Saturday, May 14, 2011

Keunggulan Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin mengikut pandangan kaum sarjana


Oleh: Rossem
Suatu siang, Tok Guru dikunjungi diplomat (duta) Amerika Syarikat di pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim. Lebih dua jam duta Negara Kuasa Besar dan Tok Guru berbicara. Hal yang jarang berlaku. Seringnya setiap kunjungan tetamu memakan masa maksimal satu jam. Barangkali ada sesuatu yang menarik dan istimewa menurut persepsi sang duta terhadap Tok Guru sehingga perbualan berlanjutan. Ia berlangsung dalam situasi santai dan tampak akrab.

Yang ditanya sang duta kepada Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan seputar pelaburan mencercah jutaan dollar yang akan di bawa ke Kelantan, tapi sebuah pertanyaan paling simple, namun sarat dengan makna, sehingga enjin berfikir kita pun meraba-raba mencari jawapan; apa disebalik soalan itu dong?

“Bagaimana Tok Guru menjalani kehidupan rutin sepanjang 24 jam, ceritakan secara detail?” tanya sang duta kepada Menteri Besar Kelantan. Satu soalan personal yang sangat rahsia. Pertanyaan seperti itu bahkan pendokong setia atau mereka yang rapat dengan Tok Guru sendiri pun tidak pernah melontarkannya kepada beliau.

Kenapa duta Amerika Syarikat di Malaysia melontar soalan demikian? Jawapan kita; barangkali apa yang disaksikan sang duta dari pengamatannya yang mendalam tentang tokoh yang satu ini sangat berbeza dengan sosok yang pernah ditemui di tempat lain. Barangkali dari aspek pakaian, tuturkata, bahkan wajahnya yang sentiasa bersih dan tenang menyimpan satu rahsia besar yang bagi Amerika Syarikat sangat berminat untuk mengetahuinya. Lagipun tokoh ini sudah lebih 21 tahun mentadbir Kelantan.

Kisah itu diceritakan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohamad Fadzli Zhari pada suatu majlis diskusi buku berjudul “Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz- mengikut pandangan sarjana kepimpinan besar seoanjang zaman” karya Mantan Profesor Matematik-Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan mantan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain di sebuah hotel terkenal di Kota Bharu. Kelantan.

Bicara seputar kepimpinan Tok Guru petang itu agak kelainan kerana yang membicarakannya bukan politikus tapi ahli akademik dan sasterawan (penyair) terkenal Dinsman, beliau sekaligus sebagai penerbit dan penulis kata pengantar kepada buku tersebut.

Dr. Shaharir sebagai pembicara pertama mengungkapkan bahawa dalam kajiannya yang mendalam mencari seorang tokoh kepimpinan Melayu terunggul abad ini telah menemui sosok yang bernama Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk diketengahkan. Beliau menggunakan bidang kepakarannya: matematik fizik untuk menilai tahap pencapaian kepimpian itu. Hal yang jarang berlaku.

Selain itu, bahan rujukkannya untuk dijadikan kayu ukur kepimpinan sejati dan terunggul ialah dari karya agung sarjana Muslim Melayu abad ke 17 M, Bukhary al-Jawhary (Taj al-Salatin 1607). Ini juga jarang dilakukan mana-mana sarjana pun untuk dijadikan bahan rujukan kepimpinan, kerana Taj al- Salatin lehih terkenal sebagai naskah kesasteraan, namun oleh Dr Shaharir dicarinya bahagian-bahagin tertentu dari teks tersebut yang sesuai dengan kajiannya tentang aspek kepimpinan sejati dan terunggul.

Lalu beliau menemukan; pemimpin itu harus memiliki delapan aksiom kepimpinan iaitu: Insaf akan kematian, melakukan nubuwwah dan hukumah (menegakkan risalah Nabi Muhamad saw), adil, berhemat, ulul albab, berilmu, sakhawah dan ihsan (dermawan dan pemurah hati) dan teguh dengan wafa’ dan ‘a-hdad (tahap kesetian yang tinggi dan berpegang erat dengan sebarang janji sehingga mengotakannya).

