Baca buku "Yang Dilupakan" untuk mengenali siapa perlu diingat.
PENGHASILAN
atau pencipta kartun yang juga dikenali dengan kartunis, jarang
menggunakan nama sebenar mereka. Kadang-kadang nama yang menjadi
panggilan dan sebutan harian lenyap terus dari pengetahuan ramai.
Kesian
ibubapa susah-susah cari nama, sampai minta "syufaat" Tuan Imam atau
Tuan Guru untuk dapatkan nama yang membawa maksud baik tetapi tidak
dihargai?
Kartunis
seperti juga kebanyakan penulis, suka menggunakan nama pena atau nama
samaran. Sebab itu ada kartunis yang kita tidak tahu apa nama sebenar
mereka.
Mengenai nama
samaran ini ada dua keadaan kenapa ia berlaku, pertama penulis tidak
senang dengan nama asal mereka, kononnya tidak glamour, kedua mahu
menyembunyikan identitas daripada orang ramai.
Kebanyakan
penulis dan sasterawan yang lahir di zaman kolonial menggunakan nama
pena agar ia tidak dikesani oleh penjajah. Antaranya Usman Awang
menggunakan nama Tongkat Waran, Ishak Haji Mohamad dengan nama Pak Sako,
Hantu Raya, Kamaluddin Muhammad, Kris Mas dan ramai lagi.
Berbeza
kartunis dengan para penulis. Seorang pencipta kartun lebih dikenali
dengan watak kartun ciptaanya. Nama mereka, baik nama sebenar atau
tidak, ia sinonim dengan watak kartun mereka. Selalunya seorang kartunis
mempunyai satu watak khusus yang menjadikan identiti atau IDnya.
Misalnmya
kartunis Lat, atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, disenonimkan dengan
watak utamanya, dalam siri keluarga Si Mamat. Begitu juga degan
kartunis lain.
Ketika mengunjungi Kang Rossem di BKR.
Hal
ini berlaku kepada semua kartunis di seluruh dunia. di Jepun beberapa
kartunis atau pencipta kartun tidak dikenali nama sebenar mereka
sebaliknya ia dirujuk kepada watak yang diciptanya.
Yoshito
Usui dikenali dengan watak kartunnya Crayon Shin Chan, Akhira Torayama
dikenali dengan watak Dragon Ball, Masashi Kishimoto lebih dikenali
dengan Narita, Gosho Aoyama orang lebih mengenali wataknya kartunnya,
Detektif Conan, begitu juga Fujiko F Fujio orang lebih mengenal watak
Doraemon.
Kelaziman itu
tidak terkecuali kepada Rosidi Semail, atau Rossem juga ada watak atau
IDnya sendiri dalam dunia perkartunan. Konstabel Jabit adalah watak atau
pun ID bagi Rossem, atau saya memanggilnya Kang Rossem. Bagi peminat
kartun "lereng" dalam Utusan Malaysia siapa yang tidak kenal dengan
Konstabel Jabit, konstabel ciptaan ini lebih dikenali daripada sang
penciptanya Rossem.
Mereka
yang membaca Utusan Malaysia tidak asing dengan Konstabel Jabit, medan
mainannya di dalam akhbar itu. Sebut Rossem orang akan teringat kepada
Jabit. Belum tentu orang akan mengingati Jabit kalau sebut Rosidi
Semail, tetapi kalau sebut Jabit ia akhirnya akan menemui Rosidi
penciptanya. Nah, begitulah mesra dan akrabnya kerunis dengan nama
watak-watak atau cerita digarapnya.
Buku baru Rossem.
Dalam
catatan ini saya tidak mahu menulis Rossem dengan dunia karikatur
kartunnya. Saya sendiri pada awalnya, khususnya sebelum Reformasi 1998,
tidak begitu mengenali dengan Rossem dan sejarah kehidupannya masa
lampau.
Saya ingat saya
mengenali dan mendekati Kang Rossem kira-kira 20 tahun lampau, sewaktu
meletus perang Reformasi. Rossem muncul dengan karya karikatur dan
satira politiknya yang mengkritik politik rakus dan bersimpati dengan
pahlawan yang dijeruk.
Penglibatan
atau gerak aktif Rossem dalam memancukkan tinta kartunnya lebih luas
dan global lagi sesudah Reformasi. Mindanya juga menjadi luas dan kritis
apabila beliau menuangkan idea kartunisnya, karikaturnya ke dalam
gelanggang politik.
Sedar
atau tidak, Rossem menjadi sebahagian penggerak Reformasi yang
dinyalakan Anwar Ibrahim kemudian dihidupkan oleh rakyat, para
sasterwan, wartawan, artis, seniman dan lain-lainnya. Rossem berpidato
mengempen dan berceramah politik melalui karikaturnya di medium
alternatif, seperti akhbar Harakah, majalah Tamadun, Siasah dan
lain-lain.
