Oleh: Rossem
Kali terakhir bertemu Allahyarham kurang lebih tiga tahun
dulu, ketika pilahan raya kecil Bagan Pinang, Port Dickson,   11 Oktober 2009. Ketika itu saya ikut
berkempen mewakili PAS negeri Kelantan dan beliau mewakili PAS kawasan Rembau,
Negeri Sembilan.  
Bertemu sahabat lama di lokasi  kempen yang sedang rancak dan panas pasti
banyak kenangan pahit  manis yang
dikongsi bersama. Ironisnya walupun kami 
datang  dari tempat berbeza tapi punya
matlamat yang satu;  berkempen
memenangkan calon PAS yang berdepan dengan calon Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad
ketika itu. Itulah kehebatannya. 
Sejak  itu tak bertemu
lagi, namun hubungan kami  tak pernah putus,
sering berkomunikasi  lewat telefon dan
facebook.   
Keakraban antara kami adalah  bertitik tolak dari denyut rasa, rentak bicara
yang berteraskan persamaan  warna  politik, 
selebihnya   kami kebetulan  memiliki minat yang  sama yakni kartun, puisi  dan penulisan. 
Sewaktu saya merencanakan mahu menerbitkan buku “Sajaktun
dan Khutbah Burung” lantas saya menghubungi beliau lewat  facebook, meminta  beliau menulis kata pengantar. Saya susuli
kemudiannya dengan telefon dan beliau bersetuju bahkan melahirkan rasa bangga
kerana diberi peluang menulis kata pengantar. Sebelum itu pada tahun 2008
beliau pernah  menulis dua kata pengantar
 untuk komik dakwah karya saya masing-masing
berjudul; Anakku-Kenalilah Allah dan Menuju Jalan Allah, yang diterbitkan
penerbitan  tempat beliau berkerja. 
Keesokan harinya, sebuah kata pengantar yang saya minta dititipkan
lewat dinding pesan  facebook saya. Bahasanya  puitis. 
Membacanya terasa  seperti air
sungai yang mengalir  deras.  Saya kaget sungguh  dengan kepantasan beliau menulis demi memenuhi
permintaan seorang sahabat, walhal saya tahu, saban hari  beliau sibuk dengan bisnis capal yang
diusahakan sejak berhenti kerja sebagai editor di sebuah penerbitan di Kajang,
Selangor.
Sehari selepas Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban, 2
November 2012 saya bertanya beliau lewat pesan facebook;  benarkah jumlah yang hadir sehingga mencerceh
30 ribu seperti dilaporkan media, sedang  suratkhabar Berita Harian mengatakan sambutan
menghampakan, 10 ribu saja  hadir. Saya
bertanya demikian kerana beliau tinggal di Negeri Sembilan, kemungkinannya
beliau ikut  sama. Namun jawapan beliau
ringkas “Saya di KL, tak dapat  info” .  
Empat  hari selepas
itu, pada 7 November 2012, Rabu, juga lewat 
pesan di facebook, seorang teman kartunis  Azmie Taha mengkhabarkan “Azim Salleh telah
kembali kerahmatullah jam 11.00 malam tadi dalam tidur yang tenang-  Alfatihah”.
Azim Saleh atau nama sebenarnya Salehuddin Ghazali seorang
penyair,  penulis bahkan dalam bidang
kartun juga beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang suka membantu serta
memberi galakan dan motivasi kepada kartunis. Walaupun beliau  bukan seorang kartunis, namun ramai dari
kalangan kartunis mengenali  beliau
secara dekat diatas sifatnya seperti itu. 
Allahyarham   menutup
usia jam 11.00 malam,  7 November 2012
ketika berusia 53 tahun ( 30.10.1959 – 7. 11. 2012) Al-Fatihah. 
Foto: Penulis bersama Penyair Azim Saleh (Allahyarham) ketika
di Kota Bharu. 

No comments:
Post a Comment