Eksiom pertama dan kedua; memang tepat dengan sifat diri Tok Guru yang saban hari mengingatkan rakyatnya tentang kematian dan persedian yang harus dibawa ke alam akhirat. Ini dilakukannya setiap kali beliau berpeluang berucap di khalayak ramai. Taskirah menjadi perkara rutin Tok Guru tanpa mengira siapa khalayaknya, sama ada Muslim atau non-Muslim.

Tentang eksiom ketiga; yakni adil. Makna adil dalam konteks sekular “tidak berat sebelah”, “kena pada tempat”, “tidak berpihak” sangat berlawanan dengan makna adil menurut Islam. Adil mengikut Islam lebih luas maknanya, iaitu tidak zalim; yang bermaksud bukan saja tidak menganiaya sesama manusia dan makhluk lain bahkan dirinya sendiri. Seseorang yang tidak peduli terhadap hukum Allah SWT dikatakan oleh Allah SWT sebagai orang menzalimi dirinya sendiri; dan orang yang sanggup menzalimi dirinya sendiri tentunya tiada masalah untuk menzalimi mahkluk lain.

Manifestasi dari doa nabi Nabi Adam as yang sering diamalkan oleh sebahagian Muslim termasuk Tok Guru “Ya Allah, sesungguhnya aku banyak melakukan kezaliman kepada diriku sendiri, maka ampunilah daku” Tiada keterlaluan dikatakan bahawa Tok Guru adalah pemimpin yang sangat adil dalam mendokong dan menghayati makna adil di sisi Islam. Bahkan tiada pemimpin lain di Malaysia yang setaraf dengannya telah melakukannya.

Menegakkan hukum Allah dalam segenap sektor atau lapangan kehidupan itu merupakan satu bentuk keadilan yang dituntut oleh Islam. Dalam hal ini, Tok Guru sebagai seorang pemimpin tidak membenarkan ekonomi riba’, perbankan riba’, atau urusan jual beli riba’ di kalangan rakyatnya, menghapuskan aktiviti judi dan minum arak dikalangan Muslim, mewajibkan wanita yang bekerja dengan pemerintah dan berurusan dengan orang awam menutup aurat, melarang iklan-iklan wanita mendedahkan aurat, tidak mengizinkan akitviti seni yang jelas mengandungi unsur-unsur khurafat, dan banyak lagi yang bertentangan dengan kehendak Islam dilarang di Kelantan.

Itu menunjukkan betapa hampirnya setiap aksiom pemimpin unggul mengikut opini sarjana agung Melayu abad ke 17 M dengan sifat kepimpinan yang dimiliki Tok Guru Nik Aziz kerana aksiom-aksiom ini natijah daripada kepimpinan Islam, dan Tok Guru berusaha keras menzahirkan dalam pelaksanaan “Membangun Bersama Islam” pada segenap aspek pentadbirannya di Kelantan.

Tok Guru tidak pernah jemu bosan “menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan” dalam setiap kesempatan yang ada padanya. Bahkan beliau tidak sekali-kali berpegang pada sikap pemimpin lain (yang sekular), iaitu, seperti “soal moral adalah soal peribadi”, “soal pakaian adalah soal peribadi”.

Bahkan jauh sekali berpegang kepada prinsip “semua agama sama”. Sebaliknya beliau mengklimkan dengan lantang tanpa berselindung, bahawa Islamlah penyelesai segala masalah manusia, Islamlah agama sebenar (a-dyn), dan tugas pemimpin Islam ialah merealisasikan segala perundangan negara mengikut lunas-lunas Islam.

Selanjutnya Prof. Dr. Shaharir merumuskan bahawa gaya kepimpinan Tok Guru Nik Aziz sangat serasi dengan jiwa Melayu. Menepati ciri-ciri psikologi orang rumpun Melayu (Nusantara). Kepimpinan Tok Guru tidak pernah terputus daripada gapaian orang Melayu, sedang pemimpin yang dikatakan oleh sebahagian orang Melayu sebagai pemimpin Melayu terunggul seperti Dr. Mahathir Mohamad, namun kepimpinan Mantan Perdana Menteri Malaysia itu sudah mengalami kecacatan, yakni terputus daripada gapaian orang Melayu, contohnya meminggirkan bahasa Melayu dalam pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) .

