Oleh: Rossem
Salam 1 Malaysia!
 Perdana Menteri Malaysia ke enam, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan ucapan  “Salam 1 Malaysia”  untuk rakyat Malaysia sebaik naik tahkta menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka radio dan televsyen yang menjadi organ pemerintah pun menyumpurnakan  titah itu dengan    juruhebahnya  menyapa rakyat setiap kali membuka bicara dengan ucapan  “Salam 1 Malaysia”. 
Kata-kata yang dikeramatkan itu akhirnya menjadi ungkapan lumrah rakyat Malaysia. Sehingga  kanak-kanak pra persekolahan pun pandai menyebutnya, bahkan tampak seperti separuh bangga. 
 Suatu hari, cucu saya berusia lima tahun,  kebetulan pulang bercuti di kampung bersama abah dan mamanya menyapa “Salam 1 Malaysia Tuk”, saat menghampiri saya yang sedang isterahat di sofa di ruang tamu rumah pada suatu pagi yang dingin. Saya terpinga-pinga dan kaget dengan sikap cucu perempuan saya yang baru bangun dari tidur, belum mandi sudah ucap salam sama datoknya.
 Saya tak menjawab salam cucu  kerana tidak pernah dimaklumkan selama diperkenalkan, harus bagaimana ayat  menjawabnya. Kalau cara Islam, bila seseorang memberi salam “assalamualaikum” yang menerima salam  mesti menjawab dengan “waalaikummusalam”. Tapi “1 Malaysia” Najib tak ajari bagaimana membalas salam itu. Justeru, saya diam saja sambil berfikir, betapa kesan ke atas kanak-kanak amat  mendalam sekali.
 Selamat Tahun Baru 2012!
 Lupakan sebentar kisah hangat yang menghiasi penghujung 2011 iaitu riwayat  lembu galak ditambat di  kondominium yang sekarang khabarnya sudah kurang selera makan rumput. Dulu ada seseorang  pernah sinsing lengan baju dan selak kain  mencabar sesiapa saja mahu bersemuka tentang kononnya ada unsur-unsur penyelewengan dalam NFC silakan kedepan.  Sekarang sudah membungkam seperti burung murai kesejukan.
 Membuka pintu tahun baru Masehi 2012  dengan sesuatu yang tak diduga akan berlaku. Sakit tahun 2011 belum sembuh, penyakit baru pula datang. Penyakit baru ini  tentunya sedikit sebanyak mempengaruhi mesin kira-kira Najib dalam menentukan tarikh sesuai Pilihan Raya Umum ke 13.  
 Yang tak diduga itu ialah,  himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),  Tanjung Malim,  dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.
Dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib  cedera parah dibelasah anggota FRU. Dilaporkan  patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan menerima rawatan Hospital Slim River.
Seorang lagi mahasiswa turut  cedera, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul. 17 mahasiswa lain ditangkap termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP),   Adam Adli dan   bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.
Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila tindakannya menurunkan  bendera yang tertera potret  wajah Perdana Menteri  dengan mengantikan panji kebebasan akademik di PWTC sebelum ini.  
Dianggap sebagi  wira mahasiswa yang memperjuangkan perubahan daripada kongkongan AUKU. Sosok anak muda  yang berani bahkan dikira mampu menjadi pemangkin revolusi rakyat menentang kezaliman pemerintah. Justeru pucuk  muda itu  harus dicantas segera sebelum  menjadi liat.  
Sudah beberapa dekad  tidak menyaksikan kelahiran wira penentang kezaliman dikalangan mahasiswa. Tiba-tiba  dikejutkan dengan kemunculan seorang mahasiswa bernama Adam  yang cuba melakar sejarah baru dikalangan pelajar IPTA. 
 Hal ini teringat kisah tahun 70an,  bila seorang mahasiswa Universiti Malaya, Anwar Ibrahim (Datuk Seri)  mengetuai kelompok mahasiswa menentang pemerintahan  UMNO/BN mengenai isu Baling, yang didakwannya zalim. Beliau ditangkap.  Adam juga menerima nasib yang sama, ditangkap. 
Tindakan keras pihak polis ke atas penunjuk perasaan pelajar yang ditunjangi Adam  barangkali  untuk menyekat  agar tidak lagi muncul sosok seperti Anwar Ibrahim daripada  kalangan mahasiswa yang kelak boleh menggugat pemerintahan  UMNO/BN berterusan. 
Namun sejarah perjuangan rakyat di mana-mana negara pun di dunia ini  seringnya bermula dari kampus universiti. Mahasiwa adalah penyumbang besar dalam usaha menjatuhkan sesebuah pemerintahan. Seharusnya pemerintah menyelesaikan masalah pelajar dengan cara berhemah, bukan lewat cota, gas pemedih mata dan air beracun.
No comments:
Post a Comment