Kepada seisapa
yang belum mengenali Kang Rossem apa lagi mengetahui titik nipis dan
titik tebal perjuangannya, boleh mencarinya dalam setiap karyanya. Hari
ini nama gabungan anak bapaknya ini, Rossem tidak asing lagi. Lelaki
yang sedikit agak pendiam, kini sudah menjadi sebutir bintang di antarta
ribuan bintang perkartunan dunia.
Karya
beliau bukan sahaja disebut, diketawa difahami, diinsafi oleh
penikmatinya dalam negara ini tetapi di seluruh dunia. Kewujudan Balai
Kartun Rossem (BKR) telah mengorbitkan beliau dan industeri kartunis
Malaysia di peta dunia. Kejayaan BPR menganjurkan beberapa siri himpunan
kartunis bertaraf dunia seperti Pameran Kartun Antarabanga 2019 dan
lainnya.
Perihal buku Yang Dilupakan.
Apa
yang hendak saya perkatakan disini ialah perihal kehidupan Rossem dari
alam lain. Alam jihad dan tanggungjawab fardhu kifayahnya yang lebih
awal untuk membela tanah air. Atau pun alam yang bergerak seiringan
dengan minat dan bakatnya yang semujadi dalam melukis.
Sebelum
beliau menyampaikan mesej siasahnya menerusi pidato dan lakaran
watak-watak kartunnya atau pengamatan (eksploitasi) isi alam, Rossem
adalah seorang pahlawan negara. Beliau boleh dianggap rakan sepasukan
dengan wira-wira negara yang menjadi lagenda, Leftenan Adnan, Sarjan
Hassan, dan sebagainya.
Rossem
adalah anggota pasukan keselamatan dalam Pasukan Polis Hutan. Terlalu
tinggi mungkin untuk memacakkan nama Kang Rossem bersama wira-wira
pertiwi itu, tetapi disaf itulah juga Kang Rossem berdiri sejak tahun
1969 hingga 1993 setelah bersara wajib kemudian memasukkan belantara
baru dunia kartunis dan journalis.
Kepada
yang sudah mengagak awal tentu boleh tahu, apakah kerjaya Rossem
apabila meneliti dan membaca perwatakan dalam siri Konstabel Jabit.
Jabit adalah batang tubuh dan roh Rossem sebenarnya yang diangkat ke
atas kertas dengan bersahaja, serius, lucu, pesimis. Itu adalah dirinya
dan rencah serta rempah ratus yang dilaluinya.
Kita
akan jadi lebih "purnama" lagi mengenai diri kang Rossem ini dengan
terbitnya buku kecil berjudul "Yang Dilupakan - Kisah Benar Menjejaki
Pengganas Komunis". Buku ini suatu kisah benar dan memori beliau
menjejak pengganas Komunis yang diterbitkan September 2019. Ini saya
kira karya terbaharu Kang Rossem berbentuk buku disamping beberapa
karatkur lainnya.
Saya
menerima buku itu ketika mengujungi Balai Kartun Rossem (BKR) Ahad lalu.
Menjadi rutinnya Kang Rossem akan menghadiahkan buku barunya kepada
saya. Walaupun saya perlu memaksnya untuk menerima bayaran, tetapi
beliau tetap menolaknya. Tidak mengapa, catatan ini adalah sebagai
imbuhan dan royalti buatnya. Saya berharap sesiapa yang membaca
apresiasi ringkas buku ini akan cuba memiliknya. Harganya cuma RM20,
ternyata tidak sepadan dengan kandungannya.
Bagi
yang malas atau berat mata dan diri untuk membaca buku-buku kerana
sudah dipengaruhi dengan penulisan dalam media sosial yang ringkas,
menggunakan bahasa slanga yang entah-entah, mungkin tidak jadi masalah
untuk menghabis buku Kang Rossem ini.
Buku
ini, muka suratnya hanya 110 sahaja termasuk 15 keping foto "tempo
lama", memaparkan aktiviti dan aksi Kang Rossem semasa berkhidmat nan
cukup nostalgik. Jadi buku ini boleh dihabiskan kurang daripada dua jam.
Sesiapa
mejamah buku ini dan mahu meloloskan diri daripada kesibukan dan
kerencaman media sosial, FB, Twitter dan sebagainya, pasti akan sanggup
menyudahinya kerana bentuk penulisan yang menarik. Bahasa Rossem mudah,
ringkas dan "kentok". Membaca buku ini seperti kita ikut sama mengekori
perjuangan, operasi pasukan keselamatan kita khususnya ketika menentang
pengganas Komunis khususnya menggempur Rejimen Ke 10 Parti Komunis
Malaya (PKM).
Balada
digarap dengan menyelitkan berbagai unsur, dengan neratif lancar dan
mudah. Ada kisah-kisah atau episod yang dramatik. Dan sebagai seorang
kartunis Rossem tidak dapat lari daripada menyelitkan elemen lucu dan
menggelikan. Seakan elemen humor itu untuk mengendurkan rasa tegang
semasa tertekan menjalani operasi bahaya.
Beberapa
cerita atau kisah dialaminya cukup menghibur dan bersifat informatif.