Selanjutnya lewat didiskusi buku tersebut, Dinsman mengungkapkan betapa Tok Guru (dengan sokongan para sahabatnya) telahpun melaksanakan kerja jihadnya memimpin dan mentarbiyah ummah dan mentadbir negeri cara Islam, setakat kemampuan dan keterbatasan tertentu. Sehingga Dinsman menyebut, kejayaan Tok Guru dan Negeri Kelantan dalam “Membangun Bersama Islam” sebagai sesuatu yang sangat bernilai, dan seharusnya dijadikan satu produk, yang bukan saja dipakai sendiri, bahkan dikembangkan hingga ke negeri lain.

Wednesday, May 4, 2011

Sumpah Laknat- Budaya Orang Melayu?

Oleh: Rossem
Bangsa adalah apa yang tersisa dari moralnya, jika moralnya hilang,
maka bangsa juga akan turut hancur.

Kata-kata itu adalah ungkapan para pemikir silam. Kata-kata itu tidak
hanya dituju kepada lingkungan mereka dizaman itu, bahkan sesuai untuk sepanjang
zaman.

Ketika bangsa Melayu diambang keruntuhan peradabannya terasa
kata-kata sang bijak pandai itu seperti menuding jari ke muka kita.
Bangsa yang sedang bergelombang dengan keaiban ini sangat memerlukan
sebuah motivasi dari sang bijak pandai agar mereka sedar dari
kekhilafan dan ketelanjuran yang dilakukan secara mengila atas nama
kelangsungan politik dan kekuasaan.

Bangsa Melayu dan UMNO, dua nama yang saling terkait. Dua elemen yang didakwa berjalan seiring. Sebagai pengawal bangsa Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan dari Inggeris lebih 60 tahun lalu. Demikian mereka cuba memahami kita dengan konsep itu sejak dulu.

Untuk itu, dikatakan bahawa, tokoh-tokoh seperti Almarhum Tengku Abdul Rahman, Almarhum Tun Abdul Razak, Almarhum Tun Husain On, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ketua-ketua pengawal yang mengawal selia bangsa Melayu agar keselamatannya terjamin dan tiada sesiapa yang berani mengugat. Juga sebagai doktor yang merawat bila bangsa Melayu ditimpa penyakit sosial.

Lalu kita pun melontarkan sebuah pertanyaan keras; apakah bangsa
Melayu berada dalam posisi selamat selama UMNO menjadi pengawal?
Apakah penyakit sosial orang Melayu sudah berjaya diubati oleh UMNO? Apakah jenis ubat yang disediakan mereka? Jawapannya pasti aduhai! Sebenarnya doktor yang merawat juga dihinggapi penyakit. Justeru, bagaimana doktor yang sakit mahu mengubat pesakit?

Ibu segala penyakit yang menimpa bangsa Melayu sekarang ialah rasa
keaiaban yang tiada tolok banding lantaran setiap hari dipalu gendang fitnah oleh pemalu gendang dari kalangan pemimpin Melayu terhadap saudaranya yang juga orang Melayu.

Tuduhan meliwat, melangani pelacur bahkan bermacam-macam lagi ditujukan kepada sosok yang satu ini yakni Anwar Ibrahim. Tuduhan sehingga diluar batas-batas undang dan moral menjadi kain basahan setiap hari. Imej aksi seks konon pelakunya adalah Anwar tepampang di akhbar dan televisyen tanpa sedikitpun rasa bersalah kerana menyiar kepada umum.

Bukan mahu membela sesiapa yang melakukan maksiat apalagi maksiat zina, tapi kita yakini bahawa cara mengaibkan kesalahan Anwar dengan tuduhan sedemikian rupa ialah kerana beliau menjadi ketua parti oposisi yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Andainya beliau tidak punya cita-cita politik, sebaliknya hidup sebagai rakyat biasa atau kembali menyertai UMNO, beliau tidak dikenakan tuduhan sebegitu keji.

Siapa yang membikin bangsa Melayu menjadi begitu aib, terasa hina
yang amat sangat? Tidak lain melainkan pengawal yang menjaga bangsa
Melayu itu sendiri. Seperti kata pepatah; harapkan pagar pagar makan
padi.

Walhal kes ini sangat mudah diselesaikan. Bawa mereka yang terlibat ke
mahkamah syariah kerana ada enakmen yang boleh disabitkan kesalahan
sama ada atas kes qazaf atau pelakuan zina sekiranya dapat dibuktikan.
Sedang di mahkamah sivil tiada kes untuk disabitkan kerana pelaku dan
wanita bukan gadis bawah umur, tiada unsur paksaan dan tidak untuk
edaran mahupun jualan.

Trio Datuk T akhirnya melakukan sumpah laknat di masjid untuk meminta Allah SWT melaknati diri mereka jika apa yang didakwa itu bohong.

Benar, tujuan mereka melakukan sumpah mahu menunjukkan kepada
orangramai bahawa dakwaan mereka selama ini tiada unsur bohong, walhal
sumpah seperti itu tiada terdapat nas-nasnya dalam al Quran. Sumpah
laknat hanya boleh dilakukan suami isteri saja, yakni kerana suami
membuat tuduhan zina dan isteri perlu bersumpah untuk menolak tuduhan
itu.

Selanjutnya, yang dinyatakan dalam al Quran ialah; seseorang yang
menuduh individu lain melakukan zina wajib mendapatkan empat orang
saksi adil, tidak fasiq dan tidak pernah melakukan maksiat

Hukum fikah pula menjelaskan sekiranya ingin menuduh seseorang
melakukan zina, individu itu wajib membawa empat orang saksi tidak termasuk
dirinya. Sekiranya gagal menghadirkan bukti dan saksi , individu
tersebut tidak layak membuat tuduhan.

Sekiranya tidak layak, individu itu wajib dikenakan hukum qazaf,
hukuman kepada orang yang menuduh orang berzina tanpa empat orang
saksi. Dalam Islam orang seperti ini dicabuk dengan 80 kali rotan.

Selanjutnya, sumpah laknat bukan cara terbaik untuk menegakkan kebenaran, kerana semua orang boleh bersumpah dan ramai orang melakukannya kerana beranggapan tidak
perlu takut dengan sumpah.

Orang-orang Melayu sudah biasa dengan “sumpah”. Seawal usia belasan tahun sudah berani melakukan sumpah. Saya masih ingat di zaman kanak-kanak, teman-teman saya yang sering mencuri buah mangga di kebun Pak Soh, bila tuannya mengetahui dan bertanya si pencuri, dia malah menafikan dengan keras bahkan sehingga bersumpah “kalau saya mencuri jadi kafir saya”.

Rupanya perangai orang Melayu tak berubah. Zaman kanak-kanak dengan
zaman dewasa sama saja, suka bersumpah. Tapi sumpah Datuk Eskay di
Masjid Amru Al As, Sentul, Kuala Lumpur, tanggal 30 April 2010 sebelum Asar ada lucuannya. Orang yang dituduh melakukan zina tidak bersumpah sebaliknaya yang menuduh pula bersumpah. Kanak-kanak yang dituduh menucuri buah mangga Pak Soh tidak bersumpah sebaliknya tuan punya kebun mangga, yakni Pak Soh pula bersumpah.

Allah SWT Maha Kaya, Dia penguasa sekian alam. Dia berkuasa melaknat
atau tidak melaknat sesiapa yang Dia kehendaki. Barangkali diantara kita ada yang mahukan individu yang bersalah itu menerima hukuman dari Allah SWT di dunia setimpal dengan perbuatannya supaya yang lain dapat menyaksikan balasan itu serta menjadi iktibar kepada yang lain, namun Sumpah Laknat- Budaya baru Orang Melayu?bagaimana andainya bala dari Allah itu menimpa seluruh rakyat Malaysia, di mana kita sendiri pun tidak menjangka bagaimana bentuk musibah itu.

Musibah atau bala bila tertimpa ia tidak mengenal orang jahil atau orang beriman. Kesemuanya terkena. Dan musibah juga pelbagai. Musibah jenis apa kita belum tahu. Andainya UMNO mengalami kekalahan besar pada Pilahan Raya Umum ke 13 akan datang, itu juga dikirakan sebagai musibah besar.

