad mengingatkan generasi sekarang semakin melupai hari bersejarah. 

Pak Saad pernah  bekerja sebagai wartawan di Utusan Melayu, akhbar Watan, TV3 dan Bernama, baru empat tahun berjinak dengan basikal. Tahun 2015, dua kali keliling Malaya dan 2016 dua kali termasuk siri kayuhan merdeka. Istimewanya Pak Saad dahulu pelukis kartun.  

Setiap misi kayuhan memerlukan wang untuk belanja makan minum dan penginapan.  Bukan besar sangat, tapi bagi orang miskin sepertinya, untuk dapat  RM1000 atau RM2000 pun sukar. Namun Kerana semangat  berkobar-kobar, jelajah Malaya diteruskan juga.  Penaja harus dicari. Pernah pihak tertentu menjanjikan sumbangan wang, dan mereka berjanji wang akan dimasukkan dalam akaun bank Pak Saad  namun setelah disemak,  tak dimasukkan. Sehingga kayuhannya terkandas di  separuh jalan, seperti berlaku pada tahun lalu ketika   tiba di Negeri Sembilan,  wang tersisa dalam dompek hanya tinggal tiga Ringgit. Biar  apa pun terjadi, Pak Saad tak serik,  berkayuh lagi pada tahun ini. Hanya  kali ini beliau pastikan wang secukupnya sebelum memulakan kayuhan.

Dalam masyarakat Malaysia hari ini, siapa yang  peduli  dengan warga emas berkayuh basikal seorang diri di bawah panas terik matahari mengelilingi Malaya. Samada tujuannya meraikan ulangtahun kemerdekaan atau sukan, rata-rata beranggapan;  orang ini sengaja menyusahkan diri sendiri, warga emas seharusnya  berehat di rumah bersama cucu atau  iktikaf di masjid. Galakan seperti tidak ada. 

Sanario  politik yang berlaku di Malaysia sekarang benar-benar  menjadikan rakyat serabut, terganggu fikirannya.  Di sana sini  orang bercakap tentang politik. Orang kampung, pesawah, penoreh getah, pekerja rumah batu, pekerja bengkel kereta sudah pandai bercerita tengan 1MDB, sudah pandai menyebut Rizal Aziz, Jho-Loo.  Mengumpul harta di luar negara, bikin filem di Hollywood dan sebagainya.

Parti-parti politik pula bersengketa sesama sendiri. Pecat , tubuh parti baru, sekarang semacam  trend . PAS melahirkan  Parti Amanah Negara (Amanah), Umno dengan  parti serpihannya yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Itupun kalau diluluskan pendaftarannya oleh  Pendaftar Pertubuhan (ROS). 

Kesimpulannya, Hampir semua parti-parti politik yang ada di Malaysia hari ini, sama ada dari  blok  penguasa mahupun oposisi  bergelora seperi ombak di samudera. Jika kondisi seperti ini berlanjutan, keyakinan rakyat kepada parti-parti tersebut akan hilang. Hakikatnya,  sekarang pun sudah hilang. Hanya kebijaksanaan mengolah kempen menjelang PRU 14 nanti memberi keuntungan  kepada parti-parti tertentu khususnya BN yang memiliki kelebihan media. Maka rakyat akan tertipu untuk sekian kalinya. 

Tentang kegilaan politik, tertarik dengan kata-kata Sasterawan Negara (SN), Dato Dr. Zurinah Hassan “Politik memecahkan, seni mencantumkan” Selanjutnya kata SN itu “Kerana politiklah kita menjadi rakyat Malaysia atau Indonesia, tetapi kerana seni seorang pakcik di Perlis dan seorang lagi di Padang, Sumatera sama-sama menyanyi “Kau laksana bulan”.
Pak Saad Noordin menutup telingga, bosan mendengar cerita politik yang tak ada noktah. Terus mengayuh basikal berbumbungkan langit, bertemankan matahri. Sebelum 31 Ogos harus sampai ke Kulim, Kedah. 

2 comments: