Oleh: Rossem
Ketika tragedi berdarah Mei 13 saya berada di Kuala Lumpur
dan ikut terjun dalam kancah persengketaan antara kaum terbesar pernah melanda
Malaysia sebagai pengawal keamanan. Saat itu masih bersekolah di pinggir kota,
seminggu selepas tragedi , Kuala Lumpur masih belum aman, situasi dan kondisi berterusan
 panas bahkan bertambah celaru, warga
kota hidup dalam ketakutan, pelarian makin ramai memenuhi  Stadium Merdeka, Stadium Chin Woo, Sekolah
Victoria Institution (VI)  dan lain-lain.
Rumah kediaman mereka hangus dibakar, terpaksa  melarikan diri kerana takut. 
Saya mendaftar sebagai polis sukarela dengan  diberikan kad pengenalan polis berwarna kuning
dan senapang patah dengan enam butir peluru penabur. Tidak ada latihan khusus
tentang  pengunaan senapang, tapi yakin
diri, senapang patah, senjata yang paling mudah dikendalikan.  Saya ditugaskan mengawal  Stadium Merdeka dan  Victoria Institution, di bawah arahan Polis
Diraja Malaysia Kuala Lumpur. Ada ribuan pelarian Cina terdiri orang tua,
wanita dan kanak-kanak ditempatkan di situ. Dewan sekolah VI menjadi tempat
tidur berminggu-minggu  lamanya. Lantai
simen yang sejuk  pada malam hari  membuat seluruh badan sakit-sakit walaupun
ketika itu usia  baru awal duapuluhan. 
Sesekali dibawa pasukan polis meronda bersama mereka seputar
Kuala Lumpur dengan manaiki  terak   polis. 
Kesan rumah kediaman dan bangunan terbakar tampak jelas,  sebahagiannya masih mengeluarkan asap.  Di jalanan hanya lori-lori polis,
tentera  dan ambulan tampak  mundar mandir. Kenderaan awam bahkan pejalan
kaki  tidak ada  kerana  perintah berkurung. Bayangkan betapa sukarnya
untuk mendapatkan makanan asas seperti beras, lauk, garam, gula ketika itu.
Mereka yang tak pernah merasai hidup dalam situwasi  perintah berkurang pasti tak dapat bayangkan.
 Pintu dan tingkap rumah ditutup rapat,
tak berani buka.  Untuk menjengok ke luar
jendela dikhuatiri peluru singgah di kepala. 
 Sebelum meletus  tragedi Mei 13 yang sadis, suhu  politik Malaysia khususnya di Kuala Lumpur  sangat panas. Pencapaian Barisan Nasional (Perikatan)
pada Pilihan Raya Umum 1969  merosok
teruk, sehingga sukar membentuk kerajaan. Di Jalan Tunku Abdul Rahman,
perarakan parti-parti yang menang PRU berlangsung dengan penuh keegoan, sambil
membawa  penyapu besar!  Api kemarahan antara kaum pun tak dapat dielakkan.
Bensin dicurahkan, rumah, bangunan lalu 
terbakar. Parang , pedang berterbangan mencari mangsa.
Kenapa saya menulis sejarah lapok ini.  Apa relevannya dengan masakini. Generasi yang
lahir pasca 13 Mei  1969 tentu tak
berminat  dengan cerita ini. Malah
pengetahuan mereka  seputar tragedi
hitam  ini pun barangkali  basah basi. Generasi sekarang lebih mengetahui
tentang serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong  yang berlaku 1950an  berbading Mei 13, kerana Bukit Kepong  dibuat filem, ditonton sepanjang masa lewat
televisyen.  Sedang Tragedi Mei13 tak ada
dibikin filem khusus,  kerana dikhuatiri menyentuh
sensitiviti perkauman  di Malaysia. Melukakan
hati dan perasaan banyak pihak. 
16 September kita merayakan ulangtahun Hari Malaysia ke 52.
Bendera Jalur Gemilang yang sebelumnya ada 11 jalur ditambah menjadi 14
jalur.  Sabah, Sarawak dan Wilayah
Persekutuan membentuk jalur baru merah putih. Cinta rakyat kepada tanah watan
tak pernah berkurang, bahkan makin lama semakin sayang, yang perlu dirawat,
dibajai, diubati ialah tingkahlaku masyarakat terutama yang bergelar pemimpin. Ibarat
ikan, kalau kepalanya elok, maka eloklah seluruh badan. 
Pemimpin,  sebagai  nakhoda 
kapal harus bijak mengendalikan kapal  dalam semua situasi dan kondisi
lebih-lebih  lagi ketika laut bergelora,
waktu laut tenang jangan pula boros, kebas makanan kelasi.  Simpan stok makan itu untuk  hari 
kecemasan. Jangan sesekali buka layar untuk belayar, sedang sauh masih
tertambat di air!
16 September Hari 
Malaysia, di  Kuala Lumpur tidak
ada perbarisan angkatan tentera yang menjadi kemegahan negara. Perarakan kereta
berhias juga tiada.  Penari-penari
tradisional dari pelbagai etnik juga tiada. Kekosongan itu kemudiannya di isi
perarakan seragam merah oleh sekelompok manusia yang datang dari seluruh
pelusuk negara menaiki kereta dan bas sewa khas . Apa motifnya kurang arif.
Kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, pastinya, perhimpunan
itu bisa   mengundang pelbagai persepsi
negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya.
Jangan cemari sambutan Hari Malaysia dengan perarakan atau perhimpunan yang
boleh  ditafsirkan sebagai berbaur
perkauman walau apapun motif di sebaliknya.Kalau nawaitu baju merah mengerah ribuan massa berhimpun dan berarak di Kualu Lumpur untuk menyaingi perhimpunan kuning yang diadakan sebelumnya sangat tidak tepat. Perhimpunan kuning jelas motifnya, sedang perhimpunan merah tak lebih sebagai menunjukkan kekuatan semata-mata. Perhimpunan kuning disertai berbilang kaum dan bebas daripada unsur-unsur perkauman. Manakala perhimpunan merah hanya disertai orang Melayu dari kalangan Umno dan NGO yang menyokong parti itu.
.4 hari sebelum perarakan baju merah, di Kota Bharu, patung menyerupai Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng dibakar puak baju merah seusai seorang pemimping parti yang pernah bertanding tetapi kalah di Parlimen Kota Bharu berucap. Dua patung yang dipakaikan dengan kemeja berwarna kuning hangus terbakar, tepok sorak pun bergema.
Teringat tahun 60an, ketika konfrantasi Malaysia – Indonesia memuncak. Patung Presiden Sukarno dibakar setiap kali perhimpunan memprotes konfrantasi diadakan sebagai menunjukkan kebencian kepada Presiden Republik Indonesia ketika itu kerana mahu ganyang Malaysia. Patung Perdana Menteri Israel juga pernah dibakar massa setiap kali tentera Zionis mengebom bumi Palestin. Tetapi membakar patung sesama rakyat Malaysia sedikit aneh.
Ketika tragedi Mei13 (1969), sejarah mencatatkan, di Kelantan tiada berlaku pertumpahan darah seperti terjadi di Kuala Lumpur. Ketika itu Kelantan diperintah oleh PAS. Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Almarhum) sebagai Menteri Besar ketika itu mengeluarkan arahan langsung kepada penghulu-penghulu seluruh negeri. Kata-kata beliau yang masyhur “ Kami (Menteri Besar) tak mahu melihat walau setitik darah orang Cina tumpah, sehelai bulu roma orang Cina tertanggal dari badannya disebabkan tangan-tangan orang Malayu Kelantan”.
Orang Melayu khususnya yang suka warna merah harus bertanya diri sendiri; Mengapa tanah rizab Melayu semakin mengecil? Mengapa hanya 17 peratus sahaja ekuti dicapai orang Melayu sejak kemerdekaan, mengapa Pusat Seranti dipenuhi anak-anak Melayu? Itu sepatutnya mereka perjuangkan!
Game Online Terbaik
ReplyDelete-24 Jam Layanan Terbaik
-Proses Cepat Pasti Nyaman
-Real Player Vs Player No Robot
mcb poker
mcbpoker blackjack
mcbpoker super10
mcbpoker omaha
mcbpoker ceme
mcbpoker ceme keliling
mcbpoker capsa
mcbpoker domino
mcbpoker Bandar Poker IDN
mcbpoker poker