Fitnah

Menuduh orang melakukan zina adalah tuduhan yang amat berat di sisi Islam.
Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, ilmuan yang punya autoriti dalam bidang syariah; orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dengan empat orang saksi yang adil dan tidak fasiq. Ini adalah ketetapan Allah SWT yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia bersih dari sebarang tuduhan.

Jika semua amalan mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidak perlu diwujudkan mahkamah, hakim mahupun polis. Pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah. Akibatnya, system kehidupan negara akan menjadi porak peranda.

Sumpah bagi orang-orang munafik adalah perkara biasa, seperti dijelaskan Allah SWT di dalam al-Quran, bermaksud “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan hartanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka kerjakan” –(Al-Munafiqun:2)

Sifat orang-orang munafik ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata. Namun begitu mereka sebenarnya sering dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong) (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk). Mereka menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsumua dari kebenaran) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” –(Al-Munafiqun:3-5).

Tuesday, April 26, 2011

Wasiat non-Muslim untuk masjid

Oleh: Rossem

Non-Muslim mewasiatkan hartanya kepada masjid dianggap sesuatu yang janggal dan jarang berlaku, tapi di Kelantan berlaku sebaliknya. Kesedaran barangkali timbul setelah non -Muslim melihat Negeri Serambi Mekah yang ditadbirkan ulama, sekaligus tempat tumpah darahnya adalah sebuah negeri yang benar-benar mengamalkan kebajikan, membela semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama.

Realitinya, Negeri Kelantan yang ditadbirkan oleh PAS sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya terutama warga emas. Skim Takaful Kifalah adalah contoh mudah bagaimana kerajaan merealisasikan kebajikan untuk rakyat saat si pencarum amat memerlukan bantuan. Skim ini meliputi semua kaum dan agama.

Baru-baru ini seorang non-Muslim dari kaum Cina, Lee Heh Khoon telah meninggal dunia. Mendiang menjadi salah seorang pencarum dalam skim tersebut, justeru keluatga mendiang berhak mendapat sumbangan untuk mengurus jenazah dan pengkebumian dari Takaful Kifaalah sebanyak RM2,500. Namun mendiang semasa hidupnya telah berwasiat agar RM2,000 daripada skim itu diserahkan kepada Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Hajat mendiang akhirnya terlaksana. Pada tanggal 19 April 2011, cek yang bernilai RM2,000 diserahkan Pengurus Kifalaah Sdn Bhd, Abdul Shakur Sharrie kepada Imam Muda Masjid Muhammadi, Wan Zulkifli Wan Omar dalam satu majlis ringkas di Pejabat DUN Kota Lama.

RM500 telah telah diserahkan kepada keluarga mendiang Lee pada hari kematiannya untuk dibelanjakan berkaitan dengan kelengkapan jenazah. Selebihnya RM2,000 diserahkan kepada masjid seperti diwasiatkan.

Selanjutnya Imam Muda, Wan Zulkifli melahirkan rasa terharu terhadap prihatin yang diberikan masyarakat non-Muslim terhadap kepentingan Masjid Muhammadi. “Saya bersyukur dan senang sekali dengan apa yang ditunjukkan mendiang dan keluarganya, semoga menjadi contoh kepada yang lain”.

“Melalui pengalaman ini, insya-Allah mungkin kebajikan masyarakat non-muslim akan kita (pihak masjid) beri perhatian” ujarnya.

Hakikatnya, sejak dilancarkan skim takaful kifaalah warga emas, sehingga kini lebih 100 warga emas yang menjadi skim ini sebagai jalan alternatif untuk bersedekah. Mereka memilih masjid seperti Masjid Ibrahimi Pasir Putih, Pasti Tuan Guru Haji Omar Sungai Pinang, Madarasah Kampung Rahmat Kandis dan lain-lain.

Mereka tidak menjadikan anak-anak sendiri sebagai wasi sebaliknya pada masjid dan perjuangan Islam.

Monday, April 25, 2011

Kesihan orang Melayu…Tak habis-habis ditakut-takutkan

Oleh:Rossem

40 tahun dulu dalam masyarakat Melayu, ibu bapa sering menakut-nakutkan anak-anak mereka dengan hantu. Sehingga “hantu” menjadi ego dan bangga diri lantaran dirinya diangkat oleh manusia sebagai lambang kekuatan yang tiada bandingan. Walhal hantu sebenarnya makluk biasa yang tidak perlu ditakutkan.

