Oleh:Rossem 
Jadi orang kelantan kadang-kadang melucukan. Ke mana pergi sering ditanya dengan pelbagai soalan politik. Lebih-lebih lagi setelah  mereka tahu kerjaan saya  di Kota Bharu dengan sebuah badan politik. Atau  mungkin mereka berpendapat, seperti sering diucapkan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Kelantan adalah universiti politik terbuka pertama di Malaysia. Setiap rakyat merupakan siswa, siswi  dan alumni. Tapi saya akui, bukan tahu semua seputar politik, terutama politik belakang tabir. 
Bukan saja orang Kuala Lumpur yang bertanya demikian, bahkan pengamat-pengamat  politik di merata tempat,  sehingga menglangkau  seberang  Selat Melaka-Indonesia. Seperti yang berlaku 26 Disember lalu, di Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia, saat saya berkunjung ke Ranah Minang untuk kedua kalinya dalam tempoh setahun  (2009). 
 Seorang  lelaki 40an mengajukan soalan; bagaimana kondisi politik di Malaysia, khususnya Kelantan?. Ia bertanya seperti itu di lobi hotel Pangeran Beach, Kota Padang.   Spontan  saya menjawab “Baik-baik saja Pak”. Selanjutnya saya berbicara dengan lelaki yang pernah berkunjung ke Malaysia itu tentang usia pemerintahan PAS Kelantan kini sudah memasuki 19 tahun. Bermula dari bayi, pandai merangkak, bertatih, berdiri, berjalan sehingga pandai berlari. Namun sepanjang tempoh itu tidak selamanya aman, ada ketikanya diserang sakit,  demam, selsema dan batuk-batuk. Biarpun penyakit itu dikatakan ringan namun sesekali mengkhuatirkan. 
Bahkan pernah diserang penyakit berat, seperti sebelum pilihan raya umum ke -12 (2008) lalu. Kerajaan PAS Kelantan ketika itu berada dalam kondisi kritikal. Memerintah dengan hanya majoriti satu kerusi. Cemas dan mengkhuatirkan. Tapi  wakil-wakil  rakyat serta para pendokong parti saat itu bersatu padu, berdiri teguh di belakang Tok Guru. Tiada terdengar  langsung ikan sekolam berlaga. Bahkan gigit ekor pun tidak. Hasilnya,  pada pilihan raya umum ke 12,  PAS menang lumayan. BN tinggal enam kerusi. Oleh orang PAS digelarnya,  era enam jahanam! 
Setelah menang banyak. Penyakit  datang. Sudah kedengaran kini  merata riti; ikan sekolam berlaga. Cuba mengiggit ekor ikan yang lain. Memang demikian sepsis ikan yang tinggal sekolam. Kalau  semua kenyang -insyaallah selamat,  tapi bila masing-masing lapar,  ikan akan makan ikan. Demikian juga orang politik, kawan makan kawan merupakan lumrah,  tidak terkecuali parti apa pun!. 
Saya teringat, kebetulan saya menternak ikan keli dalam lima buah kolam simen yang besar  di belakang rumah.   Ikan-ikan itu walaupun sebangsa (seakidah) dan tinggal bersama dalam kolam-kolam yang dibina,  hanya dari  jauh tampak aman, bernang dan berebut  makanan yang  ditaburkan, sehingga saya  senang hati dengan gelagat sang keli. Terhibur  dan mengayikkan.  Tapi tabiat  ikan keli sukar dibuang. Ia sejenis sepsis ikan makan ikan.   Ada saat dan ketika yang lemah akan menjadi makanan yang kuat. Rupa tabiat buruk ikan keli ini ada juga pada orang politik khususnya di kalangan orang Melayu. 
Kendati pun demikian, apa yang berlaku dalam kolam PAS Kelantan tidaklah seburuk seperti digambarkan oleh media massa pro Pemerintah. Cemas dan mengkhuatirkan. Sehingga ada individu  tidak dikenali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya mengatakan,  Kerajaan PAS Kelantan hanya boleh bertahan beberapa bulan saja lagi. 
 Hanya seperti kata pepatah, kalau tidak ada angin, masakan pohon bergoyang. Kalau tidak ada ular masakan burung tempua lari meninggalkan sarang. Tidak dinafikan, ikan gigit ekor ikan yang lain itu tetap berlaku, tapi tidak sampai  mati, air juga tidak keruh dan busuk. 
Natijahnya,   tidak  berlaku  perubahan emosi atau luntur semangat dikalangan para pendokong parti Islam itu di peringkat akar umbi. Majlis PAS berjalan seperti biasa, kehadiran khalayak juga tidak berubah, malah lebih ramai sekiranya  judul-judul ceramah menfokuskan  tentang isu-isu panas dan terkini. 
Zaman Pak Lah yang defensif sudah berlalu,  Sekarang era Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.  Tampak lembut tapi agrasif. Kalau kerajaan PKR Perak boleh dijatuhkan dengan cara tidak sopan, apakah negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) boleh duduk berpeluk tubuh. Pohon kekuasaan itu pasti digoyong mereka  sekuat tenaga sehingga buah, daun, ranting, dahan gugur dan  patah menyembah bumi. 
Dan pemerintahan PAS Kelantan yang  berusia 19 tahun  itu tidak terlepas daripada agenda untuk menjatuhkannya. Sasarannya pasti Tok Guru! Kerana mereka tahu, untuk melemahkan PAS Kelantan harus melemahkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dulu.
No comments:
Post a Comment