Sunday, October 25, 2009

Pak Din juga pejuang?


Oleh: Rossem

Kecapetan masih terasa. Badan masih lemah. Panorama Kg Bagan Pinang dengan deretan rumah-rumah tradisonal Melayu Negeri Sembilan dan banglo moden berbaris di sepanjang jalan yang sempit masih terbayang di ruang mata. Rumah Pak Din masih segar dalam ingatan. Juga wajah Pak Din yang sangat bersahabat.

Pak Din atau nama sebenar Jamaluddin sangat bejasa kepada sebuah perjuangan yang dimunculkan dalam sebuah masyarakat yang belum mengenali apa itu perjuangan Islam. Di tengah-tengah masyarakat seperti ini, hal-hal yang melibatkan hukum Islam terutama soal politik kenegaraan sering dihujah dengan seribu argumentasi yang mengeliru dan membingungkan oleh kaum sekular. Pak Din melewati detik-detik pahit seperti itu dengan sabar dan istiqamah. Ia sedar bahawa membantu perjuangan Islam akan berdepan dengan risiko, dileceh masyarakat dan diawasi para pemuka serta pendokong partai sekular, namun beliau tidak mahu kepatahan sayap dalam melebarkan ruh Islam terhadap lingkungannya. Biar seribu risiko, namun Pak Din tidak takut, apalagi mundur!.

Pak Din telah mendahului masyarakat di desanya Bagan Pinang dalam memahami apa erti kesyumulan Islam. Menurutnya Islam dan siasah tidak pernah terpisah walau sedetik. Ia tetap menyatu. Seperti penyatuan ombak Selat Melaka dan pantai Port Dickson pada setiap saat.

Dalam rumah Pak Din, yang separuh batu dan separuh kayu, sederhana tapi kemas, mantan tentera darat Malaysia itu mengantungkan potret Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada dinding ruang tamu. Wajah ulamak itu seolah-olah merenung kami saat saya berbicara dengan Pak Din.

Potret Tok Guru itu tampak sedikit pudar warnanya. Mengambarkan usia pembikinannya. Dirakam saat mula menjadi Menteri Besar Kelantan-1990. Barangkali sudah lama tergantung di situ. Sekaligus memberitahu kita bahawa minat pesara tentera berusia 63 tahun pada sang tokoh itu bukan hanya baru setahun dua ini, pastinya sama usianya dengan potret itu dikeluarkan.

Saya telah menghadiahkannya sebuah potret baru Tok Guru yang berukuran lebih besar, siap dengan fremnya sekali, bagi mengantikan potret yang sedikit lusuh. Beliau senang sekali dengan hadiah itu, lantas dipeluknya saya. Namun saya bisikkan “ Exco Penerangan, Pembanguan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan yang meminta saya sampaikan kepada Pak Din”.

Di Malaysia hanya sebuah saja parti politik yang mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya, iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Parti itu telah memenuhi tuntutan Islam yang mengkehendaki agar urusan pemerintahan negara tidak terpisah dari agama. PAS telah berjuang untuk membetulkan persepsi salah ummah selama ini bahawa “agama suku dan politik suku” yang sekian lama ditanamkan kaum kolonil Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ke dalam minda umat Melau /Islam selama kurang lebih 500 tahun adalah sebuah doktrin yang salah menurut Islam. Dan Pak Din telah mendahului yang lain dari kalangan warga di desanya dalam memahami Islam menurut sirah Rasulullah saw. Beliau kemudianya menjadi pendokong setia PAS! Seorang pemberani disaat orang lain dalam lingkungannya takut untuk mengklaimkan diri mereka sebagai Orang PAS.

Untuk apa menyertai PAS? Kerana matlamat penubuhan parti itu sangat jelas. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)” (Q. Ali-Imran 3:104)

Pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar tidak akan terlaksana jika umat Islam tidak mempunyai kuasa (Kerajaan), kerana kerajaan saja yang dapat melaksanakan perintah dan larangan, apalagi untuk mempraktikkan perundangan Islam, oleh kerana itu, kita memerlukan kuasa kerajaan, maka untuk mendapatkan kuasa kerajaan haruslah lewat jalur politik. Tanpa politik, sesebuah jamaah Islamiyah hanya akan menjadi jamaah dakwah seperti ABIM atau Jamaah Tabligh saja, malah untuk mewujudkan jamaah seperti itu pun perlu berdaftar mengikut undang-undang negara ini.

PAS di Negeri Sembilan baru bertatih. Sedangkan di Kelantan sudah lama bertapak. Di Kelantan ditubuhkan ekoran daripada penubuhan PAS Pusat di Butterworth 1951 sebagai cetusan semangat perjuangan Islam yang dipelopori Pertubuhan Hizbul Muslimin di Gunong Semanggol, Perak, dan perjuangan Islam yang dipelopori MASYUMI di Indonesia ketika itu.

Nama Gunong Semanggol sangat sinonim dengan perjuangan Islam. Sehingga penjajah Inggeris pernah mengingatkan “bahaya dari gunung”. Yang dimaksud “gunung” ialah Gunong Semanggol, di Perak.

Dan Pak Din dari Bagan Pinang, juga asalnya dari Gunong Semanggol, Perak. Isterinya saja tempatan. Justeru tidak hairan semangat “Gunong Semanggol” masih melekat dalam jiwanya, sehingga merelakan halaman rumahnya digunakan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan sebagai tapak Pameran Kenali Kelantan 2009 selama 10 hari, meskipun masyarakat sekitarnya khususnya dari UMNO melihatnya bagaikan harimau mahu menerkam.

Pak Din bertuah, sepanjang 10 hari itu rumahnya dikunjungi tetamu yang sebelum ini tidak pernah terbayang bahawa suatu hari akan bersilaturahim ke rumahnya. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Ahmad Yakob, Exco-Exco seperti Dato’ Haji Husam Musa, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, Haji Abdul Fattah Mahmood, Mejor (B) Md. Anizam Abd Rahman, Haji Che Abdullah Mat Nawi dan Hjh Wan Ubaidah Omar. Juga beberapa Wakil Rakyat dari Kelantan.

PAS memerlukan lebih ramai sang pemberni seperti Pak Din untuk kelangsungan perjuangan Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini.

No comments:

Post a Comment