Bahkan tanpa disedari perbuatan menakut-menakutkan anak-anak dengan hantu oleh ibu bapa telah memberi efek buruk kepada minda anak-anak. Sehingga anak-anak menjadi seorang yang lemah semangat, penakut, hilang kekuatan spiritual, takut untuk berdepan dengan situasi yang lebih mencabar dan umum.

Bahkan yang lebih parah, disebabkan salah asuhan ini sehinggakan anak-anak lebih takutkan hantu daripada Allah SWT, yakni Tuhan yang menjadikan hantu, manusia dan sekalian mahkluk itu sendiri.

Menakut-nakutkan seseorang dengan sesuatu imej yang diciptakan, sebenarnya sudah sinonim dengan masyarakat Melayu. Hanya masa saja berbeza. Kalau 40 atau 50 tahun dulu dengan imej hantu, pokok-pokok besar, pokok yang dipanah petir, hujan panas, pelangi dan sebagainya, maka sekarang bertukar imej, sesesuai dengan peredaran zaman, namum motif dan tujuannya adalah sama, yakni untuk menakut-nakutkan individu, kelompok atau rakyat seperti diagendakan.

Yang boleh menakut-nakutkan seseorang atau publik dengan imej tertentu yang jelek pastinya sosok yang gagah dan gedebe. Ibu bapa kepada anak-anak. Penguasa kepada rakyat. Kerana tanpa memilki kekuasaan pasti tidak menjadi. Misalnya anak -anak yang masih kecil tidak pantas menakut-nakutkan orang tua mereka.

Menakut-menakutkan rakyat untuk tujuan politk menjadi suatu tradisi yang kemas keming dalam masyarakat Melayu sejak dulu. Praktik buruk ini barangkali warisan turun temurun yang dipunyai bangsa Melayu, seperti halnya ibu bapa menakut-nakutkan anak-anak dengan hantu. Rupanya budaya ini masih belum tercabut dari dalam diri sebahagian besar orang Melayu. Orang Melayu belum berubah, padahal dunia sudah berubah.

UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu, dengan dasar nasionalis Melayu merupakan penyumbang kepada kelangsungan budaya “menakut-nakutkan” ini. Pemimpin-pemimpin UMNO sering menggunakan pendekatan “menakut-menakutkan” rakyat bertujuan supaya rakyat tidak mengundi parti yang menjadi saingan mereka.

Sekarang UMNO memburuk-burukkan DAP. Pemimpin-pemimpin parti Melayu itu lewat media milik mereka mengambarkan DAP adalah sebuah parti rasis yang sangat berbahaya kepada orang Melayu. Bahkan kolumis akhbar Utusan Malaysia milik UMNO melempar opini; harus ditegakkan 1 Melayu 1 Bumi bagi mengantikan 1 Malaysia yang menurutnya gagal.

Tembakan meriam ke atas DAP melebihi sebelumnya, kerana UMNO melihat parti yang didokong majoriti orang Cina itu meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak mengatasi parti komponen mereka dalam BN iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang ahlinya juga orang Cina.

Pada PRN tanggal 16 April itu, DAP memenangi 12 kerusi terutama kawasan bandar yang majoritinya Cina.

Walhal tiada apa yang perlu dikhuatirkan dengan kemenangan DAP kerana kemenangannya dilakukan lewat proses sistem demokrasi yang didokong bersama. Yakni sebuah sistem yang sudah dipersetujui bersama lebih 60 tahun dulu, bahawa hanya sistem ini saja digunapakai di Malaysia dalam memilih parti untuk memerintah negara.

Saya tertarik dengan komentar seorang teman yang kebetulan berjumpa saat sama-sama membelibelah di pasaraya. “Saya mahu pemerintah yang baik, bijak mentadbir dan tidak menzalimi rakyat, tidak korupsi, tak kira sama ada Cina, Melayu atau lain-lain kaum.”

