Oleh: Rossem
40 tahun dulu, Ketika kaset belum memasuki pasaran. Ketika dunia Melayu belum mengenali  alat perakam, saya masih kanak-kanak. 
Dan di masjid tua itu, yang  dibina mengunakan   kayu cengal bermutu tinggi dengan atap bata diperbuat dari tanah yang dibakar. Seorang sosok yang ikhlas berada di depan mihrab setiap  dini pagi,  takala orang lain masih nyenyak tidur. Sosok itu ialah muazim atau orang Kelantan menyebutnya -Tok Bilal. 
 Setiap pagi, sebelum masuk waktu  subuh, sebelum beduk kayu sebesar pemeluk itu dipalu, sebelum seruan azan dikumandangkan, ia memperdengarkan dahulu bacaan al-Quran sekitar 20 minit. Bacaannya seperti qari terkenal. Suaranya  nyaring. Biar pun  tanpa alat pengeras suara.  Separuh warga desa  dapat menikmati kemerduan suara  sang muazim lewat celah-celah  keheningan pagi yang syahdu.  Pastinya membangkitkan aura agar segera bangun  dari tidur dan  ke masjid.   
Di Masjid Besar Muhammadi, di Kota Bharu, yang jaraknya kurang lebih  14 kilometer, sememanngya sudah lama  tersohor dengan muazim-muazim   yang miliki suara merdu.  Setiap pagi, sebelum masuk waktu subuh, mereka   memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Warga berhampiran sangat senang dengan situasi sedemikian
Rutin seperti itu, bukan cuma di dua buah masjid itu, ia berlaku  dibanyak masjid, sama ada di Kelantan atau negeri-negeri lain di Malaysia. Muazim-muazim akan datang ke masjid lebih awal, kemudian   membaca sendiri al-Quran sementara menanti waktu subuh. 
Kini, setelah dunia makin maju, teknologi pembuatan berhasil mencipta pelbagai  jenis alat perakam kaset atau cakra padat, maka  peranan muazim pun tampak  mengecil. Budaya membaca al-Quran oleh muazim seperti diamalkan 40 tahun lalu semakin pupus. Masjid-masjid tidak lagi  menggunakan khidmat muazim untuk mengaji al-Quran. Tugasnya  kini diambilalih  qari-qari terkenal daripada  Mesir atau Arab Saudi, seperti Syiekh Abdulrahman Sudisy, Syiekh Mahmood Khalil Al-Khusairi (almarhum), di mana bacaannya  sekali lipat lebih baik dan merdu daripada muazim masjid tempatan. 
Tapi, tentunya suara itu bukan suara asli. Cuma rakaman kaset atau cakra padat yang dibeli di kedai-kedai kaset. Para  muazim hanya perlu datang ke masjid 20 minit sebelum subuh,  kemudian memasukkan kaset ke dalam pemain kaset.   Muazim kemudiannya  balik ke rumah dan datang semula  untuk mengumandangkan  azan bila masuk waktunya.  
 Terkadang, di setengah-setengah  masjid,  volume pemain kaset dibuka  melebihi  had suara sepatutnya, sehingga mencacatkan kemerduan suara sang qari. Hal ini pasti mendatangkan rasa tidak selesa warga berhampiran. Saya tidak tahu, apakah petisyen yang dilakukan  segelintir warga setempat di Selangor baru-baru ini dituju kepada pembesar suara yang tersangat keras bunyinya, atau kepada bacaan kalimah Allah SWT itu sendiri. Dua hal yang berbeza. Kalau protes itu ditujukan kepada kalamullah,  seharusnya  ia dipandang serius, bahkan amat wajar umat Islam memprotes keras. Namun saya tidak yakin begitu.
Di sisi lain, adakah sama ganjaran pahalanya, antara  orang membaca sendiri al-Quran dengan orang yang kerjanya cuma memasukkan kaset atau cakra padat mengaji al-Quran ke dalam alat pemain, kemudian menekan batton, ditinggikan voloume, suara qari pun berkumandang ke udara? Pahalanya tentu tidak sama. Namun, kenapa hal ini tidak diperbetulkan. 
Yang tampak  kini ialah,  muazim, selain tugas hakikinya sebagai juru azan, ialah  memainkan kaset mengaji al Quran.  Kita khuatir, praktik memperdengarkan al-Quran lewat kaset atau cakra padat  seperti ini,  kelak akan membudayakan  masyarakat. Bila terdapat sebahagian muazim tersalah menekan nada suara sehingga melebihi had kuasa, kemudian diprotes warga setempat , kita justeru akan cepet naik darah atau darjah emosional kita buak-buak, walhal kita juga patut disalahkan. 
50  tahun lebih, Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini merdeka, di mana saling mengakui, Islam menjadi agama rasmi negara, namun malangnya, orang bukan Islam masih lagi prejudis kepada Islam. Ini merupakan difinasi dari sikap kita dan kegagalan pemerintahan Barisan Nasioanl itu sendiri, di mana parti induknya adalah Umno, menerangkan Islam yang sebenar kepada orang-orang bukan Islam.  Walhal negara memiliki media massa secukupnya- surat khabar dan televisyen, juga Kementerian Penerangan.
No comments:
Post a Comment