Oleh: Rossem
Kalau Malaysia diibaratkan  seorang lelaki. Ia seorang lelaki yang  gagah perkasa. Kerana itu ia berpoligami. Isterinya  bukan dua, bukan tiga atau empat,  tapi tiga  belas. Semuanya cantik, angun dan bergaya.  Isteri -isteri itu  ialah,  Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. 
Hak suami terhadap isteri dan hak isteri terhadap suami sudah jelas. Masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Suami saat diminta melafaz taklik di depan imam menyebut;  bahawa aku akan memberi perlayanan yang seadil-adilnya   kepada setiap isteri ku. Nafkah yang secukupnya. Dan  sekali-kali tidak akan sakiti rohani dan jasmaninya. 
  Kasih dan cinta sang suami  jangan sekali-kali bertompok kepada isteri-isteri tertentu yang disayanginya saja. Jangan pilih bulu. Konsep samarata dan samarasa harus ditegakkan dalam setiap aspek kehidupan berumahtangga. Keadilan harus berada di posisi paling depan.  Barulah akan terbina syurga dalam  rumahtangga itu. Demikian manisnya poligami.  
Namun  realitinya sering saja mati di tengah jalan. Tanpa segan dan malu sumpah  taklik dilanggari.  Ada saja helah dicari. Bersenandunglah  lagu rentak sumbang dari mulut –mulut para seniman politik jalanan, sehingga bukan sedikit khalayak  terpengaruh,  juga  ada yang  bingung terus. 
Semua itu dilakukan bertujuan  agar  nafkah yang sepatutnya diberikan kepada  salah seorang daripada isterinya itu  terus disekat. Walhal dalam kondisi apa sekalipun, selagi ia bergelar suami maka ia bertanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya walaupun ia membenci isterinya itu.  
Siapa isteri yang dibenci suami itu? Tidak lain ialah Kelantan. Sebuah negeri di Pantai Timur yang sudah  20 tahun diperintah PAS. Kenapa pula dibenci? Seperti sering disebut-sebut orang; mereka membenci negeri itu kerana majoriti rakyatnya memilih parti Islam untuk mentadbir negeri itu, sekaligus menolak  parti nasionalis UMNO dalam setiap plihan raya umum.  
Itulah antara kesalahan rakyat Kelantan sehingga segala hak yang sepatutnya diperolehi menurut “taklik” telah dinafikan.  
Royalti minyak adalah hak rakyat Kelantan menurut perjanjian. Tiba-tiba disekat dengan seribu alasan , walhal dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan jelas mengatakan; Kelantan berhak mendapat lima peratus royalti atau wang tunai, kerana bahan bakar itu dijumpai di perairannya. 
Tidak timbul alasan kononnya Kelantan tidak nerhak menuntut royalti minyak  kerana lokasi perlombongan itu berada lebih daripada tiga batu nautika (5 kilometer) dari pantai negeri itu. Sedangkan negeri Terengganu pernah diberi royalti selama 22 tahun berturut-turut dari 1978 hingga 2000 selepas minyak dijumpai sekitar 150 kilometer dari pantai Terengganu. 
Saat Petronas ditubuhkan tanggal 15 Noveber 1974, langkah  awal ialah meminta semua negeri-negeri persekutuan menandatangani, sekiranya  minyak dijumpai sama ada dalam kawasan tiga batu nautika atau di luar tiga batu nautika maka negeri-negeri tersebut  berhak memperolehi  royati atau wang tunai sebanyak  lima peratus  dari Petronas. 
 “Butiran perjanjian itu sangat mudah difahami, budak sekolah rendah pun boleh faham, tapi yang menghairankan ia masih sukar  difahami pemimpin tertentu” Kata Tengku Razalaigh Hamzah sewaktu  menyampaikan pidato penjelasan  tuntutan  royalti minyak oleh kerajaan Kelantan  di Stadium Sultan  Mohamamd Ke-IV.  
“Dalam mentafsir undang-undang ramai yang jadi bodoh sekarang” Kata Datuk Hj Wan Mutalib Embong, mantan exco PAS  Terengganu saat berucap pada majlis diskusi Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang, di Komplek Balai Islam, Kota Bharu, 6 Mac 2010. 
Tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam merangka dan  menyemak draf  perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri-negeri sudah pun tampil memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan hakikat sebenar perjanjian yang dimeterikan dulu. Antaranya, mantan Pengerusi Petronas,  Tengku Razaleigh Hamzah, Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Mohd Salleh Abas, mantan peguam kanan  di Jabatan Peguam Negara,  Nik Syaghir Nik Mohd Nor dan mantan pegawai kanan Petronas, Hj  Mohd Hassan Salleh. 
Mereka adalah tokoh yang sangat arif tentang butiran perjanjian itu, justeru opini mereka mudah diterima rakyat Kelantan. Maka tepatlah seperti kata Wan Mutalib Embong “ Kalau tidak terima apa yang keluar dari mulut kuda, apakah anda mahu terima apa yang keluar dari mulut lembu?”. 
Selanjutnya ditegaskan lagi oleh para panelis. Berlakunya hal-hal seperti itu tidak lain kerana di dalam hati mereka  bersarang sifat-sifat tamak haloba. Tidak mahu melihat penguasa  di Negeri Serambi Mekah itu menggunakan wang royalti minyak yang jumlahnya billion untuk membangun negeri dan masyarakat, kerana jika negeri dan masyarakat   terus maju, Islamnya  mengembang, ternyata sangat sukar bagi kelompok itu untuk merampas kembali Kelantan dari tangan PAS. 
Justeru apa yang berlaku hari ini berupa  “penderaan ”  politik semata-mata. Dan ternyata penderaan politk itu lebih zalim daripada penderaan ke atas kanak-kanak seperti sering dilapor akhbar sekarang.
No comments:
Post a Comment