Selanjutnya teman saya berujaran “ Kalau berikan kepada orang Melayu, tapi Melayu jual Melayu pun tak guna. Tengok sekarang berapa banyak tanak rizab Melayu yang hilang. Pulau Pinang dikuasai BN berpuluh-puluh tahun, tapi nasib orang Melayu di Tanjung bagaimana?” Tampak bicara teman saya pada pagi itu bersemangat sekali bercampur geram dalam melahirkan kekecewannya kepada BN/UMNO.

Sosok yang tersenarai paling banyak dijelek dan diaibkan dengan tujuan agar dibenci publik ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di Malaysia beliau adalah juara dalam kategori imej buruk sehingga tiada individu lain yang dapat menandinginya.

Namun peliknya, dengan imejnya yang digambarkan sedemikian rupa oleh UMNO/BN, parti pimpinannya berjaya memenangi tiga kerusi DUN dalam PRN Sarawak baru-baru ini, sedang pada PRN 2006 cuma satu kerusi.

Seperti orang tua zaman dulu yang menakut-nakutkan anak mereka dengan hantu, maka menakut-nakutkan Anwar dengan kejelekan periabdinya adalah perbuatan yang sama. Barangkali itulah sifat orang Melayu yang sukar diubah.

Tuesday, April 5, 2011

Berapa lama mahu bertahan




Sistem komunis begitu gah suatu masa dulu. Tiada siapa yang menjangkakan bahawa suatu hari sistem itu akan runtuh . Keruntuhan negara Uni Soviet rupanya mempercepatkan proses kehancuran ideologi yang diasakan Lenin / Karl Max. Sekarang komunis tidak lagi menjadi ancaman besar, khususnya kepada Malaysia.

Demikian juga sistem politik sosialis Arab. Siapa menjangkakan bahawa Presiden Tunisia, Zine El Abiden Ben Ali dan Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang pengaruhnya begitu meluas di negaranya bisa tumbang dalam tempoh tak sampai tiga minggu setelah protes rakyat di jalan-jalan raya seluruh negara.

Kedua-dua pemimpin Arab itu atau sesiapa jua pastinya tidak bersedia untuk melepaskan kuasa, namun akibat desakan rakyat yang kekuatannya bagaikan tsunami akhirnya mengalah.

Di Malaysia, UMNO yang memerintah lebih separuh abad juga tidak bersedia untuk melepaskan kuasa. Demi mempertahankan kekuasaan, mereka telah menggunakan pelbagai cara bertujuan menyekat kemaraan musuh-musuh politiknya. Tanpa mengira waktu, sama ada musim pilihan raya atau tidak, mesin propaganda UMNO terus berjalan.

Setiap hari televisi dan koran memuatkan berita-berita jelik tentang oposisi. Fitnah dan adu domba menjadi basabasi. Undang-undang, hukum agama dan norma masyarakat dikesampingkan . Mereka lakukan apa saja yang terlintas difikiran asalkan cita-cita politik mereka tercapai, sesuai dengan sistem politik sekular yang tidak mengambil kira tentang dosa pahala.

Barangkali kelompok ini dalam perlawanan mereka dengan musuh-musuh politk telah meminjam beberapa prinsip yang dipakai zionis Israel sepertimana kajian tokoh-tokoh Yahudi ke atas naluri manusia: Dalam diri setiap manusia ada keinginan untuk melakukan kejahatan, kita (Yahudi) harus mengambil kesempatan ini untuk membuka ruang kepada mereka untuk berbuat kejahatan”

Seterusnya Zionis menukilkan bahawa dalam politik tidak ada moral. Maka lakukan apa saja asalkan matlamat politik tercapai. Hal ini ditegaskan lagi oleh bapak sekularisme, Micevilli, yakni dalam konsep politik manghalakan cara.

PAS (PR) berdepan dengan sebuah kerajaan yang tidak bersedia untuk ditumbangkan . Seperti diungkapkan pemimpin tertinggi mereka, Najib Tun Razak; bahawa Putrajaya tidak mudah untuk diserahkan begitu saja kerana kita akan mempertahankan sehingga ketitisan darah terakhir.

Pernyataan itu teringat kita kepada Presiden Libya, Muaamar Gaddafi dan puteranya Saif al- Islam; kita akan mempertahankan takhta ini sehingga Libya menjadi sungai darah.