Rossem dalam menulis memberi maklumat mengenai suka duka dan pahit maung
sebagai seorang pasukan keselamatan dan pemilihan bahasa klasik
digunakan boleh manambah perbendahraan kita. Satu perkataan yang kerap
dipakai ialah "kumuh" atau "komoh" yang bermaksud buruk, cemar dan
huduh.
Kisah-kisah lucu
bersifat kartun pula, diselit menjadikan kita terhibur membaca buku ini
seperti melihat dan mentafsir karikturnya. Antaranya, macam mana beliau
menceritakan kisah seorang Polis Thailand yang sanggup menyunati anunya
kerana tergila dan mahu kahwin dengan gadis Melayu di Weng kerana itu
syarat bapa si perempuan. Sebelum sunatannya sembuh elok, polis itu
sudah diijab kabulkan. Apa yang tidak terbayang macam manakah polis Thai
itu melayan malam pertamanya dalam keadaan anunya belum sembuh?
Satu
lagi kisah lucu terdapat dalam buku ini, macam mana rakan penulis
terpedaya dengan keramat dan kehebatan "Raja Kayu" yang ditemberangkan
oleh seorang penduduk pedalaman di Bako Sarawak. Kononnya jika memiliki
Raja Kayu itu semua binatang akan takut untuk mendekati kita. Malangnya
sesudah memiliki kayu itu dengan bayaran agak mahal takala disudi kepad
anjing, anjing bukan sahaja takut bahkan cuba menerkam pemilik Raja Kayu
itu.
Ada juga cerita
kemanusiaan lain turut sama dinaratifkan. Seorang budak lelaki yang
beribu tiri menyusup masuk ke dalam kubu pertahanan pasukan Rossem.
Bocah itu seakan terbiar dan melarat bila mana tubuhnya kurus apabila
diberi makan hanya sekepal nasi dengan berulam pucuk kayu. Bocah malang
itu akhirnya tinggal bersama-sama pasukan Rossem, terpaksa walaupun
mengikut prosudernya salah. Bocah itu kemudian dibawa keluar daripada
hutan itu di Gua Musang ke Kota Bharu yang dihanyutkan dengan rakit
kemudian dipelihara oleh seorang anggota Polis.
Selain
kisah itu ada juga kisah seekor kucing liar yang merayau dalam kubu
pertahanan Rossem dan pasukannya. Kucing itu dianggap misteri kerana
tidak bertuan dan berperangai aneh apabila suka menghidu copong senjata.
(Ah teringat pula kepada Sudin Chua Pong).
Selain
kisah lucu buku berwana merah darah berukur 7 3/4 x 5 inchi itu juga
menyelitkan kisah trajis dan sedih. Penulis menceritakan seorang rakan
sepasukan Rossem hilang ghaib di sebatang sungai di Pos Belum ketika
sedang mandi. Sampai akhir rakannya itu tidak dapat dikesani dan
dikhuatir mati lemas dihanyut air.
Kesimpulannya
buku ini sangat menarik dan dramatik sekali. Penuh dengan maklumat dan
sarat dengan pengetahuan, kehidupan suka duka seorang prajurit di dalam
hutan kerana mempertahankan setiap inci tanah air daripada dicerobohi.
Dan kita tahu Rejim Ke 10 PKM adalah ketumbukan Komunis Malaya yang
disertai oleh orang Melayu. Saya tidak terfikir macam mana orang Melayu,
satu pihak dari pasukan keselamatan dan satu pihak dianggap sebagai
musuh sesama satu bangsa dan satu agama boleh berlaku.
Di
sinilah apabila tidak ada kata sepakat, tidak ada persefahaman dan
masing-masing terpengaruh dengan ideologi masing-masing, kata putus dan
titik persefahaman tidak dapat ditemui akhirnya kedua pihak bermusuhan
dan terpaksa berlawan sesama sendiri sampai menemui ajal. Demikianlah
kalau "tali" agama dialpakan.
Sejujurnya
buku ini yang menurut catatan Kang Rossem ia adalah olahan daripada
skrip (buku) asal berjudul "Diari Seorang Konstabel" boleh dibedah dan
diolah lebih menarik lagi. Buku ini boleh diadaptasikan menjadi sebuah
filem atau dokumantari perang klasik dan dilatarkan konflik antara dua
kumpulan berasal dari rahang bangsa dan nur agama yang sama.
Mungkin
molek juga kalau Kementerian Pertahanan memberi dana khas kepada Rossem
atau mana-mana pihak yang ingin mengadaptasikan buku ini menjadi sebuah
filem atau pun diolah menjadi novel sejarah yang boleh dipergunakan
untuk tujuan kajian dan penyelidikan.
Semoga
tidak ada sesiapa tercicir untuk membaca buku "Yang Dilupakan" ini agar
kita tidak melupai kepada sesiapa sahaja yang pernah berjaya dan sedang
menaburkan jasa kepada negara.
Kepada
Kang Rossem tahniah di atas penerbitan buku ini, semoga Kang terus
diberi kesihatan dan berjuang dijalan Allah. Horas. [wm.kl.12:00 pm
30/10/19]