Oleh: Rossem
Setiap  kali ketibaan Ramadhan.   Khemah  besar berwarna putih lengkap dengan alat penghawa dingin itu dibangunkan. Setiap kali ia bangunkan, ditokok tambah dengan apa-apa yang berkurang pada sebelumnya, semua itu demi keselesaan para jamaah Tarawih yang semakin ramai, seperti pada malam kedua Ramadhan,  jamaah mulsimin dan muslimat melimpah sehingga ke luar khemah.  
 “Terasa seperti berada di Padang Arafah” kata salah seorang jamaah yang pertama kali mendirikan solat Tarawih di situ. Memang benar,  situsi dan kondisinya saling tak tumpang seperti di Padang Arafah saat mengerjakan haji. 
Barangkali inilah yang mahu tunjukkan oleh sang pencetus idea, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat saat mensyorkan sebuah khemah besar didirikan di lapangan di tengah Kota Bharu untuk tujuan bersolat sunat Tarawih, agar setiap umat Islam yang mendatanginya merasakan diri mereka seperti berada di Padang Arafah. 
 Imam solatnya tahun ini didatangkan khas dari Mesir. Dua orang qari dan hafizan  terkenal dari negara itu mengimami solat Isyak  dan solat sunat Tarawih setiap malam selama sebulan Ramadhan. Kemerduan suaranya sehingga makmum tidak terasa kepenatan harus berdiri lama untuk menghabiskan satu lembaran al-Quran yang dibaca sang imam untuk setiap rakaat selama lapan rakaat. Malah mengamati bacaannya dengan penuh khusyuk boleh meneteskan air mata. 
 Kenapa solat di lapangan, di bawah khemah? Apakah di Kota Bharu tidak  ada masjid? Barangkali ada yang bertanya demikian. 
Ya, masjid dan surau banyak sekali di kota ini. Antara masjid yang besar ialah Masjid Muhammadi.  Merupakan  masjid negeri,  jarak  lokasinya cuma satu kilometer dari khemah Tarawih yang terletak di  Dataran Stadium Sultan Muhamaad Ke-IV. 
Setiap  masjid dan  surau, termasuk Masjid Muhammadi rutin Ramadhannya  mengadakan  solat sunat Tarawih sejak dulu. Namun oleh pemerintah negeri dibangunkan   sebuah  khemah besar berfungsi  sebagai masjid untuk  tempat ibadat qiammulail semata-mata untuk memberikan sedikit kelainan dan cinta rasa baru kepada para jamaah. Antaranya menghadirkan   suasana “Padang Arafah” ke dalam diri setiap muslimin dan muslimat. Kedua,  untuk kemudahan para musafir yang tidak berkesempatan untuk ke masjid kerana urusan  mahu disegerakan.  
Sebelum berpindah ke Dataran Stadium, sebuah khemah yang sama didirikan di terminal bas di tengah kota. Di situ  bermulanya solat terawih bawah khemah di Kelantan. Fungsinya untuk sang musafir yang melewati kawasan itu, memberi kemudahan kepada  mereka untuk singgah sebentar mengerjakan solat tarawih lapan rakaat atau sebelas rakaat termasuk witir sebelum berangkat untuk urusan masing-masing. 
Saat itu imamnya seorang hafiz yang didatangkan dari Republik Rakyat  China. Dibiayai segala oleh  pemerintah Kelantan. Ketika itu  ada  orang bertanya “Apakah di Negeri Serambi Mekah  ini sudah kemarau imam, sehingga terpaksa import imam dari China?”  Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjawab “ Saya sebenarnya mahu merubah persepsi  kamu. Selama ini, dalam minda kamu hanya orang Melayu saja boleh jadi  imam solat. Walhal orang Cina juga boleh jadi Imam. Mereka adalah bangsa yang lebih awal memeluk Islam dari kita. Dan ingatlah Islam itu untuk seluruh manusia tanpa dibatasi bangsa dan negara”. 
  
Tuan Guru Nik Aziz melihat nun jauh ke depan, sedangkan waktu itu kita hanya melihat  sejengkal di depan  mata!  Masyaallah.
No comments:
Post a Comment