Sosok yang paling digeruni UMNO ialah Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang di parlimen merangkap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana kedua-dua tokoh ini diterima pelbagai kaum di Malaysia. Ramai dikalangan non -Muslim seperti Cina dan India memberi sokongan padu. Situasi sedemikian sebelum ini tidak berlaku.

Kenapa UMNO tidak menyenaraikan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai sasaran “gerun” mereka. Sebaliknya banyak menyebelahi Haji Hadi dalam banyak isu. Ini merupakan strategi untuk melaga-lagakan antara dua pemimpin tertinggi PAS bertujuan menimbulkan situasi tidak sihat dalam rumah tangga PR.

Justeru dalam melancarkan serangan ke atas PR, UMNO tidak mempedulikan fakta dan kebenaran cerita, bahkan dosa pahala, kerana tujuannya untuk mendatangkan keraguan publik semata-mata, seterusnya menimbulkan kekacauan dalam masyarakat. Dan bila minda masyarakat sudah kacau, maka mudah bagi mereka meracuninya.

(Inti ucapan AJK PAS pusat, Pengurus Besar Harakah dan Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Kamaruddin Jaffar pada pertemuan dengan blogger, tanggal 3 April 2011 di De Palma Hotel, Kuala Lumpur)

Kita hanya menuntut hak


Mewujudkan sebuah negara Islam bukan hanya impian semata-mata tapi suatu kewajiban yang harus dipukul setiap individu Muslim untuk melaksanankanya sedaya upaya mungkin.

Dalam konteks Malaysia, kita hanya sekadar meminta hak kita dilaksanakan di negara ini dan tidak pernah menuntut lebih dari itu. Apalagi mahu memaksakannya ke atas non-Muslim.

Kita hanya mahu undang-undang Islam kembali dipraktikkan sepertimana pernah dilaksanakan pada zaman dulu, saat empire Islam berkuasa di rantau ini sebelum kedatangan penjajah Portugis di Melaka Ogos 1511.

Armada laut Portugis dari Goa yang dipimpin seorang paderi, Alfonso d’Albuqerque menaluki Melaka bukan mahu melebarkan jaringan perdagangan semata-mata, tapi disebabkan dendam kesumat mereka ke atas umat Islam selepas perang salib. Dengan kejayaan menaluki Melaka sekuarang-kurang mereka berjaya melemahkan moral umat Islam rantau ini. Namun demikian mereka gagal menjalankan misi penyebaran Kristian kerana agama itu ternyata tidak diterima umat Islam Melaka yang teguh akidahnya.

Perjanjian Pangkor tanggal 20 Januari 1874, antara gabenur negeri-negeri selat, Sir Anderw Clarke di pihak Inggeris dengan raja di Hilir Perak, Raja Muda Abdullah bermulalah detik hitam bagi umat Islam di Malaysia. Inggeris telah memperkenalkan agama baru iaitu sekularisme.

Sejak itu pemisahan antara agama dengan politik pun bermula. Islam diurustadbir oleh raja-raja Melayu, manakala pentadbiran negara oleh Inggeris. Islam hanya terbatas kepada ibadat ritual, nikah kahwin, harta pesaka (faraid) dan adat isiadat Melayu, sementara urusan pemerintahan negara dikendalikan Inggeris dengan menggunapakai sistem Barat. Sistem itu kekal sehingga hari ini padahal penjajah sudah lama pergi.

Gerakan Islam yang berjuang menuntut kemerdekaan seperti Hisbul Muslimim yang dipimpin Ustaz Abu Bakar al-Baqir (Asal Jawa), akhirnya disisihkan oleh anak-anak didik Inggeris yang juga sama-sama menuntut kemerdekaan. Ternyata kelompok anak didik Inggeris yang dipimpin Tunku Abdul Rahman Putera (UMNO) sangat disenangi tuannya, sehingga melalui mereka, Malaysia akhirnya memperolehi kemerdekaan.

Sementara nasib pemimpin-pemimpin gerakan Islam terus merudum dengan sebahgiannya ditangkap, seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, Ustaz Abdul Rauf Nor.

(Intisari ucapan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Taknologi Maklumat, Sains dan Teknologi, YB Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan di majlis perasmian pertemuan dengan bloggers, 2 April 2011, di hotel De Palma, Kuala